RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Jumaat, 10 Oktober 2014

KENAIKAN GAJI MP - MENGAPA PERLU DITENTANG ?

KINI isu kenaikan gaji Ahli Parlimen galak diperdebatkan.  Wajar atau tidak kenaikan gaji tersebut setelah begitu lama gaji MP tidak dinaikkan dan tahun lepas cadangan kenaikan gaji tersebut ditolak awal-awal lagi oleh Ketua Pembangkang dan PR kerana kenaikannya begitu tinggi.  Isu sekarang, bukan wajar atau tidak tetapi berapa peratus kenaikan itu?  

Aku sokong sangat jika gaji atau elaun MP dinaikkan kali ini tetapi mesti munasabah dan tidak begitu menghiris hati dan perasaan rakyat yang kini tertekan dengan kos kehidupan yang semakin tinggi tambahan pula harga minyak petrol dan diesel baru saja dinaikkan sebelum Hari Raya Korban baru-baru ini.  Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan kenaikan gaji MP tetapi beliau menegaskan kenaikan itu harus dilakukan dengan kadar yang rendah dan munasabah kerana ia sudah lama tidak dinaikkan.

"Saya menunggu cadangan daripada kerajaan, dan pada dasarnya kita setuju kalau kenaikan itu pada tahap yang rendah dan munasabah," kata beliau kepada Malaysiakini di lobi Parlimen hari ini. Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata elaun MP yang sekarang ini berjumlah kira-kira RM6,500 adalah antara yang paling rendah di dunia.  Beliau berkata cadangan kenaikan pada 2012 sebelum ini tidak dipersetujui pembangkang.  Anwar pula berkata beliau sebelum ini menolak cadangan tersebut pada 2012 kerana kenaikan itu terlalu mendadak dan tinggi.  "Dulu saya telah membuat kenyataan menolak kerana kenaikan itu agak mendadak.  Tetapi oleh kerana cadangan dan bertahun tiada kenaikan, kita bersetuju tetapi dengan kadar yang kita anggap munasabah," kata beliau.

Mengapa kita perlu sokong kenaikan gaji MP ini?  Di antaranya adalah seperti berikut;

1.  MP terutamanya dari PR tidak mendapat peruntukan dari Kerajaan Pusat bagi kawasan-kawasan yang mereka wakili dan sekiranya ada sekalipun bukan diberikan terus kepada MP dari PR dan ini menyukarkan perancangan Wakil Rakyat berkenaan untuk membangunkan kawasan masing-masing.

2.  Pengurusan dan pentadbiran Pejabat Khidmat MP perlu kepada peruntukan bagi menyediakan segala kelengkapan pejabat, kelengkapan lojistik dan juga elaun kepada kakitangan Pusat Khidmat di kawasan masing-masing.  

3.  Terbukti masih banyak Pusat Khidmat Wakil Rakyat khususnya dari PR yang menyediakan tabung derma memohon sumbangan orang ramai hanya untuk menyediakan kelengkapan dan peralatan pejabat seperti kemudahan komputer, kertas komputer, dakwat komputer, Telefon/Fax, kemudahan Internet dan berbagai lagi bertujuan untuk melicinkan lagi pengurusan pejabat untuk menyalurkan perkhidmatan kepada rakyat.

4.  Terdapat kakitangan pejabat MP yang tidak bergaji atau mendapat elaun yang terlalu rendah bahkan kadangkala dibayar dan kadangkala tidak.  Namun mereka faham MP dari PR lebih mengutamakan rakyat di kawasan mereka dan MP tidak mempunyai cukup wang untuk kakitangan pejabatnya sendiri.

5.  Menyedari bahawa pengurusan yang licin dan sistematik serta mempunyai kakitangan pejabat yang cekap memerlukan kos dan MP tidak mampu untuk menangung kesemuanya.

Atas dasar ini, maka wajarlah gaji atau elaun para MP ini dinaikkan agar mereka mampu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan efisyen lagi,  Ini bukan masalah MP tidak menghiraukan kesusahan rakyat, tetapi langkah ini juga akan menjadikan MP lebih bersemangat untuk membela nasib rakyat.


Selasa, 7 Oktober 2014

PESTA ARAK "OKTOBERFEST" - KERAJAAN SELANGOR WAJIB HENTIKAN JIKA MAHU LIHAT SELANGOR MEMILIKI RAKYAT YANG SIHAT JIWANYA

SEKARANG ribut pasal "OktoberFest" yang sebenarnya telah pun bermula pada 24 Sept yang lalu dan difahamkan kemuncaknya akan diadakan pada 10 Okt hingga 12 Okt ini bertempat di Tempat Letak Kereta One Utama, Petaling Jaya.  Keributan ini adalah kerana pesta itu merupakan 'pesta minum arak' dan ramai yang menentang aktiviti ini.

Kita faham, arak hanya haram kepada penganut berugama Islam dan aku rasa ugama lain pun tidak 'redha' sebenarnya kepada peminum arak, apatah lagi minum sambil berpesta.  Kita juga maklum bahawa bukan PR yang meluluskan Kilang Arak terbesar di Shah Alam itu, dan ramai di antara kita tahu siapa yang merasmikan Kilang Arak berkenaan puluhan tahun yang lalu.  Bukan Non Muslim yang merasmikannya.  Namun demikian, apakah cukup dengan alasan itu maka kita terpaksa 'restu' dengan aktiviti yang tidak berfaedah langsung dan ianya seolah-olah satu kempen atau mempromosikan arak kepada anak-anak remaja tidak kira Non Muslim lebih-lebih dahsyat lagi kepada yang berugama Islam.

Aku percaya tanyalah kepada semua ibu bapa samada mereka Islam atau tidak, adakah mereka suka anak-anak mereka meminum arak atau menjadi peminum tegar arak?  Mungkin ibu atau bapa mereka sudah tidak boleh disekat lagi ketagihannya, tetapi apakah mereka gembira anak-anak mereka menjadi peminum arak yang tegar sehingga dewasa nanti?  Jawapannya sudah pasti tidak.  Atas faktor ini, kita mohon Kerajaan Selangor di bawah MB baru, YAB Azmin Ali duduk berbincang bersama semua rakan dari PR dan terangkan kepada mereka betapa perlunya pesta arak ini dihentikan.  Apakah tidak cukup lagi arak buat mereka sekadar minum sahaja, mengapa perlu berpesta?  Apa untungnya kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan lebih jauh lagi kepada Negeri Selangor, khususnya.

Jika PR tidak berupaya mengharamkan arak dari dijual atau menutup Kilang Arak terbesar di Shah Alam itu kerana kuasanya berada di bawah Kerajaan Pusat yang ditunjangi Umno, paling kurang kita elakkan untuk menjadikan Selangor sebagai negeri yang ada aktiviti berpesta arak.  Arak minuman yang dibenarkan kepada penganut ugama lain, memadailah mereka membelinya dikedai-kedai yang ditentukan sahaja dan mereka boleh sahaja meminumnya seperti minuman biasa tanpa perlu berpesta.  Bagi umat Islam, hukumnya jelas tiada dalih lagi.

Sehubungan itu, aku mengutuk sekeras-kerasnya Kerajaan Negeri Selangor sekiranya kerajaan yang baru dibentuk dengan MB barunya ini terlibat secara langsung atau tidak langsung 'merestu' aktiviti yang tidak sihat ini.  Ini bukan soal ekstremis tetapi memadai kita melihat dari sudut moral, adakah wajar arak ini dijadikan satu pesta sedangkan semua tahu samada Non Muslim lebih-lebih lagi Muslim bahawa arak ini banyak mendatangkan mudharat berbanding dengan kebaikannya.  Hentikan aktiviti yang bakal meracun minda anak-anak muda kita tidak kira apa jua agama.  Jika merokok yang semua tahu satu amalan yang tidak baik untuk diamalkan, apatah lagi dengan arak.

Azmin Ali wajib peka dengan isu ini.  Rakyat mesti diterangkan mengapa Kerajaan Negeri tidak mahu rakyat Selangor menjadi semakin ramai ketagih dengan arak dan mengapa aktiviti negatif ini mesti dihalang.  Kita juga berharap semua pimpinan parti di dalam PR juga peka dengan isu ini dan bersama-sama menjadikan Selangor sebagai negeri yang bukan sahaja maju tetapi mempunyai rakyat yang sihat jiwanya. 

Hentikan "OktoberFest".

Rabu, 1 Oktober 2014

ISU DUA ADUN "BARUA" - PAS MESTI ADIL DAN DILIHAT ADIL

SETELAH dilabel dengan berbagai ungkapan, "Broker dan Barua" serta pengkhianat kepada parti, sehingga kini kebenaran masih dilihat kepada dua Adun PAS yang menyokong SD terhadap DS Wan Azizah sebagai MB Selangor sebelum Istana membuat keputusan memilih Azmin.

Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dari Selangor, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin telah pun di 'temuduga' oleh SUA PAS, Mustafa Ali semalam dan hasilnya Mustafa menyatakan kedua-dua Adun tersebut tidak perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti.  Kenyataan Mustafa Ali ini merupakan satu kemenangan moral kepada mereka walaupun kes itu tidak ditutup kerana ianya hanya akan diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat.

Kata Mustafa, " Prosedurnya ialah Saari dan Hasnul perlu bertemu setiausaha agung untuk menjelaskan perkara yang berlaku. Selepas pertemuan, pejabat setiausaha agung akan menentukan sama ada kes ini perlu siasatan lanjut atau tidak.   "Jika pejabat setiausaha agung merasakan ia perlu siasatan lanjut, maka kes ini akan dirujuk kepada lembaga disiplin untuk lakukan siasatan lanjut.
 
DAP terlebih awal mengiktiraf kedua-dua mereka sebagai "Wira Pakatan Rakyat" kerana telah menyelamatkan Dun Selangor dari dibubarkan.  Sokongan mereka menjadikan Pakatan memperolehi majoriti 30 Adun yang menyokong DS Wan Azizah.  Bagi pihak PAS pula mereka menganggap 4 Adun iaitu Exco mereka yang berterusan bersama TSKI walaupun TSKI waktu itu tidak berparti (Bebas) PAS anggap mereka juga hero kononnya untuk mengelakkan Dun Selangor di bubarkan dan mengelakkan TSKI memilih Exco dari Umno.  
 
Alasan 4 Exco untuk terus bersama TSKI seawal MB Selangor itu dipecat dari PKR tentunya boleh kita terima kerana waktu itu tiada hitam putih siapa yang memiliki majoriti.   Tetapi apabila DS Wan Azizah telah mendapat hitam putih melalui Akuan Bersumpah 30 Adun yang menyokongnya, maka tidak releven lagi alasan 4 Exco itu untuk terus bergayut di lengan baju TSKI.  Waktu itu, hakikatnya TSKI bukan MB yang memiliki kerajaan yang majoriti.  Tidak munasabah 4 Exco itu masih bersama beliau.

Apa pun, kedua-adua Adun dari PAS ini sememangnya komited dengan semangat kerjasama Pakatan Rakyat yang mana semangat ini juga menjadi keputusan Muktamar PAS sendiri iaitu tetap akan bekerjasama dengan PR.  Siapa yang jujur sebenarnya?  Dua Adun ini atau 4 Exco yang sampai ke akhir 'hayat" TSKI sebagai MB terus bersama beliau?  Jika kita jujur kita pasti akan menjawab dua Adun ini lah sebenarnya yang bertanggungjawab memelihara kerjasama di dalam PR.  Jika tiada seorang pun Adun dari PAS yang bersama dengan keputusan PKR dan DAP, nescaya PAS tidak lagi dipandang sebagai parti yang sanggup bersama rakan disaat kesukaran.  Sepatutnya PAS menghargai pengorbanan kedua-dua Adun ini.

Kita mengharapkan AJK PAS Pusat akan berbahas tentang isu ini.  Aku yakin, kumpulan yang kepingin untuk bersama Umno pasti akan cuba sedaya upaya untuk mengenakan kedua-dua Adun ini nanti.  Percayalah, di dalam AJK PAS Pusat bukan semuanya kemaruk atau pelahap (pinjam kata Tuang Presideng) untuk bersama Umno.  Jangan pula nanti akhirnya keputusan AJK PAS Pusat dicampakkan lagi dan nasib kedua-dua Adun berkenaan akan diserahkan kepada kuasa 'veto' Tuang Presideng atau Majlis Syura.  Jika ini berlaku, terbukti ketidakadilan atau 'bias' berlaku di dalam PAS kerana semua tahu di dalam Muktamar PAS baru-baru ini Tuang Presideng awal-awal lagi menganggap ' barua' kepada mereka berdua, begitu juga kebanyakan ucapan dari Majlis Syura yang seolah-olah telah menghukum kedua-dua Adun berkenaan terlebih awal.

Mana mungkin keadilan dapat ditegakkan jika nasib kedua-dua Adun ini diserahkan kepada Tuang Presideng mahupun Majlis Syura.  PAS bukan saja perlu bertindak adil mengikut kaedah Islam tetapi mesti memperlihatkan keadilan itu.

Ahad, 28 September 2014

JANGAN LAGI ADA "FAEKAH KEDUA" DI DALAM PEJABAT MB SELANGOR

DR HALIMAH ALI, mantan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan, Negeri Selangor memohon ampun dan maaf kepada semua pihak sekiranya ada tersilap dan tersalah sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja sepanjang beliau menjawat jawatan Exco di bawah Kerajaan Negeri Selangor.
 
Beliau adalah di antara Adun dari PAS yang tidak terpilih untuk menjadi Exco di bawah MB Selangor yang baru, YAB Azmin Ali.  Tidak terpilihnya beliau bukan kerana beliau tidak bagus tetapi adalah kerana ingin memberikan peluang kepada Adun-Adun lain untuk memikul amanah yang amat berat itu.  Begitu juga dengan Adun dari PKR, YB Rodziah yang juga tidak terpilih semula untuk jawatan tersebut.  
 
Kepada Exco-Exco baru yang dilantik, adalah menjadi harapan rakyat untuk mereka melaksanakan amanah berpandukan kepada janji-janji PR dan manifesto PR bukannya untuk menyokong peribadi MB yang baru.  Seandainya mereka gagal, termasuk MB sendiri sudah tentunya rakyat akan menghukum mereka atau parti juga berhak menghukumnya sebelum rakyat bertindak.  
 
MB dan semua Exco mestilah sanggup bekerja keras untuk meningkatkan prestasi Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja molek di atas kertas dengan duit yang terkumpul tetapi mestilah dibelanjakan secara total untuk kepentingan rakyat.  Rakyat berhak bertanya ke mana duit Kerajaan Negeri digunakan dan rakyat tidak lagi mahu tahu berapa banyak yang kamu simpan.  Lupakan cara TSKI.
 
Selangor mesti ditadbir dengan merealisasikan semangat merakyatkan Selangor bukan sekadar ritorik dengan kemegahan menabung.  Azmin Ali adalah harapan rakyat untuk melihat perubahan jauh lebih baik dari MB sebelumnya.  Jika Azmin gagal, walaupun beliau bukan pilihan parti pada asalnya tetapi parti tetap bertanggungjawab untuk menjawab kepada rakyat.  Ada yang berpendapat PKR terutamanya boleh berlepas tangan jika Azmin gagal kerana Azmin bukan pilihan utama parti untuk menjadi MB.  Bagi aku, mahu tidak mahu kita terpaksa yakin Azmin boleh membuktikan pilihan Sultan yang kemudiannya diberi mandat oleh parti dan PR ini mampu untuk melakukan yang terbaik.
 
Azmin dan para Exconya diharapkan boleh berganding bahu untuk menjaga nama baik Tuanku yang memilihnya di samping tidak mencemarkan imej parti yang turut memberi kepercayan ke atasnya.  Kepada parti terutamanya PKR perlulah memantau lebih dekat hasil kerja Azmin dan para Exconya dan dapat membantu beliau untuk berkhidmat dengan lebih baik.
 
Rakyat akan menyokong kepimpinan beliau selagi rakyat tidak melihat kepincangan pentadbirannya.  Jauhi diri anda dari sesiapa pun yang dilihat mengampu dan membodek anda sekarang.  Kita tidak mahu lagi ada orang seperti Faekah di Pejabat MB Selangor.  
 

Jumaat, 26 September 2014

PRK PENGKALAN KUBUR - MUKTAMAR SEHINGGA LUPA DIRI AKIBAT KITA TEWAS?

KEPUTUSAN tidak resmi menunjukkan BN mengekalkan kerusi Pengkalan Kubor dengan majoriti 2,635 undi.  Mengikut keputusannya, BN yg diwakili oleh Mat Razi mendapat 9,960 undi manakala PAS melalui calonnya Wan Rosdi mendapat 7,335 undi. Calon Bebas, Izat Bukhary hanya mendapat 37 undi dan hilang deposit.

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi apabila pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.   Dalam pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.  Ertikata lain, PAS lebih teruk tewas berbanding PKR walaupun aku meramalkan PAS mampu menang dengan majoriti kecil dan samasekali tidak menjangkakan PAS tewas seteruk ini.

Khabarnya, undian daripada masyarakat Non Muslim dan anak-anak muda juga terlalu jauh merosot.  Tambahan pula bak kata Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Pengarah PRK ini bahawa di antara faktor kekalahan PAS adalah kerana ramai pengundi luar yang tidak balik untuk mengundi.  Persoalannya, adakah sekiranya mereka balik mereka akan mengundi PAS kerana kebanyakan perantau-perantau terutamanya yang bekerja di kawasan-kawasan bandar mereka celik maklumat dan mereka tahu selama ini apa yang sering diperkatakan orang tentang PAS.

Sewajarnya anak-anak perantau ini akan lebih bersemangat untuk pulang mengundi kerana mereka tahu PAS teramat ingin merampas Kerusi tersebut setelah PKR gagal sebanyak dua kali.  Tetapi mengapa mereka tidak pulang?  Benar, hari mengundi hari bekerja tetapi jika semangat itu tinggi untuk memenangkan PAS aku rasa mereka tetap akan pulang walaupun sanggup membeli "MC" untuk satu hari.  Aku rasa ada sesuatu yang tidak kena kali ini.  Ustaz Tuan Ibrahim pun ada menyebut, ada sesuatu yang tidak kena mengapa anak-anak muda tempatan pun tidak seperti dulu.  

Sedikitpun aku tidak merasakan ketiadaan kempen oleh Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim ke sana menjadi faktor tewasnya PAS.  Anwar bukan hebat lagi di Kelantan, dan Kelantan adalah kubu PAS di Malaysia dan mempunyai berbagai jentera yang teramat kuat.  Bukankah jentera PAS sering dilaung-laungkan sebagai terhebat berbanding PKR?  Sepatutnya selepas Muktamar PAS di Batu Pahat baru-baru ini semangat pemimpin dan para penyokong PAS tentu membuak-buak, apatah lagi di dalam hubungan yang agak kontroversi dengan PKR, tentunya PAS ingin tunjukkan bahawa PAS memang hebat sebenarnya.

Boleh dikatakan kesemua kepimpinan PAS, dari Presiden, Mursyidul Am, ahli-ahli Majlis Syura dan Dewan Ulamak, Pro Ulamak dan Profesional, kesemuanya turun berkempen.  Habis kekuatan PAS turun kali ini.  PKR juga turun membantu dan sewaktu PAS sibuk bermuktamar, jentera PKR mengambil tugas berkempen di beberapa kawasan,  Jentera PKR juga berkampong di Pengkalan Kubur.  Ertikata lain, segala usaha telah kita lakukan demi untuk melihat Umno berkubur di Pengkalan Kubur.  Malangnya, Pengkalan Kubur itu kuburnya milik kita.

Aku melihat kebijaksanaan amat kurang sepanjang kempen.  Bayangkan, sewaktu Muktamar PAS berlangsung yang diketahui menjadi bahan berita media termasuk TV3, pemimpin dan para perwakilan tidak sedarkan diri berpidato menunjukkan kehebatan membelasah rakan-rakan sendiri samada dari PKR mahu pun DAP.  Tidak cukup dengan itu, sesama mereka pun menjadi bahan cemuhan sehingga ucapan menjadi doa laknat, dan tercatat dalam sejarah mulut Tuan Presiden sendiri perkataan "broker dan Barua".  Ini semua adalah bahan makanan yang dihidangkan percuma kepada media-media berlidah syaitan ini.  

Telah dijangka kesemua ucapan negatif sepanjang Muktamar telah dijadikan modal kempen Umno/Bn bahkan dijadikan cogan kata dan ayat-ayat disusun indah di dalam Banner-banner mereka.  Imej PAS sepanjang kempen teruk terjejas angkara Muktamar yang lupa bahawa PAS sedang bertarung di Pengkalan Kubur.  PAS tanpa disedari memberikan peluru kepada musuh.  

Amat sedih sekali ini berlaku.  Ini lah yang selalu aku sebut tidak semua Ulamak itu tahu berpolitik walaupun ugama dan politik itu tidak terpisah.  Politik perlu kepada kebijaksanaan dan strategi yang baik serta tersusun.  Menyerang rakan-rakan di dalam PR, menyerang rakan-rakan seperjuangan di dalam parti ketika Muktamar di mana waktu kempen berlangsung di Pengkalan Kubur bukan satu tindakan bijak malahan teramat songsang sekali. 

PRK memang kita sering kalah.  Kita akui mereka punyai jentera kerajaan yang hebat beserta dengan berbagai umpan yang diberi.  Itu kita akui dan itu juga bukan asing bagi kita dan sepatutnya kita telah bersedia untuk hadapi semua itu.  Malangnya, kita menambah beban lagi dengan masalah dan isu yang kita cipta sendiri.  Muhasabah lah bersama.


Rabu, 24 September 2014

KAJANG MOVE - LANGKAH AWAL AZMIN POSITIF

"KAJANG MOVE"  gagal?  Tentunya tidak gagal kerana aku boleh gariskan faktor-faktor mengapa aku sebut Langkah Kajang ini masih releven dan amat penting diteruskan walaupun tanpa Anwar mahu pun Azizah.  Azmin mampu membawa hasrat besar kita agar dapat merealisasikan objektif "Kajang Move".

Objektif paling penting, keluarkan dulu 'ejen amno' di dalam teraju utama Kerajaan PR Selangor.  Maka, Kajang Move berjaya nyahkan TSKI dari Kerusi MB Selangor setelah beliau gagal membela dirinya dari tuduhan yang dihadapkan kepadanya.  

Gagal meletakkan Anwar dan Azizah sebagai MB Selangor untuk terus menekan amno Selangor, tidak bermakna kita berhenti di situ.  Anak didik Anwar dijadikan pemain simpanan tampil menerajui MB Selangor menggantikan TSKI.  Langkah pertama beliau, kaji semula Perjanjian Konsesi Air dan Langat 2 yang ditandatangani oleh TSKI secara kelamkabut dahulu.  Azmin akan semak semula perjanjian ini samada ianya 'ada udang di sebalik batu". 

Bukan itu saja, Azmin akan mengkaji semula projek Lebuhraya Kidex yang telah mendapat bantahan ribuan penduduk sekitar.  Siapa kontraktor yang bakal memperolehi projek lumayan itu?  Benarkah orang itu adalah kroni Tun Daim yang telah menjadi perantara penyelesaian hutang TSKI?  Ini yang Azmin akan teliti dan ini juga merupakan salah satu objektif Kajang Move.  Dan, banyak lagi projek yang dirancang oleh TSKI sebelum ini bakal disemak semula oleh Azmin selaku MB Selangor yang baru.  Tentunya ini akan menggelisahkan beberapa orang yang selama ini cari makan dengan TSKI.

Apakah anda fikir tanpa Kajang Move semua ini boleh dilakukan?  Mustahil, bahkan TSKI terkenal dengan sifat suka berahsia dengan partinya sendiri.  Kali ini kita akan tahu kebenarannya sejauh mana kehebatan TSKI selama ini untuk memenuhkan poket-poket kroni amno.  Tanpa Kajang Move ianya tidak akan boleh berlaku.  

Adanya Kajang Move, kita kenal siapa kawan kita yang paling setia sewaktu kita susah.  Kajang Move juga mendedahkan kepada kita bagaimana rupanya yang dikatakan Sistem Raja Berperlembagaan.  Itu baru sedikit yang dapat dihuraikan.  Selebihnya kita sendiri akan tahu nanti mengapa Anwar mencipta Kajang Move walaupun sekarang ini mereka memperlekehkan Kajang Move. 

Selasa, 23 September 2014

PKR BUKTIKAN SANGGUP KORBANKAN PRINSIP DEMI TUANKU

AKHIRNYA kita telah berjaya membuktikan bahawa PKR bukan parti yang derhaka kepada Tuanku.  Awalnya ramai yang beranggapan sedemikian apabila PKR terus istiqomah dan konsisten dengan calon MB Selangor, Azizah yang telah pun mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai MB Selangor yang baru.

 Azizah terus menjadi pilihan daripada 1,057 pengundi, namun Istana tidak memilih beliau
(Poll blog ini)

Meskipun dua kali rasanya pihak Istana telah mengeluarkan surat kepada PKR tentang kaedah parti yang hanya menamakan satu calon di mana Istana tetap mahukan lebih senarai calon.  Adakah tindakan PKR itu derhaka?  Anwar telah menjawabnya iaitu PKR meneruskan kaedah yang lazim digunakan sebelum ini, dan PKR juga ingin tunjukkan bahawa tiada rebutan jawatan MB di kalangan PKR untuk menjadi MB Selangor.  Azizah disokong oleh 30 Adun dari PKR, DAP dan dua Adun PAS untuk menduduki Kerusi MB Selangor.

Lazimnya tiada masalah, namun Istana juga punyai hak untuk berbuat apa yang Tuanku ingini.  Rakyat mungkin keliru dengan konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan, jauh bezanya dari apa yang diamalkan di Perak sewaktu kejatuhan Kerajaan PAS di bawah Nizar.  Namun, Anwar tetap bertegas selagi Tuanku tidak menitahkan bahawa Azizah ditolak.  Ramai yang beranggapan Anwar degil kerana tidak menggugurkan Azizah sebagai calon.  Anwar bertindak betul kerana Tuanku tidak pernah secara resminya menolak Azizah.  Maka, usaha terus dibuat agar Istana melaksanakan tugasnya seperti kelaziman iaitu memilih calon MB dari kalangan majoriti.

Malangnya, apabila Tuanku menamakan Azmin sebagai MB Selangor, secara tidak langsung membawa erti Azizah ditolak Istana walaupun Azizah memiliki majoriti.  Apabila ini berlaku, sekali lagi Anwar dan Azizah berjiwa besar dan berkorban untuk mengalah dengan kehendak istana.  Azmin, walaupun tiada parti yang mencalonkannya namun Anwar dan Azizah merasakan Azmin juga layak untuk jawatan itu kerana Azmin adalah Timbalan Presiden PKR dan juga Pengerusi PKR Selangor.  Mungkin Anwar beranggapan jika PKR terus berkeras, mungkin calon lain yang langsung tidak layak akan terpilih.

Tentunya PKR boleh menentang atau mencabar keputusan Istana itu secara baik, tetapi mengambil tindakan memberi laluan kepada Azmin lebih berhemah lagi dan bak kata Azizah, beliau sendiri tidak mahu rakyat Selangor terus dibebankan dengan kemelut MB Selangor.  Di Perak, kes dibawa ke mahkamah.  Anwar lebih lembut dari itu.  Terbukti Anwar tegas tetapi tidak serakus yang mereka fikirkan.

Ada yang mendakwa PKR buat "U-Turn".  Jauh sekali anggapan mereka.  PKR tidak pernah "U-Turn", sebab itulah nama Azizah terus kekal seorang sehingga Tuanku buat keputusan.  Apabila keputusan telah dibuat, pilihan hanya ada dua kepada PKR samada mencabar kesahihan perkenan Tuanku atau menerimanya sebagai tanda hormat.  Anwar memilih pilihan kedua.  Itu pun masih ada yang menuduh naiknya Azmin sebagai MB Selangor memang dirancang oleh Anwar.  Begitulah jahatnya perangai puak-puak ini yang tidak pernah akui apa yang Anwar lakukan.

"Kajang Move" amat berjaya.  TSKI berjaya turun daripada menjadi ejen musuh.  Kajang Move juga buat kita kenal erti persahabatan dan pengorbanan.  Kajang Move yang asalnya ingin menjadikan Anwar sebagai "killer' Umno di Selangor akhirnya dibebankan kepada anak didiknya Azmin.  Ada hikmahnya ini berlaku.  Rakyat lebih kenal dan faham erti dan konsep "Raja Berperlembagaan" itu.  Mungkin kes di Selangor ini akan dijadikan contoh atau rujukan di dalam mana-mana kes selepas ini.  Tetapi harus diingat, kes di Perak dahulu tidak membantu kita di Selangor.

Tahniah Anwar dan Azizah, tahniah kepada semua yang terus bersabar sepanjang kemelut ini.  Tahniah kepada Azmin yang terpaksa naik atas kehendak Istana bukannya membelakangkan parti. 

Selasa, 16 September 2014

PAS BAKAL RAMPAS PENGKALAN KUBUR

UMNO mungkin merasa bertuah kononnya hubungan PAS dan PKR dilihat renggang berikutan krisis MB Selangor dan parti perkauman tersebut merasa amat yakin bahawa mereka boleh menang mudah di PRK Pengkalan Kubur.  Jika itu anggapan mereka, ternyata satu kesilapan besar kerana bagi PAS dan PKR, krisis di Selangor bukan boleh diselesaikan di Pengkalan Kubur dan ianya tiada kaitan langsung.
 

Apakah jika Bn (Na'Uzubillah) menang di Pengkalan maka isu Selangor selesai?  Atau InsyaAllah, jika PAS yang mewakili PR menang di Dun Pengkalan Kubur maka selesai juga isu MB di Selangor?  Tiada kaitan langsung bahkan Pengkalan Kubur tetap menjadi sasaran PR untuk kuburkan Umno.  Kehilangan beberapa Kerusi PAS di Kelantan sewaktu PRU 13 yang lalu sebenarnya menaikkan semangat Parti Islam ini untuk terus bangkit membalas dendam.  
 

PKR telah mencuba nasib di dalam dua PRU sebelum ini dan ternyata tiada rezeki dan nasib PKR di kawasan ini.  Strategi yang tepat bila PKR memberikan laluan mudah kepada PAS pula untuk mencuba nasibnya kali ini.  Ada yang berkata penyerahan Kerusi Pengkalan Kubur kepada PAS adalah kerana PKR tahu mereka akan tewas dan mereka ingin mengambil hati PAS di dalam isu Selangor.  Di dalam hal ini aku hanya bersetuju sememangnya PKR berpeluang besar untuk tewas jika PKR yang bertanding kerana kita boleh lihat analisa dua keputusan sebelum ini.  Namun, untuk menyatakan PKR ingin mengambil hati PAS itu amat silap.  
 
 

PKR sedar bahawa sesiapa pun calon yang bertanding mewakili PR di Pengkalan Kubur tidak akan membantu menyelesaikan isu di Selangor.  Bukan asing PKR buat keputusan seperti itu berdasarkan situasi dan strategi semasa mengikut kebijaksanaan pimpinan kita.  Contoh, di Parlimen Temerloh, Pahang PKR pernah dua kali tewas di situ.  Tiada rezeki buat PKR, maka PR mencuba nasib dengan memberi peluang kepada PAS pula bertanding.  Alhamdulillah, PAS berjaya di Parlimen Temerloh melalui Ustaz Nasruddin Tantawi.  Adalah menjadi tugas dan tangungjawab besar buat MP Temerloh itu untuk menentukan sokongan berbagai kaum di situ tidak lari di dalam PRU 14 akan datang.  Banyak kawasan lain yang boleh dijadikan contoh betapa strategi pembahagian Kerusi ini sentiasa berubah.

Oleh yang demikian, keputusan bijak pimpinan PKR memberi peluang kepada PAS untuk bertanding di kawasan itu sebenarnya amat membimbangkan Umno.  Adakah Umno juga punyai strategi tertentu untuk hadapi PAS kali ini?  Isu awal yang cuba dimainkan oleh Umno adalah seperti yang disebut oleh Tok Pa bahawa PAS tidak boleh jadikan isu royalti sebagai modal berkempen kerana Kerajaan Pusat telah menggantikannya dengan wang ehsan melalui JPP kepada Kelantan.  Soalnya, Kelantan bukan menuntut wang ehsan tetapi royalti minyak yang dijanjikan.  Apatah lagi wang ehsan itu diserah kepada JPP yang bukannya jabatan dari Kerajaan Negeri Kelantan.  Sama seperti serah wang ehsan kepada Umno juga.

Ketua Pemuda Umno, KJ pula yakin golongan muda akan menyokong Bn kerana hanya Bn saja boleh selesaikan kehendak golongan muda.  Cuba tanya golongan muda di negeri-negeri di bawah Bn sekarang apakah semua masalah mereka telah selesai sekarang?  Bagaimana dengan masalah pengangguran dan masalah sosial golongan ini?  Bagaimana dengan hutang PTPTPN mereka?  Memang benar, jika PAS menang di PRK Pengkalan Kubur pun masalah hutang PTPTPN mereka tidak akan selesai kerana ini masalah Kerajaan Pusat, tetapi sekurang-kurangnya anak-anak muda boleh menunjukkan protes mereka bahawa mereka menolak Umno/Bn kerana parti ini tidak mampu untuk membela nasib mereka walaupun telah berkuasa di Pusat dengan sokongan 47% undi popular.

Anak muda di perantauan harus kembali ke Pengkalan Kubur untuk membuktikan kepada Umno/Bn bahawa kemelut di Selangor sedikit pun tidak melemahkan semangat kita untuk nyahkan Umno khususnya di Kelantan.  Kemenangan PAS di Pengkalan Kubur nanti adalah kemenangan PR iaitu PKR dan DAP juga dan kekalahan buat Umno/Bn.  

Walaupun aku banyak tidak sependapat dengan PAS di dalam isu MB Selangor, tetapi aku lebih yakin PAS lebih baik dari Umno.  Maka aku akan cuba sedaya upaya berkempen setakat termampu agar PAS berjaya kali ini untuk kuburkan Umno di kubur yang mereka telah gali, InsyaAllah.
Pemuda Umno yakin seramai 45% pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor tidak akan mensia-siakan peluang untuk terus memilih Barisan Nasional pada PRK itu, 25 September ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana pengundi muda itu mengetahui dengan jelas apa yang telah dilakukan BN pada masa Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar menjadi wakil rakyat DUN itu sejak tiga penggal lalu.
"Alhamdulillah saya lihat semua pengundi muda ini mengenali calon BN, (Mat Razi Mat Ail) yang mampu membawa kesinambungan Allahyarham dan mengambil berat masalah mereka.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khairy-yakin-45-pengundi-muda-tidak-akan-tolak-barisan#sthash.9eSDvFT7.dpuf
Pemuda Umno yakin seramai 45% pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor tidak akan mensia-siakan peluang untuk terus memilih Barisan Nasional pada PRK itu, 25 September ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana pengundi muda itu mengetahui dengan jelas apa yang telah dilakukan BN pada masa Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar menjadi wakil rakyat DUN itu sejak tiga penggal lalu.
"Alhamdulillah saya lihat semua pengundi muda ini mengenali calon BN, (Mat Razi Mat Ail) yang mampu membawa kesinambungan Allahyarham dan mengambil berat masalah mereka.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khairy-yakin-45-pengundi-muda-tidak-akan-tolak-barisan#sthash.9eSDvFT7.dpuf

Sabtu, 13 September 2014

HANYA ADA DUA SYARAT JIKA PAS MAHU JADI MB SGOR

SEBELUM ini aku menulis bahawa jika Tuanku tidak berkenan wanita jadi MB samada atas faktor kewanitaannya ataupun kerana difikirkan tidak layak, walaupun sekurang-kurang 30 Adun telah menyatakan Azizah itu layak, Tuanku boleh saja menimbangkan calon lain dari PKR iaitu Azmin.  

Bila aku sebut Azizah, ada yang kata aku diupah untuk promosi Azizah.  Bila aku sebut tiada masalah untuk pilih Azmin, tuduhan tetap sama aku diupah untuk promosi Azmin.  Betapa bengapnya pemikiran yang beranggapan sedemikian.  Tidakkah mereka pernah membaca aku juga sebelum ini adalah di antara yang paling kuat menyokong TSKI sewaktu kempen pemilihan di dalam parti baru-baru ini?

Sokongan aku pada TSKI bukan sekadar di dalam tulisan, bahkan aku mengundi TSKI di Cabang aku.  Berkempen kuat untuknya.  Adakah waktu itu aku juga diupah?  Berapa banyak duit aku sekarang akibat menerima upahan dari beberapa pemimpin?  Sokongan aku terhenti kepada TSKI apabila beliau telah disabitkan dengan kesalahan tatatertib, itu pun aku amat berharap beliau dapat membela dirinya, menjawab surat tunjuk sebab, menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Jawatankuasa Disiplin Parti.  Malangnya TSKI gagal untuk membela dirinya.  Begitu menghampakan, akhirnya beliau dipecat.  Di situ, aku bukan saja tidak lagi menyokongnya bahkan aku menyokong tindakan parti untuk menurunkan beliau dari Kerusi MB.

Pada aku, sebaik atau sehebat manapun pemimpin itu jika gagal menunjukkan rasa hormat pada parti, itu bukan pemimpin yang aku mahu sokong.  Begitu juga jika aku menyokong Azizah mahu pun Azmin.  Sokongan ini tidak mutlak.  Kita mahu lihat adakah kedua-dua mereka ini mampu menggalas amanah parti dan amanah rakyat jika diberi peluang menjadi MB Selangor.  Jika gagal, kita wajib turunkan mereka.  Bukankah itu yang selalu kita kempen kepada rakyat untuk tukar kerajaan yang gagal membela nasib rakyat?

Aku tahu, ada rakan-rakan dari pihak sana mahukan PAS jadi MB.  Tiada masalah pun asalkan PAS sanggup lakukan dua syarat ini;

Pertama, langgar saja perjanjian untuk tidak mengambil Kerusi MB dari PKR dan perjanjian dari Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang terang dan jelas menyebut, PAS akan tolak jika diberikan Kerusi MB.  Jika PAS sanggup langgar perjanjian ini, tiada masalah.

Kedua, PAS mesti dapat sokongan majoriti dari Adun-Adun terutamanya dari Adun PR.  Atau, PAS sanggup tidor sebantal dengan Umno dan mencuri beberapa Adun lagi dari PR untuk mencukupkan majoriti bagi menjadi MB.  Jika ini berjaya, tiada masalah PAS untuk menjadi MB.

Aku tertarik dengan tulisan Ustaz Mokhtar Senik (Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang) yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, yang menyebut, jika PAS dipilih menjadi MB, PKR dan DAP wajib sokong untuk buktikan kerjasama di dalam PR.  Rasa mahu gelak membacanya sebab kenyataan itu datangnya dari Ulamak.

Tidak perlulah aku sebut mengapa aku nak gelak membacanya.  Tapi yang jelas, kenyataan itu membuktikan tidak semua Ulamak tahu berpolitik dan tidak hipokrit !!

Rabu, 10 September 2014

CALON MB SGOR - PILIHAN AKHIR ADALAH AZMIN ?

BERTIUP kencang kononnya Iskandar Samad dari PAS bakal diangkat sebagai MB Selangor.  Aku sebenarnya tidak percaya kerana mana mungkin MB Selangor diangkat dari calon yang tidak ada sokongan majoriti di dalam dewan, kecuali beliau perolehi sokongan majoriti disaat-saat akhir.

Orang kata Tuanku ada kuasa melantik jika Tuanku mahu.  Jika mahu berhujah "jika Tuanku mahu" , aku patut menyerah saja kerana bak kata Tok Guru Nik aziz, "Raja is Raja".  Dalam maksud Tok Guru tu, orang yang mengaji mantik boleh faham.

Namun aku masih yakin Tuanku tentu lebih memahami konsep Raja Berpelembagaan.  Tentu Tuanku lebih arif mengapa negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan kaitan konsep ini dengan sistem Pilihanraya yang kita amalkan.

Yang diturunkan itu TSKI seorang Melayu Islam.  Yang mahu dinaikkan itu juga Melayu Islam, bezanya Wanita sahaja.  Bab Wanita pula tiada hujah untuk menafikan kelayakan memimpin kecuali hujah dari Hj Hadi yang terlalu mudah untuk kita bahaskan.  Hujahnya terlalu nipis lebih nipis dari kulit bawang.  Jadi, soalnya bukan kelayakan Azizah.

Baiklah, jika Tuanku tidak berkenan dengan Azizah kerana Tuanku mahu seorang lelaki menjadi MB maka kita tidak boleh bantah kerana kita masih ada Azmin, seorang Melayu Islam dan berkelayakan juga.  Jika dikatakan nama Azmin tidak disenaraikan oleh PKR dan DAP juga mungkin tiada dalam senarai PAS,  tiada masalah kerana Istana telah maklumkan Tuanku boleh memilih sesiapa juga Adun yang Tuanku rasa layak dan yakin mendapat sokongan majoriti.  Siapa lagi jika bukan Azmin?

PAS pula telah awal-awal beritahu bahawa PAS tidak berminat untuk Kerusi MB walaupun hantar nama calon.  Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS secara tegas menyebut jika Istana calonkan MB dari PAS, PAS akan tolak.  Maka, tidak mustahil calon MB nanti hanya berkisar di antara Azizah atau Azmin.

Semoga kemelut ini cepat selesai dan jalan penyelesaiannya sudah terbentang awal sebenarnya.  Cuma mahu kepada kejujuran dan keadilan saja untuk menamatkan krisis ini.