TAHNIAH kepada mantan Timb Presiden PAS, Mat Sabu dan mantan AJK PAS Pusat, Mujahid yang sebelum ini dilabelkan "jebon' atau "anti Ulamak" tetapi sebaliknya mereka berdua yang pertama sekali menyahut seruan Dewan Ulamak untuk memutuskan hubungan dengan DAP apabila masing-masing meletakkan jawatan lantikan politik bawah Kerajaan Negeri P.Pinang yang diketuai oleh Lim Guan Eng.
Namun begitu, musuh-musuh politiknya tetap tidak berpuas hati dan masih menganggap mereka seolah-olah 'memperli' kepimpinan Ulamak. Serbasalah juga jika kita berada di tempat mereka. Jika tidak letak jawatan mereka bukan sahaja dianggap kemaruk jawatan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri bahkan lebih hina lagi mereka akan dianggap engkar syor Dewan Ulamak. Begitulah nasib yang menimpa kedua-dua tokoh yang teramat banyak jasanya kepada PAS lebih-lebih lagi diwaktu PAS berada di zaman susah dahulu.
Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah memuji Mat Sabu dengan katanya Mat Sabu 'aset' PAS paling berharga, beliau paling kerap diuji, gigih di dalam perjuangan dan tidak pernah sesaat pun berada di dalam Umno. Mat Sabu konsisten menjadikan Umno/Bn sebagai musuh politiknya. Sewaktu beliau cuba dilagakan sesama rakan-rakannya pada pemilihan sebelum ini pun, Mat Sabu tidak pernah ambil pusing tuduhan dan fitnah terhadapnya, beliau hanya sekadar memberi komen "Aku tidak tahu berlawan sesama sendiri, aku mahu lawan Umno/Bn".
Itu lah Mat Sabu. Namun, Muktamar kali ini Mat Sabu ditendang keluar dengan penuh jijik dan kotor sekali dengan berbagai label diberikan kepadanya. Mat Sabu harungi ujian itu, dan terima padahnya sebagai seorang pejuang yang tidak pernah gentar kepada ujian. Mat Sabu disingkirkan hanya kerana dia bukan Ulamak dan tidak "Na'am" kepada semua kata-kata Ulamak. Beliau bukan sahaja berani menyanggah kata-kata Ulamak yang beliau fikirkan tidak betul, malah beliau berani berdebat dan berdepan.
Malangnya, yang bergelar Ulamak tiada anugerah dari Tuhan sifat keberanian berhujah dan berdebat bagi menyatakan kebenaran. Mereka hanya berani bercakap di hadapan media kawalan Umno/Bn dan juga di media sosial. Mat Sabu bukan jenis yang bermain di media sosial, FB beliau pun tidak ada rasanya kecuali FB kelab penyokong yang orang lain wujudkan. Mat Sabu bukan pejuang FB, tetapi beliau pejuang di medan. Sesiapa yang berani sila saja berdepan dengannya. Malangnya, tiada.
Mat Sabu dan Mujahid sampai kecundang tetap menunjukkan keberaniannya dengan meninggalkan gaji dan elaun lumayan dari Kerajaan Negeri P.Pinang di bawah DAP yang dianggap musuh oleh Ulamak. DAP nampaknya lebih hina dan jahat dari Umno/Bn. Andainya Amanat Hj Hadi itu boleh diedit semula, tentulah nama Umno di dalam amanat itu boleh diganti dengan DAP.