RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Selasa, 23 Jun 2015

DAP BERTINDAK BIJAK, JIRUS AIR DALAM KEMARAKAN API

DI TENGAH kehangatan isu perkauman dimainkan untuk memburukkan Dap, secara tiba-tiba di Perak, YB Nizar mantan MB Perak dari Pas telah dipilih oleh semua Adun-Adun dari Dap untuk ditabalkan sebagai Ketua Pembangkang di Perak.  Ini adalah kesinambungan persefahaman sejak kejatuhan Kerajaan PR di Perak dahulu, walaupun Dap memiliki Kerusi Dun terbanyak di Perak.

Sebelum itu, di Pulau Pinang juga Kerajaan Negeri melantik Siti Aisyah Serikandi sebagai memenuhi kuota Senator di Dewan Negara, bukannya calon berbangsa Cina atau dari Dap.  Terbukti, isu perkauman langsung tidak berkesan walaupun cuba diselitkan sewaktu krisis Pas - Dap sedang hangat sekarang ini.  Pemimpin yang bijak adalah pemimpin yang 'menjiruskan' air di dalam kemarakan api yang sedang membara bukannya membuangkan puntung-puntung kayu sebagai bahan pembakar yang akan menyemarakkan api.

Tahniah kepada YB Nizar dan Siti Aisyah Serikandi.  Tahniah juga kepada Dap yang langsung tidak melayani provokasi perkauman yang dimainkan.  Mungkin ada yang berpendapat ini merupakan satu taktik Dap untuk menunjukkan kononnya Dap bukan anti Melayu.  Namun hakikatnya bukan ini kali pertama Dap membuktikan bahawa parti itu bukan Rasis seperti yang dimomokkan oleh media arus perdana.  

Isnin, 22 Jun 2015

ISU PAPAN TANDA TIBA-TIBA MUNCUL BILA WUJUD KRISIS PAS - DAP

ISU papan tanda yg cuba dirobohkan oleh pengkuatkuasa Majlis Bandaraya P.Pinang bukanlah isu besar sangat. Isunya, adakah pemasangan papan tanda itu mendapat kebenaran atau tidak dari pihak berkuasa di P.Pinang?

Jika benar mereka ada kebenaran, memang zalimlah pihak yang ingin merobohkannya tidak kira samada P.Pinang itu diperintah oleh Dap atau tidak. Jika benda yang sama berlaku di Kuantan, misalnya, adakah pihak berkuasa Majlis Perbandaran Kuantan akan berdiam diri jika ada papan tanda yang didirikan tanpa kebenaran? Sudah tentu tidak.

Hakikatnya, situasi yang berlaku adalah cubaan untuk memainkan sentimen perkauman semata-mata. Mereka mahu mengambil kesempatan dengan krisis yang sedang berlaku di antara Pas dan Dap, khususnya di P.Pinang. Kononnya, kerajaan Dap (dilihat sebagai kaum Cina) amat anti Melayu, sebab papantanda itu katanya ada kaitan dengan Umno (parti Melayu). Bukan kita bodoh sangat untuk membaca taktik jahat mereka kerana sebelum ini sudah naik muak dan sudah kerap kita muntah bila isu perkauman ini didendangkan di P.Pinang. Kita tidak lupa kisah sekumpulan "melayu" (kulit ala mamak) mengusung 'kek tahi' ke Pejabat KM P.Pinang dahulu. Akhirnya, "kek tahi" itu mereka juga makan beramai-ramai.

Orang tua-tua selalu kata, sesiapa makan 'tahi' atau termakan tahi, seumur hidupnya jadi tolol. Mungkin benar juga kata2 orang dahulukala.

Ahad, 21 Jun 2015

KEPUTUSAN DAP PAHANG TIADA BEZA DENGAN PAS DAN KEADILAN

DAP Pahang memutuskan untuk mematuhi apa jua keputusan yang dibuat oleh Dap Pusat berkaitan isu hubungan parti tersebut dengan Pas.  Meskipun Pas terlebih awal menyatakannya di dalam Muktamar parti Islam tersebut, namun Dap setakat ini belum mengikuti jejak langkah Pas itu.  

Keputusan Dap Pahang ini positif buat PR di Pahang kerana kesemua parti di dalam PR di Pahang ini bertindak sama seperti tindakan Dap Pahang.  Pas, di bawah Pesuruhjayanya yang baru, YB Ustaz Rosli Abdul Jabar juga menyatakan perkara yang sama berkaitan hubungan Pas Pahang dengan Dap.  Ertinya, Pas Pahang akan wala' dengan keputusan Pas Pusat yang katanya akan diputuskan pada tarikh yang belum ditetapkan.  Begitu juga dengan KEADILAN Pahang, keputusan Pusat pasti menjadi rujukan dan akan dipatuhi.

Bagi rakyat, apa pun keputusan yang bakal diambil mereka mengharapkan jangan sampai memusnahkan mood rakyat yang tengah memuncak untuk membenamkan rejim yang ada sekarang.   Jangan sampai rakyat muak dan jemu dengan sikap pemimpin yang tidak bijak membuat keputusan, ikut emosi dan melihat kepentingan di kawasan mereka sahaja. 


Sabtu, 20 Jun 2015

MOKHTAR SENIK ADA CADANGAN UNTUK PARTI BARU

AKU terbaca status Ustaz Mokhtar Senik.  Dia menasihatkan kepada sesiapa dari kumpulan yang tewas di dalam Muktamar baru-baru ini jika ingin tubuh parti baru, hendaklah membuat undang-undang agar Presiden mesti pegang jawatan sampai mati untuk mengelakkan tertubuhnya parti baru lagi selepas itu.



Mokhtar Senik juga mahu Majlis Syura mesti menentukan Presiden mesti pegang jawatan tanpa pertandingan kerana bimbang jika tewas, tertubuhnya parti baru.  Hebat Mokhtar Senik punya cadangan, sebab itulah usul dari Dewan Ulamak baru-baru ini amat membantu perkembangan Pas.

Aku fikir apa yang Mokhtar Senik sebut itu tidak penting sangat.  Apa yang penting dan mungkin Mokhtar Senik lupa mahu cadangkan adalah elok jika parti baru itu nanti buat undang-undang untuk mewajibkan "Chai" sebagai cara memilih pemimpin.  Itu lebih syarie aku rasa.

DR ZUHDI MELINGKUPKAN PAS

AKU tabik dengan Pengerusi ANAK, Sdr Mazlan Aliman yang tidak emosi bila diserang secara bodoh oleh Dr Zuhdi.  ANAK jadi mangsa serangan jahat Dr Zuhdi hanya kerana Mazlan Aliman letak jawatan di dalam AJK Pas Pusat.  

Tiba-tiba saja Mazlan dituduh penghasut anak-anak felda untuk fanatik atau agresif.  Aku nak tanya la Dr Zuhdi, berapa hari dia duduk di felda sewaktu kempen PRK Rompin baru-baru ini?  Bandingkan dengan Mazlan Aliman.  Berapa banyak Pas dapat curi undi dari Bn di Rompin dan berapa ramai anak-anak felda merusuh kerana dihasut oleh Mazlan?

Malang sungguh Pas dapat Dr Zuhdi.  Merosakkan jemaah.  Sebelum ini pun analisa Dr Zuhdi menunjukkan otaknya tidak betul apabila mahu jentik gereja jika Pas dan Umno bersatu di Selangor.  Nampak sangat Dr Zuhdi ni perosak jemaah. 

Apa pun tabik dengan Sdr Mazlan Aliman yang tidak emosi, sebaliknya mencabar Dr Zuhdi tunjukkan bukti sejauh mana dia merosakan anak-anak warga felda.  Kompom Dr Zuhdi tiada bukti.

Khamis, 18 Jun 2015

TIDAK PUAS LAGI DR ZUHDI? APA SALAH MAZLAN ALIMAN KEPADA KAMU?

PERNAH atau tidak anda dengar Pengerusi ANAK, Sdr Mazlan Aliman membuat satu-satu kenyataan kontroversi sebelum ini khususnya sepanjang kempen pemilihan Muktamar Pas baru-baru ini?  Pernah anda tahu Sdr Mazlan ini pernah mengkritik Ulamak atau Profesional mahupun menyebelahi mana-mana kumpulan?  Itulah Sdr Mazlan Aliman, lantaran itu beliau dipilih sebagai salah seorang yang menduduki Kerusi AJK Pas Pusat.

Ertikata lain, Sdr Mazlan Aliman 'tidak ganggu orang'.  Dia hanya tumpu kepada tanggungjawabnya sebagai Pengerusi ANAK iaitu menjaga hak dan nasib warga Felda di samping berbagai lagi jawatannya yang lain, kesemuanya melibatkan kepentingan rakyat marhaen.  Dia sanggup turun naik mahkamah, keluar masuk felda meskipun sering dihambat keluar oleh masyarakat felda sendiri hanya kerana ingin memberitahu warga felda bahawa kamu telah tertipu.  Dia bukan cakap kosong, dia ada hujah beserta fakta malahan beberapa kali mencabar pihak kerajaan berdebat secara terbuka dengannya berkaitan isu felda.

Itu Sdr Mazlan Aliman.  Jauh sekali tokoh berasal dari Johor ini ingin mengusik rakan-rakannya di dalam jemaah.  Mengapa si Dr Zuhdi 'jentik-jentik' ini sakit hati sangat dengan Sdr Mazlan Aliman?  Apa yang Sdr Mazlan Aliman buat kepada Dr Zuhdi yang terkenal dengan 'anti-Anwar" dan pemuja amno ini? Mengapa tergamak Dr Zuhdi tuduh Sdr Mazlan ingin merosakkan jenerasi muda anak-anak peneroka Felda?  Berapa ramai kini yang rosak angkara Sdr Mazlan?   Dr Zuhdi kini asyik menyerang ANAK sebaik sahaja Sdr Mazlan Aliman melepaskan jawatannya secara baik dari Kerusi AJK Pas Pusat.  Apakah itu memberi masalah kepada Dr Zuhdi yang pernah buat analisa jika Pas bersama amno di Selangor, mereka boleh perintah Selangor dan boleh 'jentik' saja gereja di Selangor.  

Siapa yang tidak tahu, Dr Zuhdi ini seorang pensyarah di Universiti kerajaan yang bebas berada di dalam Pembangkang asalkan beliau menjalankan 'visi' yang diarahkan kepadanya.  Kini, sedikit demi sedikit beliau menggerakkan "siku' dan 'lutut'nya untuk merealisasikan impian amno.  Setelah puas membelasah rakan-rakan di dalam jemaah seperti Mat Sabu, Khalid Samad, Dr Hatta dan lain-lain melalui "Chai Planning" yang Islamik itu, kini dendamnya kepada Sdr Mazlan Aliman pula.

Itulah Dr Zuhdi yang merosakkan Pas dengan menggunakan otak amno.

Isnin, 15 Jun 2015

SAMADA PAS BERSEDIA UNTUK BERSAMA KITA, SERANGAN TERHADAP UMNO/BN WAJIB DIPERTAJAMKAN LAGI

KEADILAN telah mengeluarkan kenyataan tegas mereka berhubung dengan krisis yang berlaku di dalam Pakatan, terutamanya yang melibatkan Pas dan Dap. Ketegasan KEADILAN adalah bahawa Pakatan mesti meletakkan keutamaan kehendak majoriti rakyat lebih 52% yang mahukan Umno/Bn ditumbangkan dan negara ini diambil alih oleh kerajaan baru bernama Pakatan Rakyat.

Ini hasrat rakyat dari berbilang kaum.  Namun demikian, KEADILAN melalui kenyataan resmi Presidennya menyatakan KEADILAN memahami rakan-rakan di dalam Pakatan mempunyai beberapa masalah dalaman dan ini juga pernah dilalui oleh KEADILAN sendiri. KEADILAN tiada hak untuk menentukan rakan-rakan mereka di dalam arah perjuangan dan pendekatan yang ingin mereka ambil.  Jika Muktamar Pas ingin menentukan usul bahawa Pas mesti putus hubungan dengan Dap, maka itu adalah kehendak Pas dan KEADILAN mesti menghormatinya.

Jika ini berlaku, Pas tidak mahu bersama Dap di dalam menumbangkan rejim Umno/Bn, KEADILAN tentunya tiada pilihan lain selain dari duduk bersama Dap yang telah menyatakan komitmen mereka bahawa musuh mereka adalah Bn.  Aku sendiri pun tidak setuju KEADILAN terlalu memaksa Pas untuk bersama di dalam Pakatan di dalam masa yang sama Pas tidak mahu berkawan dengan Dap.  Itu politik songsang yang tentunya tidak menjamin penyatuan di dalam Pakatan di dalam masa yang panjang.

Sekarang bukan masa untuk menuding siapa yang bersalah atau yang memulakan krisis ini.  Setiap parti tentu pernah lakukan khilaf, tetapi selama ini boleh kita selesaikan atau kita lupakan.  Tetapi, apabila Pas sendiri meletakkan permasalahan perbezaan pendapat ini diselesaikan melalui Muktamarnya, dan Dewan Ulamak Pas yang juga majoritinya adalah juga dari kalangan Majlis Syura Ulamak iaitu badan tertinggi di dalam PAS, sukar untuk kita mengerti apakah usul dari Dewan Ulamak untuk memutuskan hubungan dengan Dap itu bakal ditolak oleh Majlis Syura kerana majoritii individu di dalam Majlis Syura itu juga yang meluluskan usul tersebut di dalam Dewan Ulamak.  Bahkan, Mursyidul Am juga ada sewaktu usul ini dibincangkan di dalam Dewan Ulamak.  Apakah mereka akan merubah keputusan yang mereka sendiri bawa?

Atas perkembangan inilah, maka mahu tidak mahu, seberat mana sekalipun, Pakatan (KEADILAN dan Dap) mesti bersedia untuk menerima keputusan dari Pas nanti.  Maka, sewajarnya lah KEADILAN menyatakan bahawa Pakatan kini membuka kepada semua termasuk NGO yang mempunyai iltizam bagi merealisasikan kehendak rakyat majoriti ini untuk bersama-sama Pakatan agar serangan kita kepada Umno/Bn terus dipertajamkan. 

Sabtu, 13 Jun 2015

JELEBU KAWASAN PAS YANG KUAT, MALANGNYA KINI HAMPIR LUMPUH

BENARKAH PAS Jelebu bubar?  Sukar untuk dipastikan samada siang tadi sidang media yang dihadiri oleh tokoh-tokoh kanan PAS Kawasan Jelebu yang mengistiharkan keluar parti adalah mewakili PAS Kawasan Jelebu.  Apa pun jika dilihat kepada pengaruh tokoh-tokoh yang hadir termasuk Ketua Pemuda PAS Kawasan dan Pengarah Pilihanrayanya, maka sesuatu yang tidak baik untuk PAS Jelebu.


Aku anak jati Jelebu.  Walaupun aku orang KEADILAN, namun apa yang berlaku pada PAS Jelebu itu tentunya satu berita yang tidak baik bagi aku.  PAS di Jelebu hakikatnya mampu menewaskan Umno/Bn cuma perlu mengambil sedikit masa saja lagi.  Contohnya, di Dun Klawang yang ditandingi oleh PAS di dalam PRU 13 yang lalu, PAS hanya tewas tidak sampai pun majoriti 300 undi.  Kuala Klawang adalah kawasan majoriti Melayu tetapi mempunyai pengundi-pengundi dari kaum Cina yang agak ramai juga dan undi yang banyak diterima oleh PAS yang hampir menewaskan Umno/Bn di dalam dua PRU sebelum ini adalah datangnya dari sokongan kuat kaum tersebut.


Kekalahan PAS di Dun Klawang bagi pendapat aku adalah kerana silap calon yang diletakkan di situ.  Calon payung terjun yang mengenepikan seorang tokoh muda yang sebelum ini amat aktif bekerja di kawasan berkenaan adalah salah satu faktor PAS tewas.  Sdr Noranif Selamat, seorang tokoh agak muda walaupun tidak setinggi pendidikan calon yang ditampilkan iaitu Dr Rosli, namun beliau lebih lama dikenai di situ.  Silapnya, Dr Rosli tidak awal-awal lagi turun bekerja di situ tetapi muncul sewaktu Pilihanraya.  Itu pun beliau tewas dengan majoriti begitu sedikit tidak mencecah pun 300 undi.


Ertikata lain, PAS di Jelebu mempunyai kekuatan sebenarnya.  Malangnya, selepas Muktamar PAS baru-baru ini kelihatan moral penyokong-penyokong PAS telah jatuh.  Mereka sedar kekuatan mereka adalah dari sokongan selain dari kaum Melayu.  Tetapi di dalam Muktamar mereka melihat PAS seolah-olah yakin bersendirian.  Ahli-ahli akar umbi lebih tahu kekuatan PAS berbanding dengan mereka yang berada di kerusi tertinggi di Pusat, tambahan pula mereka itu melihat situasi politik di negeri tempat mereka di Pantai Timur sahaja.  

Mungkin sebab itulah mereka mengambil keputusan "Mufarrakah' dari PAS yang mereka puja selama ini.  Amat malang sekali ianya terjadi di Jelebu satu kawasan yang Umno/Bn amat berhati-hati setiap kali Pilihanraya.  Kini, mungkin Umno/Bn boleh menarik nafas lega sedikit.  Tetapi yakinlah, mereka keluar PAS bukannya untuk sertai Umno.  Mereka pastinya akan lebih ganas selepas ini untuk membuktikan bahawa tindakan mereka itu amat tepat untuk kebaikan rakyat keseluruhannya.  

Aku hanya mampu mendoakan agar mereka terus istiqomah melawan rejim Umno/Bn.

Rabu, 10 Jun 2015

KRISIS PAKATAN ADA HARAPAN PULIH JIKA SAMA-SAMA BUANG SIFAT EGO

KRISIS di antara PAS dan DAP masih ada harapan untuk dipulihkan,  Banyak kaedah untuk menyelesaikan dengan satu syarat iaitu masing-masing samada PAS atau DAP, termasuk juga KEADILAN mesti buang jauh-jauh sifat ego, di dalam masa yang sama dasar atau prinsip parti masing-masing dipertahankan.

Semua parti ini pernah lakukan kesilapan, itu mesti kita akui.  Pakatan masih beruntung kerana kita masih berbalah di dalam soal perbezaan pendapat dan pendekatan, bukan berbalah untuk merebut harta benda negara.  Itu beza kita dengan rejim amno/Bn.

Jika semua akur bahawa kehendak rakyat mahukan perubahan dan mahu lihat rejim yang memerintah sekarang ini ditumbangkan dan diganti dengan kerajaan Pakatan itu tidak menyalahi dasar parti masing-masing, apalah salahnya kita tumpukan kehendak rakyat yang lebih 50% menyokong kita di dalam PRU 13 yang lalu?  Apakah tidak boleh kita bertolak ansur dan berkorban sedikit untuk lupakan perbalahan demi rakyat tercinta ini?

Kesemua pemimpin di dalam Pakatan harus bertemu segera, lupakan yang lalu dan tumpukan yang ini.  Jika PAS kembali semula terima DAP, dan DAP pula terima PAS di Sabah mahu pun di Sarawak serta KEADILAN lebih menghormati rakan-rakannya, maka kita perbetulkan semula kekusutan sebelum PRU 14 yang akan datang.  Kita sudah tiada Anwar dan Tok Guru Nik Aziz, maka mahu atau tidak, kita mesti berdiri dengan kekuatan yang ada.  Pasti rakyat akan bersama kita.

KALAULAH AMANAT HJ HADI BOLEH DI'EDIT", GANTI SAJA UMNO DENGAN DAP

TAHNIAH kepada mantan Timb Presiden PAS, Mat Sabu dan mantan AJK PAS Pusat, Mujahid yang sebelum ini dilabelkan "jebon' atau "anti Ulamak" tetapi sebaliknya mereka berdua yang pertama sekali menyahut seruan Dewan Ulamak untuk memutuskan hubungan dengan DAP apabila masing-masing meletakkan jawatan lantikan politik bawah Kerajaan Negeri P.Pinang yang diketuai oleh Lim Guan Eng.

Namun begitu, musuh-musuh politiknya tetap tidak berpuas hati dan masih menganggap mereka seolah-olah 'memperli' kepimpinan Ulamak.  Serbasalah juga jika kita berada di tempat mereka.  Jika tidak letak jawatan mereka bukan sahaja dianggap kemaruk jawatan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri bahkan lebih hina lagi mereka akan dianggap engkar syor Dewan Ulamak.  Begitulah nasib yang menimpa kedua-dua tokoh yang teramat banyak jasanya kepada PAS lebih-lebih lagi diwaktu PAS berada di zaman susah dahulu.  

Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah memuji Mat Sabu dengan katanya Mat Sabu 'aset' PAS paling berharga, beliau paling kerap diuji, gigih di dalam perjuangan dan tidak pernah sesaat pun berada di dalam Umno.  Mat Sabu konsisten menjadikan Umno/Bn sebagai musuh politiknya.  Sewaktu beliau cuba dilagakan sesama rakan-rakannya pada pemilihan sebelum ini pun, Mat Sabu tidak pernah ambil pusing tuduhan dan fitnah terhadapnya, beliau hanya sekadar memberi komen "Aku tidak tahu berlawan sesama sendiri, aku mahu lawan Umno/Bn".  

Itu lah Mat Sabu.  Namun, Muktamar kali ini Mat Sabu ditendang keluar dengan penuh jijik dan kotor sekali dengan berbagai label diberikan kepadanya.  Mat Sabu harungi ujian itu, dan terima padahnya sebagai seorang pejuang yang tidak pernah gentar kepada ujian.  Mat Sabu disingkirkan hanya kerana dia bukan Ulamak dan tidak "Na'am" kepada semua kata-kata Ulamak.  Beliau bukan sahaja berani menyanggah kata-kata Ulamak yang beliau fikirkan tidak betul, malah beliau berani berdebat dan berdepan.

Malangnya, yang bergelar Ulamak tiada anugerah dari Tuhan sifat keberanian berhujah dan berdebat bagi menyatakan kebenaran.  Mereka hanya berani bercakap di hadapan media kawalan Umno/Bn dan juga di media sosial.  Mat Sabu bukan jenis yang bermain di media sosial, FB beliau pun tidak ada rasanya kecuali FB kelab penyokong yang orang lain wujudkan.  Mat Sabu bukan pejuang FB, tetapi beliau pejuang di medan.  Sesiapa yang berani sila saja berdepan dengannya.  Malangnya, tiada.

Mat Sabu dan Mujahid sampai kecundang tetap menunjukkan keberaniannya dengan meninggalkan gaji dan elaun lumayan dari Kerajaan Negeri P.Pinang di bawah DAP yang dianggap musuh oleh Ulamak.  DAP nampaknya lebih hina dan jahat dari Umno/Bn.  Andainya Amanat Hj Hadi itu boleh diedit semula, tentulah nama Umno di dalam amanat itu boleh diganti dengan DAP.

Ahad, 7 Jun 2015

USTAZ TUAN BAKAL PERKUATKAN PR PAHANG

TAHNIAH kepada Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di atas kemenangan beliau di dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan penyandang, ayam tambatan PAS iaitu Mat Sabu.  Kemenangan itu adalah amanah dan tanggungjawab yang berat, itulah yang diakui oleh Us Tuan.

Apa pun pandangan orang di atas kemenangan beliau, yang pasti penyokong-penyokong PAS serta PR khususnya di negeri Pahang pasti berasa gembira kerana tokoh hebat dari Pahang ini diangkat menjadi orang Nombor dua di dalam haraki kepimpinan.  Kekuatan PR di Pahang pastinya dapat digandakan bagi menghadapi rejim Umno/Bn di dalam PRU 14 nanti, apatah lagi hubungan PR di Pahang adalah positif.  Ini terbukti dari gerak kerja kempen PRK Rompin baru-baru ini.

Cabaran di Pahang adalah pengundi-pengundi di kawasan felda.  Tiada kaedah lain jika ingin menawan Pahang kecuali menawan Felda.  Ini bukan kerja mudah.  Hanya kerjasama yang kuat dan kurangkan pergeseran sesama kita saja dapat merealisasikan hasrat tawan Pahang.   Secara peribadi, aku akan lawan sesiapa saja dari PR yang cuba menjadi batu api kepada persefahaman yang sedia terjalin.  

Selagi PR masih iktiraf kewujudan PAS, KEADILAN dan DAP, selagi itu lah kita patut tentang sesiapa saja yang cuba keruhkan hubungan yang sedia terjalin ini, khususnya di Pahang.