RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Isnin, 13 Jun 2016

PRK SG BESAR DAN K.KANGSAR - JANGAN PILIH 'PASU BUNGA" JADI WAKIL RAKYAT

SEMAKIN hebat kempen PRK di Sg Besar dan K.Kangsar apabila ianya semakin ke penghujung.  Mungkin kerana tekanan, ada lebai sudah mula menjual agamanya dengan menyatakan 'celakalah' sesiapa yang tidak menyokong parti lebai.  Ini sudah kita jangka kerana bagi mereka nilai agama terlalu rendah boleh dijual beli sewaktu pilihanraya.

Memang benar, memang celaka sesiapa yang tersalah pilih pemimpin.  Memilih calon yang mewakili parti yang mempunyai kepimpinan yang rasuah, penuh dengan skandal yang berfakta, yang rendah moral dan akhlaknya, yang terbukti melakukan kezaliman dan menyusahkan rakyat, maka memilih calon yang mewakili parti ini memang celaka.  Begitu juga menyokong parti yang bersekutu dan menjadi Penasihat kepada rejim celaka seperti ini.

Kepada para pengundi, gunakan akal yang waras yang dianugerahkan Allah itu untuk buat perbandingan.  Parti manakah yang konsisten menentang rejim Umno/Bn samada di luar atau di dalam Parlimen?  Dan, mana satu parti yang meneruskan kezaliman dan penganiyaan kepada rakyat marhaen, serta parti manakah yang asyik berkecuali tidak berani bersuara setuju atau tidak kepada rejim di dalam Parlimen?  Mereka hanya jadi 'pasu bunga' hiasan di Parlimen?  

Aku selalu ingat kepada doa K.O Umno sewaktu di era Almarhum Tok Guru Nik Aziz dahulu dan doa itu telah menjadikan rejim hilang kuasa 2/3 di Parlimen.  Apakah doa itu mesti dilupakan apabila ada 'fatwa' baru menyatakan Umno tidak seteruk firaun? 

Rabu, 8 Jun 2016

PRK SG BESAR DAN K.KANGSAR - PILIH MELAWAN REJIM ATAU PENASIHAT REJIM?

SEMUA kita tahu kalau bersungguh mahu tumbangkan Umno/Bn di dalam pilihanraya, elakkan dari pertandingan tiga penjuru atau lebih.  Jika pertandingan itu melibatkan calon-calon Bebas mungkin tidak memberi kesan sangat, tetapi apabila melibatkan parti-parti yg besar maka tentulah ianya melegakan Umno/Bn.  Semua tahu formula ini.

PRK Sg Besar dan K.Kangsar memperlihatkan berlaku juga pertandingan 3 penjuru dan di K.Kangsar pula 4 penjuru.  Aku telah menjangkakan ini akan berlaku kerana Pas tidak lagi bersama gabungan Pembangkang, bukan juga gabungan Kerajaan atau Bn, tetapi Pas lebih kepada 'Penasihat' dan diberi jenama 'Blok Ketiga" bersama IKATAN.  Ertinya di dalam PRK kali ini, Umno/Bn akan berdepan dengan Pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Blok Ketiga (B3).

Umno/Bn pastinya ingin mengekalkan kuasa mereka di Sg Besar dan K.Kangsar sekaligus mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa isu 1MDB dan isu wang dalam akaun Najib berjumlah RM 2.6 Bilion itu tiada kesan kepada rakyat.  Umno/Bn mahu membuktikan kepada rakyat bahawa bebanan GST yang dipaksakan kepada rakyat itu sebenarnya diredhai oleh rakyat, maka Umno/Bn mesti menang kali ini.  Kalau Umno/Bn menang, maka Najib akan berkokok bahawa rakyat redho dengan skandal 1MDB, duit dalam akaunnya dan GST.  Itu yang mahu dibuktikan oleh Najib.

Apa pula tujuan PH memasuki PRK kali ini?  Sudah tentu PH mahu membuktikan sebaliknya dari apa yang Umno/Bn mahu buktikan.  PH mahu menghantar wakil ke Parlimen untuk menyatakan rakyat amat tidak senang dengan skandal 1MDB, duit dalam akaun Najib RM 2.6 Bilion dan juga rakyat menentang keras GST   Justeru itu, PH menghantar wakil dari Amanah untuk bertanding di PRK Sg Besar dan K.Kangsar.  Jika rakyat bersetuju dengan perjuangan PH, mereka boleh terjemahkan dengan undi mereka di dalam PRK ini.

Mengapa Pas juga mahu masuk bertanding?  Pas menyatakan Kerusi itu Kerusi tradisi mereka.  Aku pun tidak nampak atas asas apa Pas mendakwa sedemikian kerana Pas tidak pernah menang di dua kawasan tersebut.  Jika kawasan itu tidak dienangi oleh Pas, lojikkah mereka mendakwa itu Kerusi tradisi mereka?  KEADILAN pernah bertanding beberapa kali di Parlimen Temerloh.  Kerusi Parlimen Temerloh ini mengikut rekodnya banyak kali bertukar tangan.  KEADILAN tewas di Kerusi Temerloh pada PRU12, maka strategi diubah makan pada PRU13 Kerusi ini diserahkan kepada Pas untuk mencuba nasib.  Begitu juga di Parlimen Bentong, Dap diberi peluang untuk mencuba nasib.  Begitu juga di Bera, Pas beri peluang kepada KEADILAN bertanding pada PRU13 yang lalu.  Ertinya, mana-mana Kerusi yang tewas, maka Kerusi itu 'free' dan boleh dirunding semula.  KEADILAN pernah serah Kerusi di Pengkalan Kubur kepada Pas di dalam PRK yang lalu.  Itulah strateginya yang lazim diguna pakai.

Mengapa di Sg Besar dan K.Kangsar yang Pas tidak pernah menang maka mereka mendakwa itu Kerusi mereka?  Aku yakin ini semua adalah kerana Pas tidak bersama gabungan Pembangkang, maka Pas merasa mereka kuat untuk bersendirian dan mahu buktikan kekuatan parti itu tanpa pakatan pembangkang.  Seandainya Pas bersama Pembangkang, aku yakin Pas akan memikirkan strategi yang lebih baik untuk menumbangkan Umno/Bn di situ dan salah satu Kerusi akan diserahkan kepada rakan-rakan Pembangkang yang lain.  Malangnya Pas bukan di dalam pakatan Pembangkang kali ini.  Pas sendiri menyebut mereka mahu menasihati Umno/Bn dan mereka dah maklumkan bahawa Najib bukan seteruk Firaun.  Umno/Bn masih boleh dinasihati.  Itu cara Pas sekarang.  Ertinya, Pas masuk bertanding untuk menasihati Umno/Bn.

Kini, terpulang kepada pengundi-pengundi di Sg Besar dan K.Kangsar untuk buat pilihan.  PH begitu jelas untuk melawan rejim Umno/Bn kerana rejim ini tidak lagi boleh dinasihati.  Tunjukkan sikap anda samada mahu Umno/Bn ataupun PH dan tentunya Blok Ketiga tidak membawa apa-apa erti bagi memperjuangkan nasib rakyat.

Sabtu, 28 Mei 2016

BAHAS RUU AKTA 355 BULAN OKTOBER, JANGAN JANJI LETAK JAWATAN MB LAGI

SIAPA boleh sangka, Azalina Said dari Umno boleh mencadangkan agar RUU Akta 355 dibawa untuk dibacakan oleh Presiden Pas?  Dan, siapa sangka seorang MP wanita juga dari Umno menyokongnya?  Paling tidak disangka, Hadi Awang membaca usul kemudian beliau sendiri minta tangguh.  Jangan pula ada sesiapa yang cuba mengkafirkan beliau kerana menangguhkan hukum ini.

Apa yang menariknya lagi usul ini 'timing'nya adalah di hari terakhir sidang Parlimen.  Maka, ada lah alasan untuk kita tidak membahaskannya tetapi adakah alasannya untuk Hj Hadi tidak menghuraikan panjang lebar tentang usul tersebut apabila Speaker memberi peluang kepadanya?

Oleh itu, jika kita mahu dengan huraian lengkap, kita boleh datang sewaktu kempen PRK di Sg Besar dan K.Kangsar tak lama lagi.  Edisi khas sempena PRK.   Di Parlimen?  Bulan Oktober khabarnya.  Jangan pula ada MB yang gatal-gatal buat janji mahu letak jawatan lagi kalau gagal dibahaskan pada bulan Oktober ni.  Tidak perlulah Nik Amar berjanji lagi mahu tamatkan 'gencatan senjata' dengan Umno jika gagal dibahaskan pada bulan Oktober nanti kerana baru kelmarin Hadi ucap terima kasih kepada kerajaan kerana beri peluang beliau baca tajuk usul.

Cuma, nak beritahu janji hudud masih ditagih oleh rakyat Kelantan kerana Dun Kelantan sudah luluskan Hudud, bukan Akta 355.  Hudud itu penting kerana sebab Hudud lah maka Pas tendang Dap keluar, bukan sebab Akta 355.

Isnin, 23 Mei 2016

PRK SG BESAR DAN K.KANGSAR - JANGAN TERLALU BANYAK 'BERMAIN POLITIK' DI ATAS SANA

SUDAH sampai masanya PH buat keputusan muktamad di Sg Besar dan K.Kangsar.  Sudah sampai masanya KEADILAN berhenti dari terus memujuk Pas untuk menentukan PRK di kedua-dua tempat itu hanya perlawanan dua penjuru.  Kita telah mengenali Pas dengan sikap 'Istiqomah'nya, maka tentulah mereka terus untuk istiqomah bertanding di kedua-dua kawasan yang mereka anggap kawasan tradisi (tradisi kalah?) untuk mereka di situ.

Kita kena hormati Istiqomah Pas, jangan ganggu emosi mereka.  PH harus ke hadapan, kena berani membuat keputusan sendiri.  Kita ada KEADILAN, Dap dan Amanah, maka tiada apa yang harus digusarkan di dalam membuat keputusan tanpa Pas yang telah istihar mereka adalah di dalam blog ketiga dan bukannya PH.

Selalunya kita rungsing memikirkan tentang calon.  Kali ini kita tidak perlu rungsing lagi kerana belum pun kita bermesyuarat di dalam PH, Parti Amanah telah bersedia untuk turun gelanggang.  Ertinya, kita hanya perlu berbincang samada wajar KEADILAN atau Amanah bertanding samada di K.Kangsar mahu pun di Sg Besar, atau kita hanya hantar Amanah sahaja untuk disabungkan dengan Umno dan Pas.  Jika KEADILAN rasa perlu menghantar calon mereka, silakan, dan jangan berlengah lagi untuk PH pertimbangkan mana-mana calon yang difikirkan mampu menggalas cabaran getir ini.

Ramai tidak mempedulikan sangat tentang wakil PH di kedua-dua kawasan tersebut, tetapi ramai yang gelisah kita lembab di dalam membuat keputusan.  Bagaimana jentera mahu digerakkan semaksima mungkin jika kita belum dapat kepastian siapa yang mewakili PH?  Kita masuk bertanding untuk menang bukan untuk menjadi penasihat semata-mata, maka calonnya harus dilihat sebagai orang yang diyakini mampu membawa kemenangan.  Seandainya tewas juga, kita balik kepada 'status quo', maka tiada masalah pun.  Sekurang-kurangnya kita boleh mengukur kekuatan PH di dalam menghadapi 3 penjuru kerana aku pasti di dalam PRU14 akan datang kita banyak berdepan dengan pertandingan 3 penjuru atau lebih.  

Segeralah buat keputusan.  Jangan sampai semangat jentera kita menjadi semakin lemah angkara kita terlalu banyak 'bermain-main' di atas sana.  Sekarang ini jentera kita di dalam PH berada di tahap tinggi, tak sabar untuk melihat Umno/Bn dan sekutunya tumbang di Sg Besar dan K.Kangsar.   Mampukah kita mengekalkan momentum ini di dalam keadaan kita masih merangkak-rangkak?

 

Rabu, 18 Mei 2016

DEKLARASI RAKYAT - WARKAH ANWAR UNTUK BETULKAN LANGKAH SUMBANG

DEKLARASI Rakyat terus diperdebatkan dan bertambah hangat apabila 'terbocor'nya warkah dari Sg Buloh.  Masing-masing berebut menjadikan warkah tersebut sebagai dalil dan nas untuk menyatakan pendekatan mereka betul.

Aku sejak awal lagi bersedia menyokong Deklarasi Rakyat atas dua sebab.  Pertamanya, kerana Deklarasi Rakyat ini salah satu pendekatan untuk menjatuhkan Najib dan melemahkan Umno/Bn.  Kedua, Deklarasi Rakyat sejak awal penubuhannya tidak menyebut sesiapa sebagai pemimpin dan ianya diwujudkan atas semangat rakyat dan paling utama Deklarasi Rakyat ini tidak pernah ditentang atau dilarang oleh parti aku sendiri sehingga saat ini.  Atas dua sebab itu, aku merasakan dan berijtihad bahawa Deklarasi Rakyat lebih banyak baik dari buruknya.

Persoalan ditanya, mengapa tidak wujud suara dari Sg Buloh seawal kewujudan Deklarasi Rakyat?  Bukankah Kak Wan dan Anwar sememangnya tahu bahawa Mahathir turut bersama untuk menjatuhkan Najib?  Mengapa tiada larangan atau arahan dari pucuk pimpinan KEADILAN untuk kita menjauhkan diri dari Deklarasi Rakyat waktu itu?  Mengapa SUA KEADILAN sendiri, YB Rafizi adalah di antara tulang belakang di dalam Deklarasi Rakyat?  Waktu itu mungkin kita merasakan kita mampu mengawal perlaksanaan Deklarasi Rakyat ini mengikut acuan kita bukan acuan pihak lain.

Tidak salah untuk mencuba.  Tidak perlu ada emosi mengatasi kepentingan rakyat.  Deklarasi Rakyat ini boleh sahaja diwujudkan walaupun tanpa Mahathir, namun apabila Mahathir sendiri mahu menjadi tulang belakang bagi menjatuhkan Najib, apakah kita begitu bodoh untuk menolaknya?  Mahathir dikatakan ada agenda, mustahil kita yang berjuang sejak tahun 1998 langsung tiada agenda?  Bahkan aku merasakan agenda kita lebih jauh ke hadapan dari apa yang ada pada pemikiran Mahathir.

Kalau difikir emosi dan otak kita selalu membayangi 'hantu Mahathir', kita tidak akan dapat buat apa-apa kalau Mahathir sentiasa mengikuti kita.  Aku pun yakin, Tamrin Ghafar menyokong perjuangan PH adalah kerana kepentingan rakyat.  Jika mahu fikir ke belakang dan emosi, Tamrin tentunya terasa hati dengan Anwar yang pernah menjatuhkan arwah ayahandanya Tun Ghafar sewaktu Anwar berada di dalam Umno.  Tanpa emosi juga Anwar diterima baik oleh rakan-rakan di dalam Pas di era Almarhum Us Fadzil Noor dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz sewaktu Anwar mula-mula dipecat dari Umno.  Sewaktu di dalam Umno, Anwar adalah benteng kuat Umno apabila Pas menyerang Umno.  Semua tahu.  

Sampai bila mahu fikir ke belakang?  Benar, sejarah boleh diingati untuk dijadikan pengajaran dan panduan tetapi sejarah tidak boleh diubah lagi.  Maka, Deklarasi Rakyat yang disokong oleh Mahathir tidak patut dianggap sebagai melaksanakan agenda Mahathir walaupun kita semua tahu sejarah Mahathir.  Melalui sejarah lampau Mahathir ini lah sepatutnya kita lebih bijak berdepan dengan beliau bukan mengalah dengannya.

Apa yang disuarakan melalui warkah dari Sg Buloh itu?  Pada aku, sejajar dengan apa yang disebut oleh Rafizi, memang tepat pada masanya Anwar bersuara apabila beliau dapat merasakan hala tuju Deklarasi Rakyat seolah-olah mahu dipesongkan.  Paling mengecewakan, pimpinan parti gagal mengawal Mahathir dari bercakap perkara-perkara yang tiada kaitan dengan agenda Deklarasi Rakyat.  Mahathir tidak perlu bercakap soal Anwar jika dia tidak mahu Anwar bebas sekali pun.  Jika Mahathir tidak mahu kita ungkit sejarah lampau dan kezalimannya, perlu apa dia terus bercakap soal Anwar?  Mengapa pimpinan kita yang mengusung orang tua ini ke hulu ke hilir boleh berdiam diri dengan tingkah laku Mahathir?  Ini lah yang menyinggung perasaan Anwar dan keluarganya.  Kita juga turut tidak senang dengan sikap Mahathir itu yang seolah-olah ingin mengambil kesempatan di atas gabungan ini.

Lebih dahsyat lagi, apabila ada yang sanggup berbelanja lebih demi menjayakan program bersama Mahathir.  Layanan melampau dan menjolok mata seperti ini menjadikan Mahathir lupa diri dan boleh kawal kita di dalam Deklarasi Rakyat jika dibiarkan berterusan.  Justeru itu, wajar dan tepat sekali Anwar bersuara sekarang.  Anwar dan Presiden setakat ini tidak arahkan hentikan Deklarasi Rakyat, tetapi Anwar dan Presiden keluarkan ingatan dan teguran keras agar pimpinan tersedar dari mimpi indah mereka bersama Mahathir.  Jangan salahkan Mahathir jika dia dilayan sedemikian rupa.  Kita tepuk dada, kita tanya hati dan iman kita.

Selagi aku bersama parti, aku percaya kepada keputusan parti.  Aku yakin parti akan ada satu keputusan tepat berkaitan isu ini.  Jika parti membenarkan pimpinan dan ahli-ahli memilih jalan sendiri di dalam isu ini (Deklarasi Rakyat), maka parti harus bersedia menerima berbagai ragam dan perangai pemimpin dan ahli-ahlinya.  

 

Selasa, 17 Mei 2016

DEBAT DEKLARASI RAKYAT MALAM TADI - ANTARA PERSEPSI DAN HUJAH


MALAM tadi satu debat telah diadakan di Dewan KLSCAH, Selangor atas anjuran SAMM bertajuk 
" Deklarasi: Mana Pergi Rakyat".  Pertamanya aku nak ucapkan tahniah kepada SAMM yang membuka ruang perdebatan isu yang agak panas ini.

Memang tepatlah pendebat-pendebat yang tampil malam tadi.  Pendebat-pendebat mewakili pro Deklarasi adalah YB Khalid Samad, Ambiga dan Khairudin.  Manakala pendebat-pendebat yang sering mempertikaikan kewajaran Deklarasi terdiri dari Chegu Bard (SAMM), Arul (PSM) dan Haris (ABU).

Masing-masing membawa hujah bagi mempertahankan pendirian mereka tanpa ada selindung.  Masing-masing bercakap secara terbuka.  Perdebatan boleh dikatakan panas tetapi masih terkawal dan beretika walaupun sesekali ada segelintir para penonton cuba untuk memprovok pendebat-pendebat.  

Aku tidak mahu ulas perdebatan di antara kedua-dua pihak jauh sekali untuk menyebut siapa yang memenangi perdebatan tersebut.  Bagi aku, ini isu cabang dan pendekatan semata-mata.  Yakni, satu pihak merasakan wajarnya Deklarasi Rakyat ini dibuka seluas mungkin hatta Tun Mahathir bersama.  Satu pihak lagi meragui akan kehadiran Tun Mahathir di dalam Deklarasi Rakyat ini.  Ini semua soal Cabang.  Soal pokoknya iaitu wajib turunkan Najib dan Umno/Bn, aku yakin kedua-dua pihak sama-sama bersetuju.

Kaedahnya ada macam-macam dan belum tentu kaedah-kaedah itu berjaya.  Contohnya, kita telah cuba satu kaedah untuk memaksa Najib turun dengan cara membawa usul menolak Bajet di dalam Parlimen.  Namun kita gagal di dalam kaedah ini.  Apakah dengan kegagalan itu maka kita harus berhenti dan menunggu untuk dua tahun lagi agar Najib terus berkuasa?  

Kebimbangan Chegu Bard dan kumpulannya terhadap kejujuran Mahathir berdasarkan rekod lampau beliau dan kurangnya komitmen Mahathir di dalam isu-isu lain selain dari mahu turunkan Najib ada benarnya kebimbangan itu.  YB Khalid pula lebih terbuka di mana beliau menyatakan jika Mahathir ada agenda, PH juga ada agenda.  Ertinya, siapa cekap di dalam mempergunakan satu sama lain mereka akan berjaya dalam strategi ini.  

Kesimpulannya, aku bangga dengan perdebatan yang walaupun terhad masa untuk berhujah panjang lebar tapi sekurang-kurangnya kita dapat lihat betapa sebenarnya ramai rakyat yang bencikan Najib.  Terpulang kepada pimpinan PH bagaimana dan apakah kaedah terbaik selepas ini ?

Isnin, 16 Mei 2016

PRK SG BESAR DAN K.KANGSAR - UKUR BAJU JANGAN GUNA SAIZ UKURAN RAYA TAHUN LEPAS !!

TERAMATLAH aku setuju dengan pendapat Hj Hadi yang sebut kena 'ukur baju di badan sendiri' bagi mana-mana parti yang mahu bertanding di PRK Parlimen Sg Besar dan K.Kangsar.  Pandangan ini terpakai kepada semua parti bahkan termasuk Umno/Bn sendiri.

Sekiranya KEADILAN mahu meletakkan calon, parti ini harus mengukur baju di badan sendiri dan sebagai rakan bersama dalam PH eloklah minta pandangan teman-teman juga dari Dap dan Amanah, apakah sesuai dan cantik baju yang telah diukur itu.  Carilah mana-mana ukuran yang sesuai pada saat dan waktu sekarang.

Perlu ingat, jangan guna saiz ukuran Raya tahun lepas untuk digunakan pada Raya tahun ini.  Mungkin perut dan boroi terlebih makan dedak atau sudah kempis akibat kurang makan.  Ukuran baju mesti ikut saiz sekarang. 

Ahad, 15 Mei 2016

POLL BLOG - PERATUS MENYOKONG AMANAH UNTUK BERTANDING TINGGI SETAKAT INI

SIAPA wakili PH di PRK di Sg Besar dan K.Kangsar?  Amanah telah bermesyuarat dan mahu calonnya bertanding di kedua-dua kawasan tersebut.  Ertinya, Amanah menawarkan dirinya walaupun parti yang baru berusia lebih kurang 8 bulan ini bakal berdepan dengan rejim berkuasa Umno/Bn serta sekutu mesra alamnya iaitu Pas.

KEADILAN pula masih belum membuat keputusan walaupun jika melihat kepada gerak kerja dan program-program yang sedang berjalan di Parlimen Sg Besar seolah-olah KEADILAN telah bersedia untuk menawarkan diri.  Apa yang pasti, Dap awal-awal lagi mengumumkan tidak akan bertanding di dua kawasan tersebut dan bejanji hanya akan menyokong dan berkempen untuk calon dari PH sahaja.

Bagaimana dengan Pas?  Ada pimpinan Pas yang menyatakan Pas tetap akan bertanding di kedua Kerusi berkenaan dan tidak akan 'menyerang dan menyentuh' Umno di dalam kempennya.  Ertikata lain, Pas akan berperang tanpa menghalakan senapang ke arah kubu musuh.  

Apa pilihan pengundi-pengundi di dua kawasan berkenaan?  Adakah para pengundi akan melihat parti atau calon?  Pilihan anda pula bagaimana?  Sila buat undian di atas.

Jumaat, 6 Mei 2016

HUSAM MUSA SERTAI KEADILAN ?

HUSAM Musa telah dipecat dari Pas.  Semua tahu berapa banyak teguran dan kritikan dari bekas Naib Presiden Pas ini terhadap partinya, bahkan sehingga beliau sanggup berdebat atau berforum bagi mempertahankan dakwaannya.  Seperti yang dijangka, Husam tetap dipecat.


Ada dakwaan menyebut Husam sengaja mencari jalan untuk dipecat.  Jika benar dakwaan itu, mengapa perlu pecat Husam?  Bukankah lebih baik biarkan saja Husam agar 'cita-cita'nya untuk dipecat itu akan gagal?  Apabila Husam dipecat, ditambah pula tiada ruang untuk dirinya berdiri mempertahankan hujahnya maka sahihlah ada kebenaran dari banyak dakwaan Husam itu.  Sehingga kini banyak persoalan yang Husam timbulkan tidak terjawab.

Aku masih ingat sewaktu KEADILAN memecat TSKI dulu, berbagai-bagai dikatakan kepada KEADILAN.  Bermacam-macam nas yang keluar untuk menyatakan pemecatan TSKI itu sebagai 'tidak syarie'.  Nah, adakah pemecatan Husam ini 'syarie'?

Selepas dipecat, agaknya ke mana arah Husam?  Ramai yang meramalkan Husam akan bersama geng-geng lamanya di dalam Amanah.  Bagi aku, Husam mungkin akan memilih KEADILAN sebagai wadah politiknya bagi mengikuti jejak rakannya Datuk Kamarudin Jaafar, MP Tumpat.  Husam akan dapat membantu KEADILAN agar lebih maju ke hadapan apatah lagi dengan ketiadaan DS Anwar Ibrahim.  Bukankah Husam di antara tokoh-tokoh yang disebut sebagai bakal PM yang baik selain dari Anwar?  Ketokohan Husam Musa diakui sendiri oleh Almarhum Tok Guru Nik Aziz.  Anwar juga pernah menyebut, jika beliau jadi PM, Husam adalah di antara tokoh terbaik untuk membantunya.

Bayangkan jika Husam berganding dengan Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution dan ramai lagi tokoh hebat di dalam KEADILAN.  Tentunya KEADILAN di bawah Kak Wan akan lebih mantap dan digeruni.  Seandainya Husam memilih untuk bersama Amanah pun, untungnya dapat juga kepada PH.  Tentunya Amanah bertuah jika dapat memiliki Husam, anak emas Almarhum Tok Guru Nik Aziz ini.

Segala-galanya terpulang kepada Husam sendiri.  Beliau tidak lagi diperlukan oleh Pas, itu hakikatnya.  Aku yakin, Husam tidak akan membuat rayuan kepada Pas kerana beliau yakin beliau di pihak benar.  Pas mungkin merasa selesa dan selamat tanpa Husam.  Masa akan menentukannya.  Husam pastinya tidak akan membiarkan Kelantan dirampas oleh Umno/Bn di dalam PRU14 akan datang kerana kerajaan Kelantan sekarang ini adalah warisan Almarhum Tok Guru Nik Aziz.  Husam pasti akan menggerakkan orang-orangnya untuk mempertahankan Kelantan yang kini dilihat semakin menggusarkan.  

Rabu, 4 Mei 2016

CADANGAN BODOH DARI ZAID IBRAHIM

ZAID Ibrahim mencadangkan agar Dap dan Amanah singkirkan KEADILAN hanya kerana isu Kerusi bertindih di Sarawak.  Secara peribadi aku juga amat kesal di atas apa yang berlaku akibat kurangnya sikap disiplin dan bertanggungjawab di dalam muafakat dan seharusnya KEADILAN perlu memandang serius isu ini agar tidak berlaku lagi di masa-masa akan datang.

Namun, untuk menyatakan KEADILAN harus disingkirkan dari PH adalah kenyataan paling bodoh dari orang politik veteren seperti Zaid.  PH wujud bukan kerana usaha Zaid dan kemajuan PH sekarang ini hanya tidak sampai 0.01 % pun dari Zaid.  Beliau cuma menumpang di dalam PH.  Parti beliau sendiri, parti KITA pun beliau gagal uruskan dengan baik sehingga terkubur walaupun keahlian KITA boleh dikira dengan jari.  Sepatutnya parti yang kecil seperti itu mudah untuk diurus tadbir oleh Zaid sebagai tokoh politik berpengalaman, namun Zaid gagal.  Bayangkan, KEADILAN sebuah parti besar dan memiliki tokoh-tokoh besar dan berpengaruh, sudah tentu banyak cabaran dan mehnahnya.  Itu biasa bagi sesebuah parti besar dan berpengaruh, tetapi itu semua satu pembelajaran untuk parti terus mempertingkatkan kualitinya.

Cuba sebut parti mana yang tidak pernah berlaku kontroversi di dalam partinya sendiri?  Dap juga ada kontroversi, begitu juga Amanah.  Kebetulan kita berdepan dengan PRN, dan PH baru saja memeterai perjanjian dan persefahaman, sebab itu isu ini dilihat lebih ke hadapan.  Meskipun kita kesal dengan apa yang berlaku, paling tidak pun rasa lega kerana pertindihan hanya berlaku hanya sekitar 10% sahaja dari jumlah Kerusi yang dipertandingkan.  Rugi tetap rugi walaupun hanya berlaku satu Kerusi yang bertindih.  Tapi itulah ujiannya kepada KEADILAN khususnya dan PH, amnya.  Banyak yang boleh dipelajari dari situasi ini.

Sebelum menyuarakan pandangan negatif sedemikian rupa, Zaid sepatutnya berfikir terlebih dahulu mana lebih menguntungkan jika KEADILAN bersama PH atau hanya Dap dan Amanah sahaja yang bergabung?  Kecuali, jika Zaid mahu realisasikan agenda Mahathir untuk hanya jatuhkan Najib dan naikkan Umno.  Bagi KEADILAN, Deklarasi Rakyat yang dianggotai juga oleh Zaid bukan untuk jatuhkan Najib semata-mata tetapi kami mahu PH menggantikan Umno/Bn di dalam PRU14 akan datang.  Langkah pertama, Najib wajib jatuh kerana beliau perosak negara sekarang ini.

Khamis, 28 April 2016

RAFIZI PENYELAMAT KAK WAN

NASIB baik ada Rafizi, itu kata teman aku.  Ya, aku setuju sekali.  Keadilan bertuah kerana masih ada orang seperti Rafizi yang menduduki jawatan penting di dalam parti tetapi tidak menggunakan jawatan dan kedudukannya itu untuk kepentingan dirinya sendiri.  Beliau jujur di dalam memperkatakan sesuatu.


Di dalam keadaan ramai pimpinan cuba menegakkan benang basah akibat kesalahan kita menyebabkan berlakunya pertandingan 3 penjuru di Sarawak, Rafizi tampil memohon maaf tanpa beliau nyatakan siapa yang berhak dipersalahkan.  Tidak perlu beliau sebut siapa yang patut dipersalahkan kerana ramai sudah tahu apa yang berlaku sebenarnya.  Namun, Keadilan terpaksa bertanggungjawab dan beliau selaku SUA Keadilan dan juga Naib Presiden Keadilan turut merasa bersalah.  

Keberaniannya memohon maaf disanjung ramai dan sedikit sebanyak mengurangkan kemarahan para penyokong terhadap parti.  Kemarahan kini hanya tertumpu kepada beberapa individu yang menjadi punca kontroversi ini.  Sekarang ramai yang telah memperkatakan bahawa Keadilan mesti mengangkat insan seperti Rafizi jika mahu parti reformasi ini terus dihormati kawan dan digeruni lawan.  InsyaAllah, masa menentukan bahawa Rafizi akan berada di tempat yang sepatutnya di dalam parti.

Dap, melalui Kit Siang telah memohon maaf walaupun partinya menjadi mangsa.  Keadilan, melalui Rafizi juga telah memohon maaf.  Pagi nanti, (28/4/16) dikhabarkan bahawa Kak Wan akan mengadakan sidang media untuk mengulas tentang kontroversi ini.  Aku dapat rasakan bahawa Kak Wan selaku Presiden Keadilan juga akan turut memohon maaf kepada rakyat terutamanya para pengundi di Sarawak.  Mana suara mohon maaf dari yang lain terutamanya si 'pelakun'nya?

Aku tetap berharap Keadilan akan belajar dari apa yang telah berlaku.  Keadilan mesti mengelakkan diri dari digelar parti hipokrit atau parti yang mengkhianati kawan.  Keadilan mesti berani berpencak di dalam gelanggang bukan setelah gelanggang ditutup.