RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 13 Februari 2010

ISU JK DISIPLIN PAS - ABDULLAH ATAU TUAN IBRAHIM YANG BERBOHONG?

Abdullah Karim jawab Tuan Ibrahim
Jimadie Shah Othman
Feb 13, 10


Exco Pemuda PAS Abdullah Karim - yang mengecam Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dalam isu jawatankuasa disiplin - kini bersumpah dengan nama Allah bagi mempertahankan hujahnya.

"Saya bahkan bersumpah dengan nama Allah bahawa apa yang ditulis oleh Tuan Ibrahim itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Tuan Ibrahim pada 3 Februari, antaranya mendakwa aduan Abdullah - berhubung penglibatan ahli PAS dalam "konspirasi menjatuhkan Pakatan Rakyat" - kepada jawatankuasa disiplin tidak dilayan kerana tidak berasas dan dibuat berdasarkan dengar cakap.

Abdullah yang juga timbalan ketua Pemuda PAS Pahang sebelum itu mempertikaikan kewibawaan jawatankuasa tersebut susulan kontroversi penggantungan jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad pada 29 Januari lalu.

Abdullah antaranya dilaporkan membayangkan jawatankuasa disiplin PAS berat sebelah apabila memejamkan mata terhadap aduan-aduan tertentu, termasuk yang dilaporkannya kepada jawatankuasa itu dan pejabat agungnya.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini kelmarin, Abdullah menyatakan keraguannya kemungkinan "terdapat sebab-sebab lain" aduannya ditolak.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah pada bila-bila masa dimaklumkan oleh Tuan Ibrahim atau mana-mana orang lain bahawa aduan saya tidak boleh diambil tindakan kerana ada bukti, atau kerana ia sekadar dengar cakap sahaja, atau kerana sebab-sebab lain yang menyebabkan aduan ini ditolak," katanya.

Kenyataan tidak dibetulkan

Setelah ditegur Tuan Ibrahim sebelum ini, Abdullah berkata, beliau telah menggunakan "saluran yang betul" dengan menghubungi sendiri naib presiden itu melalui panggilan telefon dan e-mel.

"Namun, selepas seminggu berlalu, Tuan Ibrahim tidak menjawab e-mel saya dan tidak juga memperbetulkan tulisan tersebut yang masih kekal ada di dalam blognya.

"Maka, saya tidak mempunyai pilihan bagi menyatakan kebenaran ini melainkan membuat penjelasan terbuka dan saya berharap hal ini dan perkara-perkara lain yang bersangkutan dengannya dapat diperjelaskan di dalam mesyuarat jawatankuas pusat PAS yang akan datang," katanya.

Jawatankuasa pusat PAS akan dijadual bersidang esok di ibu pejabatnya di ibu negara.

Abdullah juga sekali lagi mempersoalkan kedudukan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mengelolakan aduan kepada jawatankuasa disiplin kerana ia dilihat memberikan kuasa yang cukup besar kepadanya.

Perkara itu juga, tambahnya, menunjukkan jawatankuasa itu seolah-olah hanya menerima arahan dari setiausaha sgung.

"Jika inilah keadaannya, ianya perlu diperbetulkan bagi mengelakkan konflik kepentingan dan juga angapan-anggapan negatif yang lain. Soal menentukan sesuatu aduan tatatertib itu mempunyai merit atau sebaliknya, tidak sepatutnya diputuskan oleh seorang individu sahaja.

Beliau juga sempat menempelak Mustafa yang tidak langsung memanggilnya berhubung aduannya walaupun telah memberitahu media akan melakukannya segera awal bulan ini./Malaysiakini

Australia gesa gugur tuduhan liwat Anwar

SYDNEY - Lebih 50 Ahli Parlimen Australia mengemukakan memorandum bantahan rasmi kepada Malaysia menggesa dakwaan liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan.

Kumpulan itu yang terdiri daripada Ahli Parlimen dan Senator dalam dua parti terbesar di Australia, memberi amaran bahawa dakwaan tersebut akan mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.

Mereka mendesak kes ke atas Anwar diketepikan dalam usaha memulihkan keyakinan terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Memorandum bantahan itu diserahkan oleh Ahli Parlimen daripada Parti Buruh dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Salman L Ahmad di Canberra, kelmarin.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mendakwa kementeriannya akan menjelaskan fakta-fakta mengenai perbicaraan kes liwat Anwar ke:pada Ahli Parlimen Australia.

"Kerajaan sedia maklum bahawa perbicaraan Anwar akan menarik perhatian pelbagai pihak sama ada di dalam atau di luar negara, seperti perbicaraan lain yang melibatkan beliau sebelum ini.

"Reaksi daripada beberapa Ahli Parlimen Australia dalam perkara ini bukanlah satu perkara yang di luar dugaan," katanya.

Beliau berharap pihak berkenaan dapat menghayati, menghargai dan menghormati keluhuran undang-undang Malaysia yang mengutamakan keadilan dan hak rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat./Sinar

PAK LAH, UMNO KENA KELENTONG OLEH UTUSAN MELOYA

Maulidur Rasul Guan Eng Bidas Utusan, Cabar TPM Sertai Sama

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengesahkan perarakan Maulidur Rasul tahunan akan diadakan seperti biasa sambil membidas laporan Utusan Malaysia, yang mencetuskan rasa tidak senang dan protes di kalangan pemimpin Umno dan umat Islam, sebagai satu pembohongan.

Lim juga menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pentadbirannya anti-Islam atas alasan kononnya telah membatalkan perarakan itu kali ini.

Sebaliknya beliau menjemput timbalan perdana menteri itu sendiri mengambil bahagian dalam sambutan tiga hari akhir bulan ini.

“Saya mencabar timbalan perdana menteri untuk menyertai perarakan ini apabila ia diadakan,” kata Lim sambil menambah, media arus perdana dengan sengaja membelakangkan berita atau tidak melaporkan perkara yang sebenar tentang Pulau Pinang.

“Utusan Malaysia berbohong dan saya tidak mahu Muhyiddin memalukan dirinya sendiri dengan mempercayai pembohongan itu,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.

Setiausaha agung DAP itu kini berhadapan dengan siri dakwaan bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Zahrain Hashim yang semalam keluar parti itu untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Bulan lalu Zahrain mengecam keras kepimpinan Lim dan semalam pula mengumumkan keluar Pakatan Rakyat.

Lim yang mengetuai Pulau Pinang sejak Mac 2008, sendiri pernah mengambil bahagian dalam perarakan itu selaku ketua menteri bagi memperlihatkan beliau juga mengambil berat tentang sentimen umat Islam.

“Jangan mempolitikkan isu ini. Timbalan perdana menteri tidak harus bergantung pada maklumat-maklumat Utusan Malaysia yang tidak disahkan. Laporan bahawa kami hendak membatalkan perarakan ini adalah satu pembohongan,” katanya.

Lim telah pun melarang Utusan Malaysia dan New Straits Times, kedua-duanya dikaitkan dengan Umno, kerana menurut beliau seringkali salah lapor dan enggan membawa jawapan balas beliau.

Semalam Muhyiddin berkata tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Lim yang membatalkan acara tradisi umat Islam yang diadakan sebagai tanda rasa cinta dan sayang mereka kepada Nabi Muhammad, seolah-olah menunjukkan mereka tidak menyokong hasrat dan cita-cita orang Islam.

Katanya perkara yang telah menjadi amalan tradisi tidak sepatutnya diberhentikan apatah lagi dalam situasi negara yang perlu sentiasa menjaga sensitiviti semua kaum.

Menurut Muhyiddin sebagai sebuah kerajaan negeri yang memerintah, mereka sepatutnya meneruskan amalan yang membawa kebaikan kepada sesebuah masyarakat di negeri berkenaan kerana ia melambangkan pimpinan memahami dan menghormati agama-agama lain.

“Apakah ini hendak menunjukkan satu sikap baru daripada DAP bahawa mereka tidak menyokong hasrat dan cita-cita umat Islam? Kita tanya balik pada dia (Guan Eng),” kata Muhyiddin.

Menurut laporan Utusan Malaysia semalam, mesyuarat jawatankuasa induk majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masihi peringkat negeri pada 3 Feb lalu memutuskan perarakan tersebut dibatalkan tetapi majlis perhimpunan ummah diteruskan di Dewan Sri Pinang.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua ketua jabatan, ketua badan berkanun dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.

Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga melahirkan pandangan sedemikian dengan meminta kerajaan Pulau Pinang tidak wajar membatalkan perarakan Maulidur Rasul di negeri itu kerana ia adalah perarakan aman dan tidak mendatangkan keburukan.

Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata tindakan membatalkan perarakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri mengandaikan perarakan itu akan menjadi sesuatu yang tidak baik, membawa keburukan serta menyebabkan pergaduhan.-MalaysianInsider/TVSelangor

Anwar: 'Zahrain khianati penyokongnya'


Feb 12, 10 6:44pm
Peletakan jawatan ahli parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim daripada PKR merupakan 'pengkhianatan' terhadap mereka yang bertungkus-lumus memenangkannya dalam pilihan raya lepas, kata ketua umumnya.

"Ini belum pernah terjadi, beliau telah mengkhianati semua yang bekerja keras membantunya memenangi kerusi tersebut (Bayan Baru) untuk PKR dan Pakatan Rakyat," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga ketua pembangkang diminta mengulas keputusan Zahrain yang meletakkan semua jawatannya dalam PKR dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas pagi ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Anwar berkata, beliau kesal dengan keputusan Zahrain tersebut.

Beliau juga menambah, segala tuduhan yang dilemparkan Zahrain terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak berasas sama sekali.

Anwar juga tidak bersetuju bahawa DAP 'tidak dapat disentuh' dan berkata PKR, PAS dan DAP telah berjaya duduk bersama membincangkan pelbagai isu.

"Semalam baru saja kami bertemu, (Presiden PAS Datuk Seri) Abdul Hadi Awang, Lim dan saya," katanya.

Anwar bagaimanapun enggan mengulas berhubung soalan sama ada lebih ramai wakil rakyat PKR akan meninggalkan parti itu.

Zahrain sebelum ini memegang jawatan sebagai ketua PKR bagi cabang Bayan Baru.

Sementara itu, timbalan ketua PKR cabang itu M Nyanasegaran - yang juga kawan rapat Zahrain - mengakui berasa sedih terhadap keputusan itu.

Bagaimanapun, Nyanasegaran menambah, cabang itu akan terus bekerja mempersiapkan cabaran menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Ini bukanlah penghujung dunia... hidup mesti diteruskan," katanya./Malaysiakini

Jumaat, 12 Februari 2010

VIDEO CERAMAH DS ANWAR GEMPUR NAJIB MALAM TADI (KLIP VIDEO SETERUSNYA TERDAPAT DI DALAM BLOG INI)

REFORMASI BERGEMA DI BATU CAVES, ANWAR TERUS MENDAPAT SAMBUTAN

3,000 banjiri dewan dengar ceramah Anwar
Salhan K Ahmad
Feb 12, 10
3:19pm

Lebih 3,000 orang yang membanjiri Dewan Sri Siantan di Batu Caves malam tadi untuk mendengar pemimpin Pakatan Rakyat bercakap mengenai kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Para penceramah di program 'Bersama Selamatkan Malaysia' itu - termasuk Anwar sendiri - berkali-kali menegaskan bahawa kes berkenaan sengaja diada-adakan untuk memfitnah dan mengaibkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Di samping mengulas mengenai keterangan Mohd Saiful Bukhari di mahkamah, Naib Presiden PKR, Azmin Ali turut menyeru hadirin supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia, dalam satu kempen 'bankrapkan Utusan Malaysia.'

"Saya seru supaya semua kerajaan Pakatan Rakyat dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri bawah Pakatan Rakyat supaya tidak lagi melanggan dan membeli iklan di Utusan Malaysia.

"Saya cadang supaya semua GLC bawah Pakatan Rakyat guna media baru termasuk Suara Keadilan, Harakah, Malaysiakini dan The Malaysian Insider," katanya lagi.

Tambahnya, jika kempen itu dijalankan dengan bersungguh-suingguh, maka penerbit Utusan Malaysia boleh muflis dalam masa tiga bulan.

Sementara itu, seorang lagi penceramah, Gobind Singh Deo pula berkata penyokong Anwar tetap berani menangkis tohmahan terhadap ketua umum PKR itu, termasuk oleh bapanya sendiri Karpal Singh.

Sebelum itu, Karpal Singh dilaporkan berkata, memandangkan Hakim Mohamad Zabidin tidak berterus terang kerana tidak merujuk Utusan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah berhubung laporan yang dianggap palsu, pihak pembelaan melihat itu sebagai “satu pembohongan oleh Yang Arif”.

Gobind, yang juga ahli parlimen Puchong juga berkata ketegasannya membangkitkan isu, juga menyebabkan beliau digantung daripada Dewan Rakyat selama setahun, tahun lalu.

"Bila saya tanya (Datuk Seri Najib Razak) apa yang terjadi kepada Altantuya Shaariibuu di dalam dewan, apa dia buat? Saya digantung daripada dewan.

"16 Mac ini saya akan masuk semula ke dewan dan (akan) tanya Najib semula," katanya.

Ketika memperkenalkan bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin selepas itu, Gobind juga mengumumkan Nizar sebagai "menteri besar Perak yang sah."

Nizar dalam ucapannya selepas itu, tanpa membuang masa, mengulas mengenai keputusan mahkamah dalam menentukan siapakah antara beliau dan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menteri besar perak yang sah.

"Tapi keputusan itu sudahpun kita jangka. Kita sudah agak ia akan berlaku begitu," katanya sambil menambah keputusan itu juga kini membuatkan semakin meningkatkanya penolakan rakyat Perak terhadap BN.

"Akibat keputusan hakim itu, sokongan kepada kita kini bertambah dan kini menggerunkan BN. Banyak lagi negeri yang akan tumbang hasil daripada kezaliman yang mereka lakukan di Perak," katanya.

Menyentuh kes liwat Anwar, Mohd Nizar berkata ia tidak mungkin berlaku kerana Anwar sering mengimamkan solat jemaah.

"Kalau Datuk Seri Anwar pergi ke mana-manapun, orang akan menjemput beliau supaya menjadi imam. Siapa pernah tengok Najib mengimamkan solat?

"Jadi, adakah seorang kaki liwat boleh mengimamkan solat?" kata Mohd Nizar.

Anwar yang menaiki pentas kemudiannya berkata beliau telah mendapat pelbagai jolokan sepanjang menjadi pembangkang, termasuk sebagai 'ejen Cina', 'ejen Yahudi' dan juga 'pengkhianat Melayu.'

"Sekarang mereka panggil saya peliwat," katanya sambil menambah, beliau kini setentunya diberikan gelaran 'Tun' jika terus bersama Umno.

Mengulas lanjut, Anwar berkata perbicaraan kes liwat ke atasnya itu merupakan satu usaha untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

"Kita faham perkara ini akan dilakukan sejak tiga bulan lalu, kes perbicaraan saya dan juga keputusan mahkamah ke atas menteri besar Perak," katanya lagi.

Dalam ucapannya hampir satu jam, Anwar juga berkata kes perbicaraan liwat ke atasnya itu turut mendapat perhatian pemimpin ulama dunia, Dr Yusoff Qardawi yang telah menelefonnya berhubung perkara itu.

"Dia suruh saya bangkit dari tidur dan duduk di sejadah. Saya tanya kenapa, beliau jawab 10,000 orang pada masa itu dalam satu perhimpunan majlis zikir yang sedang berdoa untuk saudara," katanya lagi.

Selain itu, menurut Anwar, kes itu juga kini mendapat perhatian ulama tempatan termasuk pemimpin PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tambahnya, Abdul Hadi akan mengulang cetak sebuah buku karangan presiden PAS itu berkaitan hukum qazaf yang ditulis 10 tahun lalu bagi menerangkan kepentingan kes itu didengar di mahkamah syariah./Malaysiakini

Komen Blogger:

Saya pun hadir di dalam ceramah DS Anwar dan YAB Nizar malam tadi bertempat di Batu Caves. Seperti biasa laluan sesak, sudahlah trafik light banyak, Polis pula buat sekatan berhampiran Trafik Light. Yang peliknya, ketika penceramah lain berucap, speaker luar dewan dibenarkan berfungsi. Di luar dewan, sesak dengan orang ramai menonton skrin yang disediakan. Tiba-tiba, ketika DS Anwar bangun untuk berucap, pihak berkuasa mengarahkan Speaker pembesar suara di luar dewan ditutup.

Maka, YB Azmin mengarahkan semua yang hadir memenuhi dewan sehinggakan mereka memanjat pentas mengelilingi DS Anwar yang berucap. Dewan yang sebesar itu masih juga tidak menampung kehadiran ramai rakyat yang terus menyokong DS Anwar. Siapa yang berkata DS Anwar kini tidak lagi punyai sokongan? Malam tadi terbukti sudah.

Kelemahan penganjur malam tadi adalah:

1. Sistem pmbesar suara di luar dewan kurang memuaskan.
2. Skrin luar dewan tidak diselenggara dengan baik, gambar yang dipancarkan tidak memuaskan.
3. Kurang persediaan bagi menyambut kehadiran tokoh utama.

Apa pun, tahniah juga buat penganjur kerana dapat menjayakan program malam tadi. Segala kelemahan kecil seperti ini diharapkan akan diatasi di masa-masa akan datang.

http://wfauzdin.blogspot.com


BELI KAPAL SELAM TIDAK BOLEH MENYELAM ?

Scorpene tidak boleh menyelam


KD Tunku Abdul Rahman selamat tiba di pangkalan Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia di Pulau Indah, Klang pada September tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Panglima Tentera Laut Jen. Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan terdapat kerosakan teknikal pada kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman yang menyebabkan ia tidak boleh menyelam.

Beliau berkata, kerosakan mekanikal itu dikesan pada 17 Januari lepas ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah.

"Kerosakan itu melibatkan bahagian yang menyalurkan tekanan air keluar masuk yang menyebabkan kapal itu gagal untuk dilancarkan ke bawah permukaan air," katanya./Kosmo

FACEBOOK `I HATE SAIFUL BUKHARI' DAPAT SAMBUTAN HANGAT

'I Hate Saiful Bukhari' dapat sambutan

SHAH ALAM – Laman sosial Facebook terus menjadi medan kepada orang ramai menyalurkan kebencian terhadap individu.

Sasaran terbaru, saksi pertama kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25 yang menjadi mangsa kebencian pelbagai pihak dalam satu akaun kumpulan Facebook mengelarkan diri sebagai ‘I hate Saiful Bukhari’.

Sinar Harian difahamkan akaun kumpulan itu ditubuhkan 5 Februari lalu iaitu pada hari ketiga prosiding kes liwat Anwar, di Mahkamah Tinggi Jalan Duta dibicarakan.

Setakat ini, kumpulan itu berjaya mengumpul hampir 10,000 peminat.

Laman Facebook kumpulan itu juga memaparkan gambar profil Saiful bersut hitam, dalam keadaan terbalik serta tertera perkataan ‘gua benci lu’./sinar