23 Januari, 2010
Nik Aziz Beri Kata Dua Kepada Pemimpin Pakatan Rakyat
KOTA BAHARU, 23 Jan (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi kata dua kepada gabungan parti dalam Pakatan Rakyat bahawa mereka akan dipulau atau sebaliknya oleh rakyat jika mengamalkan gejala tidak sihat, seperti cah keting, kronisme dan rasuah serta tidak prihatin kepada rakyat.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, sejarah telah membuktikan bahawa sesebuah parti tidak kekal dan diterima rakyat selamanya jika pemimpinnya tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.
"Saya memberi ingatan kepada pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat supaya mereka menunaikan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat dan tidak melakukan perkara buruk seperti cah keting, kronisme, rasuah dan sebagainya.
"Sebaliknya, mereka akan terus diterima rakyat dan menjadi sebuah kerajaan yang berwibawa," katanya kepada pemberita selepas meraikan rombongan Anggota Parlimen Kapar, Selangor, di kediaman rasminya di JKR 10, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, anggota Parlimen kawasan itu, S. Manikavasagam dan Ketua PKR cawangan Kapar, Mohd Bakir Abd Wahab.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan