RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 5 Disember 2009

TIMBALAN MENTERI AKAN LETAK JAWATAN?

Sulaiman berhasrat letak jawatan Timbalan Menteri - PM

Akhirnya desas-desus mengenai kedudukan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memaklumkan bahawa anak kepada Ketua Menteri Sarawak itu telah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan Timbalan Menteri berkenaan.

Bagaimanapun apabila ditanya kenapa Sulaiman hendak melepaskan jawatan dan adakah beliau memberikan alasan, Najib menegaskan, ia berkaitan dengan alasan peribadi.

“Dia telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan tapi saya belum berunding dengan Pengerusi BN Sarawak. Nantilah dulu apakah keputusannya,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Kuala Lumpur, Jumaat malam.


Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Sulaiman ekoran kelibat beliau tidak kelihatan sejak beberapa bulan lalu. Malah beliau juga sudah lama tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat yang kini sedang berlangsung.

Berdasarkan desas-desus yang berlegar beliau kini berada di luar negara dan tidak lagi menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Sulaiman adalah Ahli Parlimen Samarahan dan dilantik sebagai Timbalan Menteri selepas memenangi pilihan raya umum pada Mac 2008.

Sebelum menceburi bidang politik Sulaiman adalah bekas Pengerusi RHB Capital dan menerajui syarikat Cahaya Mata Sarawak (CMS) yang memiliki pegangan ke atas RHB Capital.

Sementara itu Bernama melaporkan Sulaiman yang disebut-sebut telah meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, masih merupakan Timbalan Menteri, dalam hubungan dengan Parlimen, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang surat peletakan jawatan rasmi daripada Sulaiman, yang dilaporkan dalam portal berita The Malaysian Insider hari ini sebagai telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas.

Beliau dikatakan menyebut masalah kesihatan sebagai sebab utama dalam keputusannya untuk meninggalkan pentadbiran persekutuan.

"Saya nampak beliau menghadiri persidangan Parlimen minggu lepas dan beliau masih duduk di kerusi Timbalan Menteri," katanya ketika ditanya mengenai spekulasi itu.

Beliau berkata di bawah keadaan biasa, menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk memaklumkan kepada Dewan Rakyat sebaik sahaja peletakan jawatan seseorang anggota Kabinet persekutuan diterima bagi membolehkan kerusinya diatur dan ditandakan semula semasa persidangan berlangsung.

Sementara itu, Sulaiman, yang dipercayai berada di luar negara, tidak menghadiri jamuan malam yang dijadual dianjurkan beliau bagi meraikan sekumpulan delegasi dari Sarawak iaitu dari Majlis Pembangunan Petani Batang Lupar dan kawasan Parlimen Bandar Kuching di Kuala Lumpur pada Rabu.

Sulaiman, Naib Presiden Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), adalah anak Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang beliau gantikan sebagai Anggota Parlimen Kota Samarahan selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008. – 4/12/2009/Agendadaily.com

1 ulasan:

  1. Kenapa nak letak jawatan? KENA BELI KER ATAU KENA JUAL .....

    BalasPadam