PERCAYALAH, InsyaAllah, Umno/Bn di Kajang pastinya tidak mampu menghalang Anwar Ibrahim memasuki Dun Selangor. Hanya satu saja yang boleh menyekat Anwar dari terus menggugat plan Najib untuk merampas Selangor, iaitu di kalangan kita.
Setakat ini, Alhamdulillah, kita di dalam PR semakin baik di dalam penyatuan untuk membenamkan rejim Umno/Bn dari bumi Selangor sebelum kita kuburkan mereka di tanahair ini. Benar, kita berdebat serta berbalah di alam maya terutamanya di FB di dalam membahaskan isu Kajang, namun bila kita berhenti sesaat di dalam perdebatan kita, tergambar oleh kita betapa musuh yang paling zalim dan terus mengkhianati kita sebenarnya Umno/Bn.
Kita, PKR dan PAS khususnya berhujah dan berdebat yang kadangkala emosi tandanya kita sayang kepada PR. Ada suara-suara rakan-rakan kita seperti merajuk dan kecewa dengan apa yang terjadi di Kajang terutamanya yang tidak cukup mendapat maklumat sebenar atau mereka dapat maklumat tetapi masih tidak boleh terima mengapa perlunya Anwar ke Kajang. Perbezaan pendapat ini, jika pun memang itu kesilapan Anwar atau PKR, tetapi kita harus renung sejenak siapakah yang lebih banyak bukan saja lakukan kesilapan malahan menganiayai kita selama ini. PAS tentunya mangsa paling teruk teraniaya diperlakukan oleh Umno/Bn. Lupakah kita bahawa Umno/Bn khianat kepada PAS sewaktu Presiden PAS baru sepenggal menjadi MB Terengganu?
Secara tiba-tiba royalti Terengganu dirampas dan Kerajaan PAS Terengganu dilemahkan dengan berbagai tekanan. Akhirnya, PAS tumbang di Terengganu bukan kerana Presiden PAS menganiayai rakyat Terengganu tetapi Umno/Bn melakukan berbagai cara untuk merampas Terengganu. Peratusan pengundi di Terengganu secara tiba-tiba meningkat dan memecah rekod pilihanraya negara ini sebelum kejatuhan PAS Terengganu. Apa yang tidak Umno lakukan pada PAS waktu itu?
Terbaru, lihat saja di Kedah. Sekali lagi PAS tumbang. Seluruh negara merasai penipuan sistem Pilihanraya yang diamalkan. Apakah di Kedah tidak berlaku? Serangan media Umno, TV dan akhbar terus memburukkan Kerajaan PAS Kedah dan akhirnya kecundang. Inilah rupa wajah Umno. Umno ini lah juga yang bakal kita hadapi di Kajang pada 23 Mac nanti. Apakah kerana tidak setuju dengan Anwar atau PKR maka kita rela maafkan pengkhianatan Umno pada PAS ?
Politik itu perlu bijak. Politik itu mesti mengenali siapa kawan dan siapa musuh. Benar, di dalam politik tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang kekal. Tetapi, kita harus tahu situasi apabila kita berdepan dengan musuh. Apabila kita merasa marah dengan rakan kita, kita cuba renungkan apakah kita juga tidak pernah melakukan sesuatu yang rakan kita juga mungkin terasa hati? Tentu ada. Tetapi mengapa sehingga kini kita masih mampu bersatu tenaga menentang rejim itu? Ini adalah kerana kita bijak mengenali musuh kita. Kita tahu beza kesilapan sesama kita berbanding kezaliman mereka yang jauh lebih menyakitkan.
Ayuh, di Kajang sesiapa pun yang diletakkan sebagai lawan kita selain dari Anwar, itulah musuh kita. Letaklah apa jenama atau topeng sekalipun, selain dari calon kita PR, itulah musuh. Istiqomah, berusaha, tawakkal dan berdoa. Semoga kemenangan di Kajang mengubati kekecewaan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan