RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Khamis, 4 Mac 2010

REFORMIS MAHU ADAKAN DEMO BANTAH PENGKHIANAT RAKYAT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Mac: Kumpulan aktivis Reformasi menyeru pengundi mengadakan bantahan, termasuk demonstrasi aman di kawasan Parlimen masing-masing terhadap ahli-ahli Parlimen melompat parti di samping melahirkan keyakinan penuh mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, mereka juga mengecam budaya politik wang yang diamalkan oleh Barisan Nasional dan ejen-ejen mereka kerana amalan itu adalah virus perosak bangsa dan negara Malaysia.

Kumpulan Reformis adalah penyokong tegar Anwar yang menggerakkan perjuangan reformasi selepas Anwar dipecat dari menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mereka sudah lama senyap tetapi kini mula bersuara kembali melalui kenyataan ini.

Kumpulan tersebut yang mendakwa diberi mandat untuk mewakili lebih 2,000 aktivis reformasi seluruh negara dengan tegas menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Mereka percaya hanya Anwar mempunyai iltizam yang kuat dan mampu untuk membawa agenda reformasi serta perubahan di negara ini dan menyokongnya sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.

Mereka juga menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat, kerana agenda Pakatan Rakyat jelas membawa perubahan, menghapuskan rasuah dan merealisasikan hasrat 'Malaysia Baru'.

Bagi mereka, tindakan ahli-ahli Parlimen yang melompat parti adalah tindakan golongan pengecut yang jelas merupakan pengkhianatan kepada pengundi yang telah mengundi mereka dalam pilihan raya umum lepas untuk mewakili mereka melaksanakan agenda perubahan seperti yang dinyatakan dalam manifesto.

“Oleh itu, kami mencabar golongan ini supaya bersikap 'jantan' dengan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Hanya dengan cara itu dapat mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan sama ada tindakan mereka mendapat restu pengundi,” ujar kenyataan tersebut.

Mereka turut menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat jumlah wang yang ditawarkan kepada ahli-ahli Parlimen yang melompat parti dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

Wakil-wakil aktivis reformasi terdiri daripada Nasir Isa, Mohd Hamdi Mohd Said, Badaruddin Ismail, Syed Baniamin Syed Baharuddin, Norzairi Jantan, Sow Hock Hin, Badrulhisham Mohd hanafiah, Mohd Hafifudin Nordin, Pospan Lingam Sinakanu, Abdul Rahman Hackeem, Zainal Misran (Enot), Zunar dan Haili Ahmad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan