RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 13 Februari 2010

Australia gesa gugur tuduhan liwat Anwar

SYDNEY - Lebih 50 Ahli Parlimen Australia mengemukakan memorandum bantahan rasmi kepada Malaysia menggesa dakwaan liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan.

Kumpulan itu yang terdiri daripada Ahli Parlimen dan Senator dalam dua parti terbesar di Australia, memberi amaran bahawa dakwaan tersebut akan mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.

Mereka mendesak kes ke atas Anwar diketepikan dalam usaha memulihkan keyakinan terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Memorandum bantahan itu diserahkan oleh Ahli Parlimen daripada Parti Buruh dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Salman L Ahmad di Canberra, kelmarin.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mendakwa kementeriannya akan menjelaskan fakta-fakta mengenai perbicaraan kes liwat Anwar ke:pada Ahli Parlimen Australia.

"Kerajaan sedia maklum bahawa perbicaraan Anwar akan menarik perhatian pelbagai pihak sama ada di dalam atau di luar negara, seperti perbicaraan lain yang melibatkan beliau sebelum ini.

"Reaksi daripada beberapa Ahli Parlimen Australia dalam perkara ini bukanlah satu perkara yang di luar dugaan," katanya.

Beliau berharap pihak berkenaan dapat menghayati, menghargai dan menghormati keluhuran undang-undang Malaysia yang mengutamakan keadilan dan hak rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat./Sinar

1 ulasan:

  1. Manusia zalim boleh melakukan apa saja kezaliman ke atas manusia lain dan boleh menutupnya dengan segala kekuasaan yang ada pada mereka. Namun ingatlah apabila kita dihadapkan ke mahkamah Allah kelak, ketika itu bukan hanya mulut yang berkata-kata tetapi seluruh anggota tubuh badan menjadi saksi. Kulit mereka akan menjawab, "Allah yang telah menjadikan segala sesuatu pandai berbicara telah menjadikan kami pandai (pula) berkata-kata, dan Dialah yang mencipta kamu pada kali pertama dan hanya kepadaNyalah kamu dikembalikan" (Q 41:21)

    BalasPadam