RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Isnin, 27 Disember 2010

TAHNIAH PASUKAN BOLASEPAK KEBANGSAAN

Oleh: WFAUZDIN NS

TAHNIAH, buat Pasukan Bola Sepak Malaysia yang berjaya menewaskan Indonesia 3 - 0 di dalam Perlawanan Akhir Pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Bukit Jalil, malam tadi. Satu kemenangan bergaya yang menjadi bekalan agak selesa untuk Malaysia berkunjung ke Stadium Istora Senayan, Jakarta pada Perlawanan Akhir Kedua pada 29 Dis ini nanti.

Puluhan ribu penyokong-penyokong kita hadir untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan negara dan kehadiran mereka samasekali tidak dihampakan. Paling kurang kelukaan dan kepedihan kita akibat tewas kepada Indonesia 1-5 sebelum ini terubat sudah dan pastinya Indonesia akan bangkit habis-habisan pada Perlawanan Akhir Kedua di Jakarta nanti.

Saya sempat menyaksikan perlawanan menarik malam tadi melalui skrin besar di sebuah restoren di kampung saya, Kampung Simpang Durian, Jelebu bersama seorang rakan sekolah rendah dahulu yang kini menjadi salah seorang JK PAS Bahagian Jelebu. Kami tidak banyak berbicara tentang politik seperti kebiasaannya, tetapi kami lebih fokus untuk mengikuti perlawanan tersebut bersama ramai lagi pengunjung restoren yang turut menyaksikannya. Gegak gempita restoren malam tadi dengan sorakan peminat bola sepak tempatan.

Selepas perlawanan, hati merasa amat lega kerana sebelum ini begitu sukar untuk saya meyakini Malaysia mampu menewaskan Indonesia apatah lagi dengan jaringan sebanyak itu. Adakah itu pertanda Malaysia akan menjuarai Piala AFF Suzuki pada kali ini? Saya semakin yakin untuk mengatakan kita bakal menjulang Piala tersebut untuk mencipta sejarah. Tetapi, realitinya Malaysia akan mengharungi 90 minit lagi di Stadium Istora Senayan, Jakarta sebelum mahu menjulang Piala tersebut. Adakah 3 - 0 satu jaringan yang mustahil untuk diatasi oleh Indonesia? Sudah tentu tidak mustahil kerana Indonesia sebelum ini menewaskan kita dengan jaringan 5-1 di stadium yag sama.

Oleh yang demikian, Malaysia harus turun beraksi di sana nanti tanpa taktik bertahan. Malaysia mesti bermain sepertimana malam tadi kerana taktik bertahan jika diamalkan bakal memakan diri.

Di malam tadi juga, tanpa kami sedari kami disapa oleh Adun K.Klawang, YB Yunus Rahmat iaitu selaku Ketua Umno Cawangan Simpang Durian. Beliau menghampiri kami berdua dan bersalam serta bertanya khabar. Kami berbual seketika sebelum beliau dan isterinya makan di restoren berkenaan. Beliau berkata beliau baru sahaja selesai menghadiri perjumpaan Umno Cawangan.

Apa pun, syabas buat Pasukan Malaysia dan tahniah buat semua penyokong yang setia samada yang hadir di Stadium Bukit Jalil mahupun di rumah atau di mana sahaja yang telah memberikan sokongan kepada Pasukan Kebangsaan kita. Kita tunggu saat 29 Dis nanti, adakah kita akan mencipta sejarah. Syabas Rajagopal dan semua pemain./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan