RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Khamis, 14 Mei 2009

ISU DI PERAK - APABILA TUAN GURU PAS BERUBAH SUARA

Krisis di Perak benar-benar mengundang kemarahan dan kebencian rakyat bukan sahaja rakyat di Perak, bahkan rakyat seluruh Malaysia termasuk pemerhati politik di luar negara. Namun demikian, negara kita amat bertuah kerana masyarakatnya masih bertamaddun, berakhlak dan mempunyai budi pekerti yang tinggi. Jika di negara lain, kita tidak pasti apa yang telah berlaku akibat peristiwa kejam ini. Mudah-mudahan situasi seperti yang ada sekarang akan dipertahankan demi keamanan rakyat dan negara tercinta ini.

Setiap insan sudah tentunya mempunyai tahap-tahap kesabarannya dan kita cukup bimbang jika sikap bertamaddun dan akhlak masyarakat kita yang amat sederhana ini diambil kesempatan pula oleh pihak-pihak tertentu untuk memperkotak-katikkan rakyat. Bukan sedikit cerita yang kita dengar dan bukan juga remeh apa yang kita lihat apabila rakyat yang bangun untuk memperjuangkan hak mereka tanpa senjata bahkan sehelai sepinggang dilayan umpama penjenayah ataupun komunis. Begitulah sukarnya untuk memperbetulkan amalan demokrasi di negara ini dan tidak hairanlah apabila dunia luar melihat Malaysia bukan lagi contoh terbaik untuk diikuti.

Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang di dalam satu ceramahnya baru-baru ini mula bercakap dengan nada yang amat berlainan sekali. Meskipun beliau seorang Ulamak, tetapi Ulamak juga manusia biasa yang mempunyai tahap kesabarannya apatah lagi melihat di sekelilingnya rakyat terus dizalimi. Apalah ertinya seorang Ulamak jika hanya mampu menadah tangan memohon pertolongan dari Allah SWT semata-mata. Ungkapan beliau "Bodoh, jahat dan Gila" mungkin agak kasar dan emosi bagi seorang Ulamak seperti beliau. Tetapi, tiada yang lebih hina dan keji dari ayat " Celakalah Abu Lahab..." seperti yang terkandung di dalam Al-Quran. Ungkapan itu amat sesuai dan padan dengan perangai Abu Lahab. Wajarkah Tuan Guru Hj Hadi berkata demikian terhadap mereka yang merosakkan demokrasi serta melanggar undang-undang negeri di Perak? Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan ungkapan Tuan Guru Hj Hadi tersebut kerana bagi saya terdapat lagi lain perkataan yang lebih `molek' dan sesuai dengan mereka yang saya sendiri tidak tergamak untuk menyebutnya.

Kita percaya suatu hari nanti perosak-perosak masyarakat ini akan sedar betapa tinggi dan rendahnya langit ini. Hari ini mereka boleh tersenyum dengan kuasa yang ada pada mereka. Dengan senyuman serta penuh ego mereka mendakwa mereka berjuang untuk rakyat dan mereka lah `Gandhi' yang dilahirkan untuk menyelamatkan rakyat di bumi Perak. Setelah mereka mengaitkan istana dan gunakan mahkamah, kini terpaksa menggunakan kehebatan tokoh dari India tersebut. Mungkin ada yang terkeliru dan bersetuju bahawa itulah `Gandhi' generasi baru di Perak kerana melihat kepada warna kulit yang sama. Tidakkah mereka ketahui bahawa kulit yang sama bukan bererti mempunyai hati yang sama? Gandhi adalah tokoh terbilang serta berani dan dikenali diseluruh dunia kerana membela rakyatnya. Begitu juga dengan Nelson Mandela tokoh dari Afrika yang sanggup terpenjara berpuluh tahun demi membela rakyat dan negaranya. Tetapi `Klon Gandhi' yang baru lahir di Perak ini, untuk melaksanakan pilihanraya sahaja sudah cukup menggeletarkan kedua-dua lututnya.

Kita percaya di bawah kepimpinan Tuan Guru Hj Hadi di samping ketokohan DS Anwar dan kehebatan Lim Kit Siang serta rakan-rakan PR yang lain, kita akan sanggup berdepan dengan mereka yang semakin hari semakin rakus ini. Permainan kotor mereka semakin terserlah dan kita sudah tentu terpaksa mengikut rentak tarinya agar `permainan' ini tidak kelihatan sumbang. Percayalah di dalam jemaah PAS, apabila Tuan Guru mereka berubah suara, pengikut pasti mengubah rentaknya.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com



Tiada ulasan:

Catat Ulasan