RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Rabu, 7 Oktober 2009

UNDI POS - ITULAH NYAWA TERAKHIR MEREKA

Undi pos terus dipertikai pembangkang

PORT DICKSON – Pakatan Rakyat (PR) menyeru anggota tentera yang akan membuang undi hari ini pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang agar meletakkan kewarasan memilih calon yang akan mewakili mereka.

Menurut Pengarah Induk Pilihan Raya Pas Bagan Pinang, Salahuddin Ayub, kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) telah menggunakan ugutan dan rasuah terhadap anggota tentera supaya mengundi mereka.

Katanya, tindakan seperti ini tidak seharusnya terjadi kerana hak setiap rakyat Malaysia untuk mengundi adalah hak mutlak individu termasuklah anggota tentera dan seluruh kakitangan awam.

“Saya menyeru pengundi terutamanya pengundi pos agar tidak mempertaruhkan maruah mereka kerana mereka harus bersama-sama membasmi dan menolak calon rasuah serta mengembalikan kewibawaan mereka sebagai rakyat negara ini.

“Pilihan raya kecil Bagan Pinang ini amat penting sekali kerana ia menentukan masa depan negara, oleh itu saya harap pengundi pos akan menggunakan peluang mereka sebaik-baiknya,” katanya pada sidang media di Markas Induk Pas di sini semalam.

Selain itu, beliau turut menolak dakwaan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengatakan anggota-anggota tentera harus menolak Pas kerana tidak mementingkan pembangunan.

“Kita mendapat laporan bahawa Menteri Pertahanan dan Menteri Besar telah masuk ke kem-kem tentera untuk berkempen, sedangkan PR tidak dibenarkan masuk dalam kem-kem, ia tidak adil untuk kita,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menjelaskan PR akan berjumpa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjelaskan isu nama berganda yang terdapat dalam daftar pemilih iaitu pengundi yang mempunyai nama sama dalam undi pos dan undi awam.

“SPR gagal untuk buat pemutihan nama-nama yang bertindih dalam daftar pemilih, sedangkan kita sudah perjuangkannya sejak puluhan tahun dan pilihan raya kecil Bagan Pinang adalah tempat terbaik untuk kita dedahkan perkara ini.

“Kita juga mendapat maklumat bahawa terdapat juga kira-kira dua juta nama pengundi yang diragui seluruh negara termasuklah dalam undi pos,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyeru pesara tentera untuk mengemaskinikan daftar pengundi mereka agar tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

“Ramai pesara tentera tidak menukar nama-nama mereka selepas tamat tempoh perkhidmatan dari undi pos ke undi biasa.

“Oleh kerana mereka tidak menukar nama mereka ke undi biasa, maka kertas undi mereka telah dipangkah oleh orang lain sedangkan mereka tidak mengundi,” katanya.

Undi pos di kalangan anggota tentera yang berjumlah 4,925 undi akan bermula hari ini untuk memilih wakil DUN Bagan Pinang.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian ADUN BN, Azman Mohammad Noor pada 4 September lepas sekaligus Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Oktober sebagai hari pembuangan undi.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Azman telah mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Pada pilihan raya kecil ini, BN telah meletakkan calon bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon dan lawannya dari PR adalah Pesuruhjaya Pas Negeri, Zulkefly Mohd Omar./Malaysiakini

1 ulasan:

  1. Tak payah seru pun....Kalau BN waras dia tak sesekali letak calun yang rasuah dan tak amanah. Kalau rakyat pula tak akan undi calun sedemikian yang terbukti rasuah.
    Kalau undi juga calun rasuah ni...tak tau nak katalah...mungkin hilang akal agaknya orang B.pinang ni. Lepas tu kalau kena tipu jangan menangis depan TV3/4.....baik nengok cita koboi lagi best!!!!!!!

    BalasPadam