RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Selasa, 28 Disember 2010

CHEGU BARD MENOLAK TAWARAN PARTI, JANGAN ADA PROVOKASI SESAMA KITA

Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA membaca artikel berkaitan Chegu Bard di sini, banyak ulasan dan komen dari pembaca yang seolah-olah merasakan Chegu Bard seperti sengaja mencari pasal di dalam PKR. Ini semua adalah lanjutan daripada keputusan Chegu Bard semalam yang telah menolak tawaran dari parti yang melantik beliau sebagai Timbalan Setiausaha Agung PKR.

Saya pun sebelum ini ada menulis dua artikel berkaitan tawaran yang diberikan oleh parti kepada bekas calon Ketua AMK tersebut. Saya mencadangkan agar Chegu Bard menerima tawaran berkenaan kerana pertamanya, ia adalah kehendak parti yang mahukan tenaga dan buah fikiran Chegu Bard untuk memperbaiki pengurusan parti dari dalam. Keduanya, saya merasakan inilah peluang terbaik untuk Chegu Bard melihat dari dekat bagaimana senang atau sukarnya parti di dalam menguruskan segala aduan atau siasatan berkaitan apa yang didakwa terdapatnya penyelewengan mahupun penipuan semasa pemilihan pimpinan di dalam parti baru-baru ini.

Apa yang paling penting yang saya sebutkan sebelum ini adalah jka Chegu Bard memilih untuk menerima tawaran tersebut, beliau samasekali jangan menjual prinsipnya malahan beliau mesti menggunakan jawatan yang diamanahkan itu untuk memperkuatkan prinsip yang beliau percayai itu. Seandainya beliau gagal berbuat demikian atau terhalang untuk mempertahankan prinsipnya, maka ketika itu wajarlah Chegu Bard meletakkan jawatan yang diberikan.

Malangnya, Chegu Bard lebih awal menolak tawaran yang diberikan. Saya yakin bahawa Chegu Bard telah memikirkan buruk dan baiknya keputusan beliau itu terhadap parti bukan terhadap dirinya secara individu. Justeru itu, kita patut menghormati keputusan Chegu Bard kerana jawatan yang ditawarkan kepadanya itu bukanlah jawatan yang dipertandingkan ataupun amanah dari ahli-ahli parti tetapi sekadar amanah yang cuba diberikan oleh parti. Oleh yang demikian, bukan masalah besar yang boleh dijadikan isu apabila beliau menolak tawaran berkenaan.

Terdapat suara-suara yang membuat provokasi agar Chegu Bard memilih jalan lain setelah segala kemahuannya seolah-olah dipandang ringan oleh parti. Saya amat tidak setuju dengan pandangan bahawa Chegu Bard harus memilih jalan lain kerana saya percaya bahawa masih ada ruang buat Chegu Bard untuk menuntut keadilan seperti yang beliau inginkan. Saya berpendapat, parti juga tidak baik untuk melakukan `provokasi' terhadap Chegu Bard atau sesiapa sahaja yang mahukan keadilan dilaksanakan.

Memperlengahkan siasatan seperti yang telah dijanjikan dilihat seperti `provokasi' kepada satu-satu pihak. Memprovokasi sesiapa yang mahu menuntut keadilan terlaksana agar memilih jalan lain samada keluar parti atau sebagainya juga satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Apa yang perlu Chegu Bard lakukan selepas ini? Pada pendapat saya, Chegu Bard mahu tidak mahu terpaksa menanti dengan sabar dan memberikan ruang serta masa yang secukupnya kepada parti untuk menyelesaikan masalah yang rumit ini. Memang benar, YB Saifuddin Nasution telah berjanji untuk menyelesaikan semuanya dalam tempoh 2 minggu selepas Kongres PKR yang lalu tetapi sehingga kini beliau masih gagal menyelesaikannya. Apakah rugi jika kita memberikan lebih masa buat beliau untuk meneruskan siasatan?

Adalah lebih baik dan bijak jika kita memberikan kepercayaan kepada parti untuk membuktikan bahawa keadilan dan ketelusan memang wujud di dalam PKR. Sementara itu, kita hentikan provokasi atau desakan yang keterlaluan mahupun sindiran sesama kita. Kita laksanakan kerja kita dan biar mereka di atas sana laksanakan kerja mereka. Seandainya sudah `zero' kepercayaan kita terhadap parti, maka ketika itu kita mempunyai alasan dan hujah yang kuat mengapa kita perlu beralih arah./wfauzdin.blogspot.com

1 ulasan:

  1. pesanan untuk chegu bad:
    jangan lupa untuk tolak juga jika dicalunkan sebagai calun dalam pru13 nanti.itu pun kalau kau tak belah dari pkr

    BalasPadam