RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Isnin, 19 Julai 2010

K'jaan S'gor: Laporan petik MB tidak tepat


Jul 18, 10

Kerajaan negeri Selangor hari ini menyatakan laporan media bahawa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menyedari wujudnya kumpulan pengusaha pasir secara kecil-kecilan selain daripada pencuri pasir di Selangor, adalah tidak tepat.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan berkata apa yang dimaksudkan Abdul Khalid ialah beliau tidak menyedari kadar harga pasir yang dikenakan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), telah menjejaskan pengusaha kecil pasir khususnya Bumiputera.

"Menteri Besar berkata harga yang dikenakan KSSB itu sesuai dengan pasaran sekarang ini tetapi akan meminta KSSB membuat kajian semula kadar harga itu jika ia benar-benar telah menyukarkan pengusaha pasir Bumiputera," katanya sebagai menjelaskan laporan media berkenaan, lapor Bernama.

Dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2010 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam, Abdul Khalid dilaporkan berkata beliau tidak menyedari bahawa wujud kumpulan pengusaha pasir secara kecil-kecilan di Selangor dan baru mengetahui terdapat pihak yang hanya menjadi ejen bagi mendapatkan lesen pasir.

Beliau mengulas rungutan Jawatankuasa Bertindak Pengusa-Pengusaha Pasir Melayu Selangor kelmarin bahawa royalti dikenakan KSSB untuk kerja mengeluarkan pasir sungai bernilai RM6 satu tan adalah tinggi dan memberi margin keuntungan yang sedikit kepada para pengusaha pasir kecil-kecilan.

Abdul Khalid dalam kenyataan itu juga berkata, KSSB menjalankan program pemulihan selepas kerja-kerja melombong pasir selesai dan kos itu berbaloi jika kawasan yang terlibat adalah luas.

Beliau berkata kerja pemulihan bekas tapak perlombongan pasir tidak pernah dilakukan oleh mana-mana syarikat sebelum ini dan oleh itu banyak lubang-lubang ditinggalkan.

"Kerana itulah harga pasir yang dikenakan agak tinggi kerana ia sudah dikira dengan kos kerja-kerja pemulihan," katanya./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan