Dari Harakah
Oleh Ahmad Tajdid
RASANYA tidak ada di antara pemimpin Pakatan Rakyat di Johor yangg terlalu bodoh dan naif untuk mengaitkan kempen politik dengan istana. Apatah lagi jika menggantung sepanduk memaparkan wajah Sultan Johor.
Gambar Sultan Johor pada sepanduk atau kain rentang itu dilapor diletakkan di bawah gambar Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebaris dengan gambar Pengerusi PKR Johor, Datuk Dr Chua Jui Meng.
Lebih bodoh lagi apabila Dr Chua disifatkan sebagai calon Menteri Besar; sesuatu yang mustahil bagi negeri-negeri Melayu yang berketuakan seorang Sultan.
Para pemimpin Pakatan Rakyat, dari peringkat organisasi paling bawah – cawangan atau ranting – hinggalah ke peringkat nasional tentu maklum tentang perkara-perkara asas dalam perlembagaan negara dan negeri.
Proses perlantikan Menteri Besar Perak sebaik berakhirnya Pilihan Raya Umum 2008 dan krisis yang tercetus akibat rampasan kuasa BN banyak mengajar mereka tentang perkara-perkara berhubung perlembagaan negeri dan kuasa yang ada pada Raja-Raja Melayu dalam memilih Menteri Besar.
Adalah mustahil bagi seorang pemimpin politik bukan Melayu dan bukan Islam untuk dipilih sebagai calon Menteri Besar kerana secara tersurat mahupun tersirat, Menteri Besar bagi sebuah negeri Melayu mestilah seorang Melayu yang ditakrifkan juga sebagai seorang Islam.
Sehubungan itu, adalah suatu tindakan yang bodoh dan naif untuk PKR menggantung sepanduk dan mengisytiharkan Dr Chua sebagai Menteri Besar. Apatah lagi di saat istana Johor beberapa bulan lalu telah menarik balik gelaran Datuk Seri yang dianugerahkan kepada bekas Menteri Kabinet itu.
Setakat ini Dr Chua dan para pemimpin Pakatan Rakyat negeri menafikan bahawa sepanduk itu digantung oleh aktivis PKR. Malah Dr Chua tanpa ragu-ragu menganggap ianya sebagai ‘kerja’ orang Umno bagi menjejaskan imejnya.
Jika benarpun sepanduk itu dipasang ketika PKR dan Pakatan Rakyat mengadakan majlis di Batu Pahat, kerja bodoh itu tidak semestinya dilakukan oleh petugas parti. Ia juga telah dinafikan para pemimpin Pakatan Rakyat negeri.
Program lawatan Anwar ke Batu Pahat pada 31 Julai lalu sebenarnya tidak berjalan lancar kerana diganggu pihak polis. Anwar dijadualkan berucap di Markaz PAS Kampung Sungai Tongkang, Batu Pahat selepas menghadiri majlis makan malam dan perasmian Pakatan Rakyat Batu Pahat di Restoran Grand Sea View, di Jalan Tanjung Labuh.
Sepanduk yang digantung di sebuah dewan, tempat Anwar dijadualkan berceramah turut diturunkan pihak polis walaupun ia tidak memaparkan wajah sultan.
Pihak penganjur terpaksa membatalkan ceramah berkenaan selepas diserbu oleh pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Tujuh orang termasuk peniaga ditahan di Balai Polis Rengit tetapi mereka dibebaskan dengan jaminan polis keesokan paginya.
Bila polis masih sibuk mengganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat di saat indeks jenayah negara semakin meningkat, kita tentunya maklum pihak di sebalik arahan itu.
Walau apa pun motif kejadian tersebut, nyata ada pihak yang tidak begitu senang dengan kemaraan Pakatan Rakyat di Johor.
Kerja-kerja sabotaj ini bukanlah suatu yang asing bagi BN dan Umno.
Lihat sahajalah bagaimana Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah dijadikan sasaran fitnah Umno dan BN seminggu sebelum pilihan raya umum 1990 berlangsung.
Pada waktu itu, Tengku Razaleigh yang memimpin dua gagasan politik, Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat mempunyai peluang besar bagi menewaskan BN. Tengku Razaleigh berjaya mendapatkan sokongan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dato’ Joseph Pairin Kitingan dan menjadikan kedudukan BN bagaikan telur dihujung tanduk.
Selain berasa tidak selamat di Semenanjung, BN yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad ketika itu terkejut dengan kejayaan Ku Li menkucar-kacirkan kubu BN di Sabah melalui PBS. Ku Li juga aktif mencari sokongan dan pakatan politik dengan parti-parti politik Sarawak.
Dan sudah menjadi resmi politik Umno untuk memainkan sentimen kaum dan agama bagi meraih sokongan rakyat. Sigah Kadazan yang dipakai Ku Li dijadikan modal untuk menggambarkan beliau sebagai seorang oportunis politik yang sanggup menjual agama dan bangsa semata-mata untuk berkuasa, sedangkan sigah yang sama (bermotif salib) dipakai Presiden Umno yang juga Perdana Menteri ketika berkunjung ke Sabah.
Kempen jijik Umno yang dilancarkan dengan bantuan media massa utama negara itu berjaya menjatuhkan imej Ku Li di mata pengundi Melayu, dan hasilnya Semangat 46 kalah di kebanyakan kerusi majoriti Melayu kecuali di Kelantan. Usaha untuk menepis fitnah dan pembohongan Umno melalui penyebaran foto Dr Mahathir yang memakai sigah yang sama juga gagal akibat ketiadaan media alternatif yang berkesan.
Insiden yang berlaku di Johor ini tidak mustahil dilakukan oleh Umno yang semakin gusar dengan penularan pengaruh Pakatan Rakyat di negeri itu. Ia bukanlah sesuatu yang di luar kebiasaan berbanding apa yang pernah dilakukan oleh parti itu sebelum ini.
Kerja-kerja sabotaj bukan sesuatu yang asing dalam kempen politik Umno. Dalam sejarah politik negara, Umno bukan sahaja sanggup berbohong, memanipulasikan fakta, hatta secara semberono memperalatkan jentera dan pentadbiran kerajaan untuk terus berkuasa.
Menuduh Pakatan Rakyat sebagai tidak menghormati istana ekoran insiden sepanduk itu juga adalah strategi Umno bagi menjauhkan sokongan orang Melayu terhadap PAS, PKR dan DAP.
Rakyat Johor sendiri boleh menilai parti manakah sebenarnya yang sering memperalatkan istana untuk terus berkuasa hatta mewar-warkan bahawa Umno ditubuhkan di tangga istana.
Ketika diminta mengulas bidasan Dr Chua bahawa sepanduk itu sebenarnya digantung Umno bagi menjejaskan imej beliau, Menteri Besar Johor Dato’ Abdul Ghani Othman menafikannya.
“Tiada siapa hendak buat pun, kita tidak pernah mengamalkan politik seperti itu. Apa yang kita tahu parti pembangkang yang membuat perjumpaan dalam tempoh berkenaan dan kain rentang yang dimaksudkan itu dinaikkan,” kenyataan beliau dipetik media.
Abdul Ghani boleh membuat penafian tetapi semuanya kini terserah kepada tanggapan umum. Rakyat bukanlah senaif dahulu tatkala pemerintah mempunyai kuasa untuk mengawal sumber maklumat.
Dalam perkembangan berkaitan tiga anggota polis pada 18 Ogos lalu telah merakam kenyataan Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu di Tropicana, Petaling Jaya.
Turut hadir dalam pertemuan hampir 1 jam itu ialah Pengerusi Perhubungan PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.
Keterangan itu bagi membantu siasatan berhubung penggunaan foto Sultan Johor pada kain rentang itu.
Pada sidang media selepas dirakamkan kenyataannya, Anwar berkata isu kain rentang provokatif itu bertujuan mengheret institusi diraja ke kancah politik kepartian sebagai muslihat dan niat buruk dengan matlamat menimbulkan kemarahan rakyat Johor, terutamanya di kawasan majoriti Melayu di luar bandar.
“Sudah tentu perkara ini tidak menguntungkan PKR ataupun Pakatan Rakyat. Ia sengaja dihantar ke kawasan majoriti orang Melayu, seolah-olah kita memperkenalkan Datuk Chua Jui sebagai Menteri Besar Johor,” tegasnya.
Chua pula berkata tindakan memasang sepanduk itu berniat jahat untuk menimbulkan kemurkaan Sultan Johor.
“Kita tidak sebegitu bodoh untuk katakan, yang saya dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor. Ini adalah satu muslihat yang gagal.
“Sebagai seorang peguam yang terlatih dalam bidang undang-undang, saya tahu bahawa orang Cina seperti saya tidak boleh menjadi Menteri Besar. Ini tak masuk akal dan tak logik langsung.
“Matlamat mereka gagal, kerana tidak ramai orang yang percaya dengan apa yang ditulis di atas kain rentang itu. Tiada siapa yang untung daripada perbuatan mereka ini. Jadi kami minta pegawai polis siasat dengan segera kejadian ini, dan tangkap mereka yang terlibat dengan komplot ini,” kata Chua.
Apa juga yang berlaku, kita menuntut pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh bagi mencari dalang sebenar kejadian itu.
Kita tidak mahu kejadian ini terbiar menjadi misteri. Seperti juga misteri yang berlegar berhubung insiden cubaan rasuah Umno terhadap calon PAS di Dun Pasir Raja, Johor pada pilihan raya umum 2004. Bukti tentang kejadian rasuah itu benar-benar kukuh. Sipelakunya ditangkap di rumah calon PAS sendiri. Nombor telefon calon BN juga disimpan dalam telefon tertuduh. Kejadian itu dirakam dengan kamera dan video. Pertuduhan dibacakan pegawai BPR ketika tangkapan dibuat dan wang suapan itu diambil pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai bukti.
Pegawai BPR yang hadir memuji usaha para petugas PAS memerangkap sipelaku rasuah. Malah polis yang cuba campur tangan tidak dibenarkan masuk ke rumah calon sehingga pegawai BPR hadir.
Apabila ditanya BPR yang kini diangkat status sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), para pegawainya berkata, “kami dan serah kertas pertuduhan ke Pejabat Peguam Negara.”
Namun sudah enam tahun berlalu, tiada sebarang pertuduhan yang dilakukan Peguam Negara. Itu pun satu misteri juga!
wajib 100% kerja umno,orang dah buleh baca dah kepala otak umno,tv umno,surat khabaq umno hakim umno,polis umno dll,hampa tau ka orang orang tua di kampong aku pon dah bukak internet,tok sah dok kelentong la
BalasPadamKalau ada mana-mana pemimpin umno yang sanggup menafikan bahawa itu bukan kerja umno bermakna pemimpin umno tersebut adalah yang paling berani dan nekad untuk membuat PENIPUAN!.
BalasPadamKerja-kerja bodoh dan bangan ini telah diketahui umum bahawa tiadalah spesies lain yang melakukannya melainkan UMNO YANG BANGANG ITULAH JUA PELAKUNYA.
kes dah sebulan lebih.kalau pkr yang buat,tentu kita dah tau hasil siasatan.
BalasPadamjadi kita faham sendirilah siapa yang buat.