SAYA terasa ingin memberi sedikit ulasan atau komen terhadap artikel seorang sahabat di sini. Beliau ada mengulas tentang keluhan Dato Zaid Ibrahim yang menyebut betapa beliau bimbang akan mengalami nasib seperti Almarhum Tun Ghafar Baba. Ini adalah berlanjutan daripada keputusan Dato Zaid Ibrahim bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR di dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR tidak lama lagi.
Senarionya, Dato Zaid dikatakan mula mengalami `serangan' dari beberapa pihak yang seolah-olah tidak memberi laluan kepada beliau merebut jawatan tersebut. Beliau menyebut suatu ketika beliau dianggap Wira di dalam PKR apabila berani keluar dari Umno untuk bersama PKR. Kini, beliau seolah-olah tidak diberi kepercayaan untuk menduduki jawatan penting tersebut. Apakah benar Dato Zaid tidak lagi dianggap `Wira' semata-mata ada pihak yang tidak bersetuju beliau bertanding?
Saya cuma ingin mengulas apa yang diperkatakan oleh sahabat saya di dalam blognya itu. Penulis menyebut bahawa Dato Zaid mungkin tidak `di Ghafar Baba'kan sekiranya berada di dalam PAS. Adakah ini bermakna di dalam PKR ada mangsa yang telah diperlakukan seperti yang pernah terjadi kepada Almarhum Ghafar Baba? Dan, adakah di dalam PAS tidak pernah berlaku pertandingan atau kempen seperti yang dilalui oleh PKR ini?
Kita masih ingat sewaktu pemilihan pucuk pimpinan PKR sebelum ini di mana ketika itu heboh diperkatakan bahawa Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussin akan ditentang oleh Azmin Ali. Walaupun pada ketika itu ramai yang berpendapat Azmin Ali punyai peluang yang cerah untuk memenangi pertandingan tersebut, tetapi atas toleransi serta semangat setiakawan di dalam PKR, Azmin akhirnya menarik diri. Dr Syed Hussin tidak menjadi seperti Ghafar Baba.
Kali ini pertandingan berlaku lagi, tetapi suasana tidak sama seperti sebelumnya. Difahamkan Dr Syed Hussin akan berundur dan memberi laluan untuk pertandingan. Tentunya munasabah untuk Azmin Ali mencuba nasibnya kali ini. Dato Zaid juga berpeluang untuk mencuba nasib beliau kerana peluang itu terbuka kepada semua. Tindakan beberapa pihak yang `nakal' menjalankan kempen memburukkan seseorang calon sewajarnya kita tentang kerana itu adalah budaya Umno. Saya bersetuju dengan pendapat sahabat saya itu di dalam hal ini.
Budaya kempen sewaktu pemilihan menjadi lumrah di dalam mana-mana parti. Saya menolak dakwaan yang menyebut seandainya Dato Zaid berada di dalam PAS, maka beliau selamat dari menerima nasib seperti Almarhum Tun Ghafar. Saya menolak pendapat ini kerana faktanya adalah belum pernah terjadi di dalam PKR setakat ini yang `mengorbankan' pemimpin seperti yang berlaku ke atas Almarhum Tun Ghafar. Bagaimana pula jika Azmin juga menyebut bahawa beliau mungkin menjadi seperti Almarhum Tun Ghafar jika tidak terpilih? Bukankah Azmin juga banyak jasa dan pengorbanannya terhadap PKR? Tidak keterlaluan jika dikatakan Azmin mempunyai banyak markah untuk dijadikan lebih `Wira' dari Dato Zaid.
Dato Zaid keluar Umno kerana tidak bersetuju dengan parti tersebut di dalam menangani bantahan terhadap Akta ISA. Azmin juga berasal dari Umno, keluar dari Umno kerana menentang segala kezaliman terhadap DS Anwar yang ingin membawa perubahan atau reform. Kedua-duanya punyai prinsip dan mereka ini amat berharga untuk kita semua. Kepercayaan PKR terhadap Dato Zaid terbukti apabila beliau dicalonkan untuk menjadi calon PRK Parlimen Hulu Selangor yang lalu walaupun beliau baru `beberapa hari' berada di dalam PKR. Azmin pula telah membuktikan pengorbanannya untuk tidak menentang Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussin di dalam pemilihan sebelum ini.
PAS juga pernah mengalami pertandingan sengit di dalam pemilihan parti tersebut. Pertandingan `kontroversi' di antara Husam Musa dengan Us Nasa merebut jawatan Timbalan Presiden PAS meninggalkan kesan sehingga kini di dalam PAS. Kesannya adalah masih ada pihak yang menyebut tentang geng perpaduan atau UG dan geng Erdogan. Ini semua tidak menjejaskan PAS selagi mereka taat kepada keputusan parti.
Justeru itu, Dato Zaid tidak perlu bimbang untuk menghadapi pertandingan kali ini. Ketakutan kepada bayang-bayang sendiri seolah-olah menggambarkan beliau tidak yakin dengan kekuatan dirinya. Beliau tetap dianggap Wira walaupun tidak bertanding mahupun tewas di dalam pertandingan ini nanti, melainkan jika beliau melarikan diri dari perjuangan ini dan menyertai Umno semula. Beliau boleh menyertai PAS sekiranya tidak yakin dengan PKR tetapi bukan disebabkan bimbang mendapat nasib seperti Almarhum Tun Ghafar Baba. /wfauzdin.blogspot.com
klu zaid nk naik dlm pas kira mimpilah, cara zaid tak sesuai dgn pas klu dap mungkin
BalasPadamzaid jgn jd mcm zul kulim,buat ribut dlm pari spy org tendang.zaid buat ribut dlm umno n kena tendang.masuk pkr jd mcm hero sbb lwn umno.klu betul ada prinsip,bg laluan aje kat azmin.dia dr mula lg terlibat gerakan ini sampai anak bini terjerumus sama dek kerja umno.
BalasPadamTidak sepatutnya ada sikap sikap begini dalam PKR. Untuk memantapkan parti, kebolehan haruslah diambil kira. Apa kurangnya Datuk Zaid, janganlah layan beliau seperti orang baru dlm PKR dan perlu merangkak untuk naik ke atas. Lihatlah MP, ADUN yg melompat. Walaupun lama bersama PKR, tapi akhirnya belot. Rugi sekiranya PKR kehilangan Datuk Zaid. Lagi pun, pertelingkahan ala UMNO ini akan membawa kepada kehancuran. Kita sudah lihat permainan UMNO yg suka tikam belakang, kenapa PKR tidak mahu belajar dari kesilapan. Kalau begini rakyat akan mula benci dan hilang keyakinan dengan PKR, kerana sikap mereka tak ubah seperti UMNO. Fikirlah...wahai pemimpin PKR, kamu hanya baru jadi peneroka, belum menetap lagi. Rakyat sememangnya benci dan meluat pada UMNO, tapi jangan buat rakyat seperti tiada pilihan.
BalasPadamZahid mana boleh jadi pemimpin pas? Sebabnya ialah beliau tak pakai serban. Husam pun tak dapat, inikan pulak zaid. Pas hanya pandang besar mana serban yang dipakai, baru boleh jadi pemimpin. Bukan menghina tapi itulah hakikat yang kita nampak. Nik Aziz yang pakai serban tu pun mereka nak campakkan tapi segan kot?
BalasPadam