Lim Hong Siang
Jul 19, 2010 04:53:34 pm
Bekas Presiden MCA Ong Tee Keat akan mengatur langkah baru, seandainya disingkirkan dari senarai calon MCA-Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang. Malah, beliau tidak menolak untuk mengikut "rancangan baru" dirinya, jikalau gagal bertanding dalam PRU ke-13, katanya dalam wawancara bersama Oriental Daily.
"Mereka yang datang mendampingi saya, bukan saya yang pergi mendampingi mereka. Kadang-kala, jangan bersahaja untuk makan dengan siapa-siapa," katanya sambil berseloroh dalam wawancara yang disiarkan pada 17 Julai 2010. Meskipun digugurkan daripada kabinet berikutan kegagalannya mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan semula MCA pada 28 Mac tahun ini, Ong Tee Keat, tetap enggan berundur dari gelanggang politik tempatan. Menurut laporan tersebut, Ong Tee Keat sedar bahawa ramai orang yang mengandaikan hayat politik seseorang politikus akan dibubuh noktah selepas berundur dari jawatan Presiden, tetapi beliau tidak akur kepada tanggapan sedemikian.
Ketika ditanya wartawan Oriental Daily, bahawa seandainya benar beliau disingkirkan dari senarai calon BN pada PRU ke-13, apakah beliau tetap akan bertanding? Menurut pengamatan wartawan Oriental Daily, Ong Tee Keat berfikir sejenak sebelum berkata, "Seandainya apa yang anda katakan itu benar, dan berlaku pada hakikatnya, maka bukanlah saya yang terhutang kepada MCA atau BN." "Seandai keadaannya bukanlah saya yang terhutang kepada BN, MCA, maka perlulah saya membuat pertimbangan dan pilihan yang lain...dan ia adalah sesuatu yang wajar," katanya.
Beliau memulakan siasatan terhadap skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) setelah mengambil alih Kementerian Pengangkutan, pada masa yang sama terjerat ke dalam pergelutan kuasa partinya. Akhirnya beliau kecundang dalam pemilihan semula partinya, dan kehilangan jawatan Menterinya dalam kabinet selepas itu. *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan