RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Khamis, 20 Februari 2014

MB SELANGOR - USTAZ HADI PUJUK KHALID? MENGAPA PERLU GUSAR?

AKU ada terbaca Tweet dari MSO (Mohd Sayuti Omar), berbunyi " Ekoran kerja senyap2 Hj Hadi kecek Khalid agar jgn letak jawatan bagi halang Anwar jd MB, elok kalau beliau buat kenyataan terbuka". (Twitter)

Perlukah aku melatah?  Atau aku hanya perlu diamkan saja?  Atau aku boleh tidak percaya atau boleh percaya dengan berita yang dibawa oleh MSO?  
Tidak salah sesiapa pun di kalangan kita suka kepada seseorang atau tidak suka kepada seseorang.  Tuan Guru Hj Hadi boleh saja suka kepada TS Khalid, dan beliau juga boleh tidak suka kepada TS Khalid.  Tuan Guru Hj Hadi tidak boleh kita paksa untuk menyukai DS Anwar atau sebaliknya.  Itu perlu kita terima.  Sesiapun mesti begitu, jangan kita tentukan siapa yang patut orang itu suka atau tidak suka.

Andainya DS Anwar Ibrahim suka kepada Tok Guru Nik Aziz, kita tidak boleh paksa Anwar untuk lebih menyukai Tuan Guru Hj Hadi.  Andainya Tuan Guru Hj Hadi lebih suka TS Khalid jadi MB Selangor berbanding DS Anwar, itu adalah hak peribadi Presiden PAS itu.

Jadi, apa yang tidak kena?  Jika benar, diulangi jika benar ada pujukan dibuat agar TS Khalid jangan lepaskan jawatan MB Selangor, itu juga tidak salah.  Andainya Tuan Guru Hj Hadi lebih suka TS Khalid jadi MB, memanglah wajar memujuk TS Khalid kekal di situ.  Serupa juga, ada yang lebih suka Anwar jadi MB Selangor, mereka akan sedaya upaya memujuk Anwar menjadi MB.  Jadi, apa masalahnya?  Tiada masalah, itu hak masing-masing.

Bila berlakunya sedemikian, akhirnya masing-masing mahu tidak mahu, suka tidak suka terpaksa terima keputusan majoriti di dalam PR.  Itu pun jika mahu menghormati keputusan bersama, dan ketepikan kehendak peribadi atau kumpulan.  Ada yang mahu Khalid kekal menjadi MB, ada yang mahu agar Anwar diberi peluang menjadi MB, dan tidak mustahil ada yang menolak kedua-duanya dari menjadi MB dan mahu orang ketiga diketengahkan.  Itu pun tiada masalah, boleh saja kerana masing-masing ada hak untuk nyatakan sokongan.

Contoh, Hj Hadi mahu TS Khalid dikekalkan menjadi MB Selangor.  Azmin Ali mahu Anwar menjadi MB Selangor.  PAS Selangor pula mahu Iskandar Samad menjadi MB Selangor.  DAP tentunya tidak boleh mencalonkan wakil dari DAP untuk menjadi MB Selangor kerana di Selangor DAP tiada wakil Melayu Islam.  Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menetapkan Melayu Islam sahaja yang boleh dilantik menjadi MB.  Maka, mereka semua tentulah sedaya upaya cuba untuk menaikkan calon MB Selangor pilihan masing-masing.  Tentu saja ada strategi dan kempen dilakukan, termasuk memujuk dan sebagainya.  Itu tidak salah sebenarnya.  Buat DAP pula, tunggu dan lihat siapakah calon-calon yang dikemukan oleh PAS dan PKR untuk menjadi MB Selangor. 

Setelah masing-masing letakkan calon pilihan masing-masing, tentunya PR akan berpakat dan kesemua Adun di dalam PR di Selangor akan diberi hak untuk memilih siapa paling layak untuk menjadi MB Selangor.  Waktu inilah kita boleh melihat kesepakatan kita sesama PR samada boleh terima keputusan majoriti atau tidak.  Waktu itu, lupakan saja kehendak peribadi atau kumpulan dan terimalah keputusan majoriti sesama kita.  Ertikata lain, tiada calon lain yang bakal menjadi MB Selangor kecuali dari PR iaitu PAS atau PKR.  Rugikah jika berlaku begitu walaupun ianya bukan dari calon kehendak kita?  

Jika Anwar menang di Kajang, Kerusi PKR tetap kurang satu daripada PAS.  PAS ada 15 Kerusi, PKR ada 14 Kerusi (jika, InsyaAllah, menang di Kajang) dan DAP ada 15 Kerusi.  Umno/Bn hanya ada 12 Kerusi sahaja.  Secara metamatiknya, undi dari Adun DAP amat penting bagi menentukan siapa MB Selangor.  Itu pun jangan salah tafsir, kerana mungkin tidak semua Adun dalam PKR akan suka dengan Anwar begitu juga mungkin tidak semua Adun dari PAS yang tidak suka Anwar jadi MB.  

Kesimpulannya, buatlah apa sahaja pilihan tetapi jangan lupa kita di dalam PR wajib mematuhi kehendak majoriti di dalam PR khususnya di dalam isu MB Selangor.  Jika ini boleh dipatuhi, InsyaAllah, PR akan diyakini oleh rakyat jelata.


Rabu, 19 Februari 2014

KONTROVERSI - FORUM "KAJANG MOVE" DI KUANTAN MALAM INI


MALAM ini (19/2/1014) Rabu, Jam 09.00 malam, bertempat di Pusat Tarbiyah Tg Lumpur, Kuantan akan diadakan Forum "Kontroversi" berkaitan PRK Dun Kajang.

"KAJANG MOVE - Strategi Ke Putrajaya?".  Itulah maudhuk forum malam ini yang bakal menampilkan Ahli Parlimen Temerloh yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, YB Us Nasruddin Tantawi dengan Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Sdr Razali Alias.  Turut serta adalah Prof Dr Muhammad dari UIA dan Moderatornya adalah Dr Wan Azizi juga dari UIA.

Ini bukan sesi perdebatan di mana pendebat akan berhujah untuk menangkis hujah lawan dan membawa hujahnya.  Ini adalah satu forum, iaitu setiap ahli Panel akan memberikan pandangan mengikut nas atau dalil beserta fakta-fakta yang diperolehi berkaitan tajuk ini.  Di dalam forum, mereka mesti menghormati pandangan ahli-ahli panel yang lain dan jika perlu dijawab boleh dijawab tetapi akhirnya mesti hormati pendapat ahli panel yang lain.

YB Us Nasruddin Tantawi memang 'kontroversi' semenjak dua menjak ini terutamanya berkaitan isu PRK Dun Kajang.  Kita ketahui beliau pernah suarakan pendapatnya yang agak pedas juga sebelum pimpinan PAS Pusat buat ketetapan di dalam isu Kajang.  Itu adalah haknya untuk beri pendapat.  Apa bezanya dengan Sdr Razali Alias?  Beliau mungkin dilihat tidak begitu "kontroversi" kerana beliau bukan "YB" yang mana kata-katanya 'ada nilai', tetapi tidak kurang juga pedasnya komen dari Ketua Penerangan KEADILAN Pahang ini melalui FB beliau.  

Sehubungan itu, mereka berdua diketemukan bukan untuk berbalah atau menegakkan benang yang basah.  Mereka diketemukan hanya untuk membuktikan kepada kita semua bahawa di dalam PR kita bersedia untuk berbincang, bertukar pandangan dan berforum di atas apa jua isu yang mungkin ramai yang terkeliru.  Ini beza PR dengan Umno/Bn.  Kita berada di pentas untuk sama-sama menambah baik nama atau imej parti kita.  Soal siapa kalah siapa menang tidak timbul kerana keputusan PR telah dibuat iaitu PRK Dun Kajang, PR bersedia dengan komitmen padu untuk memberikan kemenangan kepada PR yang diwakili oleh DS Anwar Ibrahim.

Cuma, forum pada malam nanti hanya berkisar soal, adakah PRK Dun Kajang itu (Move Kajang) itu benar-benar satu strategi untuk ke Putrajaya?  Itu masalah 'Khilafiah".  Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju.  Perlucutan jawatan Panglima Perang Khalid Al Walid, tidak semua dipersetujui oleh para sahabat kerana semua tahu kehebatan Khalid Al Walid.  Tetapi adakah para sahabat tahu apa sebabnya dan apakah strateginya?

Mudah-mudahan forum berjalan dengan baik, teratur dan penuh setiakawan, InsyaAllah.


MENJAWAB TULISAN US NASRUDDIN TANTAWI BERKAITAN "UG" DAN "KONSENSUS NASIONAL"

AKU membaca tulisan YB Ustaz Nasruddin Tantawi, MP Temerloh yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat di dalam akhbar Harakah (17-20 Feb 2014) yang bertajuk "Konsensus Nasional 5 Tahun Terlewat?".  Oleh kerana tajuk itu berbentuk 'soal' (?), ertinya beliau sendiri mahu diberi jawapan atau beliau ingin memberikan jawapan di atas tajuk berkenaan.  Rengkasnya, tulisan beliau bebas untuk kita ulas.

Pada pendapat aku, YB Nasruddin terlebih dahulu mesti tahu apakah yang dimaksudkan dengan "Konsensus Nasional' itu, apakah yang terkandung di dalamnya, apakah konsepnya dan berbagai perkara lagi sebelum beliau ingin menyebut bahawa "Konsensus Nasional" itu bersamaan dengan "UG" (Unity Government) yang dikatakan oleh beliau pernah diusahakan oleh PAS semenjak tahun 2008.  Benarkah ianya sama?

YB Us Nasruddin Tantawi
Jika Us Nasruddin menyebut bahawa "UG" pernah cuba diwujudkan pada tahun 2008, aku lantas teringat kisah "rundingan dalam kelambu" di Selangor sejurus selepas PRU ke 12.  Ketika itu, tiada siapa yang tahu terutamanya di kalangan rakan-rakan di dalam PR, bahkan dikatakan ada pimpinan di dalam PAS sendiri tidak tahu adanya "rundingan di dalam kelambu" ini telah diusahakan di Selangor di antara PAS dengan Umno Selangor.  Mungkin peristiwa ini lebih diketahui kisahnya oleh Dr Hassan Ali yang ketika itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Nasa (Timbalan Presiden PAS waktu itu) dan kita boleh dengar sendiri kisah ini dari YB Khalid Samad yang banyak mengisahkan tentang rundingan yang menjadi asas kepada cerita "UG" itu.

Jika itulah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Us Nasruddin Tantawi, ertinya terlalu jauh bezanya dengan "Konsensus Nasional" yang cuba diusahakan oleh DS Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang sekarang.  Perbezaannya adalah dari segi matlamat "UG" itu sendiri pada waktu itu (merujuk kepada kejadian di Selangor).  Pak Lah selaku PM, akhirnya mengaku bahawa lebih dari sekali pertemuan telah diadakan oleh PAS dengan Umno.  Mungkin Nawaitunya baik, tetapi kaedahnya tidak bijak samasekali.  Apakah rundingan untuk bekerjasama dengan Umno untuk mentadbir Selangor tanpa memaklumkan kepada rakan-rakan di dalam PR yang telah sama-sama bersusah payah merampas Selangor dari Umno/Bn itu bijak?  Ada cerita menyebut bahawa sekiranya rundingan itu berjaya, MB Selangor adalah dari PAS, Timbalannya pula adalah Umno kerana Kerusi di dalam Dun Selangor waktu itu cukup untuk berbuat demikian tanpa perlu sokongan dari PKR dan DAP.

YB Khalid Samad - lantang tolak "UG"
Alhamdulillah, rahsia ini terbongkar juga di mana majoriti pimpinan PAS amat tidak senang dengan kaedah sedemikian rupa.  Menendang kawan untuk mendapatkan kuasa memerintah itu bukan cara sebuah Parti Islam, ini disuarakan di dalam Muktamar PAS.  YB Khalid Samad (MP Shah Alam sekarang) adalah di antara yang paling lantang menolak "UG" sedemikian rupa.  Beliau pernah menceriitakan bagaimana Dr Hassan Ali waktu itu amat marah kepada beliau kerana kegagalan cita-cita tersebut.  

Secara rengkasnya, "UG" dengan Umno waktu itu gagal kerana majoriti ahli PAS sendiri tidak sanggup untuk mengkhianati rakan-rakan mereka dari PKR dan DAP.  Kisah seakan-akan seperti ini berlaku juga di Perak sebelum kejatuhan Kerajaan PR oleh para pengkhianat dari PKR dan DAP.  Ada cubaan untuk merealisasikan "UG" ini secara sulit juga tanpa pengetahuan rakan-rakan dari PR.  Ini disebut oleh Us Ahmad Awang di dalam Muktamar PAS selepas kejatuhan Kerajaan PR di bawah YB Nizar.  Walaupun Us Ahmad Awang tidak sebut secara terperinci atau panjang lebar, kata-kata beliau sudah cukup menggambarkan "UG" yang cuba dibawa ke Perak itu amat tidak disenanginya.

Sekali lagi aku cuba memikirkan apakah ini yang dimaksudkan oleh Us Nasruddin Tantawi bahawa "UG" bermula dari tahun 2008 itu adalah sama dengan "Konsensus Nasional"?  Konsensus Nasional adalah kerjasama di antara PR (PKR, PAS dan DAP) dengan kerajaan (Umno/Bn) di atas beberapa perkara untuk memberi kebaikan dan faedah kepada rakyat tanpa sedikitpun melibatkan gabungan kerajaan bersama atau ertikata lain kerjasama politik.  Ianya juga tidak rahsia kerana semua pimpinan PR telah dimaklumkan perkara ini.  Bahkan, Us Nasruddin Tantawi sendiri di dalam tulisannya menyebut bahawa Presiden PAS, Tuan Guru Hj Hadi Awang juga dijemput untuk hadir bersama berbincang.  Masalah Presiden PAS "uzur" atau disebut oleh Us Nasruddin Tantawi 'menguzurkan' diri itu, itu perkara lain.  Pokoknya, rundingan peringkat awal untuk merealisasikan "Konsensus Nasional" ini tidak menjadi rahsia pun di kalangan PR.  Itu beza dengan "UG" tahun 2008.

Konsensus Nasional seperti yang kerap disebut oleh DS Anwar itu adalah untuk PR bersama-sama dengan kerajaan bagi mengatasi beberapa masalah terutamanya masalah yang kritikal sekarang seperti masalah perkauman, keselamatan termasuk sentimen agama yang semakin hebat diprovokasikan oleh pihak-pihak tertentu.  Tentunya beberapa isu ekonomi, pendidikan, hak asasi dan sebagainya turut dimasukkan di dalam agenda atau fokus "Konsensus Nasinal" ini.  Tiada satu pun agenda untuk membentuk kerajaan bersama atau pembahagian kuasa politik di antara PR dan Umno/Bn.

Maaf, jika "UG" yang aku tafsirkan tahun 2008 itu bukan "UG" yang Us Nasruddin Tantawi maksudkan.  Apakah ada "UG" lain yang tidak dirahsiakan?  Wallahu Aklam. 


Isnin, 17 Februari 2014

SIAPA BAKAL PENGUNDI ZAID IBRAHIM ?

MAKA, Zaid Ibrahim yang telah lama menyepi masuk semula ke gelangang politik.  Berselera pula dia bila Kerusi Dun Kajang kosong sekarang.  Ok, tidak mengapa kerana itu hak beliau untuk meraikan demokrasi dan kita tidak perlu larang beliau masuk bertanding walaupun Umno/Bn terus menyepi di dalam soal calon mereka. 

Mengapa Zaid masuk bertanding di Kajang?  Seperti beliau sebut, pertamanya 'hadiah valentine" untuk isterinya setelah 'dapat restu' untuk bertanding.  Kedua, untuk pastikan Anwar tidak boleh jadi MB.  Itu saja.  Terliurkah rakyat Kajang dengan tawaran Zaid ini?  


Siapakah agaknya pengundi Zaid nanti?  Jika Umno/Bn dayus tidak mahu masuk gelanggang, tentunya para penyokong dacing baghdad dan keris telanjang tanpa sarung ini akan mengundi Zaid.  Tidak mustahil juga Zaid ini dihantar khusus ke Kajang untuk menutup 'kemaluan' Umno/Bn di situ.  Tapi aku rasa MCA tetap akan bertanding kerana MCA sudah kemaruk mahu tunjuk parti kaum Cina itu masih belum "mati pucuk" lagi.  Tambahan pula mereka sudah ada Presiden baru.  Andainya Najib buat keputusan, Bn tidak akan bertanding atas alasan bodohnya iaitu tidak mahu membazir wang, aku pasti MCA tetap akan letak calon juga biarpun atas nama Bebas.

Baiklah, jika Bn letak calon juga kerana tidak mahu digelar 'dayus', adakah pengundi yang boleh diharapkan oleh Zaid Ibrahim?  Jawapannya tentu ada.  Zaid mengharapkan segelintir dari penyokong PR yang telah membayangkan tidak selesa bila Anwar bertanding di Kerusi Dun Kajang itu.  Kumpulan ini sanggup pangkah Zaid daripada biarkan Anwar menang.  Ini adalah harapan Zaid.  Kumpulan ini tidak ramai tapi cukup untuk buat Zaid rasa jika tewas pun tidak akan hilang deposit.

Modal Zaid tentunya menarik juga.  Beliau akan kata kepada puak ini, "jika mahu Kerusi MB Selangor kekal kepada TS Khalid ataupun pemimpin lain selain Anwar, undilah aku", mungkin itulah kempen Zaid nanti.   Mana yang otaknya senget atau gila kuasa, pastinya sanggup ikut cakap Zaid.  Mereka lupa, Kerusi MB Selangor itu bukan kuasa Anwar pun jika beliau menang, tetapi itu hak semua Adun di Dun Selangor yang akan tentukan.  Jauh sekali Zaid boleh tentukan samada Anwar boleh atau tidak jadi MB Selangor.

Kalau betul Anwar ini kemaruk mahu jadi MB Selangor, tentunya beliau boleh pilih Kerusi Dun Bukit Antarabangsa yang ditawarkan oleh Azmin kepada beliau.  Tentu peluang jauh lebih besar untuk Anwar menang di kubu kuat Azmin itu.  Mengapa Anwar pilih Dun Kajang yang  kedudukan statistik perkaumannya hampir sama banyak di antara Melayu dan Cina? 

PRK Dun Kajang adalah ujian persahabatan kita di dalam PR.  Masing-masing akan melihat sejauh mana komitmen rakan-rakan di dalam PR membantu kemenangan Anwar di sana.  Samada Anwar menang, apatah lagi tewas, kita akan nilaikan nanti siapa yang istiqomah di dalam perjuangan ini.  Betullah kata YB Dr Zulkefli dari PAS, Kajang adalah penentu samada PR masih mampu bertahan sebagai kawan atau sebaliknya.  Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran.  Jangan menyesal di kemudian hari sudahlah.


Khamis, 13 Februari 2014

TIBA-TIBA MAHDEY KUTTY MINAT PAS JADI MB SELANGOR? KELAKAR GILA!!

PRK Dun Kajang masih jauh lagi.  Namun bagi Mahdey Kutty walaupun ianya jauh, tetapi amat menyiksa batin beliau.  Beliau tidak hairan langsung Kerusi Dun Kajang itu dimenangi oleh PKR ke atau Bn kerana beliau pun tahu standard Bn waktu ini, tetapi apa yang beliau sakit sangat adalah kerana seorang individu bernama "Anwar Ibrahim' berada di situ.

Beliau memang tidak boleh dengar nama Anwar Ibrahim.  Nama ini selalu membuatkan beliau terbangun di tengah malam dan terus ke toilet untuk terkencing.  Ketakutan beliau pada insan Anwar ini bukan baru, semenjak Anwar berada di dalam parti Keris telanjang tak bersarung lagi beliau sudah takut dengan tokoh ini.  Hebatnya Anwar di dalam partinya dulu membuatkan Tun Ghafar menyerah diri sebelum bertanding.  Sebab itulah sewaktu beliau ada kuasa, beliau gunakan kuasanya untuk menghapuskan anak Cherok To'Kun ini pergi jauh dari parti baru yang beliau sendiri tubuhkan.  Jangan lupa, parti Keris telanjang tak bersarung sekarang ini parti baru bukan parti warisan Onn Jaafar.  

Parti yang diasaskan oleh Onn Jaafar sudah lama dikuburkan oleh Mahdey Kutty melalui proses mahkamah.  Beliau puja dan seru balik parti ini dan menipu para pencacainya agar menyembah parti yang dipujanya itu kononnya ini lah parti asal.  Orang tua-tua kata, yang sudah mati tetapi hidup semula berwajah yang sama, itu adalah hantu raya.  Sebab itu, jangan pelik.  Mana ada hantu raya yang baik?  Jadi betullah kata Mahdey Kutty bahawa ini lah "syaitan yang dikenali".

Apabila Anwar mahu bertanding di PRK Dun Kajang, secara tiba-tiba Mahdey Kutty mencadangkan jawatan MB Selangor diberi kepada PAS.  Di sini jelas kepada kita Mahdey Kutty sudah membayangkan siapa bakal MB Selangor walaupun kita tidak fokus ke situ pun lagi.  Mengapa Mahdey Kutty beriya sangat mahu PAS jadi MB?  Bukankah beliau ini orang paling banyak melafazkan kata-kata bahawa PAS itu sesat?  Mengapa Mahdey Kutty mahu parti yang dia anggap sesat itu menjadi MB Selangor?  Kita jangan lupa, MB Kedah sebelum ini adalah dari PAS juga iaitu Almarhum Us Azizan Razak.  Ketika PAS perintah Kedah, ada pernah Mahdey Kutty puji Almarhum Us Azizan atau PAS di Kedah?  

Lebih 20 tahun Kelantan diperintah oleh PAS.  Apa yang Mahdey Kutty tidak pernah katakanb pada Kerajaan PAS Kelantan, terutamanya sewaktu era Tok Guru Nik Aziz jadi MB?  Sehingga ke jubah, serban dan janggut Tok Guru pun insan dari Karala ini dok perlekehkan.  Ertinya apa?  Ertinya Mahdey Kutty bukan berminat sangat pada PAS.  Tetapi mengapa sekarang galak sangat dia menyebut elok jawatan MB Selangor itu diberi kepada PAS?  Jawapannya, Mahdey Kutty tahu siapa akan duduk di Kerusi itu nanti dan insan itu adalah insan yang paling beliau takuti.

Hakikatnya, bukan Mahdey Kutty tidak tahu proses perlantikan MB Selangor itu bukan boleh main letak-letak sahaja.  Adakah Anwar itu Ketua Pembangkang maka dengan mudah Anwar berada di Kerusi MB Selangor?  Tidak.  Sebagaimana Anwar sendiri sebut dan pimpinan PR lain juga sebut bahawa kedudukan Kerusi MB Selangor adalah hasil dari persetujuan dan persepakatan bersama.  Seandainya PAS dipersetujui menjadi MB Selangor, itu bukanlah kerana mengikut telunjuk orang tua nyanyuk ini.  Ini adalah hasil muafakat bersama.  Begitu juga sebaliknya, jika ditakdirkan Anwar menjadi MB Selangor itu juga adalah kerana persetujuan bersama di dalam PR, bukannya kerana ingin melihat Mahdey Kutty ini mati terkejut apabila mendengar Anwar jadi MB Selangor.  Tidak samasekali.

Aku rasa eloklah Mahdey Kutty ini balik merepek di Kedah, nasihatkan anaknya yang sekarang ini menjadi MB di sana.  Nanti di dalam PRU 14, Kedah hilang dan balik semula kepada PAS, InsyaAllah, kita bimbang penyakit nyanyuk Mahdey kutty bertambah teruk.

Rabu, 12 Februari 2014

PRK DUN KAJANG - KETEGANGAN MENGENDUR SESAMA PR, UMNO/BN MULAI TERASA PANAS

SETELAH pendirian resmi dibuat oleh PR untuk terus memberikan sokongan kepada DS Anwar Ibrahim bertanding di PRK Dun Kajang, kini sokongan diperolehi pula dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) meskipun parti tersebut bukan dari PR tetapi sebuah parti yang kimited menentang Bn.
 
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan tidak akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.  Dalam kenyataannya hari ini, PSM tidak berhasrat memecahkan undi atau memberikan sebarang peluang untuk Barisan Nasional (BN) menang dalam PRK ini.  “PSM mungkin menggunakan peluang ini untuk terus berkempen kepada isu-isu yang kami rasa lebih penting untuk majoritu rakyat Malaysia iaitu isu membantah cukai GST, membantah perjanjian TPPA, pendidikan percuma dan memperkasakan Akta gaji Minima.  “Kami tidak sekali-kali menyokong atau menyeru rakyat menyokong BN yang merupakan punca kepada pelbagai masalah di negara kita,” kenyataan PSM dipetik.

Jelas, kali ini Umno/Bn akan ditentang habis-habisan dan PR akan mempastikan cita-cita atau strategi Umno/Bn untuk memperkuatkan pengaruhnya di Selangor selepas PRU 13 dihentikan terus.  Selangor wajib dipertahankan kerana terbukti di bawah PR, negeri terkaya ini jauh lebih baik diurus dan ditadbirkan berbanding di zaman Khir Toyo.  

Kemasukan DS Anwar Ibrahim yang tentunya merimaskan Umno/Bn, strategi yang baru mereka rancang terbantut dengan tindakan drastik membawa kemasukan Ketua Pembangkang tersebut.  Sejak awal apabila Kerusi Dun Kajang ini dikosongkan, Umno/Bn cuba untuk mengapi-apikan syak wasangka di antara rakan-rakan PR melalui media kawalan mereka.  Peringkat awalnya, usaha mereka tampak seperti berhasil namun atas kepintaran DS Anwar Ibrahim dan pimpinan PAS dan DAP yang membuat keputusan muktamad bahawa apa jua berlaku "Umno/Bn mesti ditentang".  
 
Sekarang kita dapat lihat peperangan cyber terutamanya di FB di antara kita di dalam PR semakin mengendur di dalam membahaskan isu PRK Dun Kajang.  Ini adalah kerana kita tahu, selemah mana pun rakan kita di dalam PR, melakukan kesilapan apa pun sesama kita, kita masih berada di dalam kedudukan atau ketelusan yang jauh lebih baik dari Umno/Bn.  Tiada pilihan lain, Umno/Bn mesti dikuburkan di Selangor mulai sekarang.

Isnin, 10 Februari 2014

ISU PRK DUN KAJANG - FORUM "KONTROVERSI" DI ANTARA ORANG KUAT PKR PAHANG DAN MP DARI PAS


BERMULA dengan "peperangan' di FB dengan berbagai hujah dari perbagai pendapat dan pandangan khususnya berkaitan isu PRK Dun Kajang.  Dari golongan bawahan dan facebookers, sehingga ke yang mempunyai kedudukan di dalam parti turut bersama meraikan pendapat.  Terdapat hujah yang bernas, ilmiah dan penuh hikmah, tidak kurang juga terdapat hujah yang emosional.

Semuanya bermula apabila Wakil Rakyat dari PKR mengosongkan kerusinya di Dun Kajang.  Kemudiannya tidak sampai 24 jam diputuskan melalui PR bahawa DS Anwar Ibrahim adalah calon yang bertanding di Kerusi tersebut.  Di peringkat ini, PR telah dimaklumkan tetapi yang hangat diperdebatkan adalah sewaktu cadangan Kerusi tersebut mahu dikosongkan, mengapa PR tidak dimaklumkan terlebih dahulu?

Baiklah.  Apabila kita mendengar sendiri penerangan yang diberikan oleh Sdr Rafizi Ramli salah seorang yang terlibat di dalam 'strategi' ini (rujuk forum di Radio Bangsar), sememangnya tindakan mengosongkan kerusi tersebut 'perlu dirahsiakan' di peringkat awal KECUALI beberapa pimpinan kanan dari PR telah dimaklumkan.  Di pihak PAS, Sdr Rafizi menyebut yang mengetahuinya adalah SU Agong PAS sendiri, Sdr Mustafa Ali dan juga pemimpin kanan dari DAP turut dimaklumkan sebelum tindakan mengosongkan Kerusi tersebut.  Ertinya, tidak benar samasekali tindakan ini dirahsiakan terus dari rakan-rakan PR.  Mungkin tidak ramai yang tahu di Selangor, bahkan ada pimpinan PKR di Selangor turut terkejut pada awalnya.   Oleh kerana ianya disebut "strategi", maka PKR Selangor pun ramai yang tidak tahu.

Sebab apa dikosongkan?  DS Anwar di dalam ceramahnya sewaktu Program Hi-Tea di Kajang baru-baru ini menyebut, betapa perlunya tekanan Umno/Bn yang semakin hebat di Selangor ini ditangani.  Kemelut Azmin-Khalid salah satu faktor yang boleh menyebabkan Selangor lemah, tetapi faktor paling besar adalah dari segi kepimpinan, gerakkerja, strategi yang mantap perlu dilakukan untuk menghalang perancangan rejim untuk merampas Selangor dengan berbagai cara.  Tokoh yang difikirkan oleh pihak yang dikatakan berbalah iaitu Azmin dan Khalid bahawa tokoh yang harus berada di Selangor ini mestilah yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak termasuk rakan-rakan dari PR.  Siapa tokoh yang boleh membaca strategi Umno ini jika tidak DS Anwar Ibrahim?  Anda tidak bersetuju itu tidak mengapa, tetapi itulah yang PKR fikirkan. 

Kedah dan Perak menjadi sejarah apabila ianya tidak ditangani dengan strategi yang betul.  Di Perak, wakil PKR dan DAP menjadi katak maka jatuhlah kerajaan PR.  Jika strategi diamalkan, apabila kita terhidu ada tanda-tanda bahawa Wakil Rakyat dari PR sudah mula lain macam atau ditekan dengan berbagai tuduhan rasuah, di dalam bilangan kerusi yang begitu kritikal dan kerajaan yang tidak begitu kukuh waktu itu, tentunya strategi bubarkan Dun Perak lebih bijak.  Ertinya, Pilihanraya perlu diadakan dan kemungkinan kita boleh mendapat mandat semula.  Begitu juga di Kedah.  MB Kedah amat baik dan telus, seorang Ulamak yang tidak boleh kita pertikaikan kebersihan pentadbirannya.  Namun, terdapat beberapa isu yang kontroversi yang dilihat berlaku seperti isu KUIN, isu Saham FGVH yang turut disertai oleh Kerajaan Negeri yang mana akhirnya ditarik semula setelah dikritik hebat.  Ada beberapa isu lagi yang pastinya bukan isu rasuah atau seleweng, tetapi isu pentadbiran di samping terdapat juga perbalahan MB dengan Exconya.
Kita gagal mengesan bayang-bayang kejatuhan kerajaan ini.

Di Selangor, sejak tahun 2008 di awal PR memerintah, bermacam-macam isu berlaku.  Bukannya rasuah atau penyelewengan, tetapi terdapat usaha memainkan sentimen agama dan kaum.  Unsur sabotaj pun ada, bahkan dihari pertama TS Khalid berada di Pejabat MB, sudah dikesan satu kamera tersembunyi dipasang di dalam pejabatnya.  Untuk apa kamera itu jika bukan untuk sabotaj dan berniat jahat?  Ertinya, di dalam pejabat MB sudah ada 'musuh-musuh' TS Khalid.  Isu serbuan JAIS terhadap Gereja tanpa memaklumkan kepada MB dan Exco, ini semua tandanya apa?  Bukan sekali berlaku.  Selepas PRU 13, tekanan dilihat semakin kuat.  Isu perkauman dan sentimen agama, yang peliknya hanya di Selangor dan Penang, dua negeri termaju ini sahaja berlaku isu ini.  Mengapa?  Sebab mereka terlalu ingin merampas Selangor, negeri terkaya itu begitu juga Penang.  Isu Kalimah Allah hebat dimainkan di Selangor dan Penang, sedangkan kita tahu penganut Kristian atau gereja bukan sahaja berada di Selangor atau Penang sahaja.  Tetapi mengapa dua negeri termaju ini menjadi sasaran mereka?

Mungkin, DS Anwar melihat perkara ini sejak tahun 2008 lagi.  Ianya semakin parah dan beliau amat bimbang seandainya 'penyakit' ini tidak ditangani dengan baik.  Lojikkah di kala MB Selangor mahu naikkan elaun Wakil Rakyat begitu tinggi, dengan mudah Wakil Rakyat Dun Kajang ini letak jawatan tanpa sebab?  Lojikkah Anwar yang pernah duduk di jawatan Pemangku PM,. Timbalan PM, begitu gila mahu jadi MB?  

Benarkah DS Anwar bakal jadi MB Selangor?  Seperti yang disebut oleh beliau sendiri, kemungkinan itu ADA, TETAPI semuanya akan diputuskan oleh rakan-rakan di dalam PR Selangor.  Seandainya, majoriti di dalam Dun Selangor menolak DS Anwar, beliau tidak boleh jadi MB walaupun menang di PRK Dun Kajang.  Itu faktanya.  Tetapi, kehadirannya di Selangor (jika menang) walaupun bukan sebagai MB, tetap memperkuatkan PR Selangor itu tidak boleh dinafikan.  Di samping itu, ketegangan Tim Khalid dan Tim Azmin boleh diredakan dengan kehadiran DS Anwar walaupun itu bukan faktor utama DS Anwar ke Selangor.  "Serampang dua mata".

Apabila kita sebut "strategi" ada rakan yang sebut itu hanya alasan semata-mata.  Bak kata Rafizi, PKR buat satu tindakan yang terlalu tinggi risikonya.  Mengambil tindakan yang berisiko lebih baik daripada membiarkan masalah yang lagi tinggi dan dahsyat risikonya.  Rafizi telah mohon maaf seandainya "strategi' ini menyusahkan rakyat, tetapi PKR tiada jalan lain lagi.  DS Anwar perlu masuk juga ke Selangor, bab menjadi MB itu soal kedua, biarkan rakan-rakan yang tentukan.  Yang penting, DS Anwar berada di saf hadapan bersama TS Khalid, Azmin, pimpinan PAS dan DAP berganding bahu memperkuatkan negeri contoh PR ini.  Tentunya pihak rejim kini amat suka kita berbalah sebab mereka amat kecewa perancangan mereka hampir gagal setakat ini untuk merencanakan sesuatu di Selangor.  Percaturan bahaya ini memberi kesan kepada Umno sebenarnya.

Ada strategi yang perlu kita hebahkan kepada askar-askar kita, ada strategi yang hanya beberapa pegawai atau jeneral tentera sahaja yang memikirkannya.  Apabila saat untuk menyerang, barulah strategi ini didedahkan kepada semua askar.  Ini bagi mengelakkan daripada musuh dalam selimut menghidunya dan mereka bertindak untuk menghalangnya dengan berbagai cara.  Memang sukar untuk kita menerangkan sejelas-jelasnya tindakan ganjil ini, tetapi InsyaAllah, di suatu masa nanti kita akan dapat memahami mengapa tindakan ini perlu diambil.  

Sdr Rafizi akhirnya menyerahkan kepada rakyat.  "Jika rakyat merasakan kami menipu anda, hukumlah kami di dalam PRK nanti".  Usah bicara soal perjuangan jika takut menanggung risiko.

Ahad, 9 Februari 2014

PRK DUN KAJANG - TIDAK FAHAM, BUAT-BUAT TIDAK FAHAM ATAU INGIN CETUS KONTROVERSI?



APAKAH masih tidak faham isu PRK di Dun Kajang?  Apakah masih tidak tahu mengapa dan kenapa Kerusi itu sengaja dikosongkan?  Sukarkah untuk mengerti mengapa mesti Anwar diberi laluan beretanding di Kerusi Dun Kajang mewakili PR?

Atau sengaja buat-buat tidak faham kerana ingin cetuskan perbalahan, mungkin juga ingin ambil kesempatan untuk menunjukkan kita ini lebih hebat dari orang lain?  Penjelasan sudah dibuat dan terus terang telah dinyatakan tindakan itu adalah "strategi politik yang berisiko tinggi", dan jika kita rasa tindakan itu melampau maka seperti kata Sdr Rafizi PKR sedia "mohon maaf".  Penjelasan diberi, permohonan maaf dibuat, mengapa perlu ada kata-kata yang menyakitkan hati?  Paling jelik, kata-kata itu datang dari pemimpin, Wakil Rakyat yang bergelar 'Ustaz" yang cuba menjadi hero manipulasi kata-kata bosnya sendiri.

Bos kata, "PAS akan bantu PKR di PRK Dun Kajang, Isu MB Selangor tidak timbul, tumpukan pada kemenangan PRK Dun Kajang".  Pemimpin ini buat ulasan panjang lebar dan paling menyedihkan menafsirkan kata-kata bosnya "Isu MB Tidak Timbul" dengan menafsirkan dengan kata "PAS tolak Anwar jadi MB Selangor".  Ini apa cerita?  Adakah dengan PAS tolak Anwar, maka Anwar tidak boleh jadi MB Selangor?  Atau, jika PAS setuju sekalipun Anwar jadi MB Selangor, maka kompom Anwar jadi MB Selangor?.  Jika PAS ada calon lain dari PAS sendiri, adakah itu juga pasti jadi MB Selangor?  

Tentunya ada proses, sebagaimana Anwar sebut MB Selangor mestilah yang mendapat sokongan majoriti di dalam Dun Selangor dan kemudiannya dibawa ke Istana pula.  Jadi, mengapa perlu awal-awal lagi buat kenyataan kontroversi?  Cukuplah sebut apa yang bos sebut, jangan lebih sudu dari kuah.  Belajarlah dari cara politik pemimpin-pemimpin atas dari kamu.  Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Naib Presiden PAS punyai kata-kata yang baik dan bijak.  Tok Guru Nik Aziz, Husam, Salahuddin Ayob kesemua mereka pimpinan di atas yang lebih tahu berpolitik dan rencah garamnya, mereka tahu mahu ulas sesuatu isu.  Mat Sabu pun begitu, siapa di dalam PAS yang boleh menandingi kehebatan Mat Sabu "ayam sabung' PAS ini?  Namun beliau bijak di dalam politiknya.  

Kepada yang kurang jelas lagi, aku salin semula komen aku di dalam FB;

"Rujuk pd forum Rafizi, Aru (PSM) dan Hishamuddin Rais (Tukar Tiub) di Radio Bangsar, Sdr Rafizi kata tindakan mengosongkan kerusi Dun mmg satu strategi utk bawa masuk Anwar ke Sgor. Pertama, Utk selesaikan bberapa kemelut di Sgor (krisis Azmin-Khalid). Kedua, menghadapi tekanan musuh politik (Umno/Bn) yg semakin hebat utk pecahbelahkan rakyat dgn manipulasikan isu gereja, perkauman dan menghapuskan jika ada talibarut Umno dlm pentadbiran KJaan Sgor yg kerjanya sabotaj KJaaan PR Sgor. Jika langkah itu dikatakan langsung tak dibincangkan terlebih dulu dgn rakan2 dr PR, itu bohong. Rafizi sebut, ada dibincangkan tetapi peringkat awalnya secara tertutup dan wakil dari PAS adalah SU Agong Sdr Mustafa Ali telah dimklumkan awal. 

Pbincangan diadakan tertutup kerana ini satu strategi yg berisiko tinggi dan kita takut strategi ini lebih awal diketahui musuh dan mereka akan lakukan sesuatu yg ingin menggagalkan usaha ini. Bila semua setuju, barulah kerusi itu disokongkan dan barulah didedahkan kpd rakyat sbb musababnya. Kini, tpulang kpd rakyat utk terima strategi ini sbg satu langkah mendepani cabaran Umno/Bn dan memperkuatkan lagi KJaan PR Sgor. Rafizi kata, jika rakyat Kajang rasa ini penipuan PKR utk permainkan demokrasi, sila tolak calon kami, katanya. Skrg, rakyat kena buat kputusan setelah penjelasan diberi. Penjelasan yg diberi tidak memaksa kita utk menerimanya."

Jumaat, 7 Februari 2014

PAS TOLAK ANWAR JADI MB SELANGOR, BUAT APA NAK MARAH ATAU PELIK?

MEMBACA akhbar Sinar, dinyatakan oleh MP Temerloh, YB Ustaz Nasruddin Tantawi bahawa PAS menolak Anwar sebagai MB Selangor.  Tiada keperluan untuk menukar MB Selangor dan itu adalah keputusan Lajnah Politik PAS Pusat, katanya.

Aku hormati keputusan PAS atas prinsip semua parti di dalam PR berhak bersuara dan berhak membuat keputusan sendiri tanpa terikat dengan mana-mana parti.  Hal ini tidak pelik dan biasa berlaku sepertimana juga sewaktu PRU 13 yang lalu PAS di Pahang mengiktiraf Calon Bebas di Dun Damak walaupun di situ PKR meletakkan calon.  Tangan calon Bebas diangkat oleh Presiden PAS di atas pentas PAS waktu itu.  Itu juga hak PAS untuk menyokong mana-mana yang PAS fikir boleh memperkuatkan PAS.  Aku tiada masalah tentang itu.  Jangan bicara soal bertindih kerusi seperti Dun Sg Acheh yang mana calon PKR Sdr Chegu Bard terpaksa menyinseng lengan dengan Ustaz Yusri dari PAS, akhirnya yang menang calon Bn, walaupun undi yang diperolehi oleh Chegu Bard jauh lebih tinggi dari yang diperolehi oleh Ustaz Yusri.  Di Damansara, undi yang diperolehi oleh calon PKR, Dr Nasir jauh lebih tinggi dari undi yang diperolehi oleh calon PAS, namun yang menang adalah calon Bn.  Kita mesti terima semua ini kerana itu hak PAS termasuk hak mendakwa calon PKR kaki pil kuda.  Tidak perlu kita marah kepada PAS apabila mereka mengeluarkan kenyataan kerana itu hak mereka dan PKR juga ada hak, DAP pun ada hak.

Cuma, di dalam PR ini apabila masing-masing telah menyatakan pendapat, apakah pendapat bersama sudah tidak lagi releven?  Contohnya di dalam isu MB Selangor, PAS telah muktamad menolak Anwar sebagai MB Selangor jika Anwar menang di dalam PRK Dun Kajang pada 23 Mac nanti.  Andainya kesemua Adun dari DAP berjumlah 15 Kerusi dan Adun dari PKR berjumlah 14 Kerusi mahu Anwar menjadi MB Selangor, ketika itu kita mengharapkan PAS meraikan perbezaan pendapat ini dan bersama di dalam suara majoriti.  

Rabu, 5 Februari 2014

ISUNYA PRK DUN KAJANG, ISU MB SUDAH ADA FORMULA, IKUT SAJALAH TIDAK PERLU LETAK SYARAT

TERLEBIH dahulu Tahniah buat PAS yang telah buat keputusan untuk bersama PKR dan DAP bertempur dengan gerombolan rejim Umno/Bn di PRK Dun Kajang.  Walaupun sebelum ini terdapat beberapa pimpinan terutamanya di Selangor yang melatah dan tersedak sedikit apabila terkejut dengan peristiwa "Kajang Move" ini.  Mereka berhak terkejut tapi sebagai pemimpin tidak wajar untuk melatah.

Melatah yang aku sebut ini adalah merujuk kepada ugutan boikot pilihanraya.  Tidak bersetuju kita boleh hormati tetapi mengugut itu agak kurang matang juga sebagai pemimpin.  Begitu juga penyakit latah ini berjangkit kepada MP Temerloh.  Tidak mengapa lah, sekarang ini sudah selesai bila mana PAS secara Jemaahnya buat keputusan untuk membantu PKR di Dun Kajang nanti.  Alhamdulillah.

Walaupun latahnya masih ada di mana di sebalik bersetuju untuk membantu PKR di PRK Dun Kajang, terdapat isu MB Selangor.  Ertinya, PAS setuju Anwar bertanding di Dun Kajang tetapi bab MB Selangor belum tahu.  Betullah tu.  Kita pun cerita bab Kerusi Dun Kajang sejak awal lagi, cumanya isu MB Selangor itu adalah persepsi atau gossip di kemudiannya.  Bila disebut gossip, mungkin betul dan mungkin tidak. 

Siapa boleh paksa samada pimpinan PKR, PAS dan DAP untuk memilih sesiapa di kalangan mereka sebagai MB Selangor?  Tentu tidak.  Kerusi MB Selangor mestilah mendapat sokongan majoriti di dalam Dun Selangor, kemudiannya diperkenan oleh Sultan Selangor walaupun kuasa Sultan untuk menerima atau tidak itu boleh diperdebatkan.  PAS memiliki 15 Kerusi, DAP 15 Kerusi dan PKR pula 14 Kerusi (jika PKR menang di Dun Kajang, InsyaAllah).  Umno/Bn pula ada 12 Kerusi.  Siapa MB Selangor nanti mestilah ditentukan kuasa majoriti di sini.  Ertinya, tidak mudah dan tidak perlu dibincangkan saat ini.  Fokus PRK Dun Kajang dan jangan gatal mulut mahu kait isu MB Selangor.

Memang betul, ada yang kata terdapat rancangan untuk bawa Anwar menjadi MB Selangor sekiranya beliau menang di dalam PRK nanti.  Jika mahu percaya tidak salah dan jika tidak mahu percaya pun tidak salah.  Jika mahu percaya dan tidak setuju Anwar menjadi MB pun tidak salah, jika bersetuju pun tidak pula menjadi kesalahan.  Samada bersetuju atau tidak, formulanya tetap sama iaitu calon MB Selangor jika mahu menggantikan TS Khalid mestilah mendapat sokongan majoriti Adun.  Seandainya TS Khalid mendapat sokongan majoriti untuk dikekalkan, maka TS Khalid lah menjadi MB Selangor.  Anwar tidak boleh rampas kerusi itu bersendirian atau hanya mendapat sokongan PKR sahaja.  

Jika DAP seramai 15 Adunnya bersetuju dan PAS seramai 15 Adun tidak bersetuju, PKR pula seramai 14 Adun bersetuju, bagaimana?  Belum tentu lagi sebabnya proses selepas itu adalah mengadap Sultan.  Macam-macam boleh berlaku di dalam Istana.  Oleh yang demikian, lupakan dulu soal MB Selangor kerana sesiapa pun yang menjadi MB yang penting MB itu bukan di kalangan Umno/Bn yang telah menunjukkan rekod terburuk di Selangor sebelum ini.  Jika ditanya kepada aku apa kata jika PAS pula jadi MB?  Aku jawab, tiada masalah pertamanya PAS bukan talibarut Umno/Bn, PAS miliki Kerusi yang lebih tetapi PAS perlu dapat sokongan juga dari PKR dan DAP.  Tiada masalah pun.

Isnin, 3 Februari 2014

BERBALOIKAH MASUK NERAKA KERANA IKUT TELUNJUK KAKI FITNAH AHMAD MASLAN?

AHMAD Maslan tanpa berselindung dan rasa malu akhirnya mengaku Umporno sememangnya sudah tiada modal atau idea untuk menghadapi PRK Dun Kajang nanti, kecuali LUCAH dan SEKS diadunkan dengan resepi FITNAH.  Itu saja modal yang ada, katanya.

Isu Liwat Anwar akan dijaja semula di Kajang.  Rakyat di Kajang yang selama ini anak-anak mereka belajar mengaji bab ugama berpeluang untuk menambah ilmu buat anak-anak Melayu Islam ini mengetahui apa itu Liwat.  Umporno berjasa membawa ilmu ini khas buat anak Melayu Islam Kajang.  Kaum Cina tidak pandang pun isu ini, kaum Cina standard pemikiran mereka jauh ke hadapan.  Cerita karut marut lucah apatah lagi berbentuk fitnah seperti ini kaum Cina akan buat bahan pencuci najis mereka sahaja seperti mereka lakukan kepada akhbar Utusan meloya.

Kaum Melayu Islam di Kajang penting untuk mengetahui apa itu Liwat.  Betul atau tidak, bertepatan dengan hukum Islam atau tidak, itu tidak penting buat Umporno.  Yang pentingnya rakyat Kajang terutamanya kaum Melayu Islam mesti di'kangkung'kan dengan bahan berita lucah ini.  Apakah rakyat Kajang sanggup terima "makanan haram' yang ditawarkan kepada mereka oleh Umporno?   Permulaannya fitnah seks ini telah pun bermula di media sekarang.  Bahan ini akan mereka sampaikan ke setiap telinga rakyat Kajang agar rakyat Kajang terus buta hati dan mata seperti mereka.  Kalau masuk Neraka pun akibat fitnah ini, biarlah sama-sama kita masuk, itulah anggapan Umporno kepada rakyat Kajang.

Sebab itu, kehebatan Umporno di dalam bab lucah ini tiada siapa boleh lawan.  Blogger Papagomo lebih tahu selera Umporno, sebab itu Papagomo makan hasil tangan Umporno untuk mencipta fitnah seks terhadap Anwar.  Malangnya, Papagomo hilang telor bila dibawa ke mahkamah.  Tidak berani berdepan dengan Anwar walaupun sepatah kata untuk mengatakan Anwar kaki liwat.  Mana dia berani?  Dia tahu, apa yang dia tulis selama ini hanya modal untuk cari makan kasi anak bini mentekedarah.  Berkatnya hasil cari makan seperti itu, akhirnya rumahtangga hancur.  Bercerai berai,bini entah ke mana, anak pun tidak tentu arah.  Itulah berkatnya hasil suapan Papagomo selama ini kepada keluarganya.  Semuanya berpunca dari Umporno.

Ahmad Maslan semua kita tahu seorang yang bangang lagi jahil terutama dalam bab agama.  Kalau Najib kangkung jahil tidak tahu bab Najis Mughallazah. aku rasa Ahmad Maslan ni mandi wajib pun dia tak tahu.  Tidak percaya cuba tanya dia rukun mandi wajib.  Jadi, pelik juga kalau orang Kajang boleh ikut telunjuk orang bodoh macam ini.  Kalau setakat bodoh itu tidak mengapa, tetapi bodoh dan sesat.  Sudah lah bodoh, sesat dan menyesatkan orang lain.

Buat orang Kajang, janganlah letakkan maruah anda setaraf dengan maruah kangkung Ahmad Maslan.  Murah sangat.  Tidak berbaloi dibakar api neraka hanya kerana ikut telunjuk Ahmad Maslan.