TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

KOBAT FM


web widgets

CERAMAH DI MENTAKAB

CERAMAH DI MENTAKAB

Jumaat, 6 Ogos 2010

KES MAHKAMAH - KITA KENA SENARAIKAN BERJUTA NAMA PENERIMA RASUAH - ZAID IBRAHIM


Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan membuat rayuan ekoran mahkamah menolak petisyen pilihan raya untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Dalam blognya, Zaid berkata, "Saya tidak akan berbuat demikian kerana kita akan mendapat keputusan yang sama. Saya tidak mahu membuang masa kawan kawan saya Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ang Hean Leng yang menawarkan khidmat guaman secara percuma dalam mengejar keadilan."

Mahkamah Pilihan Raya semalam membenarkan permohonan ahli parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan bagi membatalkan petisyen yang difailkan oleh ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed, yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya berkata petisyen yang difailkan itu adalah cacat kerana tidak mematuhi keperluan mandatori.

Beliau sehubungan itu mengisytiharkan Kamalanathan sebagai ahli parlimen Hulu Selangor yang sah.

Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri memfailkan petisyen berkenaan pada 24 Mei lalu supaya keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor, 25 April lalu dibatalkan atas alasan ia dicemari rasuah.

Ini dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi oleh pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada pengundi sekiranya mereka menyokong Kamalanathan.

Petisyen terhadap Kamalanathan difailkan di bawah Seksyen 10(a), 10(c) dan 10(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958.

Pada pilihan raya kecil itu, Zaid, pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, PKR Wilayah Persekutuan, kalah kepada Kamalanathan dari MIC dengan majoriti 1,725 undi.

Zaid yang tidak pergi ke mahkamah semalam "kerana saya telah pun menjangka bahawa permohonan saya tidak akan dilayani."

"Bila seorang hakim membenarkan masa yang secukupnya (3 hari) kepada pihak yang mahu petisyen itu ditolak di atas alasan “teknikal” (supaya kes itu tidak dapat peluang ke peringkat perbicaran sepenohnya, di mana segala butiran dan keterangan yang kita ada dan saksi saksinya akan dibentang), maknanya saya tidak akan berjaya," tulis Zaid dalam blognya mengulas keputusan itu.

Menurut Zaid, alasan yang diberi hakim ialah dia tidak menyenaraikan nama mereka yang telah menerima rasuah ataupun “bribe” tersebut. Bagi Zaid, nama-nama mereka ada, dan akan ketengahkan saksi-saksi yang ada semasa perbicaraan.

"Tetapi mulakanlah perbicaraan itu. Mengapa takut sangat didengar keterangan pihak kami? Kalau pihak kami tak berjaya membuktikan selepas perbicaraan barulah sepatutnya permohonan ditolak. Apa perlu tolak awal awal lagi? Alasan sebenar ialah mereka perlu melindungi ‘The Great PM’ dari disoal oleh peguam kami. Mana boleh PM datang ke Mahkamah?" tulis Zaid lagi.

Bagi beliau, ada banyak jenis kes “rasuah pilihan raya.”

"Bila kita membuat aduan spesifik bahawa calon A menawarkan duit untuk B dan C mengundinya, memanglah kita patut senarai dalam petisyen nama B dan C.

"Tetapi inilah kali pertama kita ada PM yang membuat tawaran rasuah secara terbuka kepada orang ramai. Inilah kes “general bribery” yang mustahil dapat kita senarai semua nama-nama mereka yang ditawarkan wang tersebut," katanya.

Mengikut keputusan ini, tulis Zaid, katakanlah kalau PM memberi ucapan melalui RTM1 pada kempen pilihanraya Sarawak nanti, dua hari sebelum mengundi, berucap kepada semua rakyat Sarawak bahawa mereka akan diberi Amanah Saham percuma sebanyak 1000 unit kalau BN menang, siapa-siapa yang mahu membawa kes itu ke Mahkamah mestilah menyenaraikan nama 2 juta penduduk Sarawak!

Mahkamah juga berkata kita yang membawa permohonan mesti membuktikan bahawa mereka yang menerima rasuah ini: rasuah yang ditawarkan meyakinkan mereka membuat undian untuk BN.

"Ini satu lagi syarat yang paling luar biasa dalam dunia ini," katanya.

"Bagaimanakah kami akan buktikan niat pengundi sebelum perbicaraan bermula? Lagipun soalan seperti “Kamu undi siapa semasa piliharaya? “ tidak dapat disoal semasa perbicaran kerana undi itu sulit. Akta Kesalahan Pilihanraya tidak membenarkan kita bertanya soalan itu. Tetapi Hakim terus menetapkan syarat sedemikian," katanya.

Zaid berkata, dia juga disalahkan kerana tidak mengeluarkan ucapan Najib sepenuhnya dalam petisyen.

"Kami bercadang untuk membentang rakaman ucapan itu semasa perbicaraan tetapi peluang tidak diberi. Inilah cara BN menang dalam segala hal," katanya.

Bagaimanapun, Zaid dengan penuh yakin berkata, "satu hari nanti, kita akan berjaya."/Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terdapat ralat dalam alat ini