RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Khamis, 4 Februari 2010

Perbicaraan Liwat: Hakim Periksa Unit Kondominium

04 Februari, 2010

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Hakim yang mengendalikan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa satu jam untuk memeriksa unit kondominium, tempat didakwa berlakunya perbuatan itu pada 2008.
Justify Full
Anwar, dan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa bekas majikannya itu meliwatnya, turut hadir apabila Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memeriksa apartmen dua bilik tidur itu yang terletak di tingkat lima.

Mohd Saiful menunjukkan kepada hakim tempat Anwar duduk di ruang tamu apabila dia datang untuk menghantar dokumen dan bilik tidur utama di mana kejadian liwat itu berlaku selepas itu.

Semasa pemeriksaan itu, Mohamad Zabidin dilihat bertanya beberapa soalan kepada Mohd Saiful.

Terdapat sebuah katil kelamin di bilik tidur utama di mana tingkapnya ditutupi langsir warna kelabu gelap. Langsir berwarna serupa juga terdapat di ruang tamu yang juga terdapat sofa kulit berwarna pudar. Di ruang makan, terdapat sebuah meja makan untuk enam orang.

Anwar meninggalkan tempat itu selepas pemeriksaan di bilik tidur utama.

Anwar, 63, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan. Perbicaraan dijalankan selepas 18 bulan Anwar dihadapkan dengan tuduhan itu.

Dari apartmen itu, hakim dan Mohd Saiful pergi ke pejabat pengurusan kondominium itu untuk memeriksa kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).

Lawatan itu diadakan selepas Mohd Saiful menyambung keterangannya secara tertutup pagi Khamis di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang terletak berhampiran.

--BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan