RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Ahad, 26 Jun 2011

HIMPUNAN BERSIH TURUT DISERTAI 300 PEGUAM


(Harakah Daily) - Rakyat tidak bimbang untuk hadir dalam Himpunan Bersih 2.0 kerana lebih 300 peguam sedia membantu mereka jika berlaku sebarang tangkapan. Untuk tujuan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menggerakkan bilangan peguam yang ramai kali ini memandangkan sambutan terhadap Bersih amat menggalakkan.

Ketua Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Negeri Selangor, Peguam Zainal Said berkata, ramai dalam kalangan peguam telah memberikan komitmen untuk hadir 9 Julai depan.

“Jangkaan kehadiran rakyat dalam Bersih 2.0 ini amat menggalakkan dan kita mempunyai kemampuan untuk menggerakkan seberapa ramai peguam yang kebanyakannya telah memberi komitmen,” tegasnya.

Zainal juga adalah Exco JUHAM Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Pemuda PAS Kawasan Kota Raja.

Beliau ditemui ketika memberikan khidmat nasihatnya kepada seorang Pemuda PAS Shah Alam ditahan polis hanya kerana memegang baju Bersih 2.0 berwarna kuning malam tadi.

Musfari Azmi, 27, ditahan jam 11.30 malam sebaik selesai mesyuarat sukaneka di Padang Jawa, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, dekat sini.

Sekitar jam 2 pagi beliau dibebaskan dan diraikan oleh sahabat pemuda pula dalam satu majlis ringkas berhampiran Pejabat Pemuda PAS Shah Alam, di Seksyen 7.

Turut serta adalah Setiausaha PAS Selangor, Peguam Mohd Khairuddin Othman, Timbalan YDP PAS Shah Alam, Haji Azli Yusof, Ketua Pemuda kawasan, Mohd Hilmi Radzuan dan Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Shah Alam, Jefri Zain.

Menurut Musafri, ketika beliau keluar sebaik selesai mesyuarat persiapan menganjurkan sukaneka di cawangan mereka, empat anggota polis berpakaian awam menahannya.

Mengikut Musafri Azmi, 27, beliau mengakui tidak biasa dengan tindakan polis cawangan khas (SB), terus menahan sebaik mengenal pasti terdapat lapan unit baju Bersih di tangannya.

Bendahari Pemuda Padang Jawa Petaling sambil berseloroh berkata kepada pihak polis ketika disoal siasat, tidak berbaloi beliau ditahan dari 11.30 malam hingga 210 pagi hanya kerana hendak menjual lapan helai baju yang hanya untung RM3.

Seriusnya, beliau sempat berhujah dengan anggota polis tentang sahnya Himpunan Bersih kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Lalu, jelasnya, mereka meminta beliau menghuraikan pula apa definisi demokkrasi dan menyatakan apa itu Bersih serta tuntutan lapan perkara.

Lebih dari itu, ujarnya, soalan pihak polis lebih terarah kepada siapa pengedar baju dan penggerak Bersih.

Sementara itu, Peguam Khairuddin mendesak pihak polis agar bertindak mengikut undang-undang sedia ada kerana jika betul tindakan mereka, baharu rakyat dapat menerimanya dengan baik.

“Malang bila kita minta di bawah undang-undang mana pemuda kita ditahan, mereka tidak dapat menjelaskannya dengan baik dan terperinci.

“Kerana itu, saya juga menyeru rakyat agar hadir beramai-ramai dalam Himpunan Bersih 9 Julai kerana pihak polis tidak mempunyai hak untuk menahan sesiapa pun kerana himpunan kita aman,” tegasnya.

Pakar Perlembagaan Malaysia, Dr Abdul Aziz Bari menyatakan polis tidak boleh membuat penghakiman awal berhubung himpunan itu dan jika dilakukan juga, jelas mereka menentang undang-undang.

Paling teruk apabila ia bertentangan dengan hak yang dijamin dalam perlembagaan negara .

Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin.

"Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya," kata pensyarah undang-undang UIAM itu.

Sebelum itu, pihak polis juga menahan Timbalan Ketua AMK Pusat, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin atau Jonah di Uptown Shah Alam ketika menanti makanan sampai, minta kad pengenalan, digari dan dibawa ke IPD sama.

Beliau menyerahkan kepada Peguam Latheefa Koya yang turut hadir untuk mengambil tindakan undang-undang kerana menahan beliau kerana memakai baju Bersih tanpa sebarang alasan kukuh.

Pihak polis mengawal jalan masuk ke Uptown sejak jam 7 malam hingga jam 4 pagi kerana ada iklan di facebook menyatakan satu majlis Pra Bersih akan dilancarkan di situ.

Kawasan pentas yang selalunya diadakan program karaoke dan juga ceramah agama sebulan sekali itu ditalimerahkan oleh pihak keselamatan./Sumber: Sini

2 ulasan:

  1. YA TAK PERLU BIMBANG TAPI MAIN DENGAN MANGKUK SEKUTU PARTI APCO PUNYA AHLI BARU PDRM TU NANTI NAYA LA PEGUAM-PEGUAM TU ,NANTI KENA TENDANG ,TERAJANG DAN SMACK DOWN LA DEPA KESIAN DEMI NEGARA ! TAPI MANGKUK-MANGKUK APCO KATA RAKYAT DIHASUT UNTUK BUAT KACAU ! PUNYA KURENG AJAR DEPA !

    BalasPadam
  2. Sikap pihak berkuasa ini langsung tidak peka atau memikirkan masa hadapan zuriat mereka atau legasi mereka kelak. Tindakan provokasi atau ganas mereka terhadap kumpulan BERSIH nanti sebenarnya ibarat menghalang tertegaknya keadilan dan demokrasi di negara ini. Cubalah hidup dengan bermaruah sedikit, jutaan rakyat cukup muak dan meluat dengan kredibiliti mereka kini. Jangan salahkan takdir Illahi jika kebanyakan anak mereka yang bakal lahir nanti akan dijangkiti "sindrom down" atau lembam disebabkan perbuatan zalim mereka terhadap orang ramai nanti. Balasan Allah memang mengambil masa untuk melihat kesannya, tetapi pasti akan berlaku, kerana janji-janji Allah (pencipta makhluk) sudah pastinya benar.

    BalasPadam