RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Rabu, 7 Julai 2010

MUHYIDDIN SIBUK FITNAH ANWAR DAN PEMBANGKANG, APA TERJADI PADA MURID SEKOLAH?

Oleh: WFAUZDIN NS

MASALAH remaja dengan berbagai ragam dan kegiatan negatif mereka bukan sahaja wajib ditangani oleh kedua ibu bapa mereka sahaja. Semua pihak mesti memainkan peranan agar masalah yang semakin kritikal ini dapat dikurangkan walaupun agak mustahil untuk dihentikan. Peranan ibu bapa dan keluarga adalah untuk mendidik serta mengasuh mereka, begitu juga dengan peranan masyarakat dan institusi pendidikan dengan kaedah mereka yang tersendiri.

Paling penting juga adalah peranan pemerintah samada di pihak kerajaan yang memerintah. Agak terkejut juga apabila membaca laporan bahawa terdapat 1o buah sekolah `panas' di sekitar Kuala Lumpur di mana sekolah-sekolah tersebut menyimpan rekod kegiatan jenayah, masalah disiplin dan sosial berlaku di kalangan pelajarnya. Laporan itu memetik kenyataan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur sendiri dan bukannya kenyataan dari pihak sekolah mahupun Kementerian Pelajaran. Kenyataan penuh disiarkan di sini.

Amat malang sekali di saat PDRM sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian untuk mengingatkan kita betapa seriusnya masalah ini di kalangan pelajar, Menteri Pelajaran yang juga TPM Muhyiddin Yasin sibuk dengan isu yang bukan-bukan dan mengarut. Beliau hanya mahu mencari keuntungan politik peribadi beliau semata-mata. Beliau tidak serius menangani masalah yang dihadapi di sekolah-sekolah dan kelihatan seperti ingin menyerahkan semuanya kepada pihak keselamatan. Apa yang beliau sibukkan adalah tentang DS Anwar kununnya sebagai pengkhianat Melayu, dan yang terbaru sibuk memberi amaran kepada akhbar Suara Keadilan. Kita naik keliru semenjak bila pula beliau sibuk jaga kementerian orang lain sedangkan masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah tidak juga selesai malahan bertambah buruk.

Kenyataan Muhyiddin di Pagoh, Muar yang menyebut kununnya PKR hendak tunjuk siapa lebih besar dan berani di dalam isu permit Suara Keadilan yang kini masih belum diperbaharui itu. Kenyataan Muhyiddin boleh dibaca di sini. Sewajarnya isu tersebut boleh diserahkan kepada KDN untuk membuat komen dan Muhyiddin perlu peka kepada kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur itu.

Tidak takut atau bimbangkah Muhyiddin dengan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur itu? Itu baru rekod di sekitar Kuala Lumpur, belum kita ketahui berapa jumlahnya di seluruh Malaysia. Apa tindakan beliau untuk mengatasi masalah ini? Adakah dengan melakukan fitnah terhadap DS Anwar dan PKR mahupun parti di dalam PR mampu mengatasi masalah pelajar-pelajar ini? Sekiranya beliau tiada idea untuk memperbaiki imej kementeriannya, beliau sewajarnya menyerahkan kepada orang lain yang mampu dan lebih berwibawa darinya.

Muhyiddin tidak pernah berani untuk membuktikan apa jua tuduhannya terhadap DS Anwar mahu pun parti pembangkang. Jauh sekali beliau berani untuk berdebat secara terbuka. Beliau hanya menonjolkan dirinya seolah-olah jaguh perjuangan orang Melayu sedangkan para remaja yang terlibat di dalam aktiviti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur itu majoritinya adalah remaja Melayu. Jika Muhyiddin gagal untuk memperjuangkan nasib remaja Melayu di peringkat sekolah, diterima akalkah kita Muhyiddin mampu memperjuangkan nasib Melayu di negara ini? Tidak terfikirkah Melayu khususnya di Johor tentang semuanya ini?

Muhyiddin bukan sahaja gagal sebagai TPM, lebih memalukan beliau dilihat gagal selaku Menteri. Muhyiddin tidak mempunyai rekod yang cemerlang semenjak beliau memimpin Johor lagi. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkannya untuk menyerang Pembangkang lebih memperlihatkan pemikirannya yang amat rendah dan terlalu mudah buat kita Blogger sahaja menjawabnya. Justeru itu, tidak hairanlah apa yang telah berlaku di bawah Kementeriannya hari ini dan ianya tidak akan berubah selagi Muhyiddin masih di situ./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan