RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 12 Disember 2009

JEJAK NAZIM SAUDARA NAJIB BERHASIL

Iltizam jejak Nazim dan Deepak
Hafiz Yatim & Salhan K Ahmad
Dis 11, 09


kemaskini 7.21pm Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong tidak pula berciciran - akhirnya adik perdana menteri yang dikaitkan dengan penarikan akuan bersumpah penyiasat persendirian P Balasubramaniam, ditemui tanpa diduga hari ini setelah dua minggu berusaha menjejakinya.

Berkat iltizam untuk mengesahkan dakwaan serius bekas anggota polis Cawangan Khas itu, Malaysiakini terserempak Datuk Mohamed Nazim Razak di Masjid Negara selepas solat Jumaat tadi.

"Tidak ada apa-apa yang saya hendak cakap," katanya sewaktu ditemui selepas melangkah dari pusara bapanya Tun Razak Hussein, di pinggir masjid itu, untuk beredar.

Balasubramaniam mendakwa beliau bertemu dengan Mohamed Nazim, bersama isterinya yang sedang sarat hamil, pada malam sebelum menafikan akuan pertamanya bahawa Datuk Seri Najib Razak, waktu itu timbalan perdana menteri, mempunyai hubungan intim dengan Altantuya Shaariibuu. Najib telah menafikannya.

Pertemuan itu didakwa berlaku di kompleks membeli-belah The Curve, Damansara - yang diatur oleh seorang ahli perniagaan permaidani Deepak Jaikishan - selepas Balasubramaniam mendedahkan akuan awalnya di ibu pejabat PKR, 3 Julai tahun lalu.

Dalam wawancara yang diterbitkan di internet, Mohamed Nazim didakwa mengugut Balasubramaniam tentang keselamatan anggota-anggota keluarganya.

Usaha menjejak Mohamed Nazim bermula sewaktu kehangatan isu tersebut diperkatakan di Internet, khususnya melalui soal jawab wawancara Balasubramaniam di Malaysia Today dan rakaman videonya di Youtube.

Berdasarkan maklumat umum melalui carian di Google, pejabat Mohamed Nazim berjaya dikesan di Bangunan AMDB, berhampiran sebuah hotel terkenal di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Pejabat tersebut dikunjungi pada 26 November, selepas cubaan untuk menghubungi Mohamed Nazim melalui telefon di pejabatnya tidak berjaya beberapa hari sebelumnya.

Pada kira-kira jam 11 pagi, Malaysiakini singgah di pejabat urusan firma arkitek dan disambut oleh seorang setiausahanya, kelihatan hujung 20-an, yang berjaya dihubungi sebelumnya.

Setiausaha tersebut, yang hanya ingin dikenali sebagai Jeannie, berkata anak keempat Razak itu bagaimanapun tidak berada di pejabatnya di tingkat 15 bangunan tersebut.

Gadis itu kemudian meminta soalan-soalan dikemukakan kepadanya untuk disampaikan kepada ketuanya.

Soalan-soalan tersebut dihantar melalui emel telefon bimbit dan wartawan kemudiannya menunggu di ruang menyambut tetamu firma arkitek tersebut hampir setengah jam sebelum ditemui oleh seorang pengurus pejabat.

Wanita tersebut menerangkan, Mohamed Nazim berada di luar negara setelah dijelaskan hasrat untuk menemuramah adik perdana menteri.

Permintaan untuk mendapatkan nombor telefon bimbit Mohamed Nazim juga tidak dipenuhi, kerana menurutnya, maklumat itu milik peribadi dan tidak harus diberikan tanpa kebenaran.

Cubaan beberapa kali untuk menetapkan temujanji dengan Mohamed Nazim melalui kakitangan pejabatnya sepanjang minggu lalu juga menemui jalan buntu, namun setiausahanya itu berkata Mohamed Nazim akan kembali ke tanah air minggu ini.

Selain Mohamed Nazim, Malaysiakini semalam turut menjejaki Deepak di pejabatnya di Jalan Chan Sow Lin dan juga di kedai permaidaninya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Di pejabat tersebut, seorang wanita menemui Malaysiakini di aras dua bangunan empat tingkat Carpet Raya Sdn Bhd dan meminta supaya menunggu sementara beliau mendapatkan setiausaha Deepak.

Seorang wanita muncul kira-kira lima minit kemudian dan menjelaskan Deepak tidak berada di situ dan meminta wartawan beredar segera.

Beliau, yang hanya ingin dikenali sebagai Wong, kemudiannya meminta Malaysiakini beredar segera dan mengiringi sehingga ke luar bangunan tersebut.

Alasannya, mereka sedang menunggu kedatangan seorang tetamu.

Setelah gagal di Jalan Chan Sow Lin, Malaysiakini ke kedainya di hujung kanan Jalan Tuanku Abdul Rahman, yang terkenal dengan gedung membeli-belah, ke arah Dataran Merdeka.

Setelah memasuki kedai tiga pintu tersebut, wartawan berjaya menemui ibu Deepak, yang mahu dikenali sebagai Puan Jai, bersama lima pembantunya.

Setelah memperkenalkan diri dan menjelaskan tujuan kedatangan ke kedai tersebut, Puan Jai kemudiannya membuat dua panggilan melalui telefon bimbit.

Perbualan itu di depan Malaysiakini, bagaimanapun ia tidak dapat difahami kerana dipercayai beliau menggunakan bahasa Hindi.

Ditanya kemudian, wanita dalam usia 50-an itu kemudiannya berkata Deepak tidak berada di dalam negara, begitu juga Dinesh, adik bongsu daripada tiga beradik.

Puan Jai juga enggan memberikan nombor telefon bimbit kedua-dua anaknya itu ketika diminta, tetapi hanya memberikan nombor telefon kedai berkenaan.

Beliau menyarankan kepada Malaysiakini agar berkunjung semula minggu depan.

Tambahnya, beliau tidak mengetahui sekiranya Deepak atau Dinesh pernah mempunyai hubungan baik dengan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri.

"Saya tidak pernah menemuinya," katanya lagi, dalam bahasa Inggeris, ketika ditanya sama ada Rosmah pernah mengunjungi kedai tersebut./Malaysiakini

1 ulasan: