RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Selasa, 29 April 2014

BERTANDING SEBAGAI CALON BEBAS, HENTAM PARTI KEMUDIAN JILAT LUDAHNYA KEMBALI

MANA lebih utama, peraturan yang dicipta oleh manusia atau maruah diri?  Peraturan atau undang-undang yang dicipta oleh kita hanyalah sebagai garis panduan untuk memudahkan urusan pentadbiran dan mengawal kita dari melakukan sesuatu yang tidak dibenarkan.  Hanya peraturan dan undang-undang dari Al-Quran dan Hadith saja yang tidak mempunyai sebarang kelemahan, ianya cuma perlu kepada tafsiran oleh mereka yang diiktiraf dan pakar (Ijmak Ulamak) sahaja.

Peraturan parti tidak begitu.  Ianya terdedah kepada kelemahan dan terdedah kepada tafsiran juga, tetapi sering ditafsirkan oleh sesiapa pun mengikut cita rasa mereka.  Namun, hakikatnya peraturan seperti itu tidak boleh mengatasi maruah diri seseorang.  Ertikata lain, maruah diri lebih utama daripada peraturan ciptaan manusia.  

Di Kuantan baru-baru ini, seorang bekas calon Bebas yang hilang deposit sewaktu bertanding menentang calon PKR di dalam PRU 13 yang lalu secara tiba-tiba menuntut haknya sebagai ahli parti untuk mengundi di dalam pemilihan Cabang.  Beliau berhujah namanya tersenarai di dalam Daftar Pengundi yang sah, maka beliau seharusnya dibenarkan mengundi.  Ini lah yang disebutkan peraturan, di mana peraturan membenarkan beliau mengundi kerana namanya tersenarai walaupun difahamkan ada surat pengesahan lain membuktikan sebaliknya. 

Itu dari segi peraturan.  Semua ahli PKR maklum bahawa sesiapa sahaja yang bertanding Bebas dan sepanjang kempennya menentang parti atau PR, amnya secara automatik dipecat dari parti.  Peraturan ini boleh ditafsirkan berbagai.  Ada yang menafsirkan seseorang itu tidak boleh dianggap bertanding Bebas walaupun wang pertaruhan telah dibayar dan namanya diumumkan sebagai calon Bebas, apabila;

1.  Menarik diri serta merta dan mengumumkan kepada para pengundi agar tidak menyokongnya.
2. Tidak terus berkempen dengan apa cara sekalipun sebagai calon Bebas, malahan mesti bekerja dan berkempen memenangkan partinya.
3.  Tidak pernah mengistiharkan keluar parti atau memberi gambaran bahawa tidak lagi bersama parti.
4.  Mesti memberikan alasan munasabah dan kukuh mengapa mendaftar diri sebagai Calon Bebas.
5.  Mematuhi arahan parti untuk menarik diri dari bertanding Bebas.

Itu semua tafsiran kita.  Ada yang menafsirkan berbeza.  Isi borang calon Bebas sahaja sudah dianggap pengkhianat walaupun tidak meneruskan pertandingan.  Adakah kita boleh anggap mereka sebagai pengkhianat parti apabila mereka menarik diri dan berkempen membantu parti?  

Apabila ada tafsiran yang berbeza, tentulah ianya mesti diputuskan oleh parti sendiri.  Parti mesti buat keputusan adakah calon ini pengkhianat atau tidak setelah mendengar keterangan dari mereka.  Sudah tentunya parti akan mempersoalkan mengapa mereka mendaftar sebagai calon Bebas dan mengapa mereka menarik diri?  Sekiranya jawapan yang diberikan itu memuaskan, parti boleh memutuskan keputusan.  

Kesemua ini merupakan peraturan yang tidak mutlak dan muktamad dan sentiasa akan diperbahaskan.  Berbeza dengan calon Bebas yang ingin mengundi di dalam pemilihan parti di Kuantan baru-baru ini.  Kesemua perkara di atas langsung dilanggar oleh calon ini.  Beliau telah lama mengumumkan secara terbuka bahawa beliau tidak berparti.  Beliau memasuki Pilihanraya sebagai Calon Bebas atas kehendak sendiri dan tidak pernah mengumumkan tarik diri bahkan berterusan berkempen menentang parti sehingga ke akhir hari pengundian.  Selepas Pilihanraya, setelah hilang deposit pun beliau tidak pernah memohon maaf kepada parti dan memberikan sebab musabab mengapa beliau bertanding Bebas walaupun parti tidak mengarahkan beliau berbuat demikian.

Secara teknikalnya, namanya masih tersenarai di dalam keahlian parti.  Itu satu kelemahan di dalam pengurusan keanggotaan parti yang mana kelemahan seperti ini lah yang menjadi buah mulut bagi mereka yang tidak menyokong Setiausaha Agong, Sdr Saifuddin Nasution yang bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.  Hakikatnya, semua calon ada kelemahan bahkan Ketua Umum dan Presiden pun tidak lari dari melakukan kesilapan.  Itu biasa.

Soalnya, mengapa bekas calon Bebas ini sanggup menjilat ludahnya kembali untuk bersama parti di dalam proses pemilihan parti sedangkan selama ini menghentam parti bahkan menentang parti di dalam pilihanraya?  Ini bukan lagi soal peraturan atau undang-undang.  Ini soal maruah bekas calon itu.  Di mana maruahnya jika tergamak mengambil kesempatan di atas kelemahan sistem yang ada?  Apakah beliau ingin meletakkan peraturan itu lebih tinggi dari maruah diri?

Bagi parti pula, anggaplah ini satu rahmat agar peristiwa seperti ini tidak berulang lagi.  Tidak semua manusia menghargai maruah diri, maka kita perlu perkemaskan sistem keanggotaan parti kita.  Jangan biarkan parti kita sebegitu mudah untuk dipersendakan oleh orang-orang seperti ini.  Mereka bukan berminat pun dengan parti kita tetapi hanya sekadar untuk merosakkan parti.

1 ulasan:

  1. Macai...
    M: Mempercayai
    A: Apasaja
    C: Cakap
    A: Anwar
    I: Ibrahim

    BalasPadam