RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 10 Julai 2010

MCA PUN MAHU WUJUDKAN `PERKASA' ? MIC TIDAK BERHAJATKAH?

MCA mahu 'PERKASA Cina'
Siah Choong Yan
Jul 10, 10


Konsep 1Malaysia cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin tercalar dan berlemungkinan robek apabila parti kedua terbesar dalam komponen BN - MCA mencadangkan penubuhan PERKASA versi Cina bagi menangani serangan perkauman NGO Melayu itu.

Naib presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai, yang membuat cadangan itu juga membayangkan agar kumpulan berkenaan diterajui oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) yang seringkali dilihat lantang membuat tuntutan mengenai kepentingan masyarakat Cina.

Katanya, tanggungjawab itu tidak sesuai dipikul oleh MCA kerana ia parti politik dan NGO dibolehkan bertindak dalam cara yang berlainan.

"Komuniti Cina dan persatuan Cina seperti KLSCAH boleh memainkan peranan itu. MCA hanya boleh bertindak sehingga peringkat tertentu - ia sepatutnya NGO menentang pencabarnya,” kata Lim.

Tidak gusar

Menurut beliau, masyarakat Cina tidak perlu gusar dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) kerana mereka juga boleh menubuhkan kumpulan pelampau seumpama itu.

Beliau bagaimanapun menolak cadangan menubuhkan kumpulan pendesak bagi mengimbangi tekanan kumpulan pelampau kerana katanya ia ibarat melawan api dengan api.


Lim berkata sesetengah isu adalah lebih baik diselesaikan melalui perdebatan terbuka sambil melahirkan keyakinannya mengenai keupayaan kerajaan menangani tuntutan agresif PERKASA.

Namun katanya, sebagai negara pelbagai kaum yang mengamalkan prinsip adil dan seimbang, kerajaan terpaksa mengambil kira tuntutan PERKASA dan semua pihak lain.

Lim yang juga timbalan menteri kewangan menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa bahagian kedua Model Baru Ekonomi (MBE) yang menyentuh isu kontroversial ekuiti 30 peratus bumiputera telah ditarik balik kerana desakan daripada PERKASA.

Katanya, butirannya dijangka akan dikeluarkan menjelang September ini sebelum pembentangan bajet pada 15 Oktober.

Sokongan merosot

Beliau bercakap kepada pemberita semasa diwawancara oleh akhbar Cina di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Lim juga menjangkakan bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun ini.

Beliau yang dilantik sebagai ketua MCA Selangor mengakui memikul tugas berat bagi mendapatkan sokongan masyarakat Cina yang ternyata mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Katanya, sokongan masyarakat Cina kepada BN adalah sekitar 30 hingga 35 peratus di seluruh negara dan jumlah itu merosot kepada 20 hingga 25 peratus di Lembah Klang.

"Sasaran kami adalah 50 peratus sokongan pengundi Cina. Jika kita dapat hanya 40 peratus, kita tetap bergembira. Saya agak pratikal: jika saya kata kita boleh meningkatkan sokongan kepada 80 peratus, ia adalah satu pembohongan.”

Katanya, tugas utamanya sekarang ini adalah membantu BN menawan semula kerajaan negeri Selangor.

Pada pilihan raya umum yang lalu, MCA Selangor dimalukan apabila hanya berjaya memenangi satu daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandingi manakala bagi kerusi negeri, ia hanya mampu menang dua daripada 14 yang ditandingi./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan