RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 4 September 2010

TIMBALAN PRESIDEN PKR - AZMIN CALON POPULAR ?


Azmin dianggap calon popular

SHAH ALAM – Pertandingan merebut kerusi nombor dua Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka sengit apabila Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti itu, Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan kesediaannya bertanding jawatan tersebut jika dicalonkan dan mendapat sokongan akar umbi.

Penganalisis politik tempatan, Datuk Zainal Kling berkata, walaupun Zaid Ibrahim mengumumkan kesediaannya bertanding jawatan tersebut, namun Naib Presiden PKR, Azmin Ali dikatakan sebagai calon popular yang dijangka berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden.

“Azmin secara lojik akan dipersetujui oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui jawatan nombor dua parti tersebut memandangkan beliau adalah pemimpin parti yang lebih dekat dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kesetiaannya kepada parti.:

“Malah, Azmin juga sudah memberi sokongan peribadi yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar dalam mencapai hasratnya dan parti,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam.

Menurutnya, Azmin juga dilihat sebagai pemimpin yang paling layak sebagai Timbalan Presiden dalam membawa suara dan mendapatkan sokongan generasi muda.

Walaubagaimanapun, beliau berkata, Zaid Ibrahim dilihat sebagai calon baru yang banyak menerima cabaran dan tekanan sejak menyertai parti tersebut.

“Masih terlalu awal untuk Zaid Ibrahim menerajui jawatan nombor dua itu memandangkan ada ahli-ahli PKR yang mencurigai ‘kesetiaannya’ kepada parti itu.

“Namun, Anwar mempunyai minat yang kuat agar Zaid Ibrahim mempunyai jawatan di peringkat pusat bagi memperkukuhkan parti menjelang pilihan raya umum ke -13,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan PKR yang dijangka diadakan pada November ini bakal menyaksikan pertandingan sengit memandangkan calon yang bertanding mempunyai minat dan menaruh harapan menjawat jawatan menteri jika harapan Pakatan Rakyat menawan Putrajaya menjadi kenyataan.

Kelmarin, Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim yang pernah mengumumkan tidak akan bertanding untuk merebut sebarang jawatan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) November ini, mengesahkan beliau bersedia bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Zaid berkata, beliau akan menerima jawatan itu jika dicalonkan dan mendapat sokongan akar umbi./Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan