RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Jumaat, 14 Januari 2011

DR HASSAN ALI TIDAK PERNAH BERI AMARAN KEPADA KERAJAAN SELANGOR, MEDIA SALAH LAPOR

PAS Selangor gesa Malaysiakini betulkan laporan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 13 Jan: PAS Selangor menggesa portal berita Malaysiakini membuat pembetulan berkaitan laporan mengenai kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali yang disiarkan semalam.

Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman berkata, laporan Malaysiakini itu sangat berbeza dengan kenyataan serta maksud sebenar Pesuruhjaya PAS Selangor ketika mengadakan sidang media berhubung isu perlantikan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.

Kata beliau, tajuk laporan Malaysiakini 'PAS Selangor makin mesra dengan Kusrin' sangat mengelirukan malah telah menimbulkan salah faham dikalangan ahli-ahli PAS.

Selain itu kata beliau, laporan Malaysiakini yang menyebut: 'Hassan juga memberikan amaran kepada kerajaan negeri Selangor supaya tidak menyerang Khusrin secara peribadi kerana ia tidak adil dan boleh menimbulkan masalah dengan 28,000 kakitangan kerajaan yang ada' - merupakan satu pembohongan kerana Pesuruhjaya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu sepanjang sidang media.

Malahan katanya, Malaysiakini juga menambah cerita dengan memetik Hassan Ali kononnya berkata "Jika mereka buat piket, kita akan bermasalah,".

"Saya tidak tahu bagaimana laporan berita seperti ini boleh dibuat, sama ada wartawan tersalah lapor atau editor yang keliru.

"Justeru saya mengesa Malaysiakini membuat pembetulan semula secara terbuka dan meminta maaf kepada Pesuruhjaya. Laporan berita ini telah menimbulkan masalah kepada PAS Selangor dengan ahli-ahli dan menjejaskan hubungan kami dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat," kata beliau kepada Harakahdaily.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan