Oleh Hishamuddin Rais
Pada 
awalnya  saya langsung tidak kenal siapa dia Ezam Mohd Nor ini. Malah saya tidak  ambil peduli sangat apa kerja dan tugas dia. Untuk saya sesiapa yang  bekerja untuk United Malays National Organisation ini pastilah orang  sesat, kurang membaca, kurang berilmu dan kaki bodek. Pandangan saya ini  tidak pernah berubah hingga ke hari ini.
Pada awalnya - saya terdengar - apabila Anwar ditangkap pada 20 September 1998, ramai juak-juak Anwar termasuk Ezam (kiri seka
li)  telah melarikan diri ke Indonesia. Ada yang lari membawa duit dan ada  yang lari membawa harapan. Apa yang mereka lakukan di Indonesia, tidak  
pula ingin saya ketahui.
Gerakan Reformasi muncul sesudah  penangkapan Anwar. Gerakan ini menobatkan jalan raya sebagai wadah  politik. Kami tidak ambil peduli tentang juak-juak Anwar yang lari dan  yang tidak lari. Malah juak-juak Anwar ini tidak pernah masuk dalam  perhitungan politik jalan raya kami. Kami juga langsung tidak ambil  peduli terhadap 'polong-polong' peliharaan Anwar yang saku mereka telah  penuh dengan 'darah saham' dan 'pink form'.
Gerakan politik jalan  raya hanya bercita-cita untuk menghumbankan United Malays National  Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Untuk saya jenayah besar  United Malays National Organisation hanya satu: membodohkan orang Melayu  selama 50 tahun.
Saya pun kurang ingat bila Ezam muncul kembali -  mungkin sesudah tertubuhnya Parti Keadilan Nasional. Fakta sejarah ini  tidak penting. Apa yang penting ialah Ezam terpaksa menerima wadah jalan  raya yang telah kami teroka. Kami sedar ada beberapa benggolan juak  Anwar yang tidak berapa setuju dengan wadah politik jalan raya.Tetapi  kerana ombak jalan raya begitu besar maka mereka terpaksa membuat  'teater' berlakon bersama kami.
Reformasi tak peduli Anwar jadi PM
Juak-juak Anwar ini sedar dan faham bahawa politik jalan raya inilah sahaja j
alannya  untuk menumpaskan United Malays National Organistion. Tetapi perjuangan  juak-juak ini bukan hendak menumpaskan United Malays National  Organistion. Justeru mereka selalu 'memberatkan' gerakan Reformasi.  Sebenarnya mereka berjuang agar Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai perdana  menteri (PM) Malaysia. Dalam congak politik mereka, apabila Anwar  menjadi PM maka mereka akan sekali lagi berkenduri-kendara dan mengumpul  'pink form' dan memungut harta kekayaan.
Harus dinyatakan jelas  di sini - gerakan Reformasi tidak peduli sama ada Anwar Ibrahim jadi PM  atau sesiapa pun yang menjadi PM. Yang penting Mahathir Mohamad didobrak  dan United Malays National Organistion dihumbankan ke dalam tong sampah  sejarah.
Akhirnya setelah sepuluh tahun - sebahagian panennya  Reformasi telah kita tuai pada 8 Mac 2008 dahulu. Inilah contoh yang  dinamakan perjuangan jangka panjang. Menabur benih kesedaran selama  sepuluh tahun. Ini kerja politik yang sulit dan bertahan lama. Turun ke  jalan raya itu ialah untuk membajak dan menyemai benih kebencian  terhadap kuasa politik United Malays National Organisation.
Pada  ketika ini Ezam telah mudik kembali ke sarang lamanya. Saya sifatkan  Ezam ini terkena penyakit KKS - kurang kasih sayang. KKS ini adalah satu  penyakit tidak berkuman yang selalu menyerang orang yang rapat dengan  Anwar Ibrahim. Hasil dari serangan KKS ini Ezam telah mundar-mandir ke  hulu ke hilir berceramah membantai dan menelan kembali semua air liur  basinya yang diludahkannya dahulu.
Nasib saya agak baik, beberapa  hari yang lalu ada kawan menghantar klip video salah satu dari ceramah  Ezam. Menurut kawan saya ini klip ini daripada siri ceramah perdana  'Selamatkan Selangor Dari Khir Toyo'.
Saya kurang faham apakah  Khir Toyo sudah bertukar menjadi Jepun dan menyerang Selangor. Lalu saya  menelefon dan bertanya apakah Khir Toyo telah ada bala tentera? Kawan  saya ini ketawa berdekah-dekah dan meminta saya kembali ke sekolah untuk  belajar ilmu politik. Cis... bongek punya kawan. Maka tidak dapat tidak  saya pun terpaksalah melihat klip ceramah Ezam.
Tiru Anwar
Ezam  telah meniru gaya berceramah Anwar Ibrahim. Saya tahu tentang hal ini  kerana saya pernah satu masa yang lama dahulu berkongsi pentas dengan  Ezam. Ezam telah cuba meniru lenggok dan dengung idgham ma'al 'unnah  termasuk tajwid dan sengau si Anwar Ibrahim. Untuk saya gaya ini agak  'geli' tetapi menarik perhatian setengah orang yang mendengar ketika  Anwar dalam penjara. Tetapi sekarang ini apabila yang asli telah ada  maka Mak Cik Felda tidak akan terpaut untuk datang ke ceramah cap ayam  Mat Ezam.
Saya pernah meminta kawan-kawan untuk pergi mendengar ceramah Mat Eza
m  ini. Sekurang-kurangnya meramaikan orang yang nampaknya semakin susut.  Malu melihat kawan lama 'bertandak atas tong' seorang diri. Saya sendiri  tak berani pergi kerana umum tahu saya bukan orang Selangor. Kalau  tidak, dalam dalam gelap itu boleh juga saya menebeng untuk meramaikan  pendengar ceramah.
Seperti di zaman Reformasi, Ezam akan ke hulu  ke hilir melaung sambil mencabar dari atas pentas ceramah. Ezam mencabar  sesiapa sahaja yang berani mempertikai apa yang dicakapkannya. Hebat.  Gugat.
Tetapi sayang sekali, semuanya telah menyakitkan hati  Ezam. Bukan kerana yang mendengar tak ramai - ini pun satu hal - tapi  tidak ada sesiapa pun yang ambil peduli dan menyambut cabarannya itu.  Semua orang buat tidak peduli sahaja. Malah Lokman Adam, seorang pemikir  dalam gerakan Pemuda gerombolan yang lebih kurang sama hebatnya dengan  Mat Ezam pun terus memperlekehkan Ezam yang tidak sudah-sudah mencabar.
Sesiapa  yang ada pergi mendengar ceramah akan tahu bagaimana di pembukaannya,  si penceramah akan melafaz berdoa berjela-jela dan selawat dimasukkan ke  sana sini untuk menunjukkan betapa alim dan waraknya si penceramah.  Pada anggapan si penceramah lagi panjang selawatnya maka lagi sucilah  apa yang diperkatakan. Mat Ezam juga tergulung dalam kumpulan ini.
Tetapi  ada sesuatu yang paling menakjubkan dalam ceramah Ezam yang saya  tonton. Saya tidak berbohong. Saya takjub apabila saya terdengar apa  yang dikatakan oleh Ezam ini.
Mat Ezam berkata yang dia bersyukur  kerana dengan pertolongan Allah dia telah mendapat tahu bahawa Anwar ini  bermaruah rendah. Bagaimana Allah memberi ilham kepada Ezam tidak pula  jelas. Tidak ada pula Ezam menyebut beliau bersuluk atau dia pergi  bertapa.
'Ilham' dari Muhyiddin
Mengikut  ceramah Ezam semenjak mendapat ilham dari Allah, maka dia telah  mengambil keputusan untuk meninggalkan bos lamanya Anwar Ibrahim. Kini  Anwar yang menjadi idolanya dahulu bukan sahaja seorang yang bermoral  rendah malah seorang pengkhianat bangsa. Betul. Anwar dikatakan oleh  Ezam sebagai pengkhianat bangsa Melayu.
Di bahagian ini saya  minta maaf. Saya agak kurang jelas. Tentang pengkhianat bangsa Melayu,  saya agak kabur, apakah ilham ini datang dari Muhyiddin Yassin? Kalau  ingatan say
a betul, si Muhyiddin inilah orang yang pertama mengatakan si Anwar ini pengkhianati Melayu. Kalau saya silap saya minta maaf.
Sebenarnya,  mengaitkan Tuhan dalam politik ini bukan sesuatu yang baru. Kalau kita  rajin membaca sejarah kuno Eropah, maka kita akan bertemu dengan para  paderi yang mengakui diri mereka mewakili Tuhan di bumi ini. Bayangkan  betapa kecutnya petani apabila si paderi datang melawat kampung mereka.  Bukan sahaja panen petani ini akan diambil sang paderi malah silap-silap  hari bulan anak dan isteri juga akan dibungkus sama. Ini semua  dilakukan kononnya atas permintaan Tuhan.
Apabila Ezam cuba  mengaitkan Allah maka saya angkat tangan menyerah. Saya mengaku kalah.  Saya angkat tangan dan angkat topi. Bandingkan, maklumat yang saya  terima hanya melalui laporan hospital Pusrawi dan maklumat daripada  laporan tuan doktor dari Hospital Kuala Lumpur. Kemudian saya mengikuti  laporan akhbar tentang perbicaraan ini. Inilah sumber maklumat saya.  Dari maklumat ini saya membuat rumusan berhubung kes liwat Mohd Saiful  Bukhari Azlan.
Bandingkan pula maklumat saya dengan maklumat  Ezam. Apabila Ezam mendakwa mendapat ilham dari Allah - saya tak terkata  apa-apa. Siapa yang boleh mempertikaikan hal ini. Saya tidak memiliki  kudrat dan iradat untuk mempertikai ilham Ezam ini.
Tetapi saya  ada sedikit kekalutan dan merasa resah. Sebenarnya saya ingin bertanya  dengan Ezam apakah beliau tidak diilhamkan tentang siapa sebenarnya  membunuh Altantuya. Atau tentang adik Sharlinie Mohd Nasyar yang selama  ini masih hilang.
Semua ini pelik. Untuk saat ini saya hanya  berani berkata seperti dalam kitab Sulalatus Salatin - wallahhu 'alam  bissawab - hanya Allah yang Maha Mengetahui.M/Kini




Hishamuddin Rais penyokong totok Anuar, pernah menjadi pelarian ke negeri orang putih, sama seperti Raja Putar Alam, Orang Melayu tak pernah lupa, cuma Orang PKR buat buat lupa.
BalasPadamOrang Melayu tak pernah lupa UMNO pengkhianat bangsa Melayu..
BalasPadam