TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

KOBAT FM


web widgets

ADAKAH WAJAR DITERUSKAN RUNDINGAN DENGAN PAS ?

Selasa, 17 Mei 2011

FELDA PURUN - DEMONTRASI TIDAK MEMBAWA KESAN, SAMBUTAN HEBAT TERHADAP ANWAR


Sejurus selesai Dato' Seri Anwar menghadiri Wacana Maqasid Syariah dan Masyarakat Majmuk di Kuantan semalam, beliau telah bergegas pula untuk menghadiri satu program ceramah di kawasan Felda Purun di dalam Parlimen Bera. Sebelum itu, beliau sempat memberikan tazkirah maghrib di Masjid Batu 1, Temerloh.

Markas PAS Felda Purun

Sebelum ini, sekumpulan penunjuk perasaan yang kununnya mewakili suara masyarakat felda mengadakan demontrasi untuk menghalang program ceramah oleh Ketua Umum PKR tersebut. Namun PKR Negeri Pahang bertegas untuk mengadakan program yang dijadualkan malahan mencabar sesiapa sahaja dari golongan yang menentang kehadiran Dato' Seri Anwar agar hadir mengikuti ceramah bagi mendengar sendiri penjelasan isu semasa oleh Dato' Seri Anwar samada ianya boleh menggugat keselamatan negara atau sebenarnya menggugat kedudukan Umno/Bn.

Ceramah di Felda Purun hanya dibenarkan di dalam kawasan Markas PAS di situ walaupun telah dijangka kehadiran orang ramai pastinya tidak boleh ditampung oleh Markas PAS, namun pihak penganjur terpaksa mengadakan juga program tersebut dengan menyediakan kawalan keselamatan oleh Unit Amal PAS yang telah menjalankan tugas mereka dengan begitu baik sekali. Ketibaan Dato' Seri Anwar seperti diduga telah cuba diprovokasi oleh beberapa kumpulan yang menjerit umpama orang hilang akal dengan menghamburkan kata-kata lucah terhadap beliau. Alhamdulillah, kematangan dari pihak kita Pakatan Rakyat telah mengelak terjadinya sesuatu yang tidak diingini walaupun kedapatan pihak Polis di situ yang mengawal keadaan.

Dato' Fauzi
Sdr Mazlan Aliman

Sambutan orang ramai di luar jangkaan samasekali, lebih 2,000 telah memenuhi ruang dalam dan luar Markas PAS Felda Purun bagi mendengar pidato yang terdiri daripada Sdr Mazlan Aliman, Dato' Fauzi Abd Rahman, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan amanat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Adun Teriang, YB Leong Ngah Ngah juga turut hadir bersama lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat Pahang.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim

Dato' Seri Anwar Ibrahim

Orang ramai di luar Markas

Sdr Mazlan Aliman banyak menyentuh tentang isu nasib Peneroka Felda yang seringkali terkeliru dengan janji-janji pihak kerajaan. Beliau memberi jaminan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memerintah di Putrajaya, apa jua yang diperjuangkan oleh ANAK akan dilaksanakan. Pengerusi PKR Negeri Pahang menyebut tentang komitmen Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Pahang ini bagi merampas Negeri Pahang dari Umno/Bn. Beliau turut menyentuh tentang betapa takutnya pemimpin Umno kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim sehinggakan Ketua Pembangkang itu tidak pernah berehat dari diserang dengan berbagai fitnah. Selaku bekas pemimpin Umno dan juga bekas ahli kabinet di dalam Kerajaan Bn, beliau lebih mengenali Dato' Seri Anwar dan siapakah musuh-musuh di sekelilingnya.


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man pula lebih banyak mengupas tentang kaedah dan perundangan di dalam Islam berkaitan kes tuduhan zina/liwat dan bab bersumpah di dalam Islam. Beliau menjelaskan di dalam Islam, tiada pilihan lain bagi seseorang yang menuduh orang lain melakukan zina melainkan dengan membawa 4 orang saksi yang adil melainkan sekiranya ada pengakuan dari mereka yang berzina.


Hukum ini Allah tetapkan adalah kerana Allah teramat menjaga maruah hamba-hambanya dan mereka yang terlepas dari hukuman di dunia ini, mereka tidak boleh lepas dari hukuman di Akhirat kelak. Di dalam isu sumpah, di dalam isu menuduh orang berzina Islam tidak tidak menetapkan sumpah sebagai bukti menuduh. Jika amalan ini diamalkan, nescaya porak poranda masyarakat kerana Allah telah jelaskan akan ada golongan yang sanggup bersumpah kerana ingin menegakkan fitnah mereka.




Dato' Seri Anwar malam itu sungguh bersemangat walaupun keletihan kerana sehari suntuk program yang beliau hadiri. Beliau menjelaskan tentang apa yang terkandung di dalam Buku Jingga dan komitmen Pakatan Rakyat jika berjaya menguasai Putrajaya nanti. Beliau tidak hiraukan betapa banyak tekanan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya, malahan semakin melampau sehingga menekan isteri, anak dan keselamatan cucu beliau tetapi demi nasib rakyat beliau tetap akan lawan rejim Umno/Bn.

Beliau kesal kerana saban hari beliau diaibkan dan dituduh dengan berbagai tuduhan yang kadangkala tidak masuk akal, tetapi beliau kerapkali dikenakan sekatan untuk berjumpa rakyat bagi menjawab segala tuduhan jahat mereka. Cabaran debat yang tidak pernah disahut oleh Najib menunjukkan betapa takutnya pemimpin Umno itu sekiranya rakyat tahu bahawa di bawah Kerajaan Bn rakyat sebenarnya ditindas dan dihimpit dengan berbagai kesulitan. Sekali lagi Dato' Seri Anwar memberi jaminan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya, beliau hanya mahu tempoh satu hari sahaja sebelum mengumumkan harga minyak petrol diturunkan.

Secara berjenaka, beliau turut menyentuh tentang isu video seks yang membuatkan `wajah dan perut' beliau kini menjadi perhatian ramai. Tentang isu jam Omega, beliau tidak mahu melayani pertanyaan tentang isu berkenaan kerana terang-terangan itu merupakan satu cerita yang direka kerana terbukti jam tersebut berasal dari Taiwan dan dibeli sekitar tahun 2004. Ketika itu beliau masih dipenjara, mana mungkin ketika itu beliau boleh keluar dari penjara? Cubaan sabotaj terhadap kenderaan beliau dan ugutan terhadap anak beliau Nurul Izzah dan keluarganya sedikit pun tidak menggoyahkan semangat mereka sekeluarga untuk menentang kezaliman Umno/Bn.

Di akhir ucapannya, Dato' Seri Anwar mahu rakyat bangkit dan bekerja kuat demi kesejahteraan bersama. Beliau menasihati rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda yang dimainkan oleh media pencacai yang berada di bawah telunjuk rejim Umno/Bn. Tentang nasibnya di dalam kes fitnah Liwat II, beliau yakin jika Hakim memutuskan untuk menerima fakta memang jelas dan nyata bahawa kes tersebut wajib dibuang ke dalam tong sampah. Tetapi jika berlaku sebaliknya, beliau sudah bersedia untuk berdepan menentang kezaliman ini.

Beliau merasa bersyukur kerana semakin beliau diaibkan dan difitnah, sambutan rakyat terhadapnya bertambah kuat dan ini menguatkan semangatnya untuk terus berjuang sehingga rejim Umno/Bn dapat dikuburkan di dalam Pilihanraya Umum nanti. Dato' Seri Anwar turut mengucapkan berbanyak terima kasih di atas segala sokongan dan doa dari rakyat berbagai bangsa dan agama samada di dalam mahu pun di luar negara.

Ternyata, provokasi dari kumpulan yang berdemontrasi menentang kehadiran Dato' Seri Anwar ke Felda Purun malam semalam tidak memberi kesan kepada rakyat jelata yang ingin mendengar sendiri apakah benar Ketua Umum PKR ini seorang pengkhianat atau pemecah belah masyarakat. Rata-rata yang hadir menunjukkan kepuasan di wajah masing-masing selepas selesai program ceramah malam itu dan ini menandakan kawasan felda tidak selama-lamanya selamat buat Umno/Bn./blogger PKR Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terdapat ralat dalam alat ini