RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Selasa, 26 Mei 2009

ZAMBRY CUBA LEPASKAN TANGAN ATAS KRISIS DI PERAK ?

Terbaca laporan di dalam akhbar baru-baru ini tentang kenyataan Zambry MB Perak yang dinamakan oleh mahkamah, saya menjadi hairan mengapa Zambry masih tidak mengaku bahawa segala krisis yang berlaku di Perak kini adalah berpunca dari pihaknya. Sukar sangatkah bagi Zambry untuk mengerti erti `semangat' dan roh demokrasi sebenarnya. Apakah Zambry masih perasan bahawa majoriti rakyat Perak masih menyokongnya? Mungkinkah Zambry berpendapat bahawa dengan melompatnya 3 Adun PR ke pihak beliau, maka keseluruhan rakyat yang diwakili oleh ke tiga-tiga Adun `katak' tersebut turut menyokong beliau? Jika ini lah yang dibanggakan oleh Zambry yang tetap mempertahankan kerusi MB nya sekarang, kalau bukan jenis `gila kuasa' , saya tidak tahu lagi apa yang dimaksudkan dengan `gila kuasa'.

Tuduhan beliau yang menganggap YAB Ir Nizar sebagai MB Mahkamah adalah satu tuduhan yang dangkal, jauh dari fakta dan kenyataan. Jika sekalipun YAB Ir Nizar memenangi kes beliau di mahkamah, beliau adalah pilihan mahkamah dan yang lebih pentingnya beliau juga pilihan rakyat Perak sebenarnya. Ketika Mahkamah Tinggi memutuskan YAB Ir Nizar sebagai MB Perak yang sah, majoriti rakyat Perak juga tetap menganggap beliau sebagai MB Perak. Bahkan, ketika Mahkamah Rayuan pula memutuskan bahawa Zambry adalah MB Perak yang sah, majoriti rakyat Perak tetap menyatakan YAB Ir Nizar adalah MB Perak. Untuk membuktikan perkara ini, ayuh bubarkan Dun Perak sekarang dan kita akan ketahui siapa MB Perak pilihan mahkamah atau MB Perak pilihan rakyat. Soalnya mengapa tidak berani bubarkan Dun? Mengapa perlu takut hadapi kenyataan?

Adakah kerana YAB Ir Nizar bawa kes ini ke mahkamah, maka beliau dianggap MB mahkamah? Beliau cuba untuk mencari keadilan di mahkamah selepas kuasanya terlucut akibat konspirasi politik yang kotor dan jijik. Beliau faham bahawa keputusan mahkamah bukan cara terbaik untuk menonjolkan semangat demokrasi yang sebenarnya kerana kuasa hakiki adalah ditangan rakyat. Oleh sebab itulah apa pun keputusan mahkamah terhadap kes beliau, YAB Ir Nizar tetap komited untuk membubarkan Dun. Mengapa Zambry tidak seberani YAB Ir Nizar? Atau paling kurang pun, adakan pilihanraya kecil di kawasan ketiga-tiga `spesis' makhluk yang melompat itu. Rakyat Perak akan hormati Zambry jika ada sedikit keberanian seperti itu.

Saya berpendapat tiada kuasa yang mutlak untuk menafikan hak rakyat. Demokrasi adalah hak untuk semua. Di Perak kini, lambang demokrasi pun sudah musnah dan rosak teruk di mana Dewan Undangan Negeri seperti bar tempat cowboy bersukaria dan bergaduh. Apa yang berlaku di dalam dewan baru-baru ini amat tragis sekali. Jelas terpampang bagaimana undang-undang dewan dan kemuliannya langsung tidak dipelihara. Zambry wajib memulihkannya, dan tiada cara lain melainkan dengan kembali kepada rakyat. Biarpun pengkhianatan sebenarnya telah dimulakan oleh tiga `spesis' makhluk yang melompat, tetapi rakyat tetap menganggap Zambry bersubahat di dalam menidakkan kuasa rakyat.

Ingin kita mengingatkan Zambry bahawa penentuan siapa yang dipilih oleh rakyat hanyalah dengan membubarkan Dun. Percayalah, kerajaan Perak yang ada sekarang tidak mampu mengurus dan mentadbir Perak dengan baik hanya bergantung kepada 3 `spesis' yang tidak bermoral itu. Mahukah zambry dianggap sebagai MB sebuah kerajaan yang tidak bermoral?


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan