RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Selasa, 14 September 2010

TERKINI - DR SYED HUSIN TIDAK PERTAHAN JAWATAN TIMB PRESIDEN PKR

KENYATAAN DR SYED HUSIN ALI, TIMBALAN PRESIDEN MENGENAI KEDUDUKAN
DALAM PEMILIHAN KEADILAN PUSAT


Bermula 17hb September ini, Cabang-cabang KEADILAN akan memulakan proses mencadang nama-nama calon bagi setiap jawatan dalam Parti. Sudah sampai waktunya untuk saya menjelaskan samada saya mempertahan kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden atau tidak.

Akhir-akhir ini ramai juga pemimpin Pusat, Negeri, Cabang dan anggota biasa yang menghantar sms atau emel dan menelefon meminta bahkan menggesa saya agar bertanding. Macam-macam hujah mereka kemukakan. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka.

Sebenarnya, saya ingin melihat orang yang lebih muda dan aktif menggantikan saya, walaupun dalam umur tepat 74 tahun minggu depan, Insha Allah, saya terkadang merasa belum tua lagi. Saya ingin menumpukan lebih banyak masa kepada menulis. Selain isteri, anak dan cucu ini merupakan cinta utama saya. Sudah lama saya membayangkan hasrat mahu mengundurkan diri dari jawatan Timbalan Presiden bila sampai waktunya.

Saya telah berbincang dengan keluarga, beberapa orang pemimpin Parti dan juga sahabat rapat. Kini saya mengambil keputusan tidak akan bertanding. Akan tetapi, tidak bererti saya akan meninggalkan politik ataupun Parti sepenuhnya. Saya menceburkan diri dalam politik dengan memasuki Parti Rakyat Malaysia pada tahun 1958. Saya menyandang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat semenjak 2003. Politik dan perjuangan untuk rakyat sudah menjadi darah daging saya. Oleh itu tidak mudah bagi saya meninggalkannya begitu saja.

Saya berharap dan berdoa agar KEADILAN Pusat, Wanita dan Angkatan Muda akan dipimpin oleh tokoh-tokoh yang komited kepada asas-asas perjuangan Parti seperti termaktub dalam Perlembagaannya, menghormati disiplin organisasi Parti, sudah teruji merentas duri dan ranjau perjuangan, bergerak secara pemain berpasukan (team player), menentang amalan korupsi dalam segala bentuk dan mendukung nilai akhlak yang tinggi.

Terserahlah kepada anggota-anggota Parti bagi menentukan siapakah yang mereka mahu menjadi pemimpin. Cara pemilihan, yang baru diperkenalkan oleh KEADILAN dengan memberi setiap anggota satu undi adalah cara yang demokratik. Jikalau tidak silap saya, Parti ini merupakan satu-satunya parti politik dalam dunia yang mengamalkan cara ini. Adalah penting cara ini dilaksana dan diamalkan oleh setiap calon yang bertanding dan setiap anggota yang mengundi dengan cara yang adil, bersih, telus dan bebas dari korupsi politik wang.

Dr Syed Husin Ali
14 September 2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan