RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Isnin, 9 Ogos 2010

BILA PAS BERKUASA, UMNO AKAN BERSATU DENGAN PAS - HUSAM MUSA

Kerjasama Pas-UMNO bukan mustahil

Kerjasama Pas-UMNO terus menjadi polemik. Bagaimana Datuk melihat isu ini?

HUSAM: Saya properpaduan. Saya masuk Pas kerana mahu melihat orang Melayu bersatu-padu. Kalau saya yakin perpaduan itu boleh dijayakan menerusi UMNO, dah lama saya masuk UMNO tetapi bila melihat UMNO sendiri tidak mampu menyatukan ahlinya sendiri, apatah lagi rakyat, saya memilih perjuangan Pas. Apa kuncinya, ialah sikap yang sendirinya akan melahirkan dasar-dasar, pendekatan, politik yang salah atau betul.

Saya ambil kes pembayaran royalti minyak di Kelantan. Masalah sikap menjadi penyekat kepada usaha menyelesaikan isu ini. Peranan sikap yang berbeza telah menghasilkan kesan yang pelbagai. Saya ambil contoh masa pemerintahan Tun Abdul Razak, apa yang
beliau lakukan ketika berlakunya tragedi 13 Mei? Beliau terbang ke Kota Bharu, jumpa secara tertutup dengan Datuk Asri Muda dan menangis di hadapannya. Saya pernah baca satu surat tulisan Tun Abdul Razak melantik Datuk Asri (ketika itu masih bersama Pas) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Keselamatan Negeri Kelantan dan Pengerusi Pembangunan Negeri dengan dua sebab iaitu keperluan dan kecemasan.

Bandingkan sikap Tun Abdul Razak dengan anak beliau (Datuk Seri Najib) yang menerajui pemerintahan negara sekarang. Dalam kes tuntutan royalti minyak ini, Tok Guru (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) tulis surat kepada Perdana Menteri sebanyak tiga kali, satu surat balas pun tidak diterima.

Jadi, kalau kita mempunyai sikap yang betul, secara automatiknya keadaan masyarakat akan menjadi harmoni. Oleh kerana saya properpaduan, saya kena asingkan pemimpin yang mempunyai sikap dan track record yang tidak baik.

Maknanya, kerjasama dua parti ini adalah mustahil direalisasikan?

HUSAM: Peluang itu ada dan saya yakin akan berlaku selepas Pas, insya-Allah memperoleh majoriti mengambil alih pemerintahan negara. Ketika itu, UMNO akan bersatu dengan Pas. Bagi saya, yang tidak mahu bersatu sekarang ialah UMNO.

Tetapi, Pas dilihat ketara menolak penyatuan dengan UMNO?

HUSAM: Kalau kita nak mengurat anak dara orang tetapi anak dara itu menolak, tetapi kita nak jugak kena gunalah strategi baru. Gunalah cara baik, pujuk dia, hantar dia hadiah, lama-lama mungkin dia nak.

Ini tidak, Pas dijadikan mangsa kritikan, kutukan di media dengan pelbagai tohmahan kata Pas tolak, anti-perpaduan... hati mana nak terbuka. Jadi, melihat keadaan itu, ia membuktikan sama ada UMNO ni tak pandai nak mengurat atau memang dia (UMNO) tak mahu perpaduan. UMNO dilihat lebih banyak bersandiwara dan tidak serius pun menjayakan isu ini

Bagaimana dengan cadangan penglibatan orang tengah dalam membawa Pas- UMNO ke meja rundingan?

HUSAM: Orang tengah ni satu lagi hal, belum apa-apa dah cerita macam-macam. Sepatut orang tengah ini perlu lebih tenang, jaga rahsia...barulah peranannya lebih efektif. Ini tidak, orang tengah pula dilihat bersikap lebih sudu daripada kuah

Adakah Pas yakin Melayu boleh bersatu tanpa UMNO?

HUSAM: Ya. Contohnya semasa empayar Melaka dulu, masa itu UMNO belum wujud dan masyarakat Melayu ketika itu hidup aman daman dan bersatu padu. Pas kuat kerana dasar Islam yang kita perjuangkan. Islam mengatasi kaum, puak dan dasar Islam seperti adil, saksama yang boleh diterima oleh semua pihak. Islam bukan milik orang Melayu, oleh itu kaum lain berpeluang menerima layanan adil.

Ada pihak beranggapan, Pas tidak perlu bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat kerana ada kekuatan sendiri.

HUSAM: Pas bukan sekadar berpolitik tetapi kita juga berdakwah kerana kalau hanya tertumpu pada politik, kita dilihat seperti mementingkan kuasa tanpa mengutamakan jiwa raga masyarakat kita. Negara kita mempunyai masyarakat berbilang kaum, ia membuka peluang untuk Islam lebih menyerlah. Kalau UMNO memerintah negara dengan bantuan MCA dan MIC, apa salahnya kalau Pas bekerjasama dengan DAP. UMNO tanya kita, kenapa Pas boleh berkawan dengan DAP tidak dengan UMNO, mengapa mereka tidak tanya kenapa UMNO tak boleh berkawan dengan DAP?

Kenapa sejak awal tidak kerjasama dengan DAP?

HUSAM: Dulu lain, sekarang lain. Ini membuktikan berlakunya keberanian politik dan Pas pernah bekerjasama dengan DAP menerusi Angkatan Perpaduan Ummah sebelum ini yang dicetuskan Presiden terdahulu, Datuk Fadzil Mohd Noor.

Apa komen Datuk mengenai cadangan pilhan raya asing dan serentak?

HUSAM: Tarikh pilihan raya secara idealnya haruslah diberitahu lebih awal. Mesti ada masa jangkaan pilihan raya akan diadakan contohnya dalam tempoh empat atau enam bulan dari sekarang, Parlimen akan dibubarkan dan pemberitahuan itu dianggap munasabah untuk memberi ruang setiap parti membuang persediaan.

Pada aspek demokrasinya, ia nampak lebih demokratik. Walau pun Perdana Menteri mempunyai hak untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa yang difi kirkan sesuai tetapi sekiranya negeri-negeri tidak mahu membubarkan DUN masing-masing berdasarkan alasan-alasan tertentu seperti terlalu awal dan sebagainya, negeri mempunyai hak berbuat demikian. Contohnya, pilihan raya negeri Sarawak yang diadakan berasingan, kenapa negeri-negeri seperti Kelantan, Selangor ataupun Kedah tidak boleh melakukan perkara sama. Pilihan raya tidak semestinya diadakan serentak sekiranya tarikh yang dipilih itu dianggap tidak munasabah.

Terakhir, adakah Kerajaan Pas Kelantan sudah bersedia dengan kabinet bayangan sekiranya berlaku sesuatu terhadap Nik Abdul Aziz?

HUSAM: Kalau mengambil kira persoalan 'sekira', kalau boleh Parlimen saya mahu Tok Guru bertanding. Kalau Tok Guru ni sihat, kerusi Parlimen pun dia kena bertanding, sebab beliau adalah ikon yang sudah diterima masyarakat.

Sumber: Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan