Azmi Yusof dan Saidah Hairan |
LABIS, 27 Jan: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan diisytiharkan pengecut dan bacul jika enggan menyahut cabaran Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman untuk berdebat bagi menyelesaikan 20 perkara isu mengenai Felda. Mazlan berkata, Anak memberi tempoh sehingga 28 Januari (esok) untuk berdebat dan Ahmad Maslan berhak untuk menentukan tempat yang sesuai berdebat tetapi dalam Dun Tenang. "Ahmad Maslan jangan cari alasan, jom kita berdebat atau Datuk bakal diisytiharkan pengecut. Malu dan terhina warga Felda mempunyai pemimpin bertaraf menteri yang bacul," katanya pada sidang media di Markas Operasi PAS PRK Dun Tenang di sini, pagi ini. Beliau berkata, sudah dua kali Ahmad menolak tawaran berdebat secara terbuka pada 7 Julai 2010 dan diajak berdialog secara tertutup. Kali kedua, katanya pada 25 Januari Naib Presiden Anak, Samsul Bakri serta Setiausaha, Zabidie Abas telah menyerahkan surat debat di Pejabat Felda Wilayah Segamat. Dalam sidang media itu beliau turut mendesak Ahmad mendedahkan faedah persaraan Tan Sri Yusof Nor selaku bekas Pengerusi Felda dan juga Pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Isa Samad yang dikatakan mendapat bayaran RM100,000 sebulan. "Ini wang rakyat jadi kita minta Ahmad Maslan perlu perjelaskan dan bertanggungjawab," tegasnya. Mazlan berkata, rakyat khususnya warga Felda menuntut penjelasan terbuka terhadap 25 isu-isu berbangkit antaranya, benarkah dakwaan mengatakan pemilihan Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru atas kehendak isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Selain itu, katanya warga Felda mahu penjelasan mengapa kos tanam semula peneroka begitu tinggi hingga ada yang mencecah hampir RM100 ribu, mengapa kos tanam semula masih dikekalkan kadar faedah 6.25%, kadar yang sangat tinggi dan tidak pernah berubah dari dahulu. "Mengapa tidak diserahkan wang tanam semula berjumlah RM17,000 caruman peneroka selama 20 tahun, mengapa pelbagai syarat dikenakan terhadap tuntutan wang tanam semula?" soalnya lagi. Katanya, peneroka Felda juga mempersoalkan mengapa Felda Plantation tidak boleh dimansuhkan walhal ianya boleh memberi manfaat kepada 79,000 generasi kedua Felda, berapa untung sebenar Felda Plantation yang kononnya diguna untuk membayar gaji 25,000 kakitangan Kumpulan Felda dan 45,000 pekerjanya. Tambah beliau, benarkan terdapat 43 anak syarikat Felda sedang bermasalah serta projek perumahan generasi kedua Felda Air Hitam, Kluang yang dijanjikan lebih lima tahun tidak terlaksana./Harakahdaily |
Khamis, 27 Januari 2011
MASLAN, BERDEBAT ATAU DIGELAR PENGECUT ?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan