RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Ahad, 10 Mei 2009

Ketua pemuda Kelantan: Anak Tok guru 'kantoi' 22 undi

SATU panggilan dan satu SMS masuk ke dalam telefon bimbit saya lewat petang ini memaklumkan yang anak Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Abduh kalah dalam pertandingan merebut jawatan ketua pemuda Pas Kelantan ditangan Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Nik Abduh kalah dengan 22 undi. Beliau mendapat 56 undi manakala Latiff mendapat 78 undi. Terkejut pun ada, tidak terkejut pun ada dengan apa yang berlaku. Seperti mana saya sebut dalam Surat Merah, kedua mereka adalan adik-adik saya belaka. Jadi tidak elok kalau saya merasa suka atas kemenangan Latiff sebab saya juga kena rasa sedih dengan kekalahan Nik Abduh.

Tak mengapa, saya harap keduanya menerima hakikat begitulah adat perlawanan dan natijah demokrasi. Kepada Latiff diucapkan tahniah dan kepada Nik Abduh usah risau perjalanan perjuangan masih jauh. Kalau kita ikhlas, komited dengan jihad kita boleh memberi sumbangan kepada perjuangan meskipun tanpa jawatan. Sesuatu kena ingat saf pemuda Kelantan hampir separuh bersama Nik Abduh!

Kekalahan Nik Abduh saya sudah merasakan sejak dari pagi tadi memandangkan kepada sikap serba salah dan sikap terbuka ayahnya sendiri. Ayahnya boleh membantunya untuk menang, tetapi nampaknya ayahnya tidak mahu membantu anaknya takut dikatakan kroni. Atas sifat Mursyidul Am Pas, ayahnya boleh panggil Nik Abduh dan Latiff berkompromi, samada Latiff sebagai ketua atau Nik Abduh mengekalkan kedudukannya sebagai ketua. Tetapi malang apa yang boleh dilakukan itu tidak terbuat oleh ayahnya yang percaya kepada ketulusan demokrasi!

Kompromi bukan tidak pernah dibuat di Kelantan dan Tok Guru bukan tidak pernah menggunakan kuasa vetonya. Semasa Mohammad Sabu menang sebagai YDP Kubang Kerian melawan Mohammad Iraq, Tok Guru boleh minta Mat Sabu letak jawatan dan beri laluan kepada Mohammad Iraq wahal pemilihan Mat Sabu itu dibuat dalam mesyuarat. Dan bila Tok Guru tidak bersedia berbuat demikian terhadap anaknya apakah pada ukurannya, Nik Abduh dan Latiff sama hebat ilmu dan politiknya?

Manakala menurut seorang penjenguk blog Merah Tinta dalam emailnya kepada saya dia merasakan kekalahan Nik Abduh sejak petang semalam lagi. Kata penjenguk itu kebetulan petang semalam dia berada di Pantai Cahaya Bulan (PCB), membawa anak-anaknya bercuti. Dia ternampak Latiff dan beberapa orang sedang menanti seseorang.

Ceritanya, sekejap kemudian Zaki Ibrahim (bekas ketua pemuda Kelantan) datang dan bergabung dengan kumpulan Latiff. Katanya dia ingin meninjau dewan tempat bersidang. Kata penjenguk itu dia hairan dan tertanya-tanya kenapa Nik Abduh sebagai timbalan ketua tidak ada. Sepatutnya Nik Abduh turut tinjau sama.

"Melihat suasana itu saya sudah merasakan yang Nik Abduh akan kalah," kata penjenguk itu melaporkan apa yang beliau saksikan. Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian di sini apakah Latiff dan Zaki bersekongkol atau sebaliknya. Namun apa yang saya tahu keduanya adalah orang Husam Musa.

Seperti saya kata tadi, tidak kisah siapa yang diberikan amanah untuk memimpin barisan Pemuda Kelantan. Yang penting mereka yang menerima amanah itu dapat memikulnya sebaik mungkin untuk kebaikan Pas Kelantan dan sebagai kesinambungan kepimpinan lampau.

Dan paling saya harapkan semoga kejernihan akan bertaut balik selepas ini. Jadikan pertandingan itu sebagai biduk lalu kiambang bertaut. Hendaknya Latiff tidak akan membiarkan begitu sahaja Nik Abduh, masih ada guna tenaga dan buah fikirannya untuk perjuangan Pas.

Apa yang saya nak ulaskan mengenai pertandingan Latiff dengan Nik Abduh itu, saya melihat ia membawa signifiken tertentu. Ia bukan pertandingan biasa sebenarnya. Perlawanan itu ada ujian kepada masa depan politik Kelantan dan juga kepimpinan dalam Pas hari ini.

Katakan bahawa Latiff adalah proksi kepada Husam Musa yang akan membawa perubahan dan kepimpinan bentuk baru yang sedang digilai kini. Maksudnya yang tidak ekstrem, fanatik dan berwajah ulamak berserebeh dengan janggut panjang yang sering ditunding kepada Nik Abduh. Latiff tidak berjanggut sepanjang Nik Abduh. Husam pula janggut tidak sepanjang janggut Tok Guru. Manakala Zaki Ibrahim pula langsung tidak berjanggut.

Manakala, katakan pula Nik Abduh adalah proksi ayahnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kebetulan, Nik Aziz ada janggut dan anaknya juga ada janggut. Timbalan ketua pemuda Ahmad Baihaki Atiqullah juga ada janggut. Mungkin mereka satu kem!

Kalaulah andaian saya ini benar bermakna kumpulan tak berjanggut panjang menang di Kelantan. Kemenangan Latiff yang tidak ada janggut itu membawa makna dan erti besar kepada kumpulan itu di Kelantan yang diketuai oleh Husam. Saya yakin Husam tentu gembira dan berpuas hati dengan anak didiknya itu kerana berjaya menyingkirkan si berjanggut Nik Abduh.

Kemenangan Latiff dengan 22 undi itu memberi isyarat juga kepada kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang berjanggut. Bahawa kepimpinan muda hari ini sudah tidak mahukan kepada orang berjanggut lagi. Kerana Nik Abduh adalah anak Nik Aziz ini bermakna separuh pemuda Kelantan tidak mahu lagi kepada orang berjanggut termasuk kepada Nik Aziz sendiri.

Mungkin bagi Tok Guru sendiri beliau tidak faham dengan perkembangan ini. Dengan jatuh anaknya itu permainan dalaman sudah pun bermula. Signal kepada beliau juga sudah pun bermula. Sekiranya isyarat awal ini tidak diawasi ia bakal memberi bahana kepada kumpulan berjanggut panjang.

Janganlah Tok Guru merasa sedih kalau di masa depan kumpulan anak muda ini akan membuat berbagai telatah termasuk menggesanya agar berundur. Atas alasan janggut panjang tidak diperlukan lagi ataupun kerana sudah terlalu lama, maka mereka akan terang-terang akan meminta agar si janggut pendek menggantinya.

Apapun ini adalah ilusi dan andaian saya saja. Hendaknya semuanya tidak betul dan tidak akan terjadi. Janggut pendek dan janggut panjang akan terus saling hormat menghormati antara satu sama lain. ~~ Sumber MSO

Komen Saya: Di Kelantan bukan masalah janggut atau tidak kerana orang-orang Islam di Kelantan berilmu tinggi dan tahu menilai kepimpinan. Mungkin Nik Abduh dilihat berilmu tinggi tetapi terlalu perlahan atau bersabar di dalam menghadapi musuh parti yang semakin rakus. Jawatan Ketua Pemuda mestilah dilihat berani dan lantang disamping berilmu. Apa pun, gabungan keduanya ada hikmah di dalam perjuangan. Pendekatan hikmah iaitu secara perlahan dan psikologi adalah perlu, tetapi pendekatan agak keras dan lantang juga tidak boleh ditolak. Apatah lagi musuh kita semakin rakus dan zalim. ~~WFAUZDIN NS



Tiada ulasan:

Catat Ulasan