RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 22 April 2016

DEKLARASI RAKYAT DAN KEMPEN BEBASKAN ANWAR

WALAUPUN ada yg cetek pemikiran mereka mendakwa sesiapa yg menyokong Deklarasi Rakyat untuk menjatuhkan Najib maka mereka ini telah melupakan Anwar, namun bagi aku Deklarasi Rakyat itu lahir dari semangat atau roh DS Anwar itu sendiri.
 

Sebelum Anwar disumbatkan ke dalam penjara, Anwar sendiri mahu Najib letak jawatan ataupun diundurkan. Kelantangan Anwar itu mengakibatkan sekali lagi beliau terpenjara. Namun, semangat Anwar disambung pula oleh Kak Wan, isterinya yg juga Presiden KEADILAN dan juga Ketua Pembangkang. Maka, Kak Wan melalui Parlimen telah membuat ucapan di antara lain menyebut " Selamatkan Malaysia wajib bermula tanpa mengira apa jua fahaman politik mereka".

Kak Wan mencuba dengan kaedah membawa usul di Parlimen untuk menolak bajet yang dibentangkan oleh Najib. Sejarah tercipta melalui Kak Wan. Menolak bajet ini adalah usaha simbolik untuk mendesak Najib letak jawatan. Usaha ini telah dijangka sukar namun usaha perlu dibuat.
 

Kini, telah diwujudkan Deklarasi Rakyat yang menjurus kepada mendesak agar Najib diturunkan dan terkandung di dalamnya beberapa tuntutan lain termasuk melakukan reform ke atas sistem yg telah rosak teruk termasuk reform terhadap institusi kehakiman.

Adakah menyokong Deklarasi Rakyat maka bererti kita tidak lagi berjuang untuk membebaskan Anwar? Sebelum ini kita giat melakukan kempen "Bebaskan Anwar" dan kempen ini masih berjalan dan aku di antara yg menandatangani menyokong pembebasan Anwar dan berkempen ke arah itu. Ke mana saja aku pergi, samada bertemu teman2 atau berceramah, isu Anwar tidak lekang dari mulut aku. Jujurnya, aku mula bersama Pembangkang tegar semenjak 1998, era reformasi, walaupun waktu itu aku masih berkhidmat di dalam tentera.
 

Aku menggunakan segala yang aku ada, samada melalui ceramah2 yg aku dijemput, samada melalui media sosial dan juga radio KOBAT FM yg aku selia, aku tidak pernah lupa insan bernama Anwar. Aku percaya bukan hanya ada satu atau dua kaedah saja yang boleh kita lakukan untuk memperjuangkan nasib Anwar. Tentu ada kaedah2 lain yang boleh kita cuba dan usahakan.

Kita telah mencuba dengan demonstrasi, kita cuba dengan kempen pembebasan Anwar, kita menulis tentang Anwar dan kita bercakap tentang Anwar. Sekarang diwujudkan pula Deklarasi Rakyat yang sememangnya amat digeruni oleh Najib. Najib takut dengan Deklarasi Rakyat ini kerana Deklarasi Rakyat ini telah berjaya menarik penyokong2 Umno sendiri untuk menentangnya.

Media2 kawalan Umno memainkan propaganda bahawa Deklarasi Rakyat itu adalah Deklarasi Mahathir - Kit Siang. Mereka mendakwa Mahathir telah digunakan oleh Pembangkang untuk menjatuhkan Umno/Bn. Peliknya, ada di kalangan kita pula mendakwa Pembangkang telah dipergunakan oleh Mahathir. Najib dan Umno takut kepada Deklarasi Rakyat yang akan memusnahkan dirinya dan Umno, tetapi kita jadi bodoh apabila kita takut kepada Mahathir 'pencen' yang menyokong kita. Pelik kan?

Deklarasi Rakyat aku sokong kerana aku yakin selagi Najib menjadi PM, usah berangan untuk kita bebaskan Anwar. Selagi sistem kehakiman tidak diperbetulkan, kita pasti berangan2 untuk melihat Anwar bebas segera. Kita kumpul jutaan tandatangan untuk bebaskan Anwar, namun yang paling penting Najib mesti turun segera dan perbetulkan sistem yg ada.

Walaupun ada kempen menandatangani Deklarasi Rakyat untuk jatuhkan Najib, kempen menandatangani pembebasan Anwar tidak boleh kita hentikan. Di mana saja kita berada dan apa jua program yang kita buat, isu Anwar mestilah dibawa terutamanya oleh pimpinan2 kita. Kita perlu sedar, majoriti yg menyokong Deklarasi Rakyat itu mahu Najib turun, mahu sistem negara ini diubah dan secara tidak langsung usaha untuk membebaskan Anwar lebih cerah.

Khamis, 21 April 2016

TUNGGU PRU14, NAJIB LEMAH, KITA BOLEH MENANG?

DI DALAM menguruskan kerja untuk menjatuhkan Najib dan Umno, Keadilan mempunyai banyak pendapat dan pandangan yg lojik dan didokong ramai ahlinya.

Kali ini aku mahu ulas tentang pendapat pertama, iaitu kita mesti jatuhkan Najib dan Umno dalam Praya dan biarkan Najib terus lemah sekarang untuk memudahkan kita melawannya di dlm PRU14 nanti. Pendapat ini kurang popular di dlm Keadilan dan mungkin agak popular di dalam Pas.

Persoalannya, benarkah jika dibiarkan Najib sehingga PRU14 maka beliau dan partinya bertambah lemah? Najib memang lemah tapi orang yg zalim tidak bodoh untuk terus mengekalkan rejimnya. Dia akan terus mengukuhkan kuasa dan tajamkan taringnya utk melakukan lebih byk kezaliman lagi? Lihat, waktu terdekat YB Rafizi telah menjadi mangsa. Siapa selepas ini? Nurul Izzah, Mat Sabu, Guan Eng ? Selepas semua mereka itu nanti ditangkap dan mungkin terpenjara, bagaimana kita mahu hadapi PRU14 tanpa mereka? Kita telah pun kehilangan Anwar.

Bukankah dia memiliki banyak dedak untuk ditaburkan di dalam tempuh dua tahun lagi? Apakah kita tidak yakin di dalam Umno masih ramai suka makan dedak? Salah satu sebab kita gagal jatuhkan Najib melalui Parlimen (undi tidak percaya), adalah kerana masalah dedak ini lah. Bukti lain, PRN Sarawak yang telah mula hangat dengan kempen, kita menyaksikan ramai pimpinan utama dari PH yang dilarang memasuki Sarawak. Rejim terus menggunakan kuku mereka. Kita harapkan rejim lemah untuk dua tahun lagi?

Lebih dari itu, adakah sebagai sebuah parti yang konsisten melawan kezaliman dan membela nasib rakyat, Keadilan harus biarkan Najib zalim dan rakus seperti sekarang dan biarkan rakyat menanggung derita untuk dua tahun lagi? Demi mahu kuasa kononnya Umno akan lemah di bawah Najib, kita pertaruhkan air mata rakyat?

Adakah Islam membenarkan kita melihat kezaliman yang berlaku di hadapan kita tanpa kita berbuat apa-apa? Kehilangan banyak wang rakyat di dalam skandal 1MDB, isu moral dan integriti pemimpin negara dipersoalkan oleh satu dunia di dalam skandal wang derma RM 2.6 Bilion, isu pembunuhan Altantuya dan banyak lagi skandal melibatkan institusi kerajaan, sudah cukup untuk kita berusaha menghentikan salahlaku pemimpin negara sekarang ini bukan menanti dan terus menanti.

Memang benar, tiada pemimpin yang tidak melakukan kesilapan kerana pemimpin itu bukan Malaikat. Namun, kita harus bezakan di antara kesilapan, kelemahan dan penyelewengan serta kezaliman. Isu 1MDB dan tersoroknya laporan audit negara dari dibentangkan di dalam laporan PAC, itu bukan kelemahan tapi melibatkan integriti. Isu wang derma RM 2.6 Bilion juga bukan menunjukkan kelemahan tetapi melibatkan soal salahlaku, salahguna kuasa dan perlanggaran undang-undang. Isu Altantuya, ini kes jenayah yang gagal diselesaikan dengan persoalan yang masih tergantung " siapa arahkan Altantuya dibunuh dan kenapa?".

Kita tidak sebut lagi soal pemimpin negara yang bermewah-mewah bersama isterinya. Kezaliman ke atas DS Anwar Ibrahim jelas menunjukkan rejim tidak gentar untuk melakukan yang lebih dahsyat lagi sekiranya dibenarkan terus berada di Putrajaya. Insitusi Peguam Negara, PDRM, SPRM, Bank Negara adalah di antara institusi yang semakin hancur dan reput di bawah rejim sekarang.

Aku tidak mahu menunggu dua tahun lagi untuk Najib terus berada di Putaraja. Najib adalah mudharat yang paling besar sekarang. Jika Najib jatuh, kita mungkin ada pilihan lain dan paling tidak pun kita terpaksa terima mudharat yang lebih kecil.

Buang mudharat besar, pilih mudharat kecil jika kita tidak mampu ubah semuanya. Jika tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua.

Isnin, 18 April 2016

SOKONG DEKLARASI RAKYAT SELAGI PARTI MEMBENARKANNYA

AKU masih menyokong Deklarasi Rakyat selagi parti tidak melarang aku berbuat demikian. KEADILAN tidak pernah melarang mana2 ahlinya untuk bersama Deklarasi Rakyat, tetapi KEADILAN juga tidak pernah menyuruh mana2 ahlinya menyokong Deklarasi Rakyat.

Ertinya apa? Ertinya kita ada pilihan. Kalau kamu yakin Deklarasi Rakyat punyai kekuatan untuk turunkan Najib, kamu ingin bersamanya maka silakan. Kalau kamu yakin Deklarasi Rakyat hanya omongan Mahdey untuk menguatkan Umno, maka kamu wajar menolaknya.

Bagi aku, selagi ada Rafizi di situ, selagi ada Salahudin Ayub, Khalid Samad dan Kit Siang di situ, aku yakin mereka ini tidak akan mengkhianati Anwar Ibrahim kerana mereka inilah yg lantang mahu Anwar jadi PM.

Jumaat, 15 April 2016

MAHATHIR, JAGA MULUT KAMU !!

AKU ingin memetik kata2 Rafizi Ramli di Kuantan baru2 ini dalam ceramahnya di Paya Besar berkaitan Deklarasi Rakyat. Beliau dgn tegas menyebut Deklarasi Rakyat adalah hak rakyat, bukan hak Mahathir mahupun Kit Siang. Timbul persoalan, siapa "lead' Deklarasi Rakyat? Siapa nakhodanya?

Rafizi sebut lagi, kita (PH) adalah nakhoda Deklarasi Rakyat. Mahathir hanya seorg tokoh yg bersetuju dan mahu menumpang 'kapal' Deklarasi Rakyat. Kita tidak kejam untuk menolak keinginan Mahathir yg mahu Najib turun, sebagaimana kita juga mahu Najib turun.

Tapi....Rafizi menegaskan lagi, seandainya Mahathir melakukan sesuatu yg berlawanan dgn hasrat dan semangat Deklarasi Rakyat, maka 'nakhoda' akan campak beliau keluar dari kapal ini. Apa semangat Deklarasi Rakyat? Pertama, turunkan Najib. Kedua, ubah sistem dan reform institusi negara ke arah yg lebih baik dan telus. Ketiga, secara tidak langsung Anwar mampu dibebaskan. Ini semangat Deklarasi Rakyat dan atas semangat inilah aku menyokongnya, bukan sebab Mahathir.

Kita tidak kisah kalau Mahathir tidak mahu sentuh isu Anwar atau menyebut tentang pembebasan Anwar. Kita tak harapkan orang yg menganiayai Anwar ini untuk membela Anwar. TAPI, Mahathir jangan cuba burukkan Anwar atau ulangi fitnah ke atas pemimpin utama kami ini berterusan. Tidak sokong tidak mengapa, tapi jangan sentuh Anwar.

Seandainya 'pantang' ini Mahathir langgar, aku harap kepimpinan PH bertindak tegas sebagaimana janji Rafizi Ramli iaitu campakkan Mahathir dari kapal kita. Kita tidak mahu Mahathir gunakan kapal kita untuk burukkan Anwar. Deklarasi Rakyat bukan untuk menunaikan hasrat Mahathir menghentam Anwar.

Sejak awal lagi aku tidak pernah percaya kepada Mahathir tetapi aku tidak jumud pemikiran apabila beliau ingin bersama membantu jatuhkan Najib. Bagi aku, usaha harus berjalan walaupun tanpa Mahathir dan kita tidak perlu hentikan usaha ini jika Mahathir mengganggu usaha kita, sebaliknya Mahathir yang sepatutnya disingkirkan sekiranya beliau gagal mematuhi semangat Deklarasi Rakyat. Mahathir, jaga mulut kamu.

Rabu, 13 April 2016

KAK WAN KESAL DENGAN MAHATHIR TETAPI KEPENTINGAN RAKYAT BELIAU UTAMAKAN

MAHATHIR sepatutnya bertuah kerana Anwar telah lama maafkan beliau semenjak Anwar dibebaskan dari penjara di era Pak Lah sebagai PM lagi.  Merata-rata Anwar selalu sebut, sudah-sudahlah Mahathir, hentikan fitnah terhadap saya, saya pun dah maafkan kamu.  Tapi Mahathir ni egonya lebih waktu itu.

Sekarang pun, di dalam keadaan beliau tiada lagi kuasa, egonya masih ada.  Mahathir masih gagal memohon maaf kepada Anwar.  Ini yang mengecewakan Kak Wan dan kita juga amat kecewa dengan sikap Mahathir di dalam perkara ini.  Kak Wan sudah tentu lebih kecewa kerana ianya melibatkan imej keluarganya yang menjadi mangsa konspirasi.

Mahathir tahu, walau sehebat mana pun beliau ingin menjatuhkan Najib tetapi rakyat mahu lebih dari itu.  Rakyat mahu Anwar bebas dan sistem pemerintahan negara ini dipulihkan.  Mahathir tahu dia tidalk sehebat Anwar kerana dia lihat sendiri di mana saja beliau hadir bersama program PH terutamanya dalam Program Selamatkan Malaysia, jatuhkan Najib, Bebaskan Anwar, suara-suara reformasi dan bebaskan Anwar tetap bergema.  Ertinya, Mahathir sedar beliau kini sedang dijadikan alat oleh PH.  Tapi, demi untuk melihat Najib jatuh, Mahathir tetap ego.  Egonya bukan saja tidak mahu maafkan Anwar tetapi masih sanggup tebalkan telinganya untuk mendengar jeritan reformasi dan bebaskan Anwar.

Kak Wan seorang insan yang terlalu hebat.  Beliau ada rasa terkilan dan marah dengan sikap ego Mahathir, tetapi beliau lebih marah apabila Najib berterusan menzalimi rakyat.  Oleh kerana itu, Kak Wan tidak pernah menolak Deklarasi Rakyat dan Program Selamatkan Malaysia, Jatuhkan Najib dan Bebaskan Anwar.  Seperti juga Anwar, Kak Wan tidak mahu usaha PH hanya sekadar jatuhkan Najib, tetapi beliau mahu sistem pentadbiran dan institusi negara ini dipulihkan.  Kita juga menyokong pendapat Kak Wan dan Anwar, kita juga tidak semata-mata berjuang bebaskan Anwar.  Apalah ertinya Anwar bebas, tetapi sistem "Rule Of The Jungle" ini dikekalkan?  

Oleh yang demikian, Kak Wan meletakkan kepentingan rakyat di atas sekali.  Beliau tidak suka dengan Mahathir tetapi beliau tidak pernah melarang partinya bersama-sama Mahathir untuk menumbangkan Najib.  Perasaan peribadinya tidak boleh digunakan untuk menyekat sebarang usaha untuk menjatuhkan Najib.  Kak Wan tahu, selagi Najib kekal sebagai PM, semakin jauh Anwar dari dibebaskan.  Turunkan Najib, ertinya masih ada ruang yang terbuka luas untuk tindakan seterusnya.  

Ada yang cuba kaitkan apa yang Kak Wan kata terhadap Mahathir itu sebagai satu tanda bahawa Kak Wan tidak restu KEADILAN atau PH membenarkan Mahathir menumpang untuk menjatuhkan Najib.  Mustahil sekali, jika Rafizi selaku SUA KEADILAN yang dipilih oleh Kak Wan berani bertindak dengan sesusatu yang tidak digemari atau direstui oleh Kak Wan.  Kak Wan juga adalah Ketua di dalam Majlis Presiden PH dan beliau tidak pernah sekalipun melarang sebarang usaha untuk menjatuhkan Najib walaupun Mahathir turut menumpang sekali.  

Kita juga perlu terus berusaha tidak kira Mahathir sokong usaha kita atau tidak.  Anggap saja Mahathir melukut di tepi gantang.  Hormat dia sebagai orang tua dan bekas PM tetapi jangan sesekali benarkan Mahathir menjadi nakhoda kapal.  Bak kata Rafizi, kita yang jadi Nakhoda kapal dan Mahathir boleh menumpang.  Jika dia banyak cerita dan buat yang menyalahi cara kita, humban saja dia ke laut. 

Rabu, 30 Mac 2016

SEBAB MAHATHIR MAKA KEKALKKAN NAJIB? ITU KERJA BODOH !!

TULISAN aku kali ini bukan untuk menyokong Mahathir, tetapi tulisan aku ini untuk menyatakan kita tak boleh jadi terlalu bodoh apabila kita anggap usaha kita untuk menjatuhkan Najib itu perlu dihentikan semata-mata kerana Mahathir mempunyai hasrat yang sama.  Ada yang sebut, PH meletakkan Mahathir sebagai 'Leader' untuk jatuhkan Najib.  Ternyata mereka lupa bahawa kita akan terima sesiapa sahaja yang mahu Najib jatuh.

Usah bicara soal mahu bebaskan Anwar kalau kita tak mampu jatuhkan Najib.  Najib adalah PM waktu ini, Najib yang pegang kuasa waktu ini dan Mahathir adalah orang yang dhaif yakni tiada apa-apa kuasa lagi.  Takut apa dengan kehadiran Mahathir?  Adakah kerana seorang manusia bernama Mahathir maka kita mahu hentikan usaha kita untuk jatuhkan Najib?  Tidakkah bodoh namanya itu?

Tiada sesiapa mahu meletakkan Mahathir sebagai "Leader" untuk jatuhkan Najib.  Kerja untuk jatuhkan Najib ini telah bermula awal lagi sebelum Mahathir mahu bersama untuk jatuhkan PM yang bobrok ini.  Jangan terperangkap dengan agenda mereka yang mahu melihat Najib terus berkuasa dan tidak mahu Anwar dibebaskan.  Pelik bin ajaib apabila ada yang mendakwa mereka sebagai puak reformasi tulen yang kononnya berjuang untuk Anwar tetapi begitu marah apabila ada usaha dan strategi untuk jatuhkan Najib.  Alasannya kerana ada Mahathir di situ.  Peduli apa mereka dengan Mahathir?  Apa Mahathir boleh buat ?

Mahathir kata dia hanya mahu Najib jatuh, itu saja.  Kita kata kita mahu Najib jatuh dan Anwar Bebas.  Kalau Mahathir sokong untuk jatuhkan Najib, satu kerja kita telah ada yang bantu.  Mahathir tidak mahu bantu bebaskan Anwar?  Semenjak bila kita minta bantuan Mahathir untuk bebaskan Anwar?  Oleh itu, jangan peduli tentang Mahathir samada dia sokong atau tidak untuk jatuhkan Najib dan bebaskan Anwar.  Itu bukan tugas Mahathir.  Itu tugas kita semua yang mahu mengangkat Anwar sebagai PM negara ini satu hari nanti.

Mahathir ada agenda?  Kita tiada agenda?  Masing-masing ada agenda cuma perlu bijak untuk merealisasikan agenda masing-masing.  Ada yang kata, jatuhnya Najib maka pemimpin Umno lain pula akan ganti.  Habis tu, di mana ada jalan kita boleh pilih orang kita jadi PM menggantikan Najib?  Tentu mustahil kecuali majoriti dalam Parlimen memilih untuk berbuat demikian.  Najib tumbang, naik pemimpin lain.  Kita tetap sebagai Pembangkang juga cuma selaku Pembangkang kita telah berjaya turunkan Najib yang rakus itu.  Jika penggantinya juga berperangai seperti Najib, itu bererti dia mencari nahas dan tidak belajar dari kesilapan Najib.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kumpulkan sebanyak mana sokongan rakyat untuk jatuhkan Najib.  Usah kita nak memilih sangat sesiapa yang berhak dan layak bersama kita untuk jatuhkan Najib.  Jatuhkan Najib buan jaminan Anwar bebas, begitu juga apa jaminan jika Najib kekal, Anwar bebas?  Bahkan, jika Najib kekal berkuasa akan bertambah pemimpin-pemimpin pembangkang diheret ke mahkamah dan mungkin akan dikurung seperti Anwar.  

Jangan kerana Mahathir seorang, kita patut hentikan usaha untuk bebaskan Anwar.   Untuk bebaskan Anwar, langah pertama turunkan Najib terlebih dahulu.  Langkah pertama harus dimulakan.  Tanpa langkah pertama, tiada langkah-langkah seterusnya. 


Rabu, 23 Mac 2016

TIBA-TIBA PEMUDA PAS PENANG BANGUN TIDUR?

MEDIA milik Umno nampaknya saban hari menghentam Lim Guan Eng.  Kononnya mereka mahu lupakan dosa-dosa Najib dalam skandal 1MDB dan duit derma RM2.6 Bilion itu.  Maka diperbesarkan cerita tentang pembelian rumah oleh Guan Eng yang dikatakan 'salah guna kuasa' itu.

Belum sempat mereka mahu menakut-nakutkan KM P.Pinang itu, Guan Eng sendiri mencabar sesiapa sahaja yang ingin menuduhnya boleh berbuat demikian.  Jangan hanya pandai menyalak di dalam Parlimen dek kerana di situ ada kekebalan.  Guan Eng siap menjemput SPRM untuk menyiasatnya.

Semalam, media ini juga menuntut agar Guan Eng bercuti sehingga selesai siasatan.  Paling jelik sekali, Ketua Pemuda Pas P.Pinang tiba-tiba terbangun dari jaga.  Mereka pun mendesak Guan Eng bercuti.  Peliknya, sewaktu skandal 1MDB dan duit derma RM2.6 Bilion yang melibatkan Najib menjadi berita hangat dan sensasi di seluruh negara dan di seluruh dunia, di mana suara Pemuda Pas?  Tidur agaknya.  

Sewaktu beberapa NGO membuat laporan polis dan SPRM terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam isu balak, Pemuda Pas juga masih lena.  Tiada desakan pun agar MB Kelantan atau TMB Kelantan bercuti.  Inikah keadilan Islam yang mahu mereka tunjukkan?  Oleh kerana Guan Eng itu Dap, maka dendam pun membara?

Apa pun, Guan Eng tetap cool.  Beliau tahu beliau tidak bersalah.  Sehingga kini tiada siapa pun berani mengulangi dakwaan secara terbuka terhadapnya, kecuali di dalam Parlimen.  Mengapa takut?  Takut jadi seperti Tontawi yang terpaksa bayar RM10K kerana menfitnah Guan Eng?  Memalukan nama Islam saja perangai begini.

Rabu, 16 Mac 2016

BENCI KEPADA MAHATHIR , BIARKAN NAJIB, BUKAN CARA BEBASKAN ANWAR

FOKUS adalah bebaskan Anwar.  Kita yakin apabila bebasnya Anwar nanti, jika pun beliau tidak menjadi PM namun beliau masih bersama kita di barisan depan untuk terus memperjuangkan nasib rakyat.  

Bagaimana dengan Mahathir?  Adakah Mahathir bersetuju untuk turunkan Najib?  Jawapannya ya.  Adakah Mahathir ada menyebut sesiapa sebagai pengganti Najib jika Najib jatuh?  Jawapannya, tidak.  Adakah Mahathir melarang kita untuk memperjuangkan pembebasan Anwar?  Jawapannya, tidak.  Adakah Mahathir menentang pilihan kita untuk menabalkan Anwar sebagai PM jika PH berkuasa?  Jawapannya, tidak.  Adakah Mahathir tahu bahawa KEADILAN dan semua rakan dalam PH sememangnya mahu Anwar dibebaskan?  Jawapannya, Mahathir memang tahu.

Mengapa Mahathir mahu juga bersama kita untuk kempen jatuhkan Najib sedangkan beliau tahu kita mahu Anwar memimpin negara ini?  Hanya Mahathir yang boleh menjawabnya.  Ada yang kata, Mahathir mahu perkuatkan Umno sebab itu beliau mahu Najib turun.  Siapa boleh beri jaminan jika Najib turun maka Umno kuat?  Apakah jika Najib tidak turun Umno lemah?  Jika lemah, mengapa kita masih gagal tumbangkan Umno di kawasan-kawasan majoriti Melayu?  Dan, mengapa Mahathir keluar Umno untuk kuatkan Umno?  

Ada yang kata, Mahathir akan masuk Umno semula setelah Umno kuat kerana beliau pernah lakukan dulu sewaktu zaman Pak Lah dan Najib.  Kita jangan lupa, Anwar juga bebas di era Pak Lah.  Ertinya, bertukar PM apabila Mahathir yang zalim itu berundur, naik pula Pak Lah maka Anwar bebas kerana Pak Lah mahu tunjuk dia tidak sezalim Mahathir.  Apakah mustahil jika ini berlaku lagi.  Jika tidak berlaku pun, apa ruginya kita?  Kita masih untung kerana Najib yang rakus itu telah turun.  

Pilih mudharat yang kecil daripada membiarkan kemudharatan yang besar.  Membenarkan Najib berkuasa untuk dua tahun lagi atau lebih, ertinya kita sengaja membiarkan kemudharatan yang besar berlaku.  Sebab itu, Anwar setuju Deklarasi Rakyat ini kerana ianya lebih besar melangkau kepentingan peribadinya. 


Jumaat, 11 Mac 2016

BANGKITLAH WARGA KUANTAN, LAWAN BAUKSIT HABIS-HABISAN



TERASA sedikit kecewa dan sedih apabila melihat beberapa individu dan kumpulan yang bersusah payah mengadakan kempen menentang aktiviti perlombongan Bauksit di Kuantan, sedangkan tidak ramai rakyat Kuantan terutamanya yang telah pun menjadi mangsa bahana pencemaran itu masih berdiam diri.

Melihat kepada reaksi mereka di alam maya, di media siber, begitu marah sekali mereka dengan apa yang berlaku di kawasan mereka.  Malangnya, kemarahan dan kegelisahan serta kebimbangan mereka itu tidak dizahirkan dengan sesungguhnya.  Mengapa perlu orang luar yang menzahirkan apa yang kamu semua pendam?  


Esok, Sabtu (12/3/16) akan bermulalah Kempen #RED2GREEN- WALK TO PARLIAMENT" di mana para sukarelawan akan berjalan kaki dari tapak perlombonngan Bauksit sehingga ke Parlimen untuk menyampaikan memorandum bantahan.  Alangkah baiknya jika memorandum itu turut dihadiri seramai mungkin warga Kuantan yang terlibat dengan kesan pencemaran Bauksit ini.  Ya, bukan mudah untuk mencari orang yang sanggup bersusah walaupun untuk masa depan mereka sendiri.  Lebih ramai yang suka menanti hasil usaha orang lain.  Menyedihkan.

Tahukah kita, majoriti yang datang untuk menjayakan kempen ini datangnya dari beberapa individu dan NGOs dari luar dan mereka bukan mangsa pun.  Tetapi mereka mahu bantu anda semua.  Apakah anda rasa mereka ada kepentingan politik?  Mereka adalah individu dan NGOs yang bukannya datang dari mana-mana parti politik Pembangkang.  Memang benar, KEADILAN mengambil bahagian membantu kempen ini kerana KEADILAN sentiasa konsisten dalam perjuangan membela nasib rakyat.  Apakah wajar KEADILAN berpeluk tubuh dan hanya melihat rakyat di Kuantan terus menderita?  Kami bersama anda sewaktu musibah banjir, kami turut ke hadapan sewaktu menentang Lynas dan kali ini kami bersama anda merasai akan bahayanya kesan dari aktiviti perlombongan Bauksit ini.


Bukan prinsip kami di dalam KEADILAN apabila menang di dalam Pilihanraya di Kuantan, maka kami akan berehat dan berpeluk tubuh.  Denyut nadi rakyat Kuantan ada pada Wakil Rakyat kami.  Apa lagi yang boleh kami lakukan untuk anda?  


Khamis, 10 Mac 2016

DEKLARASI YANG BUKAN KERANA MAHATHIR TAPI ITU TUNTUTAN ANWAR

DEKLARASI Rakyat termeterai sudah.  Najib mesti berundur atau diundurkan.  Ini bukan masalah Mahathir yang suruh atau Anwar yang suruh.  Jika ditanya pada rata-rata rakyat termasuk ahli-ahli Umno sendiri sependapat bahawa sudah sampai masanya Najib bersara atau dibicarakan.

Pakatan Harapan sudah berusaha untuk melakukan ini sebelum Mahathir bersuara lagi.  Bukan kerana Mahathir jauh sekali kita mahu bergantung kepada Mahathir.  Mahathir ayam pencen.  Bukan selayaknya kita bertarung dengan PM pencen yang tiada lagi kuku.  Mahathir sendiri gagal selamatkan anaknya dari dipecat sebagai MB Kedah, mana mungkin kita berselera dengan Mahathir?

Tapi kalau Mahathir mahu memberikan senjata kepada kita yang beliau sendiri tak terdaya mahu gunakan senjata itu untuk jatuhkan Najib, apakah kita menolaknya?  Terima senjata Mahathir bukan bermakna kita maafkan segala salah laku beliau sewaktu beliau berkuasa.  Sesiapa pun tidak akan terlepas dari menanggung akibat sekiranya melakukan kesalahan sewaktu berkuasa, tidak terkecuali Mahathir.  

Anwar menyokong Deklarasi Rakyat bukan kerana adanya Mahathir.  Bukankah Anwar telah berpesan kepada kita sebelum beliau masuk penjara bahawa teruskan perjuangan dan lakukan reform.  Anwar tidak suruh kita hanya berjuang untuk bebaskan beliau dari penjara.  Anwar mahu kita selamatkan Malaysia.  Apabila Malaysia selamat, tiada lagi orang yang teraniaya berada di dalam penjara seperti Anwar.  Salahkah Deklarasi itu?

Atau, pendekatan kita itu salah kerana Mahathir menyokong kita turunkan Najib?  Takkan kerana Mahathir sokong perjuangan kita maka kita kena hentikannya?  Jika itu berlaku, memang benarlah kita berjuang ini kerana berpaksikan kepada Mahathir.  

Aku tidak setuju kita kena hentikan cita-cita kita hanya kerana Mahathir setuju atau tidak.  Tiada dalam kepala otak aku Mahathir walaupun sedikit.  Apa yang ada hanyalah pesanan Anwar bahawa lakukan segera reform.  Do It Now!!

Selasa, 1 Mac 2016

MATI DI ATAS PENTAS UMNO JUGA SYAHID?

MATI DI ATAS PENTAS UMNO JUGA SYAHID? 
 
Sumber:  FB Dayana Sofeah

Dulu, kami diajar bahawa Umno itu berkuasa dan mengekalkan perlembagaan kafir. Kami diberitahu, tidak perlu masuk Kristian untuk menjadi kafir, cukup dengan mengatakan agama suku, politik suku, maka jatuhlah kafir.

Kami diusrahkan, jika kami menentang puak2 ini, jika kami mati, maka mati kami adalah jihad dan memperolehi Syahid. Amanat ini melahirkan Syuhada' di Memali. 
 
 

Persoalan saya;

1. Adakah Umno kini telah menukar Perlembagaan Negara (dikatakan Perlembagaan Jahiliyyah dan kafir itu) di bawah kekuasaannya sekarang?

2. Apakah diwaktu Amanat Hadi ini dikeluarkan dulu, tiada ayat tentang ugama itu nasihat seperti yang sekarang Pas jadikan dalil untuk berbaik dengan Umno?

3. Jika berlawan dengan puak2 ini dikatakan jihad dan jika mati dalam berlawan itu dikatakan mati Syahid, bagaimana pula jika mati ketika bersama dan menyokong pemimpin Umno sekarang untuk terus berkuasa?

4. Apakah hukumnya jika kita menentang dan tidak bersama satu golongan lain yang ingin menentang kezaliman dan kemungkaran Umno?

5. Apakah baik dari segi Syarie dan akhlak jika ulamak2 kita menerima tawaran jawatan yang diberikan oleh Umno sedangkan dalam masa yang sama pemimpin Umno terus dengan kemungkaran dan kezalimannya?

Banyak lagi persoalan yang sentiasa bermain di fikiran ahli2 Pas sekarang. Pas dilihat tidak lagi istiqomah dengan Amanat Hadi yang dulunya adalah senjata dan penawar kekuatan perjuanngan Pas. Sebab itulah, pemimpin2 Umno kini semakin memuji Pas dan tidak lagi gentar dengan Pas jauh sekali menghormati Pas. Mereka kini lebih takut dan gentar dengan Keadilan, Dap dan Amanah dan yang terbaru menakutkan mereka adalah serangan dari Tun Mahathir.

Ke arah mana kita sekarang mahu pergi?