RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 25 Oktober 2013

TIMB PRESIDEN PAS - SALAHUDDIN, NIK AMAR PERLU MASUK JUGAKAH?

KEMPEN pemilihan di dalam PAS nampaknya lebih hangat daripada kempen di PRK Dun Sg Limau, Kedah.  Kempen lebih hebat bagi jawatan Timbalan Presiden di mana beberapa Blogger secara peribadi telah mula menulis tentang calon-calon tertentu.  Tidak terlepas blog aku juga yang berminat untuk menulis tentang pemilihan di dalam PAS pada Muktamar nanti.

Apa yang bagusnya, setakat ini belum kelihatan lagi Blogger yang memburukkan mana-mana calon yang bertanding, kebanyakannya menulis kelebihan calon yang digemari oleh Blogger itu sendiri.  Ada juga yang menulis bukan mengikut cita rasa sendiri tetapi hasil penilaiannya terhadap sokongan sebahagian dari ahli-ahli PAS terhadap seseorang calon itu.

Di dalam PAS, amat sukar untuk mencipta atau mencari keburukan seseorang calon kerana parti ini terdiri daripada pimpinan yang kebanyakannya mempunyai asas agama yang kuat walaupun ramai di antaranya bukan dari golongan 'Ulamak' pun.  Maka, hujah untuk menyokong atau menolak seseorang calon yang boleh dilakukan oleh Blogger kebanyakannya hanyalah mencari faktor kelemahan seseorang calon itu saja.  Kelemahan itu berbeza daripada keburukan, kerana setiap manusia mestilah mempunyai kelemahan tersendiri.  Justeru itu, tugas para perwakilan nanti adalah mencari pimpinan yang paling kurang kelemahannya.

Dikhabarkan bahawa Naib Presiden PAS sekarang, Sdr Salahuddin Ayob juga berminat untuk merebut jawatan Timb Presiden PAS yang kini disandang oleh Tuan Hj Mat Sabu.  Setakat ini, populariti hanya dimonopoli oleh Tuan Hj Mat Sabu dan Husam Musa.  Diberitakan Husam Musa akan menarik diri jika Mat Sabu ingin mempertahankan jawatan tersebut.  Bagaimana pula dengan Salahuddin?  Apakah Salahuddin akan tetap bertanding dan tentunya ada sebab beliau ingin bertanding.  Bak kata Husam, beliau tidak nampak sebab perlunya beliau mencabar Mat Sabu.

Aku setuju jika Us Tuan Ibrahim menerima pencalonan untuk mencabar Mat Sabu.  Ini adalah ruang terbuka untuk perwakilan PAS membuat pilihan samada perlu atau tidak golongan Ulamak berada di jawatan Nombor Dua di dalam PAS seiring dengan Presiden yang juga dari golongan Ulamak.  Atau, adakah perwakilan PAS mahu PAS terus agresif dengan Presiden dari Ulamak menerajui parti dan dibantu oleh Timbalannya seorang aktivis yang tahan lasak?

Oleh yang demikian aku rasa Sdr Salahuddin Ayob perlu membuka ruang ini kepada Mat Sabu dan Us Tuan Ibrahim sahaja.  Begitu juga Us Nik Amar yang sepatutnya memberi ruang kepada Us Tuan Ibrahim mewakili golongan Ulamak.  Seandainya Salahuddin masuk, Us Nik Amar juga masuk, tentunya berlaku pecahan undi buat Mat Sabu dan Us Tuan Ibrahim. 

Isnin, 21 Oktober 2013

POLL - 47 % MAHUKAN MAT SABU, 31 % BERSAMA HUSAM MUSA

POLL "Siapakah pilihan anda untuk jawatan Timbalan Presiden PAS?".  Blog aku sekadar untuk melihat di kalangan pengunjung blog ini yang berminat untuk membuat pilihan tentang kedudukan jawatan Timbalan Presiden PAS yang bakal ditentukan oleh Muktamar PAS akan datang.  Bukan niat untuk mengambil tahu tentang perkara dalaman PAS jauh sekali untuk menimbulkan kontroversi atau pecah belah dikalangan ahli-ahli PAS.  

Sekadar untuk membuat penilaian secara rambang, bahkan kita semua tahu tidak semua pengunjung blog ini terdiri dari ahli-ahli PAS, bahkan penyokong-penyokong Umno juga turut mengunjungi blog ini dan mungkin mereka juga berminat untuk mengambil bahagian di dalam Poll yang diadakan.  Justeru itu, apa jua keputusan melalui Poll yang aku wujudkan ini tidak langsung menggambarkan sokongan kepada mana-mana calon, tetapi semata-mata menggambarkan undian pengunjung blog ini semata-mata.

Setakat hari ini (21 Okt 2013 jam 04.00 AM), keputusan Poll yang diperolehi adalah seperti berikut:

Tuan Hj Mat Sabu - 47 %
Husam Musa  - 31 %
Us Tuan Ibrahim Tuan Man  - 21 %
Us Nik Amar - 1 %

Keseluruhan yang mengambil bahagian setakat hari ini adalah 261 pengunjung.

Di dalam beberapa blog rakan yang turut mengadakan Poll seperti ini, ada yang menunjukkan Husam Musa berada di tempat pertama diikuti oleh Tuan Hj Mat Sabu.  Boleh dikatakan di dalam beberapa blog persaingan rapat hanya di antara Tuan Hj Mat Sabu dan Husam Musa sahaja.  Seandainya benar Husam Musa tidak berminat untuk mencabar kedudukan Tuan Hj Mat Sabu sekarang, peluang lebih cerah tentunya diperolehi oleh Tuan Hj Mat Sabu untuk terus menyandang jawatan nombor dua tersebut.

 

Jumaat, 18 Oktober 2013

KALIMAH ALLAH - SAYANG NAMA ALLAH TAPI LANGGAR PERINTAH ALLAH? PUAK SIAPA INI?

ISU kalimah Allah mula dihangatkan semula.  Kita sudah banyak kali ikuti penjelasan daripada beberapa tokoh agama yang bukan dari golongan 'terompah kayu', mereka berpendapat Orang-orang bukan Islam boleh gunakan kalimah Allah asalkan tidak disalahgunakan.  

Jika seseorang Non Muslim berkata kepada kita, "InsyaAllah, saya akan jumpa awak nanti".  Adakah kita mesti marahinya?  Adakah dia menghina kalimah Allah tersebut?  Andaikata ketika kita sedang sakit, rakan kita Non Muslim datang berziarah dan berkata, " Saya harap Tuhan Alla (Allah) akan sembuhkan penyakit awak", Adakah kita mesti marahi beliau dan mahukan beliau menggantikan kalimah Allah itu kepada Tuhannya?  Adakah beliau menghina nama Allah?

Tetapi, seandainya Non Muslim itu menyebut, "Allah" itu banyak anak...., "Allah" itu adalah patung ini...atau dia sebut "Allah" itu lah yang saya sembah sambil menunjukkan ke arah patung umpamanya, Maka jelas itu adalah bersalahan kerana menggunakan kalimah "Allah" secara yang tidak betul atau salah dengan sifat Allah yang sebenar.  Maka, waktu itu tindakan boleh diambil kerana menghina nama Allah, kecuali ia menterjemahkan kepada "God' Tuhan yang mereka yakini.

Inilah yang difahamkan daripada beberapa golongan Ulamak yang bukan daripada Ulamak "Terompah Kayu".  Seandainya Kerajaan merasa perlu mencegah Non Muslim daripada mengguna pakai terus nama Allah samada dari segi percakapan atau terjemehan kitab mereka, tindakan itu mestilah dibuat tanpa ada kecuali di mana-mana termasuk Sabah dan Sarawak.  Jika ada terkecuali, maka Non Muslim akan melihat agama kita tidak konsisten di dalam hukum hakam dan ini juga adalah perbuatan yang menghina agama Islam sendiri.  

Pelik bin ajaib kerana hanya di negara ini sahaja yang menjadi masalah berkaitan isu ini.  Ini adalah kerana unsur-unsur politik dan terdapat agenda perkauman dan sentimen agama cuba dimainkan oleh pihak-pihak yang mahu menonjolkan diri mereka kononnya mereka pejuang agama.  Kita tahu siapakah golongan ini.  Golongan inilah yang sebenarnya banyak menghina ugama sendiri bahkan isteri mereka sendiri tidak menutup aurat, bagaimana mereka mahu bercakap soal Kalimah Allah?  Kalimah Allah mereka sayangi kononnya, tetapi perintah Allah mereka tidak peduli.

Isnin, 14 Oktober 2013

PERLUKAH TANTAWI DITENTANG?

ADA suara-suara mahu agar Ketua Dewan Pemuda PAS dicabar di dalam Muktamar PAS akan datang.  Ertinya, ada yang tidak berpuas hati dengan peranan Us Nasruddin Tantawi sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.  Mengapa?

Aku hanya dapat rasakan satu saja sebab mengapa Us Nasruddin perlu ditentang pada fikiran mereka.  Sebabnya beliau dilihat kurang agresif atau tidak bersifat radikal yang sepatutnya ada pada seorang Ketua yang memimpin orang muda apatah lagi yang memperjuangkan dasar Islam. Beliau tidak seperti pemuda di era Mahfuz Omar atau sekurang-kurangnya menyamai pemuda di zaman Salahuddin Ayub.  Us Nasruddin lebih dilihat seperti Ketua Dewan Ulamak, dan memang pun diakui beliau salah seorang yang boleh dikategorikan sebagai Ulamak.

Salahkah Ulamak muda memimpin orang muda?  Jawapannya tentu baik sekali anak muda dipimpin oleh Ulamak kerana sesiapa sahaja yang berdamping dengan Ulamak tentu akan mendapat faedah dan manafaatnya.  Kepimpinan Ulamak memang baik, tetapi Ulamak yang hebat adalah Ulamak yang menanamkan sifat berani kepada para pengikutnya.  Apabila mendengar sahaja ada sekumpulan manusia yang ingin bangkit menentang kemungkaran mahuoun kezaliman, Ulamak yang memimpin pemuda haruslah menyahut panggilan ini dan berada di saf hadapan.  Mungkin inilah yang mereka rasakan tiada pada Us Nasruddin Tantawi.  

Sehubungan itu, mereka beranggapan Ketua Dewan Pemuda PAS perlu diganti.  Siapakah yang layak memikul tugas ini ?  Apakah memadai Ketua Dewan Pemuda PAS ini hanya tahu berdemo atau memberontak sahaja?  Rasanya jika begitu, PAS tidak perlu tukar Us Nasruddin Tantawi, cumanya Us Nasruddin perlu tukar stail sahaja.  Yang lain, semuanya dah cukup pada beliau.


Sabtu, 12 Oktober 2013

PETANG INI (12/10/13) BERSAMA REFORMIS DAN SDR MUSTAFA KAMIL AYOB DI INDERA MAHKOTA

 
 
Petang ini (12 Okt 2013) Jam 02.30 petang, bertempat di Hotel Seri Manja, Indera Mahkota, Kuantan akan berkumpul sekumpulan reformis lama dan baru juga penggerak arus perjuangan rakyat di dalam Program Hi-Tea bersama Ahli MPP Tuan Hj Mustafa Kamil Ayob.

Mustafa Kamil Ayob juga adalah Presiden MAP (Menjaga Arus Perjuangan), salah satu pertubuhan yang bukannya dari sayap parti sama juga seperti SAMM (Solidariti Anak Muda Malaysia), yang mana pemimpinnya adalah dari ahli parti. SAMM, Penyelarasnya adalah Chegu Bard atau Badrul Hisham Shahrin, ahli PKR yang pernah menjadi calon PKR di Dun Sg Acheh, P.Pinang di dalam PRU 13 baru-baru ini. Sdr Mustafa Kamil juga turut dicalonkan di dalam PRU 13, kedua-duanya tewas.

Apa jua tujuan perjumpaan petang nanti sudah tentulah untuk memantapkan lagi sokongan rakyat kepada parti atau paling tidak pun rakyat tidak lagi menyokong rejim yang ada. Ertikata lain, perjumpaan petang nanti bukannya khas untuk ahli-ahli atau penyokong PKR sahaja, bahkan terbuka kepada semua yang mahu melihat negara ini tidak lagi ditadbir oleh rejim yang ada.

Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama meraikan program petang ini. Semarakkan kebangkitan rakyat dan kita boleh berkongsi cerita dengan para reformis lama dan baru di samping kita mengeratkan lagi kerjasama kita. Rejim tidak boleh tumbang hanya dengan kekuatan parti tanpa ada bantuan dari luar seperti pertubuhan-pertubuhan NGO yang turut berjuang untuk membela nasib rakyat.

Rabu, 9 Oktober 2013

TIMBALAN PRESIDEN PAS - BIAR SAJA MAT SABU VS US TUAN IBRAHIM

SEHINGGA kini kita belum mendapat pengesahan muktamad siapakah yang akan mencabar kedudukan Tuan Hj Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS di dalam Muktamar PAS akan datang.  Cumanya yang kita dengar bahawa yang mungkin menawarkan diri adalah Us Tuan Ibrahim Tuan Man dan Us Nik Amar.  Seorang lagi, Datuk Husam Musa saya tidak fikir dia akan bertanding.

Walaupun ramai yang beranggapan Tuan Hj Mat Sabu tidak perlu dicabar memandangkan beliau telah menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada parti dengan berkesan.  PAS semakin ke hadapan jika dilihat di dalam keputusan PRU 13 yang lalu, itu pun di dalam keadaan PRU yang penuh dengan 'penipuan'.  Mungkin sebab itulah maka Datuk Husam Musa tidak akan menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Nombor Dua di dalam PAS.

Mat Sabu
Jika pun ada pertandingan, aku rasa bukan kerana Mat Sabu gagal berperanan tetapi adalah kerana keinginan untuk melihat golongan Ulamak berada di Kerusi tersebut.  Jika itulah alasannya, aku bersetuju jika salah seorang dari golongan Ulamak masuk bertanding sebagai alternatif kepada ahli-ahli PAS untuk buat pilihan. Kita tidak boleh nafikan bukan sedikit di dalam PAS yang mahukan Ulamak menduduki Kerusi Timbalan Presiden tersebut.  Maka, untuk memuaskan hati semua pihak adalah wajar seorang Ulamak tawarkan diri dan tokoh itu tidak ada yang lain melainkan Us Tuan Ibrahim Tuan Man yang paling sesuai.

Us Tuan Ibrahim Tuan Man
Seandainya Us Nik Amar yang juga seorang Ulamak menawarkan diri, maka sudah tentu undian untuk golongan Ulamak ini akan berpecah dan tentulah 'tidak adil' jika akibat pecahan undi tersebut akhirnya Mat Sabu yang menang.  Bukan bermakna aku tidak suka Mat Sabu menang tetapi aku lebih suka lihat sesiapa yang menang bukan kerana pecahan undi lawan masing-masing.  Lagi pun, perlu apanya Us Nik Amar masuk bertanding jika Us Tuan Ibrahim sudah masuk mewakili golongan Ulamak?

Seandainya berlaku pertandingan dua penjuru iaitu di antara Tuan Hj Mat Sabu dan Us Tuan Ibrahim, maka kita boleh lihat di dalam PAS siapakah yang sesuai dan disepakati oleh Jemaah untuk menduduki Kerusi Nombor Dua tersebut, samada golongan Aktivis atau pun golongan Ulamak.  Siapa pun pilihan ahli-ahli  PAS nanti kenalah terima dengan terbuka. 

Ahad, 6 Oktober 2013

TIMBALAN PRESIDEN PAS - APA SALAH MAT SABU?

JAWATAN Timbalan Presiden PAS masih panas diperdebatkan.  Penyandang jawatan, Mat Sabu awal-awal lagi memberitahu beliau akan mempertahankan jawatannya dan tidak kisah sesiapa pun yang akan bertanding merebut kedudukannya sekarang.  Husam Musa pula yang dianggap begitu popular khususnya di kalangan anak muda juga tidak berhasrat untuk menentang kedudukan Mat Sabu kerana baginya 'tiada sebab untuk melawan Mat Sabu".

Kempen yang berjalan untuk menggugat kedudukan Mat Sabu bukan kerana Mat Sabu tidak berupaya memperkuatkan PAS atau Mat Sabu gagal membawa PAS seiring dengan kekuatan rakan-rakan di dalam PR, tetapi modal mereka hanya kerana Mat Sabu 'bukan Ulamak'.  Ertikata lain, mereka beranggapan PAS hanya lebih dominan atau lebih kuat hanya adanya Ulamak di pimpinan atasan PAS.  Benarkah begitu?

Adakah sebelum ini PAS tidak pernah dipimpin oleh Ulamak di kerusi nombor satu dan dua?  Sewaktu Almarhum Us Yusof Rawa menjadi Presiden (YDP) PAS, Timbalannya adalah Almarhum Us Fadhil Noor.  Kedua-duanya golongan ugama atau Ulamak.  Waktu itu adakah PAS hebat?  Kemudian, Presiden PAS diterajui oleh Almarhum Us Fadhil Noor dan Timbalannya adalah Tuan Guru Hj Hadi Awang.  Benar, PAS kelihatan semakin kuat tetapi harus diingat waktu kebangkitan PAS bermula di era reformasi tahun 1998.  Era reformasi hikmahnya pada PAS begitu jelas.  Pemecatan DS Anwar dari kerajaan seterusnya dipenjarakan, hikmahnya hebat di mana PAS melonjak naik.  

Boleh dikatakan bukan kerana PAS dipimpin oleh Ulamak, Timbalannya Ulamak maka PAS kuat waktu itu.  Semua tahu PAS kuat di era reformasi adalah kerana begitu hebatnya orang membenci Umno waktu itu.  Kemudian, PAS dipimpin pula oleh Tuan Guru Hj Hadi seorang Ulamak dan Us Nasa juga boleh dilategorikan seorang Ulamak.  Apakah kerana faktor itu PAS menjadi semakin kuat?  Jawapannya tidak.  Bukan kerana Ulamak di Kerusi No Satu dan Dua menjadikan PAS kuat.  PAS kuat kerana semenjak era reformasi sokongan terhadap PAS meningkat, apatah lagi apabila PAS duduk bersama PR.  Buktinya, apabila Us Nasa tidak lagi menjadi Timbalan Presiden dan Mat Sabu diangkat, kekuatan PAS tetap utuh.  Mat Sabu bukan Ulamak tetapi beliau lebih kepada aktivis atau pemimpin yang radikal.  

Untuk menentang parti seperti Umno, sememangnya kita mesti ada pimpinan yang radikal.  Dan, PAS tepat di dalam landasannya kerana pimpinan PAS telah lengkap daripada Ulamak di atas, Majlis Syura/Dewan Ulamak/ juga mengawal dasar-dasar parti, PAS juga memiliki aktivis yang radikal dan lantang. 

Seandainya mahu juga diganti Timbalan Presiden kepada golongan Ulamak, tidak menjadi masalah sebenarnya tetapi yang paling penting calon itu mestilah seorang yang lebih lantang dan agresif daripada Mat Sabu.  Kita tidak mahu melihat orang Nombor Dua di dalam PAS yang 'beku' dan 'kaku'.  Ulamak yang ingin berada di Kerusi Nombor Dua itu mestilah Ulamak yang sanggup turun ke akar umbi, sanggup bersusah payah sama seperti orang bawahan dan bersedia berada di hadapan di dalam apa jua situasi.  Seandainya Ulamak itu hanya boleh menjadi Imam, berkhutbah dan memberikan Kuliah sahaja, itu belum cukup kuat untuk menumbangkan rejim Umno/Bn.  

Maka, berfikirlah sebaik mungkin untuk memilih siapakah yang boleh menjadikan PAS lebih kuat dan dihormati oleh kawan dan lawan.  Jika tiada alasan untuk menurunkan Mat Sabu, maka elok kekalkan sahaja Mat Sabu.  Jika orang seperti Us Nasa yang pernah 'bercinta dalam kelambu' bersama Umno itu pun kita pernah angkat menjadi orang di Nombor Dua, apakah salah Mat Sabu? 


Khamis, 3 Oktober 2013

MAT SABU BERJAYA PIMPIN PAS, BUAT APA LAWAN? - HUSAM MUSA BUAT PILIHAN BIJAK

TIADA sebab Husam Musa mahu lawan Mat Sabu untuk jawatan Timbalan Presiden PAS di dalam Muktamar PAS nanti.  Itulah jawapan Husam Musa yang begitu popular khususnya di kalangan anak-anak muda yang mencintai reform.

"Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, beliau tidak akan mencabar Mohamad Sabu bagi merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada muktamar ke-59 November ini.  Difahamkan Husam telah melepasi syarat pencalonan daripada dua kawasan untuk bertanding jawatan tersebut dan keputusannya bakal diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan pada 21 Oktober ini.

 
 
"Apa alasan yang terbaik untuk saya melawan Abang Mat (Mohamad Sabu)? Kamu ada alasan untuk saya melawan Abang Mat. "Kalau tidak ada alasan yang baik, kenapa (saya) mahu melawan beliau," katanya.  Beliau menjawab soalan hadirin berhubung pendiriannya sama ada mahu bertanding jawatan itu dalam sebuah dialog bertajuk 'Survival PAS dalam arena politik Malaysia' di ibu negara malam tadi (Malaysiakini).

Ertikata lain, Husam Musa berpuas hati dengan peranan dan tanggungjawab yang telah dimainkan oleh Mat Sabu selama ini di dalam PAS.  Di dalam PRU 13 yang lalu, PAS bersama PR telah memalukan Umno/Bn apabila Umno/Bn hanya perolehi 47% sahaja sokongan rakyat.  Jika tidak kerana kerjasama SPR dan beberapa agensi kerajaan lain, negara kita sekarang ini telah diperintah oleh PR, bukan Umno/Bn.  Bermakna, PAS telah membantu ke arah kejayaan ini, inilah di antara faktor yang mungkin difikirkan oleh Husam Musa untuk tidak menentang Mat Sabu.
 
Pada pendapat saya, alasan itu memang terbaik buat Husam Musa untuk tidak melawan Mat Sabu.  Jika Us Tuan Ibrahim Tuan Man mahu melawan Mat Sabu, mungkin beliau juga ada alasan untuk berbuat demikian dan kita patut menghormatinya,  Itulah hebatnya PAS.
 

Sabtu, 28 September 2013

PEMILIHAN PAS - HARAP US TUAN IBRAHIM MENANG, JIKA TIDAK ELOKLAH MAT SABU SAJA

SELAIN dari pemilihan di dalam pimpinan Umno, aku juga tertarik dengan kehangatan pemilihan pimpinan di dalam PAS iaitu parti sekutu PR yang aku sokong selama ini.  Pemilihan Umno aku cuma tertarik dengan ragam mereka berkempen untuk memenangi jawatan yang ditandingi yang kadangkala menampakkan wajah Umno yang sebenarnya.

Aku hanya mahu ulas sedikit tentang pemilihan di dalam PAS.  Tidak salah rasanya jika aku meletakkan diri aku seketika sebagai ahli PAS agar aku boleh bayangkan siapakah pemimpin PAS yang aku mahu pilih menduduki jawatan tertinggi di dalam parti Islam tersebut.

Tuan Hj Muhammad Sabu - Timbalan Presiden PAS, bakal dicabar?


Bagi jawatan Presiden, aku istiqomah dari dulu bahawa tiada yang lebih layak berada di situ melainkan Tuan Guru Hj Hadi Awang.  Walaupun ada ketikanya aku kritik pendekatan Tuan Guru Hj Hadi di dalam beberapa isu, tetapi kelemahan atau kesilapan jika ada pun pada Tuan Guru Hj Hadi sedikitpun tidak menunjukkan PAS telah tersasar dari perjuangan Islam.  Tuan Guru tetap terbaik dan PAS tidak wajar memikirkan tokoh lain bagi menggantikannya.


Ketua Penerangan PAS Pusat/Pesuruhjaya PAS Pahang-Us Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden pula, aku masih lagi istiqomah semenjak Muktamar pemilihan yang lalu iaitu aku menyokong jika Us Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding kerusi Nombor Dua ini.  Pada pemilihan yang lalu aku tidak kecewa apabila Us Tuan Ibrahim tewas di tangan Tuan Hj Mat Sabu walaupun waktu itu aku turut berkempen untuk Us Tuan Ibrahim.  Kemenangan Tuan Hj Mat Sabu sedikit mengubati perasaanku waktu itu kerana bagi aku Tuan Hj Mat Sabu memang 'power' dan ada kelebihan pada beliau yang tiada pada Us Tuan Ibrahim.  Apa yang tiada pada Tuan Hj Mat Sabu hanyalah keilmuan Islam yang mendalam seperti yang dimiliki oleh Us Tuan Ibrahim.

Us Nik Amar - Exco Kerajaan PAS Kelantan
Kali ini, jika Us Tuan Ibrahim menyahut pencalonan yang mahukan agar beliau menentang Tuan Hj Mat Sabu di Kerusi Timbalan Presiden, sekali lagi aku akan berkempen habis-habisan untuk Pesuruhjaya PAS Pahang ini.  Bagi aku, PAS perlukan Timbalan Presiden seperti Us Tuan Ibrahim yang juga seorang Ulamak tetapi tidak menyamai sifat beberapa tokoh di Dewan Ulamak.  Us Tuan Ibrahim juga bukan tokoh kontroversi yang boleh dikaitkan dengan UG atau apa jua isu yang boleh merosakkan PAS atau PR.  Tuan Hj Mat Sabu juga begitu, namun 'markah' ilmu agama Tuan Hj Mat Sabu ini membuatkan aku lebih tertarik dengan Us Tuan Ibrahim.

Desas desus menyebut, pemilihan kali ini Us Nik Amar dari Kelantan akan mencuba nasib bertanding di Kerusi Nombor Dua di dalam PAS itu.  Jika benar begitu, aku lebih suka Tuan Hj Mat Sabu menang seandainya Us Tuan Ibrahim tewas sekali lagi.  Jawatan Timbalan Presiden PAS mestilah seorang yang mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat Kebangsaan, pandai bergaul dan disukai ramai masyarakat Non-Muslim.  Sifat ini hanya ada pada Tuan Hj Mat Sabu dan Us Tuan Ibrahim sahaja.  Us Nik Amar hanya hebat dan berpengaruh di bumi Kelantan sahaja.  

Us Tuan Ibrahim, beliau bukan sahaja Ulamak tetapi boleh bergerak seperti aktivis.  Di Pahang khususnya, beberapa aktiviti yang melibatkan aktivis-aktivis yang memperjuangkan isu Felda, Orang Asal mahu pun alam sekitar, Us Tuan Ibrahim sentiasa masuk campor dan mengambil bahagian.  Beliau bukan membuat kerja dakwah di masjid semata-mata.  Beliau juga terkenal di seluruh Malaysia dan tiada isu panas atau kontroversi yang boleh menjejaskan nama baiknya.  

Atas sifat inilah, aku mahu agar kali ini Us Tuan Ibrahim berada di Kerusi Timbalan Presiden.  Bukan kerana Tuan Hj Mat Sabu tidak layak atau tidak baik, tetapi Us Tuan Ibrahim pada aku lebih layak dan lebih baik.  Seandainya Us Tuan Ibrahim tidak mahu bertanding Kerusi Timbalan Presiden, pastinya aku akan berkempen untuk Tuan Hj Mat Sabu.      

Khamis, 26 September 2013

SALAM 1 MINYAK, WAWASAN 20SEN20SEN", APA ADA PADA HIMPUNAN UMNO?

PEMILIHAN di dalam Umno sikit pun tidak akan dapat mengubah apa-apa di dalam parti sekular itu, jauh sekali untuk mengubah nasib rakyat di negara ini.  Apakah berubah Umno jika Najib bukan Presiden Umno atau Muhyiddin pula jadi Presiden dan PM?  Tidak akan berubah selagi namanya 'Umno'.

Anggota-angota bawahan di dalam Umno berlaga sesama sendiri sampai bergaduh-gaduh hanya untuk rebut jawatan Ketua Cawangan atau Ketua Bahagian Umno sahaja.  Tetapi pemimpin mereka di atas relaks saja memerhatikan yang di bawah berlaga macam lembu.  

Blogger bersama Penyelaras SAMM Pahang, Bung Hatta
Rakyat pula tidak hirau langsung siapa akan memimpin Umno di mana peringkat sekalipun.  Rakyat hanya tahu hakikat sebenar Umno sudah tidak layak menjadi tunjang pemerintahan negara ini.  Umno bergabung dengan MCA dan Gerakan dan dibantu pula oleh banyak lagi parti Komponen di Sabah dan Sarawak, mereka hanya dapat 47% sahaja undi rakyat Malaysia.  Ertikata lain, 53% rakyat Malaysia mahu PR menjadi Kerajaan.  Nasib baik ada yang sanggup jadi bangsat dan balaci untuk selamatkan parti yang ditolak oleh rakyat itu.

Kita tidak peduli dengan Perhimpunan Umno kerana kita sekarang sedang mentertawakan kerajaan "1 MINYAK dengan WAWASAN 20SEN20SEN".  Rakyat jelas tertipu dengan mereka, selepas PRU 13 yang lalu tiada satu pun janji mereka untuk faedah rakyat yang boleh kita lihat.  Sebaik sahaja mereka menjadi pemerintah melalui penipuan, mereka kini sibuk berebut untuk menjadi ketua di dalam parti mereka.  Peduli apa dengan rakyat.

Para perwakilan yang akan datang ke PWTC nanti, mereka pasti akan terhibur dengan lawak bodoh yang dipersembahkan.  Mereka akan tertawa, bertepuk tangan, kemudian menangis beramai-ramai di PWTC.  Akhirnya mereka akan pulang ke kampong halaman masing-masing menanti BR1M sampai.  Kesihan...

Isnin, 16 September 2013

PAS KUAT BILA ULAMAK SANGGUP TURUN KE AKAR UMBI

MEMPERKASAKAN Pakatan Rakyat. Itulah komitmen PAS sekarang berhubung isu kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS yang mahu agar kajian dibuat tentang Tahalluf Siyasi bersama Pakatan Rakyat. Kenyataan paling bijak dan penuh berhemah adalah daripada Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau menegaskan "PAS ingin menegaskan komitmen kita untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, Segala kelemahan yang timbul akan diperbaiki melalui meja rundingan. PAS mengalu-alukan sebarang cadangan serta komentar dari mana-mana Dewan dan pandangan dalaman untuk meneliti apa jua unsur yang dianggap bertentangan dengan syarak, katanya.

Ertikata lain, tiada kajian lain selain dari mengkaji untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP.  Jika ada di antara Ulamak di dalam PAS yang bercita-cita untuk menjadikan PAS sebuah parti yang berjuang bersendirian, maka Ulamak ini seharusnya dikaji latarbelakang beliau samada orang seperti ini boleh membantu PAS atau boleh melemahkan PAS.  
 
YB Ustaz Rosli Abdul Jabbar - Adun Tanjung Lumpur
Fakta jelas menunjukkan PAS bertambah kuat bila PAS berjuang secara kolektif bersama Pakatan Rakyat.  Fakta juga jelas menunjukkan PAS menjadi lemah dan mudah di'buli' apabila parti ini bersendirian.  Kajian untuk menentukan PAS menjadi dominan di dalam Pakatan Rakyat boleh dilakukan dengan syarat kesemua yang berada di dalam PAS termasuk Dewan Ulamak juga sanggup turun ke akar umbi membantu meningkatkan pengaruh PAS.  Dewan Ulamak tidak boleh terlalu panjang di kuliah, seminat atau di masjid-masjid sahaja kerana kerja dakwah mereka boleh dilakukan bersama akar umbi dan bersama gerak kerja bersama ahli-ahli bawahan yang lain hatta hingga ke peringkat menampal poster.
 
Aku tertarik dengan YB Ustaz Rosli Abdul Jabar, Adun Tg Lumpur yang juga seorang Ulamak muda di dalam PAS Pahang.   Beliau pernah tewas di dalam PRU ke 12 dulu, tetapi beliau tetap turun ke akar umbi bekerja rapat dengan ahli-ahli dan penyokong bawahan tanpa menghiraukan beliau tercalon lagi atau tidak.  Di dalam PRU 13 yang lalu, Us Rosli dilihat terlalu sibuk berkempen siang dan malam untuk memenangkan PAS terutamanya di kawasan beliau.  Apabila beliau menang di dalam PRU 13, beliau terus bekerja seperti biasa seolah-olah kempen PRU masih berjalan.  

Inilah salah satu Ulamak yang boleh turun ke akar umbi.  Ulamak yang sentiasa hadir di dalam setiap demontrasi membantah ketidakadilan atau kezaliman.  Ulamak yang sentiasa menuturkan kata-kata, " Kerja aku adalah melawan Umno kerana Umno zalim kepada rakyat".  Kezaliman dan ketidakadilan itu wajib dicegah, maka Ustaz Rosli bangkit melawan.  Beliau juga aktif di dalam program kuliah dan mengajar kitab agama di masjid-masjid, namun beliau faham PAS tidak akan boleh jadi kuat jika golongan agama hanya berjuang di masjid. 

Semoga PAS dapat membuat kajian yang lebih baik untuk memantapkan Pakatan Rakyat.  Begitu juga dengan parti-parti lain seperti PKR dan DAP agar kekuatan kita bersama akan menguburkan kezaliman Umno/Bn.