RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 7 Februari 2015

MESYUARAT PR - BERMULANYA EPISOD PENTING

AHAD (08/2/15), Pimpinan PR akan bermesyuarat di Pejabat PAS Pusat.  SUA PAS telah beri jaminan bahawa Presiden PAS akan hadir, begitu juga diperkuatkan lagi dengan kenyataan Timb Pres PAS, Mat Sabu bahawa tentunya Tok Guru Hj Hadi akan hadir kerana sebagai sebuah parti Islam tentunya komitmen kepada janji itu penting, kecuali sekiranya beliau keuzuran.

Ini bukan saja kepada PAS.  Kita juga mahu semua pimpinan PR hadir dengan ketua-ketua mereka.  PKR tentunya akan diketuai oleh Ketua Umum, DS Anwar atau Azizah selaku Presiden, manakala DAP pula oleh Lim Guan Eng selaku SUA yang mempunyai kuasa eksekutif di dalam DAP.   Anwar hadir selaku Ketua Pembangkang serta selaku Ketua umum PKR yang mana jawatan ini telah diiktiraf di dalam PKR melalui kongress dan konvensyennya.

Isu sebelum ini bukan masalah ketua hadir atau tidak.  Jika ketua tidak dapat hadir pun, timbalan pasti akan mewakilinya.  Isunya yang besar adalah adakah keputusan mesyuarat PR itu diterima akhirnya.  Isunya ada yang tidak hadir mesyuarat tetapi membelakangkan keputusan penting PR.  Itu yang menjadi masalah.  Kita tahu, tidak semua pimpinan utama hadir di dalam mesyuarat namun ada yang menghormati keputusan yang dibuat oleh wakil mereka, ada yang tidak menghormatinya.  Itu masalahnya.

Diharapkan kali ini, keputusan mesyuarat wajar dihormati.  Boleh tidak bersetuju asalkan diluahkan di dalam mesyuarat.  Utamakan yang dipersetujui bersama, dan mana yang tidak dipersetujui maka boleh saja dibincangkan dari semasa ke semasa.  Sebaiknya deraf Hudud Kelantan itu dibawa bersama kerana tidak molek jika kita sering menuduh rakan kita tidak menyokong Hudud sebaliknya kita masih gagal tunjukkan kepada mereka apa yang kita mahu buat. 

Ahad ini, apa yang penting adalah membincangkan adakah PR sebenarnya masih perlu bersama?  Apakah PR telah bersedia mencari pengganti Ketua Pembangkang seandainya Anwar disumbatkan ke penjara pada 10hb ini?  Biarlah mesyuarat Ahad ini menentukan.  Jika mahu berpisah, elok dinyatakan dengan terus terang.  Jika masih mahu kekal, baiki saja kerosakan yang ada.  Tinggalkan sikap ego jika ada.

Rabu, 4 Februari 2015

TAHNIAH PR KEMAMAN - ADUN PAS TURUT BERSAMA ANWAR MALAM TADI

MALAM tadi Selasa (03/2/15) Program Ceramah Perdana "Rakyat Hakim Negara" telah diadakan di Perkarangan Pejabat PKR, Kemaman yang mana pemidato utamanya adalah Sdr Anwar Ibrahim.  Aku ingin sekali melihat situasi dan sambutan program tersebut apatah lagi diadakan di Negeri Terengganu dan di kawasan kubu kuat Umno di Terengganu.



Sebelum bertolak ke sana, aku bertanyakan YB Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR yang juga Ketua Cabang Kemaman samada program jadi atau tidak diadakan.  Beliau berkata, program tetap berjalan tetapi beliau amat bimbang kerana hujan lebat yang tidak berhenti sejak jam 3.00 petang akan menjejaskan kehadiran orang ramai.  Sewaktu aku menghubungi Rafizi sekitar jam 08.00 malam dan hujan masih lagi turun di Kemaman, katanya.

Oleh kerana sudah berjanji dengan rakan, aku bertolak juga ke Kemaman walaupun dari Kuantan ke Kemaman sememangnya hujan agak lebat.  Sampai di lokasi ceramah, hujan terus turun dan kebanyakan yang datang sedikit demi sedikit semuanya berpayung.  Ada juga yang duduk berteduh di kaki lima bangunan kedai berhampiran dan juga di hentian bas berdekatan.  Hanya satu khemah yang disediakan, sudah tentu tidak dapat menampung yang hadir.



Alhamdulillah, di dalam keadaan iklim cuaca yang sedemikian dan iklim politik terutamanya di Terengganu yang kita semua tahu, jumlah kehadiran malam tadi di dalam keadaan cuaca hujan tidak berhenti tidaklah mengecewakan.  Rafizi perlu bersyukur kerana orang ramai tetap hadir di dalam keadaan cuaca seperti itu.  Anwar pun di dalam ucapannya menyatakan beliau merasa bangga kerana kekuatan semangat rakyat sekitar Kemaman yang sanggup meredah hujan.  



Aku yang hadir malam tadi menganggarkan sekitar seribu yang datang termasuk yang berada di kaki-kaki lima dan berteduh di hentian bas.  Ada yang menjangkakan tiada ahli-ahli PAS yang datang.  Jangkaan ternyata meleset, bukan saja ahli PAS malah Adun PAS juga turut hadir malam tadi.  Tahniah PR Kemaman.

Sabtu, 31 Januari 2015

SUDAH TIBA MASANYA ANWAR BERSUARA DAN TEGAS

BILA mahu berani buat keputusan?  Soalan ini aku tujukan kepada semua pimpinan di dalam PR.  Keputusan yang mesti diambil hanya ada dua pilihan, dan kami para pendokong PR sedang menanti keberanian kamu sebagai pemimpin.

Usah lagi buat kerja tidak cerdik main acah-acah atau main gertak-gertak lagi.  Mulanya kita mungkin seronok lihat permainan politik mereka tetapi semakin lama semakin menjemukan.  Bibir berkata mahu perkuatkan PR dan sanggup bersetuju untuk tidak bersetuju sesama PR, tetapi di dalam masa yang sama mulut yang sama juga setiap hari meludah ke muka masing-masing.  Susah sangatkah mahu buat keputusan yang berani?  

Persoalannya adakah PAS, PKR dan DAP masih mahu bersama?  Adakah PR tidak mahu DAP saja?  Atau PR tidak ingin lagi kepada PAS atau PR kurang selesa bersama PKR?  Mungkin juga DAP dan PKR tidak mahu lagi PAS berada di dalam PR, atau pun sebaliknya PAS yang sebenarnya mahu lari dari PR?  Mungkin mustahil mahu sebut PAS dan DAP menolak PKR jika dilihat di dalam situasi sekarang.  

Tidak perlu berkias-kias atau sengaja buat tektik agar parti kita ditendang keluar.  Keberanian buat keputusan itu perlu.  Jika mahu bersama, pimpinan mesti bersedia untuk bertemu dan berbincang.  Jika berbincang pun tidak mahu, tetapi terus menerus menyerang sesama kita, ertinya kita tidak ikhlas dengan kerjasama ini.  Tahukah kamu sikap kamu sebagai pemimpin telah mengheret para penyokong masing-masing membuang masa dengan 'perang saudara' ini.  Sebaliknya kamu terus memakan elaun kamu sebagai Wakil Rakyat.  Di mana sikap dan tanggungjawab kamu?

Sudah terlalu lama Umno berehat sambil menonton peperangan kita.  DAP kecam PAS kerana Hudud sedangkan bukan baru PAS memperkatakan tentang Hudud ini.  PAS dasarnya Islam dan tentulah Hudud adalah sebahagian dari dasarnya.  Ini bukan benda baru.  Begitu juga PAS, bukan baru-baru ini kita tahu DAP menentang hukum Hudud.  Di zaman Almarhum Ustaz Fadzil dulu pun DAP menentang Hudud bahkan sebelum itu juga.  Namun, Almarhum Us Fadzil tidak pula mencari alasan untuk menjauhi DAP kerana isu Hudud.  Di situ terpapar kebijaksanaan Almarhum menangani isu ini.  Peranan Anwar juga ada untuk mententeramkan keadaan.  DAP pernah keluar dari bekerjasama dengan PAS kerana isu ini.  Tetapi apabila Anwar keluar dari penjara, Anwar berjaya cantumkan semula DAP dan PAS untuk bersama Pembangkang.

Banyak tuntutan Islam yang sewajibnya kita perjuangkan yang DAP sokong penuh.  Basmi rasuah, sistem mahkamah yang adil, basmi kemiskinan, mantapkan ekonomi, pendidikan dan pertahanan, dan banyak lagi kewajipan yang Islam sendiri tuntut telah mendapat sokongan padu DAP bahkan tidak keterlaluan jika kita katakan ada beberapa aspek DAP yang merealisasikannya di P.Pinang.  Cuma satu yang DAP tegas menolaknya iaitu Hukum Hudud.  Apakah kerana satu ini, kita sanggup hilang yang lain?  Di situlah patutnya ada kebijaksanaan. 

Aku mahu tegur Anwar selaku Ketua Pembangkang.  Anwar jangan terlalu menjaga hati kawan-kawan.  Anwar mesti tegas sebagai pemimpin.  Anwar mesti sanggup terima kritikan dan Anwar juga perlu kritik mana-mana pemimpin sekutu yang "malas' ini.  Anwar tidak lagi boleh dedahkan dirinya menjadi bahan hentaman apatah lagi oleh rakan-rakannya sendiri.  Kita tahu Anwar tidak mahu keruhkan lagi keadaan tetapi sikap yang seperti positif itu akan membuatkan para pendokong PR yang bencikan Umno tidak melihat Anwar tegas.  PR mesti ada disiplin juga.  Terlalu banyak kenyataan pimpinan PR yang seolah-olah berputus arang macam sengaja mahu disepak keluar. 

Kita kena akui, Umno/Bn hanya boleh ditumbangkan sekiranya kita lebihb kuat seperti tahun-tahun sebelum ini.  PKR tidak kuat tanpa DAP dan PAS.  Begitu juga sebaliknya.  Usah perlu mendabik dada.  PKR tidak boleh dabik dada hanya kerana dapat perintah Selangor dua penggal.  DAP pun tidak perlu merasa kuat pertahankan P.Pinang dua penggal.  PAS pula tidak perlu merasa mempunyai jentera yang kuat maka kemenangan pasti akan dicapai.  Semuanya perlu muhasabah diri. 


Selasa, 27 Januari 2015

APAKAH NASIB ANWAR AKAN MENGGEMBIRAKAN MUSUH-MUSUHNYA?

INSYAALLAH, Tawakkal Alallah.  Nasib Anwar Ibrahim akan ditentukan pada 10 Feb ini di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.  Bukan kes rasuah, bukan kes bunuh Altantuya, bukan kes curi injin pesawat, bukan kes jual Pulau Batu Putih, bukan kes 1 MDB jauh sekali dari kes curi lembu kondo.  Anwar, seperti biasa hanya akan berdepan dengan kes fitnah.

Anwar menjadi TPM dan Menteri Kewangan dulu sewaktu di era Mahathir, satu kes salahguna harta kerajaan mahu pun rasuah berjaya dibuktikan.  Beliau pegang kunci harta negara lebih kurang 8 tahun, adakah beliau kini kaya raya atau keluarganya kini miliki harta yang bertimbun?  Jika ada, aku rasa tidak perlu Sepol masukkan plastik ke dalam duburnya atau menyusahkan dia tidak cuci dubur beberapa hari.

Apa pun kita ada Allah.  Susah dan senang, Allah tempat kita mengadu dan bersyukur.  Aku tahu, ada yang mendoakan bahkan ada yang solat hajat minta Anwar masuk dalam.  Mereka itu tidak semuanya dari puak Keris Telanjang tidak bersarung.  Betullah kata orang, teman ketawa untuk dapatkan sokongan dan kuasa memang ramai, tetapi kawan menangis sukar dicari.   Jika tidak percaya, lihat saja pada 10 Feb ini nanti.  Siapa yang dulunya naik hasil dari pengaruh Anwar dan kempen giatnya di merata negeri, tetapi sibuk tidak dapat hadir ke mahkamah untuk memberikan sokongan moral kepada Anwar.

Bahkan yang pasti akan ada yang berkata tidak "syarie' hadir ke mahkamah kerana Anwar bukan Ulamak dan itu masalah peribadi.  Bagi mereka lebih baik Anwar duduk di dalam kerana menyusahkan mereka untuk merealisasikan strategi "sulit' mereka.  Pedulikan itu semua.  Kita, mereka merancang, Allah jua merancang dan perancangan Allah tentu lebih baik.  

Aku yakin Anwar masih punyai kekuatan dalaman yang tiada pada orang lain setakat ini.  Beliau bukan maksum, tetapi beliau mampu hadapi satu demi satu fitnah ke atasnya dan keluarga dengan tabah tanpa ada rasa rendah diri berdepan dengan musuh.  Berani kerana benar.  Beliau difitnah, isterinya juga diperlekehkan, namun Anwar tidak pernah melatah jauh sekali membalasnya.  

Hanya doa yang mampu kita panjatkan buat tokoh reformasi ini.  Apa yang pasti, Anwar akan bebas, InsyaAllah.  Beliau bebas bukan kerana menyerang Daim atau membantu Najib, tetapi beliau memang tidak bersalah dan wajib dibebaskan.  Itulah keyakinannya dan keyakinan kita yang ada keimanan walaupun senipis kulit bawang. 

Khamis, 22 Januari 2015

ADUN PAS DARI TG LUMPUR, KUANTAN - YB USTAZ ROSLI YANG AKU KAGUMI

TIDAK semua dapat mewarisi kepimpinan Ulamak sekaligus kepimpinan politik daripada Tok Guru Nik Aziz, Muryidul Am PAS.  Semoga Allah lanjutkan usia Tok Guru dan anugerahkan kesihatan yang baik kepada Murabbi ini kerana kita masih memerlukan kepimpinannya dan masih ramai di kalangan kepimpinan yang mahu melihat contoh dan teladan kebijaksanaan beliau berpolitik.

Menyampaikan kuliah hampir setiap malam
Di Pahang, aku amat menghormati Adun Tg Lumpur, Kuantan dari PAS yang juga seorang Ulamak tetapi lebih dikenali sebagai Ustaz, mungkin itulah gelaran yang popular sejak beliau dari muda lagi berjuang di dalam PAS.  YB Ustaz Rosli Abdul Jabbar, Adun Tg Lumpur amat disenangi oleh rakyat di kawasan beliau tidak kira latar belakang dan kaum.  Memang diakui, di dalam PRU 13 yang lalu kemenangan Ustaz Rosli banyak dibantu oleh undi kaum Cina di beberapa kawasan.  Ini membuktikan kaum Cina tidak segan silu jauh sekali dari takut melihat batang tubuh Ustaz yang sering berserban ini.

Ceramahnya dengan bahasa yang mudah dan berisi mirip cara Tok Guru Nik Aziz
PAS Pahang amat bertuah memiliki YB seperti ini.  Beliau amat bijak di dalam perjalanan politiknya dan berjaya merealisasikan cara dakwah yang penuh hikmah tetapi amat berkesan.  Aku anggap Ustaz Rosli telah sedikit sebanyak dapat mewarisi kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.  Beliau adalah seorang yang komited terhadap perjuangan dan dasar PAS.  Tiada siapa pernah mengecop Ustaz Rosli sebagai puak UG walaupun semua tahu beliau seorang penyanjung kepimpinan Ulamak.  Harus diingat, menyanjung kepimpinan Ulamak bukan dari kategori UG.  Sebab itu aku sering katakan bahawa UG tiada kaitan dengan kepimpinan Ulamak yang sememangnya perlu ada pada PAS sebuah parti Islam.

Bukan saja Alim dalam soal ugama, tetapi 'Ulamak memasak" juga


Bukan saja rajin ke Masjid dan surau, tetapi rajin turun ke akar umbi kerana tugasnya dianggap juga sebagai ibadah

YB Ustaz Rosli tegas dengan dasar-dasar PAS dan beliau telah buktikan beliau adalah penyanjung kepimpinan Ulamak.  Beliau juga tidak pernah pamirkan kebencian kepada sesiapa yang berbeza pendapat dan pandangan dengannya.  Beliau tidak menghentam rakan-rakan di dalam PR kerana prinsipnya seperti yang beliau pernah tulis di dalam bukunya  "Aku dan PAS", musuhnya adalah Umno dan sekutunya.  Prinsip ini sama seperti prinsip Tok Guru Nik Aziz selagi Umno kekal sebagai parti yang menolak Islam dan tidak berlaku adil kepada rakyat.  

Oleh kerana kebijaksanaan beliau berdakwah dan berpolitik, beliau tidak dicemuh sebagai UG atau Ulamak jumud walaupun beliau menyokong penuh kepimpinan Ulamak.  Menyokong kepimpinan Ulamak bukan bererti beliau menolak pemimpin profesional di dalam PAS.  Sikap yang beliau tunjukkan menjadikan beliau dihormati kawan dan lawan.  

Alangkah bertuahnya jika PAS memiliki lebih ramai lagi Ulamak sedemikian rupa yang tegas dengan prinsip dan kenal musuh sebenar.  


Rabu, 21 Januari 2015

PAS TEGUR PENANG SEPERTI JUGA PKR PERNAH TEGUR PAS KELANTAN

AKU bersetuju apabila SUA PAS, Mustafa Ali tegur Kerajaan Negeri P.Pinang di bawah DAP yang dikatakan tidak berunding dengan PAS P.Pinang untuk mengadakan Piliharaya Tempatan.  Sepatutnya DAP P.Pinang memaklumkan apa jua dasar yang ingin mereka laksanakan di P.Pinang bukan saja kepada DAP malahan PKR juga walaupun ia bukan termaktub di dalam dasar bersama PR.

Namun, harus diingat bahawa teguran kepada DAP P.Pinang itu sepatutnya menjadi cermin dan pengajaran kepada lain-lain negeri di bawah PR, samada PAS mahupun PKR.  PAS di Kelantan juga pernah dikritik kerana membuat sesuatu tindakan dengan membelakangkan rakan-rakan seperti PKR di Kelantan.  Maka tuduhan yang sama juga dibuat dengan menyatakan PAS angkuh di Kelantan kerana mereka kuat di Negeri Serambi Mekah tersebut.  PKR sering terasa di Kelantan.  Apakah ianya masih berlaku di Kelantan?

Jika di Kelantan, PAS yang menjadi Kerajaan Negeri di situ masih tidak berubah, apakah kita rasa teguran SUA PAS kepada DAP itu releven atau akan berkesan?  Serupa juga di Selangor.  PKR yang menjadi MB di Selangor, harus ingat bahawa semangat berunding itu perlu walaupun hanya perkara kecil seperti melibatkan Majlis Tempatan.  Aku rasa masih ada ruang untuk PR melakukan perubahan untuk mengukuhkan kerjasama ini.

Isnin, 19 Januari 2015

BLOGGER OMAK KAU BERPATANG ARANG DENGAN AZMIN KERANA TERLALU SAYANG PADA TSKI?

AKU pun tak tahu apa masalah dengan Blogger kawan aku "Omak Kau" ni.  Sudah lama aku perhatikan semenjak bos dia TSKI dipecat dan Azmin jadi MB Selangor, ada saja perbuatan Azmin yang akan menjadi bahan beliau.  Aku tahu, sewaktu kempen pemilihan di dalam parti dulu sahabat aku ni mengekor saja ke mana TSKI pergi termasuk ke Pahang di tempat aku.  Orang kuat TSKI jugalah kiranya.

Tidak salah mahu sokong TSKI.  Aku pun orang yang kuat berkempen untuk TSKI setelah aku rasa peluang Saifuddin tipis waktu itu.  Dan, ramai juga teman-teman di Pahang yang menyokong Azmin tetapi kami terbuka dan aku pun tidak bermusuh dengan penyokong sesiapa pun.  Apabila parti membuat keputusan, aku punya pendirian selagi aku di dalam parti maka parti adalah keutamaan aku bukan individu.  Jika aku sokong Saifuddin atau TSKI waktu itu, aku tidak pula mencari apa saja isu murahan untuk burukkan Azmin.  

Bila Azmin terpilih menjadi Timbalan Presiden KEADILAN, aku kena akur keputusan pemilihan.  Memang ada kelemahan yang perlu diperbaiki itu kena akur tetapi bukan bermakna aku mesti jahanamkan parti.  Bila Azizah tidak dapat menjadi MB kerana tiada sokongan Istana, aku juga akur dengan kehendak parti yang memberi restu kepada Azmin yang dipilih oleh Istana sebagai MB Selangor.  TSKI dipecat, apa yang TSKI buat untuk pertahankan dirinya setelah diberi peluang bela diri?  Tiada.  Bahkan beliau tidak datang pun untuk menjelaskan apa-apa tentang pemecatannya.  Ertinya, TSKI sengaja mahu dirinya dipecat sebab itu beliau tidak mahu hadir beri apa-apa penjelasan kepada parti.  Mungkin beliau rasa beliau boleh lawan parti kerana ada PAS yang kuat menyokongnya dari belakang.

Omak Kau pula terus hilang arah selepas TSKI dipecat.  Ada orang kata dia jadi begitu kerana sudah hilang punca pendapatan selama ini sebagai Blogger berbayar untuk TSKI.  Aku tidak percaya semurah itu perjuangan rakanku ini, mungkin itu gossip saja kot.  Tetapi tindakannya yang berterusan mencari apa saja isu untuk mempersendakan Azmin menampakkan penyakit Omak Kau semakin parah.  Azmin turun ke akar umbi pun menjadi isu buat beliau.  Aku rasa jika Azmin duduk saja di Pejabat MB berhawa dingin, Omak Kau juga akan buat isu Azmin tidak turun ke akar umbi.  Bila Azmin turun, dijadikan isu seolah-olah Azmin mahu menunjuk-nunjuk atau berlakun.

Azmin ke K.Krau baru-baru ini pun menjadi isu.  Terbaru tulisan Omak Kau di sini http://omakkau.blogspot.com/2015/01/gelagat-azmin-yang-menusuk-kalbu-sambil.html , gambar Azmin makan nasi bungkus pun menjadi isu.  Omak Kau kata hanya Azmin makan seorang manakala yang lain pandang sahaja.  Lojikkah begitu?  Adakah tiada gambar orang lain makan bersamanya membuktikan orang lain tidak makan di dalam program kunjungan MB Selangor?  Aku rasa ini isu murahan untuk memburukkan imej Azmin setelah tiada isu dasar yang lain boleh diperkatakan.  Maka terpaksa kutip isu azmin masuk longkang, Azmin cuci kain dan Azmin makan nasi bungkus.  

Mengapa tidak ulas isu di mana TSKI sekarang?  Waktu banjir di mana TSKI?  Bukankah sewaktu di penghujung hayat beliau di Kerusi MB negeri yang paling kerap TSKI datang adalah di Kelantan dan Terenganu?  Kita tahu waktu itu sokongan Muryidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz penting untuk TSKI kekalkan jawatan beliau sebagai MB.  Sokongan Presiden PAS, Hj Hadi juga penting.  Sebab itu TSKI kerap sangat berkunjung ke dua-dua negeri tersebut.  Bahkan, Hj Hadi pun sanggup datang ke rumah TSKI.  Punyalah akrab.  Rumah TSKI seperti berkampong dengan Solat Hajat dan berbagai-bagai program lagi waktu itu.

Bila musibah banjir datang dan paling teruk di Kelantan, ada TSKI datang ke sana?  Waktu itu kebetulan Tok Guru Nik Aziz uzur di Hospital, ada TSKI menjenguk?  Yang datang jenguk adalah Anwar sewaktu beliau berkunjung ke Kelantan.  Azmin pun turun Kelantan.  TSKI ada?  Terengganu pun ada TSKI datang untuk bertanya khabar tentang banjir kepada Hj Hadi?  Tiada.  Sumbangan jangan tanyalah.  Mungkin duit pun dah tiada kerana geng-geng TSKI sudah ambil awal ratusan ribu ringgit sebagai pampasan.  Ada Omak Kau mahu ulas semua ini?  

Aku harap cukup-cukuplah Omak Kau mencari isu murah untuk jejaskan imej Azmin.  Carilah isu yang besar-besar dan releven jika ikhlas untuk melihat MB Selangor ini boleh laksanakan tugas dengan baik.  Jangan cari isu yang macai amno pun ketawa membacanya sebab mereka pun tidak sebodoh itu di dalam menjaja isu.

Ahad, 18 Januari 2015

SIRUL BUAT NAJIB TIDAK TIDUR LENA

KEMANA hilangnya Sirul?  Di mana berakhirnya Sirul yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah kerana terlibat di dalam kes pembunuhan Altantuya?  Jika pesawat MH370 dikatakan oleh Najib berakhir di Lautan Hindi hingga sekarang tidak dijumpai, berakhir di mana Sirul?

Diberitakan Sirul berakhir di Australia.  Kerajaan Australia dikatakan enggan menyerahkan Sirul kerana mereka tidak iktiraf hukuman bunuh.  Ertinya Kerajaan Australia seperti ada hak pula atas undang-undang di negara ini.  Atau, mereka tahu kisah sebenar kes Altantuya?  Tidak mustahil Sirul di sana telah menceritakan segala-galanya kejadian bunuh Altantuya kepada Kerajaan Australia.  Tidak mustahil 'rahsia besar' negara ini telah pun berada di dalam poket Kerajaan Australia.

Apakah selepas ini pemimpin negara kita akan dijadikan lembu dicucuk hidung oleh Australia sekiranya 'rahsia besar' ini tidak mahu tersebar?  Sebelum Sirul, ada banyak lagi kes 'ghaib' di dalam negara kita.  Raja Petra masih menjadi buruan tetapi bebas nampaknya mengeluarkan kenyataan dari luar negara.  Seperti tiada usaha untuk mencari Raja Petra.  Maklumlah, bukankah Raja Petra kini telah anti Anwar?  Tidak suka Anwar ertinya suka kepada rejim sekarang.  Suka pada rejim anda boleh selamat.

Ayah Pin sampai sekarang masih hero.  Pihak berkuasa tidak mampu menandingi kehebatan Ayah Pin.  Beliau masih bebas sekarang.  Mungkin Ayah Pin bukan penyokong PR maka bererti beliau juga pro rejim.  Pro rejim adalah lesen besar untuk selamat.  Sebab itu aku tidak pernah percaya pasukan keselamatan kita hebat sangat.  Orang tua seperti Ayah Pin lebih hebat.

Kita mahu tonton sampai bila drama Sirul akan berakhir.  Aku dapat rasakan tidor malam Najib sering terganggu selagi Sirul tidak ditamatkan segera. 

Jumaat, 16 Januari 2015

TUAN SPEAKER HALAU ANA KELUAR DEWAN? TUNGGU ANA AKAN SOLAT HAJAT UNTUK ENTE !!!

BERBALAH dan berdebat dalam fesbuk, tidak dapat bawa hujah akhirnya tertekan dan terasa malu bila mana hujahnya dijawab, maka jalan terakhir mengadu dengan Allah.  Mengadu bukan untuk dapatkan taufik dan hidayah untuk dirinya atau lawannya, tetapi untuk 'membinasakan' lawannya?



Aku pun tak tahu dari mana ostat ini belajar ilmu politik dan agama sedemikian rupa.  Paling lucu, masalah dia yang tak boleh nak berhujah dengan berhemah dan berhikmah, dia jadikan anak-anak murid di pondoknya untuk sama-sama terpalit dengan masalah dia.  Maka, dikumpulkan anak-anak murid untuk bersama dengannya.  Macam nak mengumpul bala tentera Al-Maunah saja lagaknya.

Itukah standard pemimpin yang mahu diangkat?  Bayangkan jika dia berada di dalam Parlimen mahupun Dun, bila dihentam atau disergah oleh lawannya atau Speaker, dia akan kata, "Tunggu...Ana dan bersama anak-anak murid Ana akan solat hajat untuk Ente....".

Aduhaiiii...

Sabtu, 10 Januari 2015

KAWASAN MANA YANG MAHU PIMPINAN KERAJAAN PUSAT DATANG MELAWAT, SILA JEMPUT ANWAR DATANG DULU

ANWAR datang ke Pahang di Parlimen Temerloh iaitu di Paya Pulai dan di Parlimen Bera iaitu di Kg Mengkarak pada 07 Jan 2015 baru-baru ini bagi melawat mangsa-mangsa banjir.  Turut serta adalah isterinya Presiden PKR, Azizah.

Kehadiran Anwar di Temerloh disambut oleh Timbalan Pengerusi PKR Pahang, Sdr Nizam serta Ketua Cabang PKR Temerloh, Sdr Jamil dan beberapa pimpinan tempatan.  Kehadiran Anwar dan Azizah juga turut disertai oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor YB Daroyah Alwi dan beberapa pimpinan NGO termasuk dari Jingga 13.

Seperti biasa, Anwar dan Azizah serta rombongannya melawat ke beberapa kawasan yang dilanda banjir di kedua-dua Parlimen tersebut.  Sambutan yang diterima amat menggalakkan walaupun kehadiran Ketua Pembangkang ini adalah secara mengejut tanpa sebarang publisiti media.  

Pada 08 Jan 2015, tiba-tiba Muhyiddin pun turun ke dua-dua kawasan Parlimen tersebut beserta dengan bermacam bentuk bantuan dari Pusat.  Ertikata lain, mana-mana kawasan yang mahu melihat pemimpin utama Kerajaan Pusat datang ke kawasan mereka, sila jemput Anwar datang dahulu.  Pasti pemimpin Pusat akan tiba kemudian untuk membawa bantuan.  Kalau tidak percaya, sila cuba.

Itulah hebat dan aura yang ada pada Anwar.  Hanya mereka yang busuk hati dan berdendam saja yang enggan akui kehebatan tokoh reformasi ini.  Anwar tidak kira di mana saja yang dirasakan perlu untuk beliau datang menjenguk, beliau akan datang walaupun Parlimen Temerloh itu MP nya bukan dari PKR pun malah MP nya itu tidak hadir sewaktu kehadiran Anwar.  Oleh kerana Temerloh salah satu kawasan yang teruk dilanda banjir, Anwar tetap turun sama juga di Kelantan walaupun Kelantan di bawah PAS bukan PKR.  Anwar tahu PAS masih lagi bersama PR.  

Kalau ada geng-geng UG yang hari-hari memburukkan Anwar, itu mereka punya pasal sebab kita tahu golongan ini sejarahnya pun memang datang dari puak yang busuk hati tetapi berlindung di bawah jubah dan serban.   Selagi mereka tidak dapat bersama amno yang korup itu, mereka tetap akan berusaha burukkan Anwar.


Khamis, 8 Januari 2015

ANWAR KE KELANTAN WALAUPUN DIKECAM DAN DI MAKI HAMUN

DALAM diam-diam Anwar berkunjung ke Pahang dua hari lepas selepas berkunjung ke Kelantan baru-baru ini bagi melawat mangsa-mangsa banjir.  Anwar bukan PM, Anwar juga bukan MB tetapi Anwar adalah Ketua Pembangkang Malaysia yang kehadirannya tentunya banyak memberi makna kepada mangsa-mangsa banjir.

Kecuh satu dunia kononnya Anwar sengaja tidak mahu turun menemui mangsa-mangsa banjir sebaliknya berseronok bercuti di luar negara.  Sedangkan semua tahu, semenjak bila tiap kali banjir di mana-mana negeri Anwar pasti turun?  Tidak pernah.  Kali ini mereka bertanya.  Peliknya, sewaktu Anwar tidak menjadi musuh mereka, tidak hairan pun jika Anwar tidak turun menemui mangsa-mangsa banjir kerana mereka faham peranan Anwar di dalam membantu mereka walaupun tidak turun ke bawah.  Apa yang penting waktu itu, apa peranan Anwar dan apa yang parti buat untuk membantu mereka.

Berbeza kali ini, sebelum banjir mereka kutuk dan hina Anwar dengan berbagai kata nista dan cemuhan.  Bukan saja musuh yang dikenali, bahkan penyokong sendiri pun tidak kurangnya menghina Anwar.  Bagi mereka Anwar tidak lagi berguna dan ada yang mahu Anwar masuk penjara selepas ini.  Betapa busuknya hati mereka apabila kehendak dan keinginan mereka gagal dicapai dan Anwar mereka anggap penghalang cita-cita mereka.  Maka, Anwar saban hari mereka hina.  PR akan tetap utuh tanpa Anwar, kata mereka.

Peliknya, berlaku bencana banjir besar di Pantai Timur terutamanya di lubuk puak-puak ini.  Siapa yang mereka sebut?  Anwar.  Di mana Anwar, jerit mereka.  Meskipun diuji dengan bencana besar yang boleh dikatakan hampir menenggelamkan negeri mereka, sedikitpun mereka tidak insaf.  Mereka masih mahu memperlekehkan Anwar.  Mereka bukan mahu sangat Anwar turun ke negeri mereka untuk memberi apa jua bantuan, tetapi mereka hanya bertanya di mana Anwar adalah kerana ingin memburukkan nama Anwar agar semua tahu Anwar insan yang tidak berguna.  Anwar tidak pedulikan rakyat.  Itu yang mereka mahu canangkan walaupun di dalam keadaan rumah mereka pun hampir tenggelam di dalam banjir.

Anwar akhirnya turun juga walaupun semua tahu di dalam keadaan Anwar bukan seperti zaman beliau menjadi TPM yang boleh meredah air, bukit bukau dan lumpur paya.  Anwar sekarang mahu menaiki dan menuruni tangga pun tidak segagah dulu.  Tapi Anwar turun juga kerana dia tahu tidak semua orang membencinya.  Dia tahu masih ramai yang mahu bersamanya dan ingin melihatnya.  Kelantan menjadi negeri pertama yang dikunjungi Anwar selepas beliau kembali dari luar negara.  Kelantan satu-satunya negeri paling teruk dilanda banjir. Alhamdulillah, Anwar disambut oleh Husam Musa dan beliau turut berkesempatan bertemu Tok guru Nik aziz, mantan MB Kelantan yang juga idolanya sejak muda.  Tanpa disambut oleh MB Kelantan atau Timbalan MB mahupun para Exco Kelantan, Anwar terus bertemu mangsa-mangsa banjir dan diberikan taklimat oleh Panglima Tentera 8 Briged.  

Sebelum Anwar tiba ke Kelantan, Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor telah berbincang dengan MB Selangor. YAB Azmin Ali agar Kelantan dibantu dari segi kewangan.  Kerajaan Selangor telah meluluskan RM 1 Juta kepada Kelantan dan RM 100 Ribu kepada negeri-negeri lain yang dilanda musibah banjir kali ini.  Anwar juga telah mendesak agar Kerajaan Pusat segera memberikan bantuan kepada negeri-negeri terlibat.  Itu lah peranan Anwar biar apa pun mereka gelar Anwar.  Anwar bukan tidak biasa dihina malahan pernah dizalimi lebih hebat dari itu.  Dihina oleh musuh politik itu biasa.  Dihina oleh rakan politik juga menjadi pengalaman buat pejuang ini.  Sedikit pun imej Anwar tidak terjejas, sebaliknya kumpulan yang menghina beliau kini nampak semakin terhina dan terpinggir.

Aku tidak pernah bersedih bila Anwar dikecam dan dizalimi musuh politiknya sejak berpuluh tahun.  Malahan aku menjadi bertambah semangat dan geram untuk melawan rejim bangsat itu.  Namun, sedikit terguris dan sedih bila melihat Anwar dihina dan dikecam oleh rakan-rakan sendiri.  Mereka anggap Anwar sedikit pun tidak berjasa ke atas perjuangan mereka.  Maklumlah mereka golongan mulia dan terpilih untuk ke syurga, Anwar siapa?  Alhamdulillah, semangat aku tidak pernah luntur untuk bersama Anwar kerana aku tahu tidak majoriti di dalam puak itu yang benci kepada Anwar melainkan mereka yang masih ada perasaan kasih sayang dan cinta kepada Umno.

InsyaAllah, aku akan menulis pula tentang kunjungan Anwar ke Pahang dan apa hikmahnya selepas ini.