Ektremis celaka ini patut ditahan ISA!
Demikianlah kemarahan daripada Pemuda MCA, berikutan laporan utama edisi sulung Suara PERKASA yang bertajuk "Tahan Ka Siong bawah ISA". Beberapa orang pemimpin Pemuda MCA tampil mempertahankan Ketua-nya, masing-masing menyasarkan serangan terhadap Presiden PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia), Ibrahim Ali.
Antaranya, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng menganggap Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA merangkap Timbalan Menteri Pelajaran tidak bersalah, malah memberi amaran bahawa "jangan hina maruah Pemuda MCA!", kerana Pemuda MCA tidak akan bertolak ansur dengan provokasi yang biadap ini.
Malah, Pemuda Wilayah Persekutuan MCA mendesak agar kerajaan menyatakan sikapnya untuk mengasingkan diri daripada tindakan Ibrahim Ali yang biadap, mencelarukan sentimen perkauman, dan mencungkil saraf sensitif. Untuk Pemuda Wilayah Persekutuan MCA yang sanggup jadi benteng Wee Ka Siong, seandainya kerajaan berdiam diri dalam isu ini, maka ia adalah penghinaan terhadap MCA sebagai parti komponen kedua terbesar dalam BN.
Oleh itu, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA (gambar kanan) mahu Kementerian Dalam Negeri melucutkan permit penerbitan PERKASA, sebagai amaran kepada kenyataannya yang ekstrem, malah berharap agar penjual akhbar mengambil inisiatif untuk memboikot akhbar ini, demi menjaga keamanan negara.
Akta Hasutan terhadap PERKASA dan Ibrahim Ali
Selain itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen turut menggesa agar polis menangkap Ibrahim Ali dan mengambil tindakan terhadap Suara Perkasa, dengan menggunakan Akta Hasutan 1948.
"Artikel dalam Suara PERKASA yang menggesa untuk menangkap Wee Ka Siong dengan ISA ini telah mencungkil kemarahan Pemuda MCA. Seandainya kerajaan berpeluk tubuh dalam isu ini, Pemuda MCA akan menyerang balik sehabis-habisnya. Kami sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan maruah MCA," kata Chai Kim Sen (gambar kiri) dalam kenyataannya.
Malah, Setiausaha Agung Pemuda MCA ini menambah, "PERKASA langsung tidak masuk akal. Pertubuhan yang dipimpin Ibrahim Ali ini bukan sahaja ekstrem, malah satu pertubuhan yang mengada-ada. Memang celaka betul!"
Pemimpin Pemuda MCA bangkit menyerang
Di samping itu, terdapat beberapa orang pemimpin Pemuda MCA lain yang turut mengeluarkan kenyataan media untuk menyelar Ibrahim Ali, hari ini. Ketua Pasukan Pemuda Kebangsaan MCA, Yap Tian Hoi membidas Suara PERKASA kerana menggunakan propaganda "kelas rendah" untuk mencungkil sentimen perkauman.
Ketua Biro Kajian Strategik dan Perancangan Pemuda MCA, Foo Seck Chyn (gambar kanan) pula membidas bahawa kesabaran kerajaan untuk membenarkan hujah perkauman ini berleluasa telah mencungkil kemarahan rakyat.
Naib Setiausaha Agung Pemuda MCA, Loh Chew June pula mendesak agar kerajaan memisahkan diri dari PERKASA, untuk membuktikan bahawa kerajaan mendukung semangat 1Malaysia, dan tidak bersekutu dengan pertubuhan yang ekstrem dan berkelas rendah ini.
*Kenyataan-kenyataan di atas dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Pemuda MCA, diterjemahkan dan disunting oleh MerdekaReview
Tiada ulasan:
Catat Ulasan