RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 26 September 2014

PRK PENGKALAN KUBUR - MUKTAMAR SEHINGGA LUPA DIRI AKIBAT KITA TEWAS?

KEPUTUSAN tidak resmi menunjukkan BN mengekalkan kerusi Pengkalan Kubor dengan majoriti 2,635 undi.  Mengikut keputusannya, BN yg diwakili oleh Mat Razi mendapat 9,960 undi manakala PAS melalui calonnya Wan Rosdi mendapat 7,335 undi. Calon Bebas, Izat Bukhary hanya mendapat 37 undi dan hilang deposit.

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi apabila pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.   Dalam pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.  Ertikata lain, PAS lebih teruk tewas berbanding PKR walaupun aku meramalkan PAS mampu menang dengan majoriti kecil dan samasekali tidak menjangkakan PAS tewas seteruk ini.

Khabarnya, undian daripada masyarakat Non Muslim dan anak-anak muda juga terlalu jauh merosot.  Tambahan pula bak kata Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Pengarah PRK ini bahawa di antara faktor kekalahan PAS adalah kerana ramai pengundi luar yang tidak balik untuk mengundi.  Persoalannya, adakah sekiranya mereka balik mereka akan mengundi PAS kerana kebanyakan perantau-perantau terutamanya yang bekerja di kawasan-kawasan bandar mereka celik maklumat dan mereka tahu selama ini apa yang sering diperkatakan orang tentang PAS.

Sewajarnya anak-anak perantau ini akan lebih bersemangat untuk pulang mengundi kerana mereka tahu PAS teramat ingin merampas Kerusi tersebut setelah PKR gagal sebanyak dua kali.  Tetapi mengapa mereka tidak pulang?  Benar, hari mengundi hari bekerja tetapi jika semangat itu tinggi untuk memenangkan PAS aku rasa mereka tetap akan pulang walaupun sanggup membeli "MC" untuk satu hari.  Aku rasa ada sesuatu yang tidak kena kali ini.  Ustaz Tuan Ibrahim pun ada menyebut, ada sesuatu yang tidak kena mengapa anak-anak muda tempatan pun tidak seperti dulu.  

Sedikitpun aku tidak merasakan ketiadaan kempen oleh Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim ke sana menjadi faktor tewasnya PAS.  Anwar bukan hebat lagi di Kelantan, dan Kelantan adalah kubu PAS di Malaysia dan mempunyai berbagai jentera yang teramat kuat.  Bukankah jentera PAS sering dilaung-laungkan sebagai terhebat berbanding PKR?  Sepatutnya selepas Muktamar PAS di Batu Pahat baru-baru ini semangat pemimpin dan para penyokong PAS tentu membuak-buak, apatah lagi di dalam hubungan yang agak kontroversi dengan PKR, tentunya PAS ingin tunjukkan bahawa PAS memang hebat sebenarnya.

Boleh dikatakan kesemua kepimpinan PAS, dari Presiden, Mursyidul Am, ahli-ahli Majlis Syura dan Dewan Ulamak, Pro Ulamak dan Profesional, kesemuanya turun berkempen.  Habis kekuatan PAS turun kali ini.  PKR juga turun membantu dan sewaktu PAS sibuk bermuktamar, jentera PKR mengambil tugas berkempen di beberapa kawasan,  Jentera PKR juga berkampong di Pengkalan Kubur.  Ertikata lain, segala usaha telah kita lakukan demi untuk melihat Umno berkubur di Pengkalan Kubur.  Malangnya, Pengkalan Kubur itu kuburnya milik kita.

Aku melihat kebijaksanaan amat kurang sepanjang kempen.  Bayangkan, sewaktu Muktamar PAS berlangsung yang diketahui menjadi bahan berita media termasuk TV3, pemimpin dan para perwakilan tidak sedarkan diri berpidato menunjukkan kehebatan membelasah rakan-rakan sendiri samada dari PKR mahu pun DAP.  Tidak cukup dengan itu, sesama mereka pun menjadi bahan cemuhan sehingga ucapan menjadi doa laknat, dan tercatat dalam sejarah mulut Tuan Presiden sendiri perkataan "broker dan Barua".  Ini semua adalah bahan makanan yang dihidangkan percuma kepada media-media berlidah syaitan ini.  

Telah dijangka kesemua ucapan negatif sepanjang Muktamar telah dijadikan modal kempen Umno/Bn bahkan dijadikan cogan kata dan ayat-ayat disusun indah di dalam Banner-banner mereka.  Imej PAS sepanjang kempen teruk terjejas angkara Muktamar yang lupa bahawa PAS sedang bertarung di Pengkalan Kubur.  PAS tanpa disedari memberikan peluru kepada musuh.  

Amat sedih sekali ini berlaku.  Ini lah yang selalu aku sebut tidak semua Ulamak itu tahu berpolitik walaupun ugama dan politik itu tidak terpisah.  Politik perlu kepada kebijaksanaan dan strategi yang baik serta tersusun.  Menyerang rakan-rakan di dalam PR, menyerang rakan-rakan seperjuangan di dalam parti ketika Muktamar di mana waktu kempen berlangsung di Pengkalan Kubur bukan satu tindakan bijak malahan teramat songsang sekali. 

PRK memang kita sering kalah.  Kita akui mereka punyai jentera kerajaan yang hebat beserta dengan berbagai umpan yang diberi.  Itu kita akui dan itu juga bukan asing bagi kita dan sepatutnya kita telah bersedia untuk hadapi semua itu.  Malangnya, kita menambah beban lagi dengan masalah dan isu yang kita cipta sendiri.  Muhasabah lah bersama.


Rabu, 24 September 2014

KAJANG MOVE - LANGKAH AWAL AZMIN POSITIF

"KAJANG MOVE"  gagal?  Tentunya tidak gagal kerana aku boleh gariskan faktor-faktor mengapa aku sebut Langkah Kajang ini masih releven dan amat penting diteruskan walaupun tanpa Anwar mahu pun Azizah.  Azmin mampu membawa hasrat besar kita agar dapat merealisasikan objektif "Kajang Move".

Objektif paling penting, keluarkan dulu 'ejen amno' di dalam teraju utama Kerajaan PR Selangor.  Maka, Kajang Move berjaya nyahkan TSKI dari Kerusi MB Selangor setelah beliau gagal membela dirinya dari tuduhan yang dihadapkan kepadanya.  

Gagal meletakkan Anwar dan Azizah sebagai MB Selangor untuk terus menekan amno Selangor, tidak bermakna kita berhenti di situ.  Anak didik Anwar dijadikan pemain simpanan tampil menerajui MB Selangor menggantikan TSKI.  Langkah pertama beliau, kaji semula Perjanjian Konsesi Air dan Langat 2 yang ditandatangani oleh TSKI secara kelamkabut dahulu.  Azmin akan semak semula perjanjian ini samada ianya 'ada udang di sebalik batu". 

Bukan itu saja, Azmin akan mengkaji semula projek Lebuhraya Kidex yang telah mendapat bantahan ribuan penduduk sekitar.  Siapa kontraktor yang bakal memperolehi projek lumayan itu?  Benarkah orang itu adalah kroni Tun Daim yang telah menjadi perantara penyelesaian hutang TSKI?  Ini yang Azmin akan teliti dan ini juga merupakan salah satu objektif Kajang Move.  Dan, banyak lagi projek yang dirancang oleh TSKI sebelum ini bakal disemak semula oleh Azmin selaku MB Selangor yang baru.  Tentunya ini akan menggelisahkan beberapa orang yang selama ini cari makan dengan TSKI.

Apakah anda fikir tanpa Kajang Move semua ini boleh dilakukan?  Mustahil, bahkan TSKI terkenal dengan sifat suka berahsia dengan partinya sendiri.  Kali ini kita akan tahu kebenarannya sejauh mana kehebatan TSKI selama ini untuk memenuhkan poket-poket kroni amno.  Tanpa Kajang Move ianya tidak akan boleh berlaku.  

Adanya Kajang Move, kita kenal siapa kawan kita yang paling setia sewaktu kita susah.  Kajang Move juga mendedahkan kepada kita bagaimana rupanya yang dikatakan Sistem Raja Berperlembagaan.  Itu baru sedikit yang dapat dihuraikan.  Selebihnya kita sendiri akan tahu nanti mengapa Anwar mencipta Kajang Move walaupun sekarang ini mereka memperlekehkan Kajang Move. 

Selasa, 23 September 2014

PKR BUKTIKAN SANGGUP KORBANKAN PRINSIP DEMI TUANKU

AKHIRNYA kita telah berjaya membuktikan bahawa PKR bukan parti yang derhaka kepada Tuanku.  Awalnya ramai yang beranggapan sedemikian apabila PKR terus istiqomah dan konsisten dengan calon MB Selangor, Azizah yang telah pun mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai MB Selangor yang baru.

 Azizah terus menjadi pilihan daripada 1,057 pengundi, namun Istana tidak memilih beliau
(Poll blog ini)

Meskipun dua kali rasanya pihak Istana telah mengeluarkan surat kepada PKR tentang kaedah parti yang hanya menamakan satu calon di mana Istana tetap mahukan lebih senarai calon.  Adakah tindakan PKR itu derhaka?  Anwar telah menjawabnya iaitu PKR meneruskan kaedah yang lazim digunakan sebelum ini, dan PKR juga ingin tunjukkan bahawa tiada rebutan jawatan MB di kalangan PKR untuk menjadi MB Selangor.  Azizah disokong oleh 30 Adun dari PKR, DAP dan dua Adun PAS untuk menduduki Kerusi MB Selangor.

Lazimnya tiada masalah, namun Istana juga punyai hak untuk berbuat apa yang Tuanku ingini.  Rakyat mungkin keliru dengan konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan, jauh bezanya dari apa yang diamalkan di Perak sewaktu kejatuhan Kerajaan PAS di bawah Nizar.  Namun, Anwar tetap bertegas selagi Tuanku tidak menitahkan bahawa Azizah ditolak.  Ramai yang beranggapan Anwar degil kerana tidak menggugurkan Azizah sebagai calon.  Anwar bertindak betul kerana Tuanku tidak pernah secara resminya menolak Azizah.  Maka, usaha terus dibuat agar Istana melaksanakan tugasnya seperti kelaziman iaitu memilih calon MB dari kalangan majoriti.

Malangnya, apabila Tuanku menamakan Azmin sebagai MB Selangor, secara tidak langsung membawa erti Azizah ditolak Istana walaupun Azizah memiliki majoriti.  Apabila ini berlaku, sekali lagi Anwar dan Azizah berjiwa besar dan berkorban untuk mengalah dengan kehendak istana.  Azmin, walaupun tiada parti yang mencalonkannya namun Anwar dan Azizah merasakan Azmin juga layak untuk jawatan itu kerana Azmin adalah Timbalan Presiden PKR dan juga Pengerusi PKR Selangor.  Mungkin Anwar beranggapan jika PKR terus berkeras, mungkin calon lain yang langsung tidak layak akan terpilih.

Tentunya PKR boleh menentang atau mencabar keputusan Istana itu secara baik, tetapi mengambil tindakan memberi laluan kepada Azmin lebih berhemah lagi dan bak kata Azizah, beliau sendiri tidak mahu rakyat Selangor terus dibebankan dengan kemelut MB Selangor.  Di Perak, kes dibawa ke mahkamah.  Anwar lebih lembut dari itu.  Terbukti Anwar tegas tetapi tidak serakus yang mereka fikirkan.

Ada yang mendakwa PKR buat "U-Turn".  Jauh sekali anggapan mereka.  PKR tidak pernah "U-Turn", sebab itulah nama Azizah terus kekal seorang sehingga Tuanku buat keputusan.  Apabila keputusan telah dibuat, pilihan hanya ada dua kepada PKR samada mencabar kesahihan perkenan Tuanku atau menerimanya sebagai tanda hormat.  Anwar memilih pilihan kedua.  Itu pun masih ada yang menuduh naiknya Azmin sebagai MB Selangor memang dirancang oleh Anwar.  Begitulah jahatnya perangai puak-puak ini yang tidak pernah akui apa yang Anwar lakukan.

"Kajang Move" amat berjaya.  TSKI berjaya turun daripada menjadi ejen musuh.  Kajang Move juga buat kita kenal erti persahabatan dan pengorbanan.  Kajang Move yang asalnya ingin menjadikan Anwar sebagai "killer' Umno di Selangor akhirnya dibebankan kepada anak didiknya Azmin.  Ada hikmahnya ini berlaku.  Rakyat lebih kenal dan faham erti dan konsep "Raja Berperlembagaan" itu.  Mungkin kes di Selangor ini akan dijadikan contoh atau rujukan di dalam mana-mana kes selepas ini.  Tetapi harus diingat, kes di Perak dahulu tidak membantu kita di Selangor.

Tahniah Anwar dan Azizah, tahniah kepada semua yang terus bersabar sepanjang kemelut ini.  Tahniah kepada Azmin yang terpaksa naik atas kehendak Istana bukannya membelakangkan parti. 

Selasa, 16 September 2014

PAS BAKAL RAMPAS PENGKALAN KUBUR

UMNO mungkin merasa bertuah kononnya hubungan PAS dan PKR dilihat renggang berikutan krisis MB Selangor dan parti perkauman tersebut merasa amat yakin bahawa mereka boleh menang mudah di PRK Pengkalan Kubur.  Jika itu anggapan mereka, ternyata satu kesilapan besar kerana bagi PAS dan PKR, krisis di Selangor bukan boleh diselesaikan di Pengkalan Kubur dan ianya tiada kaitan langsung.
 

Apakah jika Bn (Na'Uzubillah) menang di Pengkalan maka isu Selangor selesai?  Atau InsyaAllah, jika PAS yang mewakili PR menang di Dun Pengkalan Kubur maka selesai juga isu MB di Selangor?  Tiada kaitan langsung bahkan Pengkalan Kubur tetap menjadi sasaran PR untuk kuburkan Umno.  Kehilangan beberapa Kerusi PAS di Kelantan sewaktu PRU 13 yang lalu sebenarnya menaikkan semangat Parti Islam ini untuk terus bangkit membalas dendam.  
 

PKR telah mencuba nasib di dalam dua PRU sebelum ini dan ternyata tiada rezeki dan nasib PKR di kawasan ini.  Strategi yang tepat bila PKR memberikan laluan mudah kepada PAS pula untuk mencuba nasibnya kali ini.  Ada yang berkata penyerahan Kerusi Pengkalan Kubur kepada PAS adalah kerana PKR tahu mereka akan tewas dan mereka ingin mengambil hati PAS di dalam isu Selangor.  Di dalam hal ini aku hanya bersetuju sememangnya PKR berpeluang besar untuk tewas jika PKR yang bertanding kerana kita boleh lihat analisa dua keputusan sebelum ini.  Namun, untuk menyatakan PKR ingin mengambil hati PAS itu amat silap.  
 
 

PKR sedar bahawa sesiapa pun calon yang bertanding mewakili PR di Pengkalan Kubur tidak akan membantu menyelesaikan isu di Selangor.  Bukan asing PKR buat keputusan seperti itu berdasarkan situasi dan strategi semasa mengikut kebijaksanaan pimpinan kita.  Contoh, di Parlimen Temerloh, Pahang PKR pernah dua kali tewas di situ.  Tiada rezeki buat PKR, maka PR mencuba nasib dengan memberi peluang kepada PAS pula bertanding.  Alhamdulillah, PAS berjaya di Parlimen Temerloh melalui Ustaz Nasruddin Tantawi.  Adalah menjadi tugas dan tangungjawab besar buat MP Temerloh itu untuk menentukan sokongan berbagai kaum di situ tidak lari di dalam PRU 14 akan datang.  Banyak kawasan lain yang boleh dijadikan contoh betapa strategi pembahagian Kerusi ini sentiasa berubah.

Oleh yang demikian, keputusan bijak pimpinan PKR memberi peluang kepada PAS untuk bertanding di kawasan itu sebenarnya amat membimbangkan Umno.  Adakah Umno juga punyai strategi tertentu untuk hadapi PAS kali ini?  Isu awal yang cuba dimainkan oleh Umno adalah seperti yang disebut oleh Tok Pa bahawa PAS tidak boleh jadikan isu royalti sebagai modal berkempen kerana Kerajaan Pusat telah menggantikannya dengan wang ehsan melalui JPP kepada Kelantan.  Soalnya, Kelantan bukan menuntut wang ehsan tetapi royalti minyak yang dijanjikan.  Apatah lagi wang ehsan itu diserah kepada JPP yang bukannya jabatan dari Kerajaan Negeri Kelantan.  Sama seperti serah wang ehsan kepada Umno juga.

Ketua Pemuda Umno, KJ pula yakin golongan muda akan menyokong Bn kerana hanya Bn saja boleh selesaikan kehendak golongan muda.  Cuba tanya golongan muda di negeri-negeri di bawah Bn sekarang apakah semua masalah mereka telah selesai sekarang?  Bagaimana dengan masalah pengangguran dan masalah sosial golongan ini?  Bagaimana dengan hutang PTPTPN mereka?  Memang benar, jika PAS menang di PRK Pengkalan Kubur pun masalah hutang PTPTPN mereka tidak akan selesai kerana ini masalah Kerajaan Pusat, tetapi sekurang-kurangnya anak-anak muda boleh menunjukkan protes mereka bahawa mereka menolak Umno/Bn kerana parti ini tidak mampu untuk membela nasib mereka walaupun telah berkuasa di Pusat dengan sokongan 47% undi popular.

Anak muda di perantauan harus kembali ke Pengkalan Kubur untuk membuktikan kepada Umno/Bn bahawa kemelut di Selangor sedikit pun tidak melemahkan semangat kita untuk nyahkan Umno khususnya di Kelantan.  Kemenangan PAS di Pengkalan Kubur nanti adalah kemenangan PR iaitu PKR dan DAP juga dan kekalahan buat Umno/Bn.  

Walaupun aku banyak tidak sependapat dengan PAS di dalam isu MB Selangor, tetapi aku lebih yakin PAS lebih baik dari Umno.  Maka aku akan cuba sedaya upaya berkempen setakat termampu agar PAS berjaya kali ini untuk kuburkan Umno di kubur yang mereka telah gali, InsyaAllah.
Pemuda Umno yakin seramai 45% pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor tidak akan mensia-siakan peluang untuk terus memilih Barisan Nasional pada PRK itu, 25 September ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana pengundi muda itu mengetahui dengan jelas apa yang telah dilakukan BN pada masa Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar menjadi wakil rakyat DUN itu sejak tiga penggal lalu.
"Alhamdulillah saya lihat semua pengundi muda ini mengenali calon BN, (Mat Razi Mat Ail) yang mampu membawa kesinambungan Allahyarham dan mengambil berat masalah mereka.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khairy-yakin-45-pengundi-muda-tidak-akan-tolak-barisan#sthash.9eSDvFT7.dpuf
Pemuda Umno yakin seramai 45% pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor tidak akan mensia-siakan peluang untuk terus memilih Barisan Nasional pada PRK itu, 25 September ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana pengundi muda itu mengetahui dengan jelas apa yang telah dilakukan BN pada masa Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar menjadi wakil rakyat DUN itu sejak tiga penggal lalu.
"Alhamdulillah saya lihat semua pengundi muda ini mengenali calon BN, (Mat Razi Mat Ail) yang mampu membawa kesinambungan Allahyarham dan mengambil berat masalah mereka.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khairy-yakin-45-pengundi-muda-tidak-akan-tolak-barisan#sthash.9eSDvFT7.dpuf

Sabtu, 13 September 2014

HANYA ADA DUA SYARAT JIKA PAS MAHU JADI MB SGOR

SEBELUM ini aku menulis bahawa jika Tuanku tidak berkenan wanita jadi MB samada atas faktor kewanitaannya ataupun kerana difikirkan tidak layak, walaupun sekurang-kurang 30 Adun telah menyatakan Azizah itu layak, Tuanku boleh saja menimbangkan calon lain dari PKR iaitu Azmin.  

Bila aku sebut Azizah, ada yang kata aku diupah untuk promosi Azizah.  Bila aku sebut tiada masalah untuk pilih Azmin, tuduhan tetap sama aku diupah untuk promosi Azmin.  Betapa bengapnya pemikiran yang beranggapan sedemikian.  Tidakkah mereka pernah membaca aku juga sebelum ini adalah di antara yang paling kuat menyokong TSKI sewaktu kempen pemilihan di dalam parti baru-baru ini?

Sokongan aku pada TSKI bukan sekadar di dalam tulisan, bahkan aku mengundi TSKI di Cabang aku.  Berkempen kuat untuknya.  Adakah waktu itu aku juga diupah?  Berapa banyak duit aku sekarang akibat menerima upahan dari beberapa pemimpin?  Sokongan aku terhenti kepada TSKI apabila beliau telah disabitkan dengan kesalahan tatatertib, itu pun aku amat berharap beliau dapat membela dirinya, menjawab surat tunjuk sebab, menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Jawatankuasa Disiplin Parti.  Malangnya TSKI gagal untuk membela dirinya.  Begitu menghampakan, akhirnya beliau dipecat.  Di situ, aku bukan saja tidak lagi menyokongnya bahkan aku menyokong tindakan parti untuk menurunkan beliau dari Kerusi MB.

Pada aku, sebaik atau sehebat manapun pemimpin itu jika gagal menunjukkan rasa hormat pada parti, itu bukan pemimpin yang aku mahu sokong.  Begitu juga jika aku menyokong Azizah mahu pun Azmin.  Sokongan ini tidak mutlak.  Kita mahu lihat adakah kedua-dua mereka ini mampu menggalas amanah parti dan amanah rakyat jika diberi peluang menjadi MB Selangor.  Jika gagal, kita wajib turunkan mereka.  Bukankah itu yang selalu kita kempen kepada rakyat untuk tukar kerajaan yang gagal membela nasib rakyat?

Aku tahu, ada rakan-rakan dari pihak sana mahukan PAS jadi MB.  Tiada masalah pun asalkan PAS sanggup lakukan dua syarat ini;

Pertama, langgar saja perjanjian untuk tidak mengambil Kerusi MB dari PKR dan perjanjian dari Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang terang dan jelas menyebut, PAS akan tolak jika diberikan Kerusi MB.  Jika PAS sanggup langgar perjanjian ini, tiada masalah.

Kedua, PAS mesti dapat sokongan majoriti dari Adun-Adun terutamanya dari Adun PR.  Atau, PAS sanggup tidor sebantal dengan Umno dan mencuri beberapa Adun lagi dari PR untuk mencukupkan majoriti bagi menjadi MB.  Jika ini berjaya, tiada masalah PAS untuk menjadi MB.

Aku tertarik dengan tulisan Ustaz Mokhtar Senik (Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang) yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, yang menyebut, jika PAS dipilih menjadi MB, PKR dan DAP wajib sokong untuk buktikan kerjasama di dalam PR.  Rasa mahu gelak membacanya sebab kenyataan itu datangnya dari Ulamak.

Tidak perlulah aku sebut mengapa aku nak gelak membacanya.  Tapi yang jelas, kenyataan itu membuktikan tidak semua Ulamak tahu berpolitik dan tidak hipokrit !!

Rabu, 10 September 2014

CALON MB SGOR - PILIHAN AKHIR ADALAH AZMIN ?

BERTIUP kencang kononnya Iskandar Samad dari PAS bakal diangkat sebagai MB Selangor.  Aku sebenarnya tidak percaya kerana mana mungkin MB Selangor diangkat dari calon yang tidak ada sokongan majoriti di dalam dewan, kecuali beliau perolehi sokongan majoriti disaat-saat akhir.

Orang kata Tuanku ada kuasa melantik jika Tuanku mahu.  Jika mahu berhujah "jika Tuanku mahu" , aku patut menyerah saja kerana bak kata Tok Guru Nik aziz, "Raja is Raja".  Dalam maksud Tok Guru tu, orang yang mengaji mantik boleh faham.

Namun aku masih yakin Tuanku tentu lebih memahami konsep Raja Berpelembagaan.  Tentu Tuanku lebih arif mengapa negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan kaitan konsep ini dengan sistem Pilihanraya yang kita amalkan.

Yang diturunkan itu TSKI seorang Melayu Islam.  Yang mahu dinaikkan itu juga Melayu Islam, bezanya Wanita sahaja.  Bab Wanita pula tiada hujah untuk menafikan kelayakan memimpin kecuali hujah dari Hj Hadi yang terlalu mudah untuk kita bahaskan.  Hujahnya terlalu nipis lebih nipis dari kulit bawang.  Jadi, soalnya bukan kelayakan Azizah.

Baiklah, jika Tuanku tidak berkenan dengan Azizah kerana Tuanku mahu seorang lelaki menjadi MB maka kita tidak boleh bantah kerana kita masih ada Azmin, seorang Melayu Islam dan berkelayakan juga.  Jika dikatakan nama Azmin tidak disenaraikan oleh PKR dan DAP juga mungkin tiada dalam senarai PAS,  tiada masalah kerana Istana telah maklumkan Tuanku boleh memilih sesiapa juga Adun yang Tuanku rasa layak dan yakin mendapat sokongan majoriti.  Siapa lagi jika bukan Azmin?

PAS pula telah awal-awal beritahu bahawa PAS tidak berminat untuk Kerusi MB walaupun hantar nama calon.  Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS secara tegas menyebut jika Istana calonkan MB dari PAS, PAS akan tolak.  Maka, tidak mustahil calon MB nanti hanya berkisar di antara Azizah atau Azmin.

Semoga kemelut ini cepat selesai dan jalan penyelesaiannya sudah terbentang awal sebenarnya.  Cuma mahu kepada kejujuran dan keadilan saja untuk menamatkan krisis ini.


Isnin, 8 September 2014

MB SELANGOR - PATUHI JANJI ATAU TIDAK DERHAKA?

SEKALI lagi di dalam isu MB Selangor, jaminan diberi oleh PAS setelah parti itu bermesyuarat di dalam AJK Pas Pusat semalam bahawa;

1.  PAS akan tolak sekiranya calon PAS dipilih oleh Tuanku sebagai MB Selangor - Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS.

2.  PAS tidak tuntut Kerusi MB Selangor, terpulang kepada Tuanku -  Mustafa Ali, SUA PAS Pusat.

Perkara di No 1, "hukum'nya 'qatie' iaitu jelas bahawa "PAS AKAN TOLAK".  Noktah.

Perkara di No. 2, Terdapat 'khilaf' dan tidak "qatie' iaitu "Terpulang kepada Tuanku", tapi PAS tidak tuntut Kerusi MB Selangor.  

Mana satu akan berlaku jika Tuanku mahu PAS menjadi MB Selangor walaupun di atas kertas PAS tiada sokongan majoriti?  Ikut kenyataan Mat Sabu, PAS akan tolak tawaran itu kerana Mat Sabu mungkin merasakan amat tidak jujur dan tidak Islamik jika PAS berada di Kerusi MB atas sebab-sebab mungkin berikut;

-  Kerusi itu bukan hak PAS kerana PAS tiada sokongan majoriti dan berada di jawatan yang bukan hak tentulah bercanggah dengan Islam.  Mana mungkin kita boleh berada di tempat Imam Solat di dalam keadaan majoriti jemaah tidak redha kita jadi Imam, walaupun kita dilantik oleh pihak berkuasa?

-  Islam mewajibkan tunai janji hatta berjanji dengan Non Muslim.  Janji PAS adalah Kerusi MB Selangor itu milik PKR.  Di mana mahu letak maruah dan imej parti Islam dikaca mata masyarakat termasuk kepada yang bukan Islam sekiranya PAS sanggup langgar janji kerana jawatan?  Tidak mungkin.

Bagaimana kita melihat kenyataan Mustafa Ali?  Kata SUA PAS itu, PAS tidak akan menuntut Kerusi MB Selangor, itu satu kenyataan yang boleh kita percayai.  Aku pun yakin 100% bahawa PAS tidak akan tuntut Kerusi itu.

"Tidak akan menuntut", bukan bererti WAJIB menolaknya jika diberi tawaran.  Mudah kata, "Aku tak minta, tapi jika kasi aku terima saja...".  Betulkah ungkapan itu?  Apa alasannya?

-  Alasannya, PAS tidak tuntut tetapi PAS 'terpaksa' taat kepada perintah Tuanku.

Itu sajalah pada aku yang PAS ada untuk buat alasan.  Bagi aku, sebagai sebuah parti Islam, tentunya PAS lebih faham mana lebih 'aula' atau wajib samada patuh pada perjanjian dan tidak khianat dengan tidak menderhaka?  

Hukum mematuhi perjanjian itu wajib.  Hukum taat kepada Sultan pula?  Kena lihat dulu apakah Sultan menitahkan benda yang betul atau salah mengikut semangat Raja Berperlembagaan.  Semangatnya adalah MB itu seharusnya mewakili rakyat negeri dan tentulah MB itu mendapat sokongan majoriti Wakil-Wakil Rakyat.  Jika perintah itu tidak menepati semangat itu, adakah 'wajib' PAS mematuhinya atau sekadar dari segi adat "cuma derhaka"?  Pilih hukum atau adat?

Untuk tidak peningkan kepala, lebih afdhal rasanya PAS menghormati perjanjian di samping menghormati semangat demokrasi Raja Berperlembagaan.  Jangan kerana jawatan yang tidak lama itu kita akan merana dan rugi berpuluh tahun.  Membina kekuatan di dalam PR bukan mudah, tetapi lebih sukar untuk mempertahankannya.  Lebih mudah dan cepat pula untuk menghancurkannya.

Sabtu, 6 September 2014

SILAP BESAR PAS DALAM KEMELUT DI SELANGOR

USAH persoal Majlis Syura di dalam PAS kerana Badan Tertinggi di dalam parti berkenaan.  Tapi jangan lupa, Majlis Syura juga wajib berpegang kepada Perlembagaan PAS.  Asas Perlembagaan PAS tentunya Al-Quran, Hadith, Ijmak, Ulamak dan Qias.

Kalau Al-Quran kata WAJIB patuhi perjanjian yang kamu adakan hatta dengan orang kafir sekalipun sepertimana Perjanjian Hudaibiyah di zaman Nabi, maka tetap hukumnya wajib.  Jika di dalam Al-Quran sebut jangan menipu dengan rakan-rakan kamu, maka tetap hukumnya tidak boleh menipu.  Jika terdapat di dalam Hadith atau Ijmak Ulamak yang menyebut tentang maslahah "Tahalluf Siyasi" perlu dipelihara dengan bijaksana maka berpeganglah dengan baik.

Adakah kesemua itu boleh dilanggar oleh Majlis Syura?  Dalam aspek pentadbiran politik pula, menjadi HARAM kah jika Majlis Syura berbincang di dalam isu yang telah diputuskan sebelum ini tanpa pengetahuan Timbalan Presiden PAS dan kesemua AJK PAS Pusat?  Jika tidak haram, maka apa bijaknya Majlis Syura berahsia?  Mungkin tidak lagi ada kepercayaan kepada Timb Presiden PAS dan kesemua AJK PAS Pusat?  Bukankah berprasangka buruk itu dilarang oleh Islam?

Nampaknya Majlis Syura telah dipergunakan semaksima mungkin untuk menghalalkan perbuatan PAS agar kemelut MB Selangor bertambah serius.  Kemudian mereka akan salahkan PKR kononnya yang cetuskan kemelut tersebut.  Semua tahu, memang kemelut di Selangor dicetuskan oleh PKR kerana PKR tidak sanggup melihat tokoh yang mereka naikkan sebagai MB itu menjadi seorang yang tidak langsung peduli kepada partinya sendiri lebih-lebih lagi melanggar beberapa keputusan PR dan manifesto PR di Selangor.  PKR pantas tamatkan kemelut penggantian MB Selangor di mana satu nama dipersetujui untuk menggantikan TSKI.  Malangnya, PAS pula berdolak-dalik selepas itu.

Sehingga kini PAS terima kesannya kerana tidak bijaknya PAS membuat keputusan.  PKR bukan mahu memaksa PAS terima semua kehendak PKR, tetapi PAS sendiri gagal kemukakan apa sebenarnya yang PAS mahu.  Sewaktu mesyuarat bersama, PAS dilihat sudah punyai keputusan, tetapi akhirnya keputusan berbeza diambil.  Inilah yang menyebabkan kemelut MB Selangor berterusan.  Tidak hairan jika ada yang menganggap lebih baik bubarkan saja AJK PAS Pusat kerana tiada fungsi lagi.  Bahkan, Majlis Syura sendiri batalkan keputusannya sendiri dan buat keputusan baru secara 'berahsia'.

Kaedah 'berahsia' ini lah yang menimbulkan fitnah bukan sahaja di kalangan rakan-rakan di dalam PR bahkan kepada ahli-ahli PAS yang 'anti UG' itu sendiri.  Pada aku, PAS memang silap besar di dalam percaturannya kali ini. 

Jumaat, 5 September 2014

PARTI ISLAM TIDAK MUNGKIN BERBOHONG

PAS hantar 3 nama sebagai calon MB Selangor.  Katanya tidak mahu derhaka kepada Tuanku.  Ok, noleh percaya dan lojik.  Siapa 3 nama itu?  Janji PAS, tetap ada nama Azizah dan Azmin.  Cuma, siapa seorang lagi?  Rahsia, kata Mustafa Ali.

Baiklah, biarlah rahsia sesama PR asalkan 'Syarie'pada pandangan PAS.  Ada maklumat sebut, nama Azizah dan Azmin tiada, tetapi tetap dua dari PKR dan satu dari PAS.  Bukan mahu pertikai pilihan PAS, itu hak PAS suka dan sokong siapa.  Cuma ahu tanya PAS, wakil Presiden PAS yang hadir dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR sebelum ini hadir untuk apa?  

Bukankah PAS bersetuju untuk sokong Azizah dan PAS juga memilih Azmin sebagai calon kedua?  PKR tidak bantah PAS simpan nama Azmin walaupun PKR dan DAP sepakat menghantar satu nama iaitu Azizah sebagai calon MB Selangor.  Hak PAS untuk simpan lagi satu nama iaitu Azmin.  Sebelum ini, Mustafa Ali sebut PAS tidak mahu tuntut Kerusi MB Selangor dan PAS tidak akan letak calon dari parti PAS.  Tapi sekarang apa yang berlaku?

Jika PAS telah hantar nama Azizah dan Azmin ke Istana, PAS masih perlu menjawab mengapa ada seorang lagi calon dari PAS?  Bukankah itu menyalahi janji dan tidak pernah PAS sebut untuk turut menghantar calon sewaktu mesyuarat bersama PR?  Ada maklumat yang lebih dahsyat yang menjejaskan imej PAS iaitu tentang laporan PAS tidak hantar pun nama Azizah dan Azmin sepertima yang mereka persetujui di dalam mesyuarat PR.

Kita tidak bahas tentang hak PAS untuk buat keputusan meletakkan sesiapa saja yang PAS suka hatta calon dari PAS sendiri.  Cumanya, kita mahu tahu apakah parti Islam ini semudah itu mempersendakan keputusan mesyuarat bersama rakan-rakan PR?  Itu yang PAS perlu jawab....

Khamis, 4 September 2014

MB SELANGOR - JIKA BUKAN KAK WAN ATAU AZMIN, PASTI ADA RAKAN YANG PEMBELOT

SAMADA Kak Wan atau Azmin bukan lagi menjadi kebimbangan.  Apa yang dimahukan TSKI gugur dari Kerusi MB Selangor secepat mungkin.

Apa yang dibimbangi, andaikata tidak lekat nama Kak Wan dan tidak lekat juga nama Azmin.  PKR calonkan satu nama iaitu Kak Wan, begitu juga dengan DAP.  PAS pula khabarnya masih berpegang dengan janjinya iaitu dua nama, Azizah dan Azmin.  Jika benar, mustahil kedua-duanya tidak lekat.

Andaikata salah satu di antara Kak Wan atau Azmin terpilih, siapakah calon yang terpilih?  Dan, siapa yang mencalonkannya?  Jika berlaku sedemikian, sudah pasti di antara DAP atau PAS adalah 'pembelot' dan tidak boleh dipercayai.  Mungkinkah DAP?  Aku rasa tak mungkin sebab DAP sebelum ini amat tegas mahukan Kak Wan menjadi MB Selangor.  Kalau begitu, boleh kita tuduh PAS?  Oh...tidak, PAS sebuah parti Islam, mana mungkin PAS memungkiri janjinya?

Apa pun, itu semua andaian kita.  Kita tunggu keputusan Istana samada Istana kita menghormati prinsip Raja Berpelembagaan atau tidak. 

Rabu, 3 September 2014

KAK WAN ATAU AZMIN, YANG PENTING TSKI GUGUR !!

HARI ini hari terakhir senarai nama calon MB Selangor mesti diserahkan ke Istana.  PR ada dua calon yang telah dipersetujui iaitu pilihan pertama DS Wan Azizah, keduanya ada Azmin Ali.  Adakah calon ketiga, keempat atau seterusnya?  Soalan itu elok ditujukan kepada PAS.

Bagi aku, samada Kak Wan atau Azmin yang diperkenankan itu tidak lagi penting kerana kedua-dua mereka memang layak berada di Kerusi MB Selangor.  Kak Wan adalah Presiden PKR, juga seorang Adun di Kajang, pernah jadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang.  Seorang wanita yang pernah lalui zaman kepayahan dan telah diuji dengan kezaliman.  Tidak semua dapat peluang diuji sehebat itu termasuk isteri kepada Syeikh Tantawi sendiri.  Syeikh hanya diuji dengan 'vellfire".   

Azmin pula adalah salah seorang reformis, Timbalan Presiden PKR.  Walaupun aku kurang berkenan dengan perangai Azmin dulu iaitu perangai berpuak-puaknya, tapi aku tetap hormati dia sebagai Timbalan Presiden.  Cuma aku harap dia telah bermuhasabah diri dan tinggalkan perangai buruk lamanya itu.  Manusia boleh berubah jika ikhlas untuk berbuat demikian.

Samada Kak Wan atau Azmin, aku sudah kurang ghairah untuk memperkatakannya atau melobi untuk salah seorang dari kedua tokoh ini.  Aku lebih rasa teruja, bersyukur bila TSKI berjaya digugurkan dari Kerusi MB Selangor walaupun aku telah memangkah beliau di dalam pemilihan parti baru-baru ini.  Sikap beliau yang tidak respek kepada ketua dan parti, maka hilanglah rasa minat aku untuk meneruskan sokongan kepadanya. 

TSKI tidak lagi menjadi MB Selangor seribu rahmat buat rakyat Selangor kerana terselamat dari terus dipergunakan oleh ejen Amno ini.