RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Khamis, 14 April 2011

TERTEKAN, AKHIRNYA TAIB MAHMUD BUAT JANJI 2 TAHUN LAGI UNTUK UNDUR

Taib Mahmud janji berundur dalam dua tahun

Chen Shaua Fui, Lim Hong Siang
Apr 13, 2011

Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud akhirnya berjanji untuk berundur dalam tempoh dua tahun, walaupun sebelum ini mendakwa bahawa dirinya tidak akan terperangkap dengan permainan pembangkang untuk mengumumkan waktu berundur dan penggantinya.

"Secara terus-terang saya berkata kepada anda. Saya berkata dari hati saya, kerana saya akan meninggalkan anda dalam masa dua tahun. Sebagai kata perpisahan, saya sayang kamu semua. Tak apa kalau kamu tak dengar kata-kata saya. Tapi saya mesti beri amaran kepada anda. Negara ini tidak akan ke mana, tidak baik untuk orang Cina, melainkan orang Cina memilih pemimpin yang betul, untuk bekerjasama dengan bangsa lain," kata Taib Mahmud (gambar kiri) dalam satu jamuan anjuran pertubuhan Cina tempatan di Kuching, malam tadi.

Taib Mahmud yang menerajui tampuk kerajaan negeri Sarawak sejak 26 Mac 1981 berkata, banyak perubahan yang berlaku di Sarawak. Mereka yang kononnya mahu "berubah", tidak menyedari perubahan yang telah dilaksanakan dalam kerajaan. Perubahan-perubahan ini dijalankan dengan lancar, kerana dilaksanakan mereka yang berpengalaman dalam kerajaan negeri, katanya.

BN semakin terdesak

Luahan Taib Mahmud malam tadi memberi petanda bahawa Barisan Nasional semakin terdesak dengan sentimen masyarakat Sarawak yang dilihat memihak kepada Pakatan Rakyat. Pada 19 Mac 2011, Taib Mahmud mengumumkan bahawa dirinya akan memimpin BN dalam PRN Sarawak 2011, dan bakal memastikan peralihan kuasa yang lancar apabila beliau bersara.

Bagaimanapun, pengumuman rancangan bersara tanpa had tempoh tersebut dijadikan tema kempen pembangkang kemudiannya, dan berjaya mengeksploitasi sentimen rakyat yang menuntut agar Taib berundur segera. Perdana Menteri Najib Razak jelas merasai bahang tersebut, sehingga mengulangi jaminannya pada 10 April bahawa Taib Mahmud akan berundur selepas PRN Sarawak 2011.

Bagaimanapun, Taib Mahmud mendakwa bahawa dirinya akan berundur "beberapa tahun kemudian" pada 12 April, malah berkata dirinya enggan terperangkap dengan permainan pembangkang untuk mengumumkan masa beliau bersara dan penggantinya. Sentimen ini terus dimainkan, malah pada 11 April, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution telah menunjukkan satu keratan akhbar Borneo Post bertarikh
7 November 1995 yang melaporkan bahawa Taib berjanji akan berundur dalam tempoh lima tahun.

Pada 13 April, Najib Razak mengumumkan bahawa sasaran BN adalah untuk membentuk kerajaan dalam PRN Sarawak 2011, dan majoriti dua pertiga dianggap sebagai "bonus". Matlamat yang "rendah" sebegitu sememangnya menandakan sesuatu, memandangkan Pakatan Rakyat hanya menang 9 daripada 71 kerusi dalam PRN Sarawak 2006, walaupun dua daripadanya menyertai BN kemudiannya.

Jelas, PRN Sarawak adalah pertarungan yang sengit buat BN, dan semestinya memberi impak terhadap lanskap politik Malaysia secara keseluruhannya.

Baca: Undur-kekal Taib: BN kini diheret PR

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan