RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Jumaat, 11 Disember 2009

HASIL MINYAK, RAKYAT PERLU PENJELASAN - ANWAR

SHAH ALAM – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat berhubung kesan merudumnya keuntungan Petronas terhadap prestasi ekonomi negara.

Beliau berkata, berdasarkan laporan prestasi separuh tahun kewangan yang akan berakhir 31 Mac 2010, Petronas akan mencatatkan kejatuhan RM59 bilion, bermakna cukai yang sepatutnya diperolehi negara berkurangan sekitar 57 peratus daripada syarikat terbabit tahun depan.

Sepanjang lima tahun ini, katanya, Petronas adalah entiti yang memberi sumbangan terbesar kepada pendapatan negara kerana pada tahun kewangan 2008 sahaja, sumbangan Petronas adalah 44.9 peratus daripada pendapatan keseluruhan negara.

“Kebergantungan terhadap Petronas ini mengaburi kita daripada kedudukan sebenar ekonomi akibat dasar kerajaan yang terus menerus bergantung kepada syarikat tersebut untuk menampung kegagalan memulihkan kewangan negara semenjak krisis kewangan Asia 1997 dan 1998.

“Sepanjang 5 tahun ini, penggunaan sumber dan dana daripada Petronas oleh kerajaan telah ‘membengkak’ sekitar 21 peratus setiap tahun. Ini bermakna setiap tahun, peratusan penggunaan sumber Petronas oleh kerajaan bertambah sebanyak 21 peratus daripada apa yang digunakan pada tahun sebelumnya. Sepanjang 5 tahun ini, wang yang ‘disedut’ oleh kerajaan telah meningkat lebih daripada dua kali ganda,” katanya dipetik dari blognya, semalam.

Beliau berkata, pada tahun 2005, Petronas menyumbang sebanyak RM31.2 bilion daripada jumlah keseluruhan belanjawan negara namun pada tahun 2008, jumlah wang Petronas yang menyumbang belanjawan negara adalah RM74 bilion - peningkatan sebanyak 130 peratus sepanjang 5 tahun ini.

“Akibat daripada ketagihan menggunakan sumber Petronas, syarikat ini tidak lagi mampu menampung ketirisan dan keborosan oleh Kerajaan Pusat, keupayaan Petronas hanya berkembang pada tahap sekitar 16 peratus sahaja berbanding penggunaan oleh kerajaan bertambah 21 peratus setiap tahun.

“Jelas kerajaan Barisan Nasional (BN) memerah lebih dari apa yang termampu dilakukan oleh Petronas,” katanya.

Anwar juga mahu Menteri Kewangan menjelaskan secara terperinci dalam Dewan Rakyat semakan semula unjuran pendapatan dan perbelanjaan negara tahun 2010 kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Beliau turut mencadangkan kerajaan tidak lagi bergantung kepada sumber petroleum dan gas semata-mata tetapi industri pembuatan yang bernilai serta berdaya tinggi serta perkhidmatan perlu dijadikan sector utama memacu pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan perlu memastikan penggunaan dana Petronas telus untuk penelitian umum agar pembaziran serta ketagihan yang sama tidak berulang sepertimana yang berlaku dari tahun 2005-2009," katanya. /Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan