RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Jumaat, 13 November 2009

ISU PMBK DAN BAKAL MB KELANTAN ADA KAITAN ?

Oleh: WFAUZDIN NS

KICKDEFELLA atau Syed Azidi telah ditamatkan perkhidmatannya oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang mana sebelum ini beliau menjawat jawatan Pegawai Perhubungan Korporat PMBK. Difahamkan kontrak asal beliau sepatutnya berakhir pada April 2010, tetapi PMBK telah menamatkan perkhidmatannya lebih awal. Beliau dikatakan mula berkhidmat di PMBK pada April 2006 dan sudah tentulah prestasi beliau menjadi ukuran sebelum PMBK mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya.

Bukan mudah untuk PMBK untuk mengambil tindakan drastik sedemikian rupa apatah lagi dikatakan Syed Azidi merupakan orang kuat kepada Exco YB Husam Musa iaitu penyokong setia kepada MB Kelantan. Tetapi mengapa terjadi nasib sedemikian ke atas Syed Azidi? Semua orang mengetahui bahawa PMBK kini diterajui oleh menantu MB Kelantan sendiri dan lebih hangat lagi pada ketika penamatan kontrak berlaku ke atas Syed Azidi, PMBK di dalam siasatan oleh SPRM. Maka, pelbagai tafsiran dibuat oleh orang ramai tentang pemecatan Syed Azidi. Isu ini bertambah sensasi apabila Syed Azidi sendiri mengadakan sidang media dan memberi amaran untuk mendedahkan apa yang berlaku di dalam PMBK.

Amaran dari penulis blog terkemuka itu langsung tidak menakutkan menantu MB Kelantan Abdul Arif Fahmi yang kembali menyahut untuk mencabar Syed Azidi agar membongkarkan apa yang beliau ketahui berkaitan PMBK. Anehnya, Syed Azidi seolah-olah menekan `break' sedikit dengan menyatakan bahawa beliau tidak mahu terperangkap dengan cabaran menantu MB Kelantan itu untuk mendedahkan `rahsia' di dalam PMBK. Kita tertunggu-tunggu juga apa yang hendak didedahkan oleh Syed Azidi agar nama baik PMBK dapat dipulihkan. Malangnya, Syed Azidi belum berani untuk berbuat demikian. Tidak berani atau sememangnya tiada apa yang hendak didedahkan olehnya, Wallahu Aklam.

Sewajarnya Syed Azidi menerima penamatan kontrak beliau itu dengan berlapang dada. MB Kelantan dan juga menantunya tidak pernah menuduh Syed Azidi dengan apa jua tuduhan. Beliau ditamatkan perkhidmatan atas dasar perkhidmatannya tidak memuaskan hati PMBK atau juga masalah disiplin. Itu biasalah bagi yang bekerja secara kontrak. Sejak tahun 2006 sehingga 2009, serta dibayar pampasan sehingga April 2010 dikira amat bertuah jika hendak dibandingkan dengan nasib ramai lagi yang tidak berpeluang menjadi seperti Syed Azidi. Jadi, mengapa Syed Azidi tidak menerima kenyataan bahawa perkhidmatan beliau di PMBK tidak lagi diperlukan? Sedangkan Wakil Rakyat pun jika menunjukkan perkhidmatan yang tidak baik akan ditolak oleh rakyat.

Mungkin beliau merasakan beliau menjadi punca mengapa SPRM tiba-tiba menyiasat PMBK. Itu anggapan beliau semata-mata dan beliau tidak perlu takut merasa pedas jika beliau tidak mengunyah cili. Tetapi jika itu benar, kita anggap beliau adalah hero kerana sanggup ditamatkan kontrak semata-mata untuk membantu SPRM mencari segala penyelewengan yang berlaku di dalam PMBK, jika ada. MB Kelantan sendiri pun kata, orang yang mengadu kepada pihak SPRM tentang berlakunya penyelewengan di PMBK beserta bukti kukuh akan mendapat pahala dan MB Kelantan gembira jika dapat dibuktikan menantunya bersalah. Tetapi jika tidak, orang yang membuat cerita ini menanggung dosa besar. Tidakkah Syed Azidi merasa bertuah mempunyai MB seperti ini? Jika beliau merasa bertuah, mengapa perlu merasa bahang kepanasan teramat sangat?

Saya amat memuji keberanian menantu MB Kelantan yang berani berdepan dengan SPRM. Bukan senang untuk mencari pegawai yang sebegini berani. Kebanyakannya bila mendengar SPRM hendak datang ke pejabatnya, mulalah hendak terkencing dan terberak. Soal ada berlaku atau tidak penyelewengan, biarlah SPRM yang menyiasat dan jika Syed Azidi ada maklumat bolehlah datang membantu SPRM bukan sekadar adakan sidang media untuk membuat gertakan. Jika beliau tiada maklumat, lebih baik beliau diam dan menerima takdir yang menetapkan cukup sekadar itu rezeki beliau di dalam PMBK. Kita bimbang nanti, siasatan SPRM terhadap PMBK selesai dengan tiada kes, timbul pula kes pelik-pelik terhadap Syed Azidi. Di masa itu beliau tidak boleh menyalahkan orang lain kerana beliau yang memulakan `permainan' ini.

Banyak cerita menyatakan isu ini bukan sekadar isu PMBK semata-mata. Tetapi ada kaitan juga dengan sabotaj pihak tertentu untuk memburukkan nama MB Kelantan dan tokoh yang mungkin akan diberi kepercayaan oleh MB Kelantan untuk menggantikannya. Ada tokoh yang merasakan dirinya layak untuk menggantikan Tuan Guru Nik Aziz sebagai MB Kelantan kini mulai terasa terpinggir dan mula memainkan `permainan' yang kita dapat lihat sekarang. Saya harap Syed Azidi tidak terlibat sebagai salah seorang `pemain' di dalam `permainan' yang diaturkan ini./Kembali ke laman asal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan