TAHNIAH aku ucapkan kepada PAS kerana telah menunaikan disiplin parti terhadap ahli-ahlinya. Apabila dua Adun PAS iaitu YB Saari Sungip dan YB Hasnul yang telah menyokong DS Wan Azizah sebagai MB Selangor telah dikenakan tindakan tatatertib iaitu digantung keahlian selama setahun. Kesalahan kedua-dua Adun ini adalah mendahului keputusan parti. Ertikata lain, mereka tidak mematuhi arahan parti.
Aku ucapkan tahniah bukan kerana aku gembira dua Wira PR ini digantung, tetapi aku merasa bahawa sekarang baru PAS faham bahawa adalah menjadi satu kesalahan seseorang ahli itu tidak patuh kepada parti, walaupun mereka tidak disabitkan dengan mahkamah atau SPRM. Sebelum ini, Presiden PAS selalu sebut pemecatan TS Khalid Ibrahim, mantan MB Selangor dari PKR adalah sesuatu yang zalim dan tidak Syarie kerana TSKI tidak disabitkan dengan mahkamah atau salah laku seperti rasuah mahupun penyelewengan.
Adakah YB Saari Sungip dan YB Hasnul terlibat di dalam salah laku mahu pun disabitkan dengan mahkamah? Jawapannya, tiada. Mengapa digantung? Jawapannya kerana melanggar disiplin parti. Ini bermakna secara tidak langsung PAS akhirnya akui bahawa PKR telah melaksanakan tanggungjawab parti seperti yang telah PAS lakukan itu. Begitu pantas Allah memberi pertunjuk kepada PAS yang mungkin selama ini hanya tahu bahawa kesalahan di dalam parti itu adalah semata-mata melakukan penyelewengan. Hakikatnya, engkar arahan parti dan tidak hormat kepada pimpinan parti juga merupakan satu kesalahan.
Tentu ada ahli-ahli PAS yang masih mahu pertahankan bahawa apa yang PAS buat terhadap kedua-dua Adun mereka itu betul dan Syarie, tetapi tindakan PKR pecat TSKI itu tetap salah dan tidak Syarie. Terpulangkan kepada para penyokong PAS yang taksub dan fanatik sedemikian rupa. Mereka boleh fikir sendiri apa beza tindakan PAS dan tindakan PKR itu. Bezanya hanya dari segi hukuman saja. PAS hanya gantung keahlian, tetapi PKR telah mengambil tindakan lebih keras iaitu memecat TSKI.
Kedua-dua Adun berkenaan digantung kerana menyokong Presiden PKR yang mana PAS masih belum buat keputusan samada sokong atau tidak. PAS hanya buat keputusan pantas iaitu mengarahkan 4 Exco PAS yang ada untuk terus menyokong TSKI iaitu MB yang tiada parti. Kononnya untuk selamatkan Kerajaan PR sedangkan TSKI sendiri kata PR tidak wujud kerana tidak berdaftar. Namun 4 Exco itu terus berada di bawah TSKI ketika itu walaupun DS Wan Azizah telah pun membuktikan bahawa beliau punyai majoriti iaitu 30 Adun termasuk dua Adun PAS. Lojiknya 4 Exco berkenaan menghentikan sokongan mereka kepada TSKI sebaik sahaja DS Wan Azizah mempunyai sokongan majoriti. Ini tidak berlaku samasekali.
Kini, dua Adun berkenaan tiada parti sehingga berakhirnya tempuh penggantungan. Aku harap PKR atau DAP jangan campor urusan dan pentadbiran PAS di dalam menangani soal disiplin parti mereka. Kita jangan jadi bodoh dengan mempertikaikan undang-undang dan peraturan parti rakan kita. Cukuplah PKR merasa bagaimana hal ehwal dan pengurusan parti sendiri ada pihak lain yang mempertikaikannya. Kita jangan tiru kerja bongkak dan angkuh itu.









