MERUJUK kepada apa yang disebut oleh Nik Amar, bahawa Pas tiada masalah bersendirian sekiranya tiada lagi ikatan bersama KEADILAN setelah Pas menyingkirkan Dap, aku yakin dengan apa yang disebut oleh Nik Amar itu. Ikhlasnya, memang Pas mampu bersendirian jika kita tidak bercakap soal ke Putrajaya.
Begitu juga dengan apa yang disebut oleh Dr Haron Din, Mursyidul Am Pas bahawa Pas akan menyingkirkan KEADILAN jika parti yang diterajui oleh DS Anwar dan Azizah ini menerima Dap dan Gerakan Harapan Baru (GHB). Ertinya, Pas memberi pilihan kepada KEADILAN samada ingin bersama Pas atau DAR juga GHB. Apakah KEADILAN tertekan dengan alternatif yang diberikan oleh Pas itu?
Kalau ditanya kepada Dap, Pas mahupun KEADILAN, semuanya tentu bersetuju bahawa untuk menjatuhkan rejim Umno/Bn ini tiada jalan lain melainkan dengan gabungan seperti sebelum ini iaitu Pakatan Rakyat. Ini bukan teori kosong, malah telah terbukti bahawa rejim menjadi lemah dengan adanya pakatan pembangkang.
Takdir menentukan segalanya. Kita tidak fokus untuk menjatuhkan rejim selepas PRU 13 yang lalu. Kita tidak konsisten untuk mencapai agenda Buku Jingga yang telah kita persetujui. Pas menghambat benda lain yang tiada kita gariskan di dalam Buku Jingga. Mereka memikirkan bahawa Buku Jingga tidak Islamik tanpa Hudud. KEADILAN pula melihat bahawa apa yang kita ingin capai di dalam Buku Jingga itu juga adalah kewajipan yang dituntut oleh Islam. KEADILAN tidak melihat tanpa Hudud di dalam Buku Jingga maka kita gagal melaksanakan tuntutan Islam.
Apakah Dap selama ini menghalang semua agenda Islam Pas? Atau, adakah KEADILAN yang dipimpin oleh orang Melayu Islam itu anti kepada Islam? Jika Pas tidak beranggapan sedemikian, maka sebab apa Pas boleh hilang fokus? Apa pun, Dap dan KEADILAN terus melihat Pas dengan caranya sendiri. Pas yakin Umno akan membantunya menjayakan agenda Islam iaitu Hudud. Terbukti setakat ini, bunga-bunga untuk Umno membantu Pas tidak kelihatan. Bagaimana mungkin Umno mahu kepada Hudud di dalam masa yang sama mereka membawa akta zalim yang bercanggah dengan keadilan Islam itu sendiri, umpamanya akta POTA dilaksanakan? Lojikkah Hudud mahu didukung serentak dengan POTA?
Pas gagal melihat helah Umno. Paling mengecewakan bila Nik Abduh sendiri akhirnya mengaku bahawa Pas sanggup dan rela menjadi mangsa penipuan kerana Pas bukan pihak yang menipu. Benar, penipu itu berdosa dan mangsa penipuan tidak berdosa. Tetapi apakah dengan sengaja mendedahkan diri untuk ditipu berkali-kali itu menepati kaedah Islam?
Benarlah ramalan aku selama ini. Silap perhitungan, yang dikejar tidak dapat manakala yang dikendung berciciran. Hudud entah ke mana, Pas pula kehilangan rakan-rakan yang selama ini sanggup menangis dan ketawa bersama. Umno pula semakin lebar senyumannya.
Alhamdulillah, wujudnya GHB ini, hati kita sedikit terubat. Rupa-rupanya masih ada di kalangan Pas yang masih kenal wajah Umno. Bersamalah kita mendoakan agar Pakatan Rakyat 2.0 akan menjadi kenyataan demi meneruskan perjuangan menentang rejim umno/Bn.