Saya tidak pasti apakah surat terbuka saya ini akan dibaca oleh saudara atau tidak. Putri sulung saudara, Nurul Izzah Anwar dalam satu kesempatan pertemuan di Parlimen tidak lama dahulu, ketika saya ke sana atas urusan kerja, memberitahu saya yang banyak tulisan saya yang mengkritik saudara telah memberi kesan yang sangat mendalam terhadap keluarga saudara. Atas sebab itu, saya tidak kecil hati jika saudara tidak mahu membaca tulisan ini.
Sebagai seorang yang tidak pernah bergelar ahli Umno, sebelum dan selepas, dahulu, kini dan selamanya, percayalah, segala apa yang disebut orang sebagai kritikan, komen atau kupasan saya tentang saudara adalah datang dari seorang kawan, bukan seorang musuh! Cuma mungkin, saya bukanlah kawan saudara seperti Zahrain Hashim ataupun Nallakarupan, saya tidak kenal saudara berpuluh tahun dan saya juga tidak kaya seperti mereka.
Saya tidak pernah terlibat dengan reformasi 1998, tetapi saya antara yang hadir dan mengisi borang keahlian bila Parti Keadilan Nasional (PKN - sekarang PKR) dilancarkan pada 4 April 1999 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur. Pada tahun 1998, ketika saudara sedang hangat memimpin massa menggoncang pemerintahan Mahathir, yang kemudiannya popular dengan nama gerakan reformasi, saya telah ke UUM Kedah melawat junior-junior saya yang masih ada di sana. Dalam perjalanan pulang, saya telah singgah di Kulim, di rumah ayah angkat saya, Ustaz Wahab, seorang pendakwah bebas, juga ahli jawatankuasa Persatuan Ulama Negeri Pulau Pinang ketika itu. Rumahnya di Jalan Ayer Merah, berhampiran dengan Kolej Matrikulasi MARA Kulim, tempat pengajian saya sebelum ke UUM.
Dalam kesempatan pertemuan itu, Ustaz Wahab telah bercerita tentang saudara kepada saya, tentang pertemuannya dengan saudara di rumah saudara di Bukit Damansara sebelum saudara ditangkap. Bersandarkan keperibadiannya yang saya kenal, saya percaya apa yang dia percaya, iaitu saudara tidak bersalah! Bahkan Ustaz Wahab telah membawa saya melihat rumah saudara di Cherok Tokun, Bukit Mertajam, sebuah rumah tipikal orang utara, rumah kayu bertiang tinggi yang mana bahagian bawah kemudiannya diubahsuai menjadi tingkat bawah rumah, jadilah ia rumah dua tingkat, keseluruhan rumah saudara dicat warna putih.
Ustaz inilah, ayah angkat saya inilah yang membawa saya menyertai PKN @ PKR, sehinggalah saya berjaya mendaki tangga kepimpinan parti, menjadi Exco AMK selama dua penggal, sebelum saya mengambil keputusan mengucap sayonara pada bulan Julai 2007. Dahulu saya menyertai parti ketika saudara menghadapi pertuduhan liwat kali pertama, saya cukup percaya saudara dizalimi, sampai hari ini pun...
Ketika saya meninggalkan parti dahulu, saya ada mengatakan yang parti sudah rosak akidah perjuangannya, keutamaannya adalah kedudukan pemimpin-pemimpin besar tertentu dan permainan politik berkaitan dengan bagaimana mempertahankan kedudukan itu. Hari ini ia semakin menampakkan kebenarannya, pemimpin-pemimpin besar inilah, yang kebanyakannya diangkat saudara sendiri, semakin meninggalkan saudara. Tidak kiralah Zahrain Hashim, Nallakarupan dan Datuk Nasha yang hanya seminggu bersama saudara, semuanya dari air tangan saudara. Yang lain termasuklah silver frog dari Perak, Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jailu yang berdosa meruntuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di sana.
Ketika saudara mengangkat Zahrain Hashim sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, semata-mata kerana dia adalah sahabat saudara puluhan tahun, tindakan saudara telah ditentang hebat oleh AMK Pulau Pinang yang ketika itu di bawah teraju Amizuddin Ahmat, tetapi saudara pertahankan keputusan saudara. Saudara lihat sekarang, Amizuddin memang seorang yang lantang dan kadang-kadang lepas cakap, tetapi dia kekal setia dengan perjuangan keadilan, sedangkan yang kononnya "sahabat 30 tahun" saudara itu, Zahrain Hashim meninggalkan saudara setelah berjaya mendapat gelaran Datuk Seri, tentulah harganya menjadi semakin mahal sekarang ini.
Atas kerisauan yang sama, walaupun telah meninggalkan PKR ketika itu, saya menulis mempersoalkan tindakan saudara melantik Datuk Fauzi Abd Rahman sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Pahang (sekarang Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang). Sumpah, saya menulis itu bukan kerana saya benci atau bermusuh dengan Datuk Fauzi, bahkan anaknya adalah rakan baik saya. Saya cuma prihatin dan bimbang, kata orang tempat jatuh lagi dikenang, ini pula tempat bermain! Saya bimbang dengan bekas elit Umno yang biasa dengan kemewahan, yang biasa dengan kereta menjalar, rumah dan pejabat besar, apakah mereka betah untuk kehilangannya? Apakah pula cita-cita mereka, adakah hanya kerana "sahabat" Anwar seperti Zahrain dan Nallakarupan tadi?
Dalam tulisan Sayonara saya dahulu, saya turut mengatakan yang agenda rakyat sudah terkebelakang, isu rasuah tinggal sebagai rencah ceramah, bukan lagi berupa gerakan penentangan, reformasi tercicir di dalam peraturan tetap Angkatan Muda sekadar hiasan slogan. Ketika itu ada kalangan angkatan muda yang pernah bersama saya mempersoalkan hujah saya ini. Hari ini, kalaupun tidak sepenuhnya, sebahagiannya telah terbukti betul. Orang-orang seperti Zahrainlah, seperti Nallakarupan, seperti Jamaluddin dan Osman Jailu yang ucapannya berdegar-degar, kononnya bercakap soal perjuangan telah membenarkan apa yang saya tulis. Tiada gerakan penentangan di bawah pimpinan mereka yang boleh disenaraikan, bahkan yang bercakap berdegar-degar inilah yang akhirnya menjadi petualang perjuangan.
Ramai orang menelah, terutama dari kalangan Umno, Ezam adalah trojan horse ketika dia mengambil keputusan menyertai Umno. Namun apa yang jelas hari ini, trojan horse ini lebih ramai di dalam PKR, seperti Zahrain, seperti Jamaluddin, seperti Osman Jailu, dan mungkin juga seperti Zulkifli Noordin. Kebanyakan yang menjadi trojan horse di dalam PKR ini pula adalah "orang pilihan" saudara.
Ada juga cerita tentang "orang pilihan" saudara ini dalam PKR Pahang. Umum mengetahui wujudnya krisis kepimpinan di sini, terutama di antara Datuk Fauzi dengan Azan Ismail, Ahli Parlimen Indera Mahkota. Orang bertanya saya, siapa cantas siapa ini? Saya kata susah mahu cakap, sebab dua-dua "orang Anwar."
Dalam keadaan PKR sedang berhadapan dengan krisis kesetiaan yang teruk inilah, saudara dihadapkan pula dengan kes pertuduhan liwat versi kedua. Orang yang menuduh saudara namanya Saiful Bukhari Azlan, nama yang saya tidak pernah jumpa ketika masih aktif dalam AMK dahulu. Saya tertanya-tanya, berdasarkan latar belakangnya, mengapakah dia yang saudara pilih untuk bekerja dengan saudara, sedangkan AMK dari seluruh negara mempunyai ribuan calon yang berkelayakan, bahkan ramai dari mereka sanggup bersukarela tanpa dibayar sesen pun, asal sahaja makan minum mereka terjaga.
Masalah ini belum lagi dicampur dengan krisis dalaman parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang lain seperti PAS yang masih belum kebah dari dihantui dengan pertembungan kumpulan pro perpaduan dan pro pakatan. Saya faham dalam hal parti lain, saudara hanya mampu memberi nasihat dan pandangan, bukan memberi arahan. Bagi saya, ia sudah satu kejayaan besar jika saudara mampu menyelesaikan masalah pertuduhan liwat kali kedua ini dan paling penting, masalah dalaman PKR yang belum berubat itu.
Untuk kali kedua inipun, saya tetap percayakan kata-kata ayah angkat saya dahulu, yang saudara tidak bersalah dan dizalimi. Saya meninggalkan parti dahulu bukan kerana saya percaya apa yang Ezam percaya, tetapi kerana saya cemuih (kata orang utara) dengan politiking dalaman parti, lebih dari itu saya tidak nampak aura perjuangan di wajah bekas-bekas elit Umno yang saudara angkat sebagai pemimpin PKR, sepertimana saya sudah tidak percayakan Ruslan Kassim bila saya bersalam dengannya ketika dia menjadi calon dalam Pilihanraya Kecil Teluk Kemang lama dahulu, dia bersalam tidak melihat muka orang! Yang saya nampak adalah mata yang mengintai peluang kekuasaan, pangkat dan kedudukan, mata yang sedang mabuk kepayang.
Atas sebab karamah insaniyah, apakah sekali lagi saya harus bangkit membela saudara? Saudara sendiri lihat, yang tidak ramai lagi reformis yang mengikuti perbicaraan saudara yang kali kedua ini. Saya yakin, mereka juga seperti saya, masih percaya yang saudara tidak bersalah dan dizalimi, soalnya ke mana mereka? Saya rasa sebelum terlambat, saudara mesti berbuat sesuatu.
Saya berani mengatakan yang kesalahan saudara adalah kerana saudara tidak mencuba untuk berkenalan dengan mereka, mendalami kelebihan dan pemikiran mereka. Mereka mungkin bukan "sahabat" saudara puluhan tahun, mereka juga mungkin bukan teman bermain tenis saudara, mereka bukan dari kalangan saudagar kaya-raya. Mereka sudah tentu tidak mampu menyumbang harta-benda, tetapi percayalah, mereka adalah pejuang paling setia. Walaupun hari ini mereka tidak lagi menghurungi mahkamah setiap kali perbicaraan saudara berlangsung, tetapi dari jauh mereka tetap menyokong dan berdoa untuk saudara. Mulai sekarang, saudara sudah patut memulakan langkah baru, membina persahabatan baru, dengan anak-anak muda yang tidak pandai berbatik dan berkot ini, di sebalik ini, kebanyakan dari mereka sebenarnya berpendidikan tinggi.
Dari segi ini, penghormatan saya jauh lebih besar terhadap Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri saudara, berbanding dengan saudara sendiri. Wan Azizah benar-benar membawa sosok pejuang dari kaum ibu. Sewaktu saudara masih di dalam penjara, saya banyak kali singgah di rumah saudara di Bukit Damansara dan berceramah di sana. Dia seorang ibu sejati, cuba mengenali, cuba memahami, cuba mengambil tahu, siapa anak muda yang tiba-tiba muncul di sekeliling perjuangan ini. Bahkan saya sampai menyimpulkan yang sokongan terhadap saudara tidak pernah surut ketika itu walaupun saudara merengkok di Sungai Buloh adalah kerana tarikan sikap keibuan Wan Azizah (entah kebetulan entah tidak, nama ibu saya juga Azizah).
Sekali lagi perlu saya tegaskan, saya tidak pernah membenci, tidak pernah memusuhi saudara. Biasalah bila orang muda menegur, bahasanya panas dan pedas. Di sebalik itu, sampai hari ini saya masih tetap mendoakan kerahmatan hidup saudara sekeluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan