Kelemahan, juga keistimewaan Anwar
Zulkifli Noordin mencetuskan pertikaian sejak beliau merempuh forum bertemakan isu agama anjuran Majlis Peguam Malaysia pada Ogos 2008. Namun demikian, isu ini dikendalikan secara "berhati-hati", malah lebih tepat secara "senyap-senyap", memandangkan seluruh tenaga PKR ditumpukan pada PRK Permatang Pauh, yang menyaksikan "kembalinya Anwar secara rasmi" ke dalam parlimen.
Anwar dituduh teragak-agak untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap bekas peguamnya yang menyarung jersi PKR untuk bertanding di Kulim Bandar Baru ketika PRU ke-12. PKR hanya memecat Zulkifli Noordin (gambar kanan) pada Mac 2010, setelah beliau membuat laporan polis terhadap Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam-PAS, berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
"Adakah ini kelemahan, atau keistimewaan Anwar? Pada dasarnya Anwar seorang demokrat. Jadi beliau selalu menyimpan 'sangka baik' terhadap kritikan yang dilontarkan terhadapnya. 'Dia kritik saya, ok-lah, sabarlah, saya bincang dengannya kemudian selesai' (sikap Anwar)." Tian Chua membela Ketua Umumnya, sambil memberi contoh bagaimana Anwar mempertemukan Zulkifli Noordin dengan tokoh agama, Yusof Al-Qaradawi, untuk membincangkan isu penggunaan kalimah Allah.
Tian Chua berkata, ramai orang yang menganggap bahawa Anwar (gambar kiri) mempunyai kedudukan yang tidak tercabar dalam parti, tetapi pada hakikatnya, Anwar jarang menggunakan kewibawaan ini untuk menyelesaikan masalah. Sebaliknya beliau tetap dengan "sangka baiknya", dan beliau tidak percaya, seandainya diberitahu, misalnya "Wee Choo Keong telah bertemu dengan pemimpin UMNO".
"Semestinya ia (sikap Anwar ini) ada baik dan buruknya. Ini bermakna apabila berdepan dengan masalah, maka orang di sisi Anwar perlu memikirkan cara untuk mengurangkan bahaya dan ancaman masalah tersebut," katanya./MerdekaReview
Tiada ulasan:
Catat Ulasan