RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Rabu, 8 Julai 2009

ISU KEDAH - PETEMUAN PAS-DAP ESOK

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan bertemu dengan pemimpin DAP termasuk penasihatnya Lim Kit Siang esok bagi membincangkan krisis antara PAS dan DAP di Kedah.

Menurut Setiausaha Akhbar MB Kedah, pertemuan itu akan diadakan di pejabat milik anak syarikat kerajaan negeri Kedah di jalan Yap Kwang Seng jam 3 petang esok. Pertemuan ini diadakan ekoran tindakan Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su, yang membuat pengumuman DAP keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

Langkah ini diambil ekoran rasa tidak puashati mereka terhadap langkah kerajaan negeri Kedah pimpinan Azizan yang tidak menghalang perobohan pusat penyembelihan babi oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Kampung Berjaya, Alor Setar 1 Julai lalu. Sebelum itu, MBAS telah mengeluarkan notis kepada pusat penyembelihan itu agar ia dirobohkan kerana membebaskan bahan buangan tanpa kawalan.

Antaranya memasukkan sisa penyembelihan dan pemerosesan babi dalam tong sampah biasa MBAS di samping membuang sisa babi ke dalam sungai berdekatan. Pusat itu juga mengeluarkan bau yang busuk terutama selepas hujan. Persatuan Penyembelihan dan Perniagaan Babi yang menguruskan pusat itu merayu MB Kedah agar memberikan tempoh kepada mereka sebulan untuk mencari tempat yang baru. Ekoran itu, pejabat MB Kedah telah meminta MBAS meluluskan rayuan itu dan memberikan tempoh sebulan yang diminta itu.

Menurut DAP, enam tempat telah dicadangkan untuk menjadi ganti kepada pusat itu namun tidak mendapat kelulusan dari kerajaan. Kerajaan negeri pula mencadangkan Kampung Cina Pendang sebagai ganti namun pihak berkuasa tempatan menolaknya. Di samping Kampung Berjaya, babi juga disembelih di dua tempat lagi di Kedah iaitu di Simpang Empat, Kangkong dan Tunjang. Pada 26 Jun, persatuan telah menghentikan kegiatan mereka di pusat itu. Pada 1 Julai, ia telah dirobohkan oleh MBAS selepas tempoh sebulan tamat pada 30 Jun. Namun, DAP dan Gerakan membantahnya dengan alasan kerajaan negeri tidak sensitif dengan keperluan orang bukan Islam. Lalu Pengerusi DAP Kedah/Perlis mengambil keputusan keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Namun, bagi Azizan, kenyataan itu tidak muktamad kerana beliau tidak menerima sebarang surat dari DAP.

Pertemuan esok dijangka akan membincangkan isu ini dan menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka melalui perundingan. /Sumber :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan