RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 16 Mei 2009

PAS JANGAN LENGAHKAN PERKARA YANG BAIK

Sesungguhnya suatu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita selaku pejuang-pejuang Islam apabila masyarakat bukan Islam mula mendekati kita. Di saat Umno/Bn mula kehilangan arah dalam hala tuju mereka, masyarakat bukan Islam khususnya mulai yakin dengan dasar yang dibawa oleh PAS dan juga rakan-rakan mereka di dalam PR. Meskipun musuh-musuh Islam terus menjalankan propaganda mereka untuk melumpuhkan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, namun berkat ketabahan pimpinan PAS dan tidak lupa juga berkat kerjasama rakan-rakan yang lain di dalam PR, PAS kini semakin berkembang dan berpengaruh.

Begitulah hebatnya ketentuan Illahi yang tidak terfikir kita betapa parti yang dahulunya di cop sebagai parti ideologi Taliban, kini menjadi pilihan masyarakat bukan Islam. Dahulu saya pernah menulis tentang hikmah mengapa DS Anwar tidak menyertai PAS dan menubuhkan Parti KeADILan yang kini dikenali sebagai PKR. Seandainya DS Anwar menyertai PAS, secara teorinya saya jangkakan sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak sehebat sekarang. Wujudnya PKR adalah bagi mereka yang tidak lagi yakin kepada Umno/Bn tetapi masih sukar untuk menerima PAS. Mereka ini akan bersama PKR dan PKR pula bekerjasama dengan PAS. Apabila melihat kerjasama yang terjalin di antara PKR dan PAS termasuk juga DAP, mereka ini bertambah yakin bahawa PAS juga menuntut keadilan untuk semua . Apatah lagi mereka telah melihat betapa PAS dapat memimpin Kelantan berbelas tahun dengan adil dan saksama.

Kini, PAS telah mempunyai Kelab Penyokong mereka sendiri. Pada ketika mereka ini sedang bersemangat untuk bersama kita, adalah tidak wajar kita menurunkan semangat mereka. Cuba kita imbas kembali zaman ketika PAS dikenali sebagai parti tok lebai. Terlalu lah sukar untuk mendapatkan hatta seorang yang bukan Islam menyokong PAS bahkan sokongan orang Melayu Islam pun PAS agak sukar juga kecuali di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kini, di tengah-tengah kota metropolitan pun bendera PAS gagah berkibaran di merata-rata. Bukan mudah untuk memperolehi kenikmatan anugerah Allah ini dan kini kita telah menkmatinya.

Pada pendapat saya, adalah penting untuk PAS mempertimbangkan secepat mungkin agar dapat menerima mereka ini bersama PAS. Saya faham beberapa dasar atau perlembagaan PAS yang mungkin boleh menyekat mereka ini dari turut bersama dalam perjuangan PAS. PAS bukan agama tetapi adalah wadah di dalam menyempurnakan agama Islam itu sendiri. Soal teknikal dan perlembagaan yang boleh ditentukan terhadap mereka yang bukan Islam tetapi menjadi ahli PAS boleh dikaji semula asalkan dasar pokok perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS itu tidak diketepikan. Bagi saya, melengah-lengahkan perkara yang baik tidak akan menguntungkan dan saya bimbang jika pihak lawan akan mengambil kesempatan di atas kealpaan kita mengambil peluang ini. Mudah-mudahan pimpinan PAS dapat membuat suatu keputusan yang bijak demi masa depan perjuangan PAS itu sendiri.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan