RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 8 November 2014

ANWAR SOLAT JUMAAT DI MASJID PUTRAJAYA, MAMAK KUTTY JUGA ADA?

TERTANGGUHNYA keputusan kes DS Anwar Ibrahim membuatkan rakyat semakin meragui sistem kehakiman negara ini.  Kes yang pada awalnya dijangka hanya mengambil masa dua hari bermula 28 Okt/29 Okt 2014, namun berjalan sehingga ke petang semalam.  

Kedua-dua pihak, Pendakwa dan Pembela telah diberi peluang secukupnya untuk membentangkan hujah dan fakta masing-masing samada Anwar wajar dipenjara atau dibebaskan.  Hujah pihak Pendakwa semakin bercelaru dan kadangkala menggelikan hati kita.  Hujah pihak Pembela terbukti mematikan langkah pihak Pendakwa.  



Petang semalam kita meramalkan Hakim akan buat keputusan Anwar bebas.  Namun tidak berlaku sedemikian malahan kes ini semakin berpanjangan sehingga kita tidak tahu dengan tepat bila keputusan akan diumumkan.  Berbeza sewaktu sebelum Langkah Kajang, sebelum penamaan calon PRK Dun Kajang di mana sepantas kilat Hakim buat keputusan walaupun di luar waktu pejabat.  Itu yang buat kita pelik bin ajaib.

Apa pun, kita akan sabar menanti keputusan akan datang.  InsyaAllah, bila kita maklum tarikh untuk dibuat keputusan maka kita akan gerakkan semaksima mungkin para penyokong kita untuk menyambut pembebasan Anwar, InsyaAllah.



Ingin dikongsi sedikit, sewaktu Anwar bersama para penyokongnya Solat Jumaat di Masjid Putrajaya semalam, tiba-tiba dikatakan ternampak kelibat Mahdey Kutty yang duduk di hadapan sedikit dari Saf yang diduduki oleh Anwar.  Selesai Solat, Mahdey Kutty sepantas kilat ghaib entah ke mana. Begitulah biasanya, yang bersalah akan malu untuk bertemu atau berpandangan mata dengan orang yang dizaliminya.

Kakitangan kerajaan yang bersolat di masjid tersebut kelihatan amat teruja dapat bertemu dan bersalaman dengan Anwar.  Doa kita agar Anwar terus memimpin negara ini untuk melawan ketidakadilan dan kezaliman.


Jumaat, 7 November 2014

YAKINLAH, ANWAR BEBAS PETANG INI

PETANG ini (Jumaat 07/11/14) jam 03.00 petang, kemungkinan besar nasib Anwar Ibrahim akan diketahui.  Mahkamah Kehakiman Putrajaya akan menjadi saksi bahawa rakyat akan menolak fitnah jahat terhadap tokoh reformasi ini dan satu tamparan buat Saiful di mana rakyat akan memberi isyarat bahawa tidak cukup dengan fitnah kamu boleh menyelamatkan rejim yang zalim.


Petang semalam ramai yang menjangkakan keputusan akan dibacakan oleh Hakim, maka ramai yang sangup berhujan menanti hingga ke Maghrib.  Malangnya, keputusan belum dapat diumumkan dan Anwar keluar dari mahkamah terus mengimami Solat Maghrib bersama para penyokongnya yang setia di situ.

Aku yakin, mereka yang hadir petang semalam akan terus setia menunggu petang ini manakala yang datang dari jauh akan terus hadir petang ini walaupun terpaksa berulang alik selama beberapa hari.  Bukan sedikit belanja yang mereka perlu keluarkan demi untuk melihat keadilan buat Anwar tertegak.  



Sehubungan itu, marilah kita beramai-ramai ke Putrajaya esok untuk Solat bersama Anwar di Masjid Besi, Putrajaya seterusnya berarak ke Mahkamah Kehakiman.  Di sana kita akan berkumpul dan bersedia untuk menjulang tokoh reformasi ini sebaik sahaja beliau dibebaskan.

Sumber:  Sebahagian Foto kredit buat Blogger Omakkau.blogspot

Rabu, 5 November 2014

MENGAPA MASIH TIDAK HABIS MENGHENTAM AZMIN?

AZMIN sudah pun ditabalkan menjadi MB Selangor.  Azmin dipilih oleh Sultan dan direstu juga oleh partinya dan rakan-rakan di dalam PR di Selangor.  Apa yang masih tidak puas hati lagi?  

Adakah kerana kita gagal mempertahankan TSKI sebagai MB atau gagal mempertahankan TSKI dari dipecat oleh parti maka kita harus serang Azmin sekarang?  Apakah kerana kita terlalu taksub juga kepada TSKI atau Azizah, maka kita merancang untuk mengganggu Azmin yang baru saja diuji sebagai MB yang baru?  Adilkah kita?



TSKI tidak dizalimi.  Beliau terlalu lama telah diberi peluang sehingga ke saat-saat akhir beliau masih gagal menjawab kepada parti.  TSKI seorang yang bagus mentadbir tetapi bukan seorang pengikut parti yang berdisiplin.  Ramai yang mahu beliau terus mentadbir Selangor tetapi kita juga mahu beliau menjadi seorang pengikut parti yang setia bukan kepada Anwar atau Azizah, tetapi kepada partinya sendiri dan PR.  Ini yang gagal dilakukan oleh TSKI.  Maka, wajarlah beliau tidak diteruskan sebagai MB di bawah Kerajaan PR Selangor.

Kita mahu MB yang tahu menghargai parti yang mendokongnya.  Tidak salah berbakti kepada parti kerana parti juga akan berbakti kepada rakyat.  Parti tidak mahu curi duit rakyat, parti hanya mahu MB itu menghormati partinya sendiri dan dasar-dasar yang ditetapkan oleh PR.  Itu sahaja.  Apakah Azmin mampu lakukannya?  Belum tahu.  Aku melihat setakat ini Azmin cuba ke arah itu.  Azmin cuba lari jauh dari cara TSKI.  Namun, jangan lupa Azmin masih terhutang dengan isu Lebuhraya KIDEX dan Perjanjian Air.  Masih belum selesai, bukan tidak selesai.  

Azmin jangan lupa, selain dari soal disiplin dan komitmen TSKI terhadap parti, beliau juga kurang disenangi di dalam menangani isu KIDEX dan Perjanjian Air dengan Pusat.  Ini juga sering dirungutkan oleh Anwar sebelum ini.  Kejayaan Azmin hanya boleh diukur jika berjaya tangani kedua-dua isu besar ini.  Terpulanglah kepada kebijaksanaan Azmin untuk menanganinya.

Rakyat pasti menilai keupayaan Azmin yang setakat ini bolehlah dianggap positif.  Aku harap Azmin mampu menjadi MB yang baik dan cemerlang.  Kita beri peluang kepadanya dan tegurlah beliau jika ada langkah sumbang yang dilakukannya.  

Selasa, 4 November 2014

PEGUAM YAKIN ANWAR BEBAS

PUTRAJAYA 3 NOV: Peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah II yakin Ketua Umum KEADILAN itu tidak bersalah sekaligus keputusan Mahkamah Persekutuan akan memihak kepada anak guamnya itu.

Ram Karpal Singh berkata, mengikut kepada hujah dan undang-undang tiada sebab Anwar dijatuhkan hukuman.


“Kalau kita lihat kepada hujah-hujah dan undang-undang, kes ini memang memihak kepada pihak pembelaan.‎

“Itu pendirian saya yang masih memegang kepada sistem perundangan yang ada‎,” ujarnya.

Ram menjelaskan, tidak ada bukti baru yang didedah pihak pendakwa sebaliknya mereka membangkitkan bukti lama tetapi dihujah dengan cara baru.

“Perkara lama dan sudah dibangkitkan sebelum ini, esok pihak pendakwa akan menghabiskan hujah mereka dan selepas itu kita (pembela) akan memulakan hujah.

“Keputusan akan dibuat pada hari lain dan mungkin mahkamah akan mengambil masa untuk membuat keputusan terbaik, mereka akan meneliti keseluruhan hujah-hujah yang dikemukakan,” jelas beliau seperti dilaporHarakah Daily.
‎Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan turut berpendapat, hujah yang dikemukakan pihak pendakwa, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak kukuh.
“‎Dengan mengikuti hujah Shafee, saya tak yakin bahawa Anwar boleh dijatuhkan hukuman sebab hujah terlalu terbuka dan belum dijawab sepenuhnya,” katanya.
Mahkamah ditangguhkan pada jam 1 tengah hari tadi akan bersambung pagi esok dengan pihak pendakwa menyambung semula hujah mereka sebelum pihak pembela mengambil giliran pada sebelah petang.‎/KD

Jumaat, 31 Oktober 2014

KEPELIKAN TERUS BERLAKU DALAM MAHKAMAH, ISNIN INI KITA BERKUMPUL

HARI ke empat hari ini perbicaraan kes rayuan Fitnah Liwat II ke atas DS Anwar Ibrahim.  Ada isu lama dan tak kurang juga ada cerita baru yang telah dibongkar di dalam mahkamah sepanjang perbicaraan.  


Aku tertarik dengan kisah seluar dalam Sepol.  Ceritanya seperti yang diulas oleh peguam dari PAS, YB Hanipa Maidin adalah kisah umpama "seluar dalam A" dan "seluar dalam B".  Seluar dalam A adalah seluar dalam yang dipakai oleh Sepol sewaktu kononnya beliau diliwat oleh seorang insan tua bernama Anwar.  Seluar dalam B pula adalah seluar dalam yang dipakai oleh Sepol sewaktu beliau membuat laporan Polis mengaku dirinya diliwat secara paksa oleh Anwar dua hari selepas kejadian kononnya berlaku.  

Kita jangan lupa, Sepol ada menceritakan dalam mahkamah seluar dalam beliau ada tertinggal di rumah tunangnya.  Seluar dalam itu adalah seluar dalam A yang katanya telah dibasuh oleh ibu tunangnya.  Kelakar tak, ada insan yang sanggup suruh ibu tunang (bukan bini) untuk basuh seluar dalam?  Kelakar tak, Sepol sanggup simpan bukti DNA dalam bontotnya selama dua hari tanpa dicuci bontot, tahan untuk buang air besar, tak cuci bontot walaupun mandi hadas besar untuk Solat, tetapi boleh buang kesan DNA pada seluar dalamnya?  Seluar dalam A itu dicuci maka hilanglah kesan bukti.  Mengapa dicuci jika Sepol memang berniat untuk simpan bukti?  Dalam bontot susah payah dia simpan, seluar dalam tidak mahu simpan?  Pelik, kan?

Pelik lagi ajaib, dikatakan bukti DNA (sperma) boleh ditemui pula pada seluar dalam B iaitu seluar dalam yang dipakai oleh Sepol sewaktu membuat laporan Polis dua hari selepas kejadian.  Kelakar, seluar dalam yang dipakai sewaktu diliwat tiada kesan sperma, tetapi seluar dalam yang tidak dipakai sewaktu kejadian liwat boleh ada kesan sperma.  Itulah di antara keajaiban yang berlaku dalam setiap kes yang menimpa Anwar.

Jika dalam kes fitnah Liwat I dulu, pertuduhan dipinda 3 kali kerana tarikh kejadian tidak tepat. Anwar dituduh meliwat Azizan Abu Bakar di dalam kondo yang waktu itu belum pun siap dibina. Maka, tarikh kejadian di dalam pertuduhan itu dipinda.  Kali ini isu seluar dalam pula menjadi pelik.  Itu belum dikira beberapa cerita lain.  Cerita jumpa Najib kononnya untuk mohon biasiswa walaupun waktu itu Sepol telah berhenti belajar.  Cerita bagaimana begitu mudahnya sepol dapat jumpa Najib di rumahnya tanpa ada temujanji seperti kelaziman orang biasa.  Kena rogol atau liwat, mengadu pada PM?  Pelik, bukan?

Apa pun kita harap rakyat celik mata tentang fitnah jahat dan jijik ini.  Hari ke empat hari ini, kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu benar-benar menunjukkan tidak semua pimpinan PR yang hilang fokus melawan kezaliman.  YB Kamarudin Jaafar juga hadir hari ini.  Sebelum ini, YB Khalid Samad, Hanipa, Saari Sungip, Suhaizan Kayat (Ketua Pemuda PAS), Salahuddin Ayob, Mahfuz Omar, Mujahid dan beberapa yang lain telah hadir.  Terima kasih kepada mereka kerana sedar ini bukan isu Anwar tetapi ini simbol kezaliman oleh rejim.

Jangan lupa, penuhi dataran Mahkamah Kehakiman Putrajaya pada hari Isnin ini nanti.  Takdir bakal menentukan "Rakyat Hakim Negara" .


Khamis, 30 Oktober 2014

JUMAAT PENENTU ANWAR, AYUH RAIKAN KEMENANGAN !!

TAHNIAH kepada rakan-rakan yang terus komited melawan kezaliman.  Dua hari yang lalu, Anwar tidak keseorangan di Mahkamah Istana Kehakiman Putrajaya.  Majoriti anak-anak muda dari berbagai lapisan turun bersolidariti buat tokoh reformasi ini yang dibicarakan di dalam kes fitnah Liwat II.

Waktu bekerja dua hari yang lalu dengan cuaca di sebelah petang dua hari berturut-turut hujan agak lebat, mereka tidak berganjak.  Semalam hari kedua kehadiran meningkat berganda dari hari pertama kerana ramai yang menjangkakan keputusan dibacakan semalam.  Difahamkan keputusan akan dibacakan oleh Hakim pada Jumaat ini.

Bersama Adun Semambu, YB Lee Chean Chung
Sehubungan itu, tentukan Jumaat ini kita akan merayakan kemenangan menewaskan fitnah jijik kotor dari dubur Sepol.  Anwar akan bebas Jumaat ini, itu keyakinan aku,  Puas mahu mencari di mana dan apakah sebab yang kuat untuk penjarakan Anwar sekali lagi.  

Ada kawan-kawan yang telah hilang punca sehingga sanggup mendoakan Anwar masuk ke Sg Buluh. Simpati juga dengan kawan-kawan seperti ini yang mudah patah hati, mudah dibeli jiwa dan raga mereka dan lupa kepada asas perjuangan, jauh sekali dengan akhlak Islam.  Mengapa jadi begitu? Sebabnya kerana taksub kepada pemimpin mereka. 

Tawan Putrajaya dengan bendera PR
Ketua Ulamak Sedunia, Dr Yusof Qardhawi terbaru menyatakan rakyat Malaysia harus bangkit melawan fitnah ke atas Anwar.  Aku tidak pasti pemimpin-pemimpin di bawah Ulamak terkenal ini Wala' atau tidak kepada "bos' mereka atau hanya mereka sahaja yang perlu di"Wala'kan?  Itu kata-kata Syeikh Yusof Qardhawi bukan kata-kata Presiden PasMa.

Sembang dengan otai2 reformis 
Apa pun, aku sudah tidak hairan lagi siapa mahu datang atau tidak.  Aku yakin, kalau aku datang seorang diri pun aku akan dapat pahala.  

Isnin, 27 Oktober 2014

MARI TURUN PADA 28/29 OKT INI - JANGAN JADIKAN KELEMAHAN ANWAR UNTUK HALALKAN KEZALIMAN

PEDULI apa aku siapa yang tidak mahu datang ke Mahkamah Kehakiman Putrajaya pada 28 dan 29 Okt ini nanti.  Aku tak peduli berapa kerat yang mahu bersusah bersama tokoh reformasi yang telah menghabiskan usianya untuk menjadikan PR sekuat ini sekarang.  



Aku cuma akan kenang wajah sesiapa terutamanya para pimpinan PR yang mahu bersama rakyat yang lain pada hari tersebut.  Aku pasti akan ingat sampai bila-bila mereka yang tidak lagi peduli dengan Anwar.  Bagi aku, seburuk mana pun Anwar hakikatnya beliau lah satu-satunya insan yang banyak membantu kita meruntuhkan kekuatan Umno/Bn sehinggakan rejim ini hanya tinggal 47% saja kekuatan hasil daripada bantuan semua jentera kerajaan yang telah mereka salahguna kuasa.

Ciptalah sebanyak mana pun alasan dan hujah kamu, pastinya kita kenal hati budi masing-masing. Kita akan kenal siapa kawan yang ikhlas bersama kita selepas ini.  Anwar masuk penjara, tentu ada yang seronok selain dari rejim.  Anwar bebas, mungkin mereka ini tidak seronok sama juga seperti rejim yang sudah pastinya turut merasa susah hati.

Aku tetap akan turun nanti biarpun terpaksa menumpang sesiapa.   Aku tidak akan menjadikan kelemahan yang ada pada Anwar selama ini untuk aku menghalalkan kezaliman berlaku.  

Ahad, 26 Oktober 2014

ANWAR DI MARAN MALAM TADI, TAYANGAN SKRIN BOLA TIDAK JEJASKAN SAMBUTAN

SEKITAR Stesyen Bas Maran gelap gelita, tandas dikunci termasuk madrasah juga.  Tidak seperti lazimnya hanya kerana malam tadi Anwar datang berceramah di perkarangan Pejabat Cabang KEADILAN Maran yang bertentangan dengan stesyen bas tersebut.



Di tengah-tengah bandar Maran beberapa meter sahaja dari tapak ceramah, ada skrin gergasi disediakan bagi menayangkan perlawanan bola sepak Separuh Akhir 2 di antara JDT menentang Felda Utd.  Ini semua mulanya merisaukan aku kerana tentunya program ceramah Anwar pada waktu yang sama tidak akan mendapat sambutan, apatah lagi Maran memang terkenal kubu Umno terkuat di Pahang.  Tiada satu pun Kerusi dun di Parlimen Maran diwakili oleh PR.  Kuatnya Umno di Maran. Aku merasakan jika kehadiran mencecah 500 orang pun kira sudah cukup bertuah.



Alhamdulillah, program malam tadi di luar jangkaan.  Dianggarkan sekitar dua ribu orang yang hadir yang kebanyakannya lebih suka berada di dalam tempat duduk di stesyen bas yang kebetulan bertentangan dengan pentas ceramah.  Meskipun gelap di situ, namun rasanya orang-orang Maran memang selesa berada di kawasan gelap.  Maklumlah, masih ramai yang takut menunjukkan wajah mereka.   Apa yang penting mereka hadir juga untuk mendengar amanat dari Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim sebelum beliau ditentukan samada bebas atau tidak dari pertuduhan liwat II pada 28 dan 29 Okt ini nanti.



Paling menarik Adun dari DAP dan Pas juga turut hadir.  Adun DAP dari Mentakab, YB Tengku Zulpuri yang juga Ketua Pembangkang Dun Pahang berucap agak bersemangat dari biasa.  Mewakili PAS adalah Adun Semantan, YB Syed Hamid.  Meskipun sebelum ini diberitakan PAS agak liat untuk turut serta dalam program ini, namun aku yakin tidak semua pemimpin dan Adun PAS serta para penyokong mereka jumud.  Mereka tahu musuh mereka yang sebenar Umno/Bn kerana parti inilah yang banyak menyusahkan rakyat dan banyak menzalimi rakyat dan PAS sendiri kerap kali menjadi mangsa rejim tersebut.  Amat bodoh sekali jika kerana sesuatu isu, maka PAS ingin menjauhkan diri dari PKR apatah lagi di Pahang hubungan PKR dengan PAS tiada yang kontroversi.

Masakan kerana suara dua tiga orang jumud di Terengganu atau di Pahang yang ingin membalas dendam kepada PKR maka mereka bersama dengan Umno untuk memusuhi PKR?  Mungkin PKR ada buat silap, tetapi adakah PAS tidak pernah silap selama ini?

Atas sebab itulah maka Adun Semantan, YB Syed Hamid beranikan diri untuk hadir dan berada di pentas utama.  Aku harap YB ini tidak di'barua'kan atau dianggap "Anwarisme".  Aku sedar ada yang mahu lihat program malam tadi gagal kerana mereka ingin tunjukkan bahawa PKR tidak akan mampu berdikari tanpa mereka.  Alhamdulillah, ramai ahli-ahli PAS dan penyokong-penyokong PAS yang hadir kerana tidak semua bodoh-bodoh belaka.  Harus diakui bukan semua di dalam PAS ingin bermusuh dengan DAP ataui PKR.  Bukan semua mempunyai fikiran seperti dua tiga orang itu. Terima kasih kepada mereka yang hadir.

Anwar berucap lebih kurang satu jam selepas YB Rafizi berucap.  Rafizi banyak menerangkan tentang mengapa rakyat perlu bangkit menentang rejim yang zalim ini.  Aku harap selepas ini di dalam program Anwar seterusnya di Melaka dan Johor, akan ada pimpinan utama yang lain khususnya dari PKR tampil di pentas bersama Anwar.  Mereka perlu tunjukkan mereka adalah pimpinan pelapis sekiranya Anwar terpaksa merengkok di dalam penjara.  Jangan terlalu banyak berehat di kawasan masing-masing sahaja.  

Tahniah Cabang Maran, tahniah PKR Pahang.  

Sabtu, 25 Oktober 2014

PROGRAM ANWAR DI MARAN MALAM INI, SIAPA SANGGUP SUSAH BERSAMA?


MARAN, Pahang adalah destinasi Anwar Ibrahim seterusnya malam ini (Sabtu - 25/10/14).  Orang ramai dijangka memenuhi perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Maran yang berhadapan dengan Stesyen Bas Maran untuk mengikuti apakah amanat yang bakal disampaikan oleh Ketua Pembangkang ini sebelum beliau menyerahkan kepada takdir samada beliau bakal menjadi penghuni di penjara Sg Buluh lagi.

Di tengah-tengah budaya fitnah yang semakin berleluasa di negara ini yang bukan saja menimpa Anwar, namun terlebih dahulu Mat Sabu pernah menjadi mangsanya.  Mat Sabu bukan saja difitnah berkhalwat di sebuah hotel, namun terdapat audio perbualannya bersama seorang wanita telah dijaja untuk menjatuhkan nama baik Presiden PAS itu.  Video Setiausaha Agung PAS, Hj Mustafa Ali yang bukan lagi hitam putih bahkan begitu terang suara yang dirakam kononnya itu suara Mustafa Ali, juga turut dijaja untuk menjejaskan nama baik pemimpin kanan PAS itu.  Terbaru, entah mengapa Ustaz Azhar Idrus pula menjadi sasaran.  Video fitnah terhadap beliau juga kini hangat diperkatakan.

Ertinya apa?  Ertinya rejim bangsat itu tidak pernah merasa takut dengan dosa.  Rejim ini tidak pernah menyesal apa yang telah mereka lakukan.  Anwar tidak lagi menghairankan paling kerap difitnah.  Fitnah terhadap Anwar tiada siapa pun di negara ini khususnya mungkin di dunia ini amnya boleh terjadi.  Anwar ejen Amerika, Yahudi, Israel, kaki main betina, jantan dan berbagai lagi.  Mereka tidak mampu untuk berdepan dengan tokoh reformasi ini secara berdepan dan berhujah jauh sekali untuk berdebat.  Jadi, tidak pelik Anwar menjadi mangsa yang paling hebat dikenakan.  

Pada 28hb Okt ini nanti nasib Anwar akan diputuskan di Mahkamah Putrajaya.  Program di Maran ini adalah sebagai momentum untuk mencetuskan kesedaran rakyat untuk terus melawan kezaliman. Bukan untuk Anwar saja, tetapi fitnah ini juga berlaku kepada pemimpin PAS dan DAP.  Bezanya Anwar dibawa ke mahkamah berulangkali kerana Anwar adalah musuh nombor Wahid kepada rejim. Aku malas mahu fikir mengapa dikatakan sahabat kita tidak lagi seperti dulu apabila Anwar ingin dipenjarakan.  Terasa juga dihati, apakah ini hasil tarbiyyah dan peninggalan Almarhum Ustaz Fadzil?  Hati mana tidak terasa apabila diberitahu tiada sesiapa pimpinan PAS dari Pahang yang mahu sepentas dengan Anwar malam ini.  Aku memujuk hatiku...bersabarlah.

Aku sendiri berusaha menghubungi dua tokoh PAS Pahang yang dulu agak rapat denganku untuk bertanyakan adakah mereka sudi untuk sepentas dengan Anwar?  Mesej aku tinggal mesej dan langsung tidak berjawab.  Setidak-tidaknya jawablah mesej aku dan beritahu tidak dapat hadir atas komitmen lain.  Aku sedar parti mereka kuat.  Aku tahu mereka sebenarnya dapat mesej aku kerana sebelum ini aku sering mesej mereka berkaitan program parti.  Tapi kali ini tidak.  Sedih juga rasanya sampai tahap itu yang dilakukan kepada kami.

Namun ianya tidak melemahkan semangat.  Kami sudah tidak kisah lagi berapa ramai yang boleh hadir kerana kami tahu seawal reformasi dulu pun berapa kerat sangat yang sanggup berjuang.  Namun semakin lama rakyat sedar sehingalah gelombang reformasi begitu menggerunkan rejim di suatu ketika.  Di Maran malam ini seterusnya di Putrajaya nanti, usahlah berduka jika kita kehilangan kawan yang sanggup susah bersama.  Kita harus akui, mereka sudah kuat sekarang.  Kita perlu berdiri sendiri mulai dari sekarang.  Nasib kita baik, kita ada rakan yang partinya bukan parti Islam bahkan pemimpin mereka kebanyakannya Non Muslim yang sanggup bersusah bersama.  

Mungkin bersama kita memperjuangkan nasib Anwar sebagai model kezaliman yang berlaku adalah tidak "syarie' pada mereka.  Sebab itu aku rasa mereka ada dalil dan nas untuk tidak mahu libatkan diri.  Terpulanglah, kita tidak mahu dianggap 'membuli' mereka.  Namun aku yakin tidak semua yang boleh terima tindakan memboikot program Anwar malam ini.  Ada yang berfikir seteruk atau selemah mana pun Anwar, tokoh ini banyak membantu mencorakkan situasi politik di negara ini.  

Jumaat, 24 Oktober 2014

Kalaulah Almarhum Ustaz Fadzil Noor masih ada, kamu tidak akan bersendirian, Anwar

ESOK, Sabtu (25 Okt 2014) Ketua Pembangkang yang dikenali sebagai tokoh reformasi iaitu DS Anwar Ibrahim akan tiba di bumi Pahang.  Selepas di Kedah, Penang, Perak, Terengganu, maka kini giliran Pahang pula dan lokasi yang dipilih oleh beliau adalah kawasan kuat Umno di Pahang iaitu di Maran.



Bertempat di Perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Maran, berhadapan Stesyen Bas bandar Maran bakal menyaksikan pidato berupa amanat penting dari Ketua Pembangkang ini sebelum beliau menyerahkan diri kepada kuasa dan takdir yang Maha Kuasa samada beliau bakal 'terkorban' lagi di penjara demi rakyat Malaysia.  Beberapa tahun dahulu, beliau telah membayar harga yang begitu mahal untuk pencinta keadilan di negara ini di mana beliau sanggup menjadi penghuni kandang besi selama 5 tahun walaupun akhirnya di dapati beliau tidak bersalah.  

Almarhum Ustaz Fadzil Noor
DS Anwar bukan saja sanggup mengorbankan dirinya untuk melihat rakyat di negara ini terbela, tetapi beliau juga mencagarkan maruah seluruh keluarganya apabila beliau difitnah dan menjadi seorang banduan.  Tidak mudah untuk sesiapa pun mempercayai Anwar dan keluarganya mempunyai kekuatan yang luar biasa.  Kelembutan isterinya Kak Wan tidak langsung menunjukkan bahawa beliau sebenarnya mempunyai kekuatan mental yang tinggi untuk menerima ujian terhadap suami tercintanya itu.  Apakah keluarga kita mampu memiliki kekuatan seumpama itu?  


Demi rakyat dan negara, Anwar terus menjadi pertaruhan kita.  Jika bukan beliau, cuba sebut siapa yang memiliki kebolehan sepertinya?  Kita sedar Anwar sepatutnya tidak perlu lagi kita cagarkan sebaik sahaja beliau keluar dari penjara beberapa tahun dulu.  Anwar patut berehat bersama keluarga dan anak cucunya.  Sudah cukup untuk tokoh reformasi ini melalui ujian dan fitnah yang melampau dari rejim bangsat itu.  Namun, kita tiada pilihan lain.  Anwar masih kita perlukan.  Maka, terjadilah apa yang telah kita duga awal lagi iaitu Anwar pasti akan menjadi mangsa rejim lagi.  Fitnah terus menjadi senjata ampuh kepada bangsat di Putrajaya.

Pada 28 hb Oktober ini nanti, kita mengangkat tangan ke hadrat Illahi agar memberikan kita peluang lagi untuk bersama pemimpin yang kita sayangi ini.  Berusia 60-an, Anwar bukan selayaknya dikurung tanpa melakukan kesalahan.  Malang sekali, ada teman-teman yang dahulunya menikmati sedikit sebanyak hasil pengorbanan Anwar kini awal-awal lagi menadah tangan berdoa agar Anwar merengkok di dalam penjara bahkan ada yang mengharapkan nyawa Anwar berakhir dipenjara.  Kerana apa?  Hanya satu, iaitu Anwar tidak mengikut kehendak dan kemahuannya.  Ada yang telah merasa kuat dan gagah, maka Anwar bolehlah dilenyapkan sekarang.  

Namun bagi yang masih berakal dan tahu bersyukur, kita masih mahu Anwar memimpin kita.  Kita sedar apa yang kita perolehi semenjak pembebasan Anwar dari penjara dahulu adalah kerana semangat yang dibawa oleh Anwar.  Selepas kita perolehi undi popular 53% di dalam PRU 13 yang lalu di mana telah memalukan rejim sekarang, apakah kita sudah ego dan sombong?  Ada yang menjadi YB bahkan menjadi MB dengan kemenangan cemerlang kita di dalam PRU selepas Anwar bebas dari penjara.  Kita sudah lupa semua ini?

Pada 28 Oktober nanti adalah detik untuk kita mahu melihat siapa rakan kita yang sanggup ketawa dan menangis bersama.  Setakat ini aku percaya, rakan kita tidak akan menjadi rakan khianat. Andainya nanti aku melihat sebaliknya aku tidak akan lagi mempercayai puak seumpama ini.  Aku tidak merayu sesiapa pun untuk bersama di mahkamah Putrajaya pada 28 Oktober ini.  Aku cuma mahu lihat siapa yang sanggup mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan perjuangannya. Seburuk-buruk Anwar, buruk dan kejam lagi rejim yang ada.   Aku juga mahu lihat sejauh mana perjuangan Islam yang diperjuangkan itu menghadapi detik-detik seperti ini.  Adakah kerana dendam kesumat maka keadilan tidak dapat mereka tegakkan dan secara tidak langsung mereka memberi ruang kepada kezaliman untuk terus berleluasa.

Kalaulah Almarhum Ustaz Fadzil Noor masih ada, kamu tidak akan bersendirian, Anwar....
Al-Fatihah buat Almarhum.

Rabu, 22 Oktober 2014

JIKA BENCI KEPADA ANWAR LEBIH KUAT DARIPADA BENCI KEPADA UMNO, ELOK JANGAN DATANG BERHIMPUN

PAHANG kini menanti kehadiran tokoh reformasi, DS Anwar Ibrahim beberapa hari lagi.  Maran adalah tempat bertuah yang akan menerima kunjungan Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum KEADILAN ini sebelum nasib baik ditentukan oleh Mahkamah Kehakiman Putrajaya pada 28 hb Okt ini nanti.  Pada 25hb Oktober, Anwar akan menyampaikan amanatnya kepada rakyat Pahang bertempat di perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Maran (berdepan stesyen bas Maran) bermula lepas Isyak.


Ramai yang menyatakan mungkin kehadiran tidak seperti sebelumnya kerana kita tahu situasi sekarang sebenarnya bukan baik untuk Anwar melihat limpahan yang datang.  Krisis sesama kita di dalam PR belum pulih terutamanya di antara KEADILAN dengan PAS berpunca dari isu MB di Selangor baru-baru ini.  Difahamkan juga, tiada reaksi positif dari PAS Pahang di atas kunjungan Anwar kali ini.  Kita biarkan saja apa pun pandangan orang ramai termasuk dari PAS tentang Anwar. Mungkin bagi mereka Anwar seorang yang boleh menentang Umno/Bn, dan bukan tokoh reformasi ini saja boleh memperkuatkan PR.  Betul, aku setuju.

Bagi aku, tiada paksaan kepada sesiapa pun untuk datang.  Orang ramai dijemput dan terpulanglah kepada mereka untuk membalas dendam kepada Anwar jika mereka anggap Anwar itu seburuk-buruk insan.  KEADILAN telah mempelawa PAS untuk turut sama di pentas ceramah selain dari wakil DAP.  Apa yang aku faham, DAP telah bersedia untuk bersama.  PAS sehingga kini belum pasti, cuma ada khabar-khabar angin menyebut PAS sambut dingin program ini.  Jika betul, itu hak PAS. 

Aku berpendapat tidak semua penyokong PAS menutup mata untuk mengakui sumbangan Anwar kepada prestasi PR selama ini.  Aku yakin ramai para penyokong PAS akan turut hadir kerana mereka sedar seburuk mana pun Anwar, beliau ada jasanya kepada rakyat.  Di zaman Nabi, orang Yahudi dan jahat kepada Nabi pun ketika sakit, Nabi bertanya khabar juga.  Anwar mungkin tidak seteruk Yahudi itu, tetapi jika masih merasakan perlu berdendam kepada Anwar, itu hak masing-masing.  

Kita mahu kehadiran di Maran seterusnya di Mahkamah nanti walaupun sepuluh orang, jumlah ini hadir kerana nawaitu yang ikhlas.  Puluhan ribu yang hadir tidak bermakna Anwar pasti bebas.  Sepuluh orang yang hadir juga tidak bermakna Anwar akan terpenjara.  Ini semua kuasa Allah.  Kita mesti bersedia menghadapi segala kemungkinan.  Mereka yang rasa sudah kuat dan tidak perlu lagi berjuang bersama Anwar dan rakan-rakan lain, itu hak mereka.  Jangan ada buli.  

Kepada para penyokong PR yang sedar Anwar di sebalik kelemahan atau keburukannya, tidak dapat dinafikan beliau punyai jasa kepada rakyat di negara ini, maka wajarlah kita turun beramai-ramai.  Ini giliran Anwar dan keluarganya.  Apakah ada jaminan kezaliman dan fitnah tidak menimpa kita atau keluarga kita?  

Aku menyeru agar kita merenung sejenak apakah kita berpuas hati jika Anwar masuk penjara?  Jika kita rasa patut Anwar merengkok di dalam penjara, elok kita jangan buang masa untuk hadir.  Tetapi jika kita merasakan di sebalik kebencian kita kepada Anwar atas sebab-sebab tertentu namun kita lebih benci kepada kezaliman Umno/Bn, maka kita harus selamatkan Anwar.